https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Seoul Central Mosque – Lambang Persahabatan Antara Korea Selatan Dan Islam Turki

680

Pertengahan kurun lalu menyaksikan berlangsungnya k0nflik yang hangat di Asia Timur berikutan meletusnya Per4ng Dunia Ke-2. Tempoh tersebut juga memperlihatkan Semenanjung Korea terpecah kepada dua lalu membentuk Korea Selatan dan Korea Utara, yang sekali lagi, diselubungi k0nflik peper4ngan. Kali ini, k0nflik yang tercetus adalah Per4ng Saudara Korea 1950-1953.

Dianggarkan seramai 5 juta ny4wa manusia mel4yang dalam k0nflik yang walaupun sudah berakhir lebih 60 tahun yang lalu, namun pertegangan di antara dua buah negara berkenaan masih berlanjutan sehingga kini sekaligus menjadikan sempadan Korea Selatan – Korea Utara sebagai salah sebuah kawasan paling tegang di muka bumi.

Walau bagaimanapun, bukanlah k0nflik tersebut yang menjadi subjek utama artikel kali ini. Sebaliknya, penulis ingin bersama-sama para pembaca menjejak sejarah pertapakan dan penyebaran agama Islam di Korea yang berlangsung seiring berlakunya per4ng saudara tersebut.

Dalam menghadapi ser4ngan daripada Korea Utara yang didokong oleh Kesatuan Soviet dan China, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diterajui oleh Amerika Syarikat menyeru negara-negara anggota untuk menyalurkan bantuan kepada Korea Selatan. Negara pertama yang menyahut panggilan ini adalah Republik Turki yang menghantar secara keseluruhan seramai kira-kira 21 212 orang tentera menerusi empat buah briged berasingan.

Gambar tentera Turki yang berper4ng di pihak Korea Selatan semasa Perang Korea 1950-1953

Bantuan ketenteraan yang dihulurkan oleh Republik Turki ini tidak hanya mengeratkan lagi hubungan antara dua buah negara itu sehingga masyarakat Korea Selatan sehingga kini menganggap orang-orang Turki sebagai ‘saudara kandung’ mereka, akan tetapi ia juga memutikkan cahaya Islam di bumi tersebut. Sepanjang berada di sana, tentera-tentera Turki ini terus menjalani kehidupan sebagai Muslim justeru pemandangan ‘masjid-masjid khemah’ menjadi halwa mata masyarakat Korea Selatan pada waktu itu. Suasana sebegini mendorong kepada penyebaran pengaruh Islam dalam kalangan mereka dan semenjak itu, gelombang hidayah mula menyapa penduduk tempatan.

Gelombang awal ini secara umumnya berpusat di Itaewon, sebuah daerah di Seoul yang terkenal dengan kepelbagaian dan kekayaan budayanya. Sesudah tamat per4ng saudara di Korea, kawasan ini didiami oleh sebahagian tentera gabungan termasuklah tentera-tentera Turki. Di samping terlibat dalam kegiatan kemanusiaan dan pembangunan sosial, tentera-tentera Turki ini juga memperkenalkan ajaran Islam kepada masyarakat tempatan. Sekitar 21 tahun sesudah tamatnya per4ng saudara, Islam bertapak dengan kukuh di Itaewon secara khusus, terutamanya apabila komuniti Muslim di sana membangunkan masjid pertama di Korea Selatan, iaitu Masjid Pusat Seoul atau Seoul Central Mosque.

Gambar lama mesyuarat Korean Muslim Federation tentang pembinaan Seoul Central Mosque (kiri) dan jemaah awal di masjid berkenaan (kanan)

Pembinaan masjid ini dimulakan pada tahun 1974 dengan bantuan kewangan daripada beberapa buah negara Islam seperti Arab Saudi dan Malaysia. Republik Korea Selatan sendiri di bawah presiden Park Chung-hee menyumbangkan tanah seluas 5000 meter persegi kepada Korean Muslim Federation (KMF) untuk tujuan itu. Menurutnya, sumbangan yang dihulurkan oleh pihak berkuasa Republik Korea Selatan ini adalah bermaksud untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan negara-negara Islam terutamanya di Timur Tengah.

Sebilangan penulis turut melihat sumbangan tersebut sebagai tanda penghargaan Korea Selatan terhadap Republik Turki di atas bantuan ketenteraan yang diberikan semasa berlangsungnya per4ng saudara. Apapun keadaannya, pembinaan Masjid Pusat Seoul ini kemudiannya disusuli oleh pembinaan beberapa buah masjid di kawasan-kawasan lain seperti Incheon, Daegu dan Busan sekaligus menandakan bahawa pengaruh Islam semakin berkembang walaupun populasi penganutnya relatif kecil.

Tepat pada tanggal 21 Mei 1976, pintu Masjid Pusat Seoul mula dibuka untuk kehadiran jemaah Islam mahupun kunjungan masyarakat bukan-Islam tempatan ataupun pelancong. Kemudian, pada Disember 1991 atau tahun 1990 menurut sumber lain, bangunan masjid ini menjalani renovasi sehingga menjadikannya sebuah masjid tiga tingkat. Antara pihak yang menghulurkan sumbangan kewangan bagi menjalankan kerja-kerja penambahan tersebut adalah Islamic Development Bank, Jeddah.

Gambar lama Masjid Pusat Seoul

Tingkat pertama masjid ini menempatkan bilik-bilik mesyuarat dan ruang pejabat untuk kegunaan Korean Muslim Federation. Dewan solat untuk kaum lelaki terletak di tingkat kedua sementara tingkat ketiga pula memuatkan ruangan solat untuk kaum wanita. Di situ juga terdapat Pusat Islam (Islamic Center) yang menyediakan sekolah untuk kanak-kanak Muslim dan pusat penyelidikan.

Bangunan ini dihasi dan dicirikan dengan jubin-jubin berwarna biru, persis masjid-masjid indah di Asia Tengah seperti Masjid Biru Mazar-i-Sharif. Tambahan lagi, Masjid Pusat Seoul juga menonjol dengan kehadiran kalimah-kalimah tauhid di gerbang utamanya, di mana sebahagian daripada kalimah tersebut diserlahkan dengan cahaya berwarna hijau.

Masjid ini kerap menerima kunjungan di hujung minggu. Pada hari Jumaat pula, masjid ini memuatkan kira-kira 800 orang jemaah yang hadir untuk menunaikan Solat Jumaat. Ceramah-ceramah agama juga lazim kedengaran dari pembesar suara masjid ini, dengan penuturan pelbagai bahasa seperti Bahasa Korea, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Dinding luar Seoul Central Mosque

Menurut sumber-sumber daripada tahun kebelakangan, populasi umat Islam di Korea Selatan dianggarkan berjumlah sekitar 200 000 orang dengan sebahagian besarnya merupakan Muslim dari negara-negara seperti Pakistan, Uzbekistan, Senegal, Turki dan lain-lain yang kebanyakannya menumpu di Itaewon.

Lokasi Masjid Pusat Seoul tidaklah begitu jauh jaraknya dari Stesen Itaewon justeru memudahkannya untuk dikunjungi oleh para pelancong. Di sepanjang jalan utama menuju ke masjid, para pengunjung berpeluang untuk melihat suasana di Islamic Street yang menempatkan berbagai kedai dan restoran Islam. Pelbagai barangan dan masakan dari Timur Tengah boleh didapatkan di sini. Begitu juga kedai-kedai buku Islam yang turut melengkapkan barisan premis-premis kedai di sini.

Antara premis restoran dan kedai Islam di Itaewon

Bagi pengunjung bukan-Islam yang berminat untuk menyaksikan keindahan bukan hanya masjid ini, tetapi juga pemandangan sekitar seperti Sungai Han dan Gunung Namsan yang boleh dilihat dari kawasan masjid ini lantaran kedudukannya yang terletak di atas bukit, pihak masjid juga mengalu-alukan kehadiran mereka dengan menyediakan busana yang sesuai di pintu masjid berkenaan.

“Kalau ada yang datang dengan pakaian yang kurang sesuai (terlalu terdedah), kami akan mengalu-alukan kehadiran mereka dan meminta mereka untuk menyalin pakaian yang lebih sopan yang telah kami sediakan. Islam yang bersifat ramah dan sopan, itulah ciri Islam yang ingin kami tampilkan,” ujar penjaga masjid itu ketika dikunjungi oleh pasukan media Aceh Kini dari Indonesia.

Mihrab dan ruangan dalam Seoul Central Mosque

Sikap mesra-pengunjung terutama pengunjung Muslim turut cuba diterapkan oleh pihak berkuasa Korea Selatan sendiri. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan jumlah pelancong Muslim menerusi usaha-usaha seperti pembinaan banyak restoran dan rumah penginapan mesra-Muslim, pengeluaran sijil halal di beberapa buah restoran dan penyediaan bilik-bilik solat di tempat-tempat tertentu.

Pada tahun 2017, Korea Tourism Organization (KTO) merekodkan seramai 870 000 orang pelancong Muslim mengunjungi negara berkenaan. Angka tersebut meningkat kepada 970 000 orang pada tahun berikutnya dan pada tahun ini, enam bulan pertama sahaja sudah menyaksikan seramai 511 017 orang Muslim melancong ke Korea Selatan, kira-kira 9.8% lebih tinggi berbanding tahun lalu. Statistik bagi enam bulan berikutnya masih lagi belum diperolehi. Namun, KTO mensasarkan lebih sejuta orang pelancong Muslim melawat Korea Selatan pada tahun ini secara keseluruhan.

RUJUKAN

Seoul Central Mosque.
https://www.theseoulguide.com/sights/churches-and-mosques/seoul-central-mosque/

Be Marie Korea. (5 Jun 2018). Seoul Central Mosque: Korea’s First Mosque.
https://bemariekorea.com/visit-seouls-first-mosque/

Wow Korea-Supporters. (8 Ogos 2019). Little Mecca in Seoul [Seoul Central Mosque].
https://wowkorea-supporters.blogspot.com/2019/08/little-mecca-in-seoul-seoul-central_8.html

Radu Diaconu & Athena Tacet. (15 November 2017). The Muslims of South Korea. Al Jazeera.
https://www.aljazeera.com/indepth/inpictures/2017/11/muslims-south-korea-171114104611451.html

Aceh Kini. (21 April 2019). Berkunjung ke Seoul Central Mosque, Masjid Tertua di Korea Selatan.
https://kumparan.com/acehkini/berkunjung-ke-seoul-central-mosque-masjid-tertua-di-korea-selatan-1qvljGxTCJW

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.