Hari ini atau lebih tepat 30 April 2019 ialah tarikh turunnya takhta Maharaja Akihito sebagai Maharaja Jepun. Dan pada keesokan harinya, ia merupakan hari pertabalan Putera Naruhito sebagai Maharaja Jepun yang baru. Akihito memecah banyak tradisi sebelum dan selepas bergelar maharaja tetapi tindakannya itu bukan saja menjadikan keluarga diraja relevan sepanjang peredaran masa tetapi menyebabkan ramai rakyat negara Matahari Terbit itu menyayangi baginda.

Latar belakang awal

Semasa baginda dilahirkan pada 23 Disember 1933, situasi yang melanda Jepun ketika itu amat berbeza. Negara itu berada di ambang peperangan dan ayahanda baginda, Maharaja Hirohito dipuja sebagai dewa hidup. Pada tahun 1937, Nanking yang ketika itu menjadi ibu negara China diserang tentera Jepun dan menjadi saksi salah satu jenayah perang paling kejam dalam sejarah Perang Dunia Kedua (WWII). Dalam tempoh berminggu-minggu selepas itu, Nanking menjadi saksi kepada kes pembunuhan beramai-ramai, penjarahan dan rogol yang membawa kepada 300,000 kematian, satu angka yang terus dinafikan Jepun sehingga hari ini.

Semasa kecil, Maharaja Akihito dibesarkan dan dididik oleh tutor-tutor peribadi sebelum memulakan persekolahan di Gakushuin (institut pendidikan elit Jepun) dari 1940 hingga 1952. Dan tidak seperti anggota kerabat diraja lain, baginda tidak diberi sebarang pangkat ketenteraan atas arahan ayahandanya Hirohito. Hirohito berkemungkinan mengagak jika situasi perang tidak menyebelahi Jepun dan anggota kerabat diraja diheret ke tribunal jenayah perang, ia tidak akan berlaku kepada Akihito kerana baginda tidak memegang sebarang pangkat dalam pasukan tentera. Dan ini sekaligus menjamin kemandirian dinasti diraja Jepun pasca-WWII.

Ketika Amerika mengebom ibu negara Tokyo pada Mac 1945, Akihito dan adindanya Masahito berjaya dibawa keluar dari Tokyo dan dipindahkan ke tempat selamat. Apabila Jepun menyerah kalah pada pertengahan tahun 1945 dan diduduki oleh Amerika Syarikat hingga tahun 1951, Maharaja Jepun bukan lagi berstatus dewa hidup tetapi hanya manusia biasa. Perlembagaan baru yang digubal pada tahun 1947 menjadikan maharaja sebagai simbol negara dan penyatuan rakyat. Tatkala semua ini berlaku, baginda mendapat didikan Bahasa Inggeris dan adab Barat oleh penulis Elizabeth Gray Vining. Satu daripada didikan Vining yang memberi kesan besar kepada baginda ialah sikap menolak peperangan dan mencintai kedamaian.

Heisei

Pendirian itu kemudiannya menjadi teras utama era baginda yang dikenali sebagai Heisei yang bermaksud mencapai keamanan. Akihito meneruskan usaha baik Maharaja Hirohito yang memartabatkan keamanan dan buktinya pada tahun 1990, baginda menjadi hos jamuan negara bersama Presiden Korea Selatan ketika itu Roh-Tae woo. Dalam jamuan berkenaan, baginda bertitah, “Beta memikirkan penderitaan yang dialami rakyat kamu semasa tempoh malang itu, akibat petaka yang dibawa oleh negara beta dan beta merasa amat kesal berkenaan itu.” Dua tahun selepas itu, Akihito merupakan maharaja Jepun pertama yang mengadakan lawatan rasmi ke China. Semasa di sana, baginda mendedahkan rasa kesalnya yang teramat berkenaan tempoh itu di mana negaranya mengakibatkan penderitaan yang bukan sedikit terhadap rakyat China. Tempoh yang dimaksudkan Akihito ialah Perang China-Jepun Kedua yang juga teater perang paling panjang semasa WWII.

Akihito juga turut mengadakan lawatan beberapa kali ke Okinawa sebelum dan selepas bergelar maharaja. Okinawa dianggap tempat tumpuan anti-keluarga diraja dan anti-Amerika Syarikat kerana di sinilah pertempuran paling dahsyat membabitkan kedua-dua pihak semasa WWII. Dalam Pertempuran Okinawa, Jepun kehilangan 110,000 tentera dan 100,000 orang awam sementara pihak Bersekutu yang dipimpin Amerika Syarikat kehilangan 20,000 anggota tentera. Satu lawatan baginda semasa masih bergelar putera mahkota menyaksikan baginda dan Maharani Michiko diserang dengan bom api semasa meletakkan kalungan bunga di memorial yang didedikasikan kepada pelajar-pelajar dan jururawat-jururawat yang membunuh diri pada hari-hari terakhir Pertempuran Okinawa. Bagaimanapun, pasangan diraja itu terselamat daripada serangan dan dua pelaku serangan ditahan pihak berkuasa.

Di sebalik semua ini, itu tidak menghalang baginda meneruskan kempen pemulihan semula hubungan Jepun dengan negara-negara yang terkesan dengan penjajahan Jepun dari Saipan hingga Indonesia. Dan menurut Profesor Jeff Kingston, Akihito sebenarnya mencipta semula peranan maharaja sebagai pemulih hubungan dan luka lama perang yang wujud dari era WWII. Walaupun kaedah ini amat digalakkan oleh ahli-ahli politik pada tahun 1990-an, pendirian baginda bertentangan dengan pendirian kerajaan yang dipimpin Shinzo Abe hari ini. Kerajaan Abe dilihat tidak mahu memohon maaf atas apa yang berlaku semasa WWII dan sentiasa mencari peluang untuk mengembalikan kedudukan Jepun kepada keadaan sebelum penggubalan perlembagaan 1947.

Pendirian ini sentiasa ditentang keras oleh Akihito secara halus tetapi dalam impaknya kepada warga Jepun. Misalnya pada tahun 2015 atau lebih tepat ulangtahun ke-70 Jepun menyerah kalah, Abe mengatakan kejayaan Jepun hari ini berpunca daripada pengorbanan tiga juta tentera Jepun yang mati semasa WWII. Keesokan harinya, ucapan Perdana Menteri Jepun itu dicemuh menerusi ucapan balas baginda yang menyifatkan kejayaan Jepun hari ini berpunca daripada sikap rajin dan pengorbanan rakyat Jepun pasca-WWII. Bagi jutaan rakyat yang menonton ucapan baginda terutama ahli Parti Liberal Demokratik (LDP), semua tahu Akihito amat murka dengan Abe dan itu merupakan manifestasi kecintaannya terhadap kedamaian. Pada satu masa yang lain, ada seorang ahli politik memberitahu baginda sekiranya dia berkuasa, dia akan memastikan semua guru berdiri dan memandang bendera semasa lagu kebangsaan Jepun Kimigayo dimainkan. Tetapi jika ahli politik itu menyangka tindakannya itu mendapat sokongan baginda, nyata dia tersilap langkah. Dengan lembut tetapi tegas Akihito menegur, “Beta lebih memilih kebebasan individu.”

Rakyat jelata sentiasa di hati

Tidak seperti sesetengah anggota monarki lain, Akihito tidak kekok bergaul dengan rakyat. Malah Maharani Michiko sendiri sebenarnya seorang rakyat biasa dengan perkahwinan mereka pada tahun 1959 memecah tradisi 2,600 tahun. Tetapi kisah cinta dua darjat ini pada awalnya ditentang kerana tidak sama taraf dan latar belakang pendidikan Katolik Michiko. Pada September 1958, baginda dihantar ke Belgium untuk menghadiri satu persidangan. Tidak mahu mencetuskan insiden diplomatik, Akihito meminta bantuan Raja Baudouin dari Belgium sebagai wakil menyampaikan rasa cintanya terhadap Michiko. Malah, Baudouin juga bertanggungjawab memujuk Hirohito menerima hubungan merpati dua sejoli ini kerana jika Akihito gembira bersama kekasihnya itu, itu juga akan menguntungkan Jepun kerana mempunyai seorang maharaja yang lebih baik.

Bukan sekali dua sikapnya yang lembut dan mesra rakyat memikat hati rakyat jelata. Pada tahun 2011 apabila Jepun dilanda bencana tsunami dan gempa bumi yang menyaksikan 20,000 orang mati atau hilang, Akihito berucap kepada rakyat melalui siaran televisyen. Siaran sebegini dianggap yang pertama seumpamanya yang pernah dilakukan maharaja Jepun. Dalam ucapannya, baginda bertitah, “Beta amat berharap mangsa-mangsa musibah ini tidak pernah putus harapan, menjaga diri antara satu sama lain dan tabah menghadapi hari-hari seterusnya.”

Pasangan diraja ini juga turut mengadakan lawatan ke kem-kem petempatan sementara. Satu kem yang menjadi pilihan ialah sebuah petempatan sementara di sebuah stadium luar Tokyo. Kebanyakan penghuni petempatan ialah penduduk yang melarikan diri daripada bencana loji nuklear Fukushima di mana mereka tiba sehelai sepinggang dan tidak pasti bila mereka akan kembali semula ke rumah masing-masing. Semua menjadi saksi pasangan diraja ini duduk dan bertemu dengan setiap keluarga yang terkesan, berbual sedikit, bertanyakan soalan dan melihat tahap kebimbangan penduduk. Bagi Kingston, ia menunjukkan Akihito mempunyai kuasa dari segi moral dan baginda meraihnya melalui tindakan-tindakan yang mendekatkan dirinya kepada rakyat.

Turunnya takhta…

Bagi Michiko, baginda amat mengagumi kesungguhan Akihito yang menjalankan tugasnya sebagai maharaja dengan baik. Baginda bertitah, “Tugasnya memerlukan baginda sentiasa meletakkan peranannya sebagai keutamaan dan semua urusan peribadi diletakkan di tempat kedua.” Michiko sendiri bergelut dengan peranan ini sehinggakan pada tahun 1993, baginda merasa terlalu letih secara mental dan tidak bercakap selama dua bulan. Namun, masalah kesihatan mula mengganggu tugasnya dari kanser prostat (dirawat pada tahun 2003),  pneumonia (2011) dan pembedahan pintasan jantung (2012). Akihito bimbang jika keadaan ini berterusan, ini sudah pasti menyukarkan baginda menjalankan tugas sebagai maharaja yang bersifat seumur hidup.

Oleh sebab itu sejak 2010 lagi, baginda sudah menyatakan hajat untuk turun takhta dan menyerahkannya kepada Naruhito. Hasrat baginda ini dinyatakan kepada Agensi Keluarga Diraja yang dianggotai oleh ahli-ahli politik. Tetapi memandangkan tugas maharaja bersifat seumur hidup seperti digariskan dalam perlembagaan, mereka mengambil pendirian tidak mengendahkan hasrat baginda. Menurut Profesor Takeshi Hara, mereka tidak melayan tuntutan baginda itu selama enam tahun kerana bimbang jika mereka menuruti hajat Akihito, itu menjadikan baginda berkuasa membuat keputusan penting dan ia dianggap bertentangan dengan perlembagaan.

Bagi Akihito dan pihak agensi diraja, sikap ahli-ahli politik yang melengah-lengahkan keputusan penting ini nyata menimbulkan kemarahan mereka. Bagi memaksa kerajaan bertindak, seseorang daripada agensi (dengan izin dan perkenan baginda) membocorkan hajat Akihito mahu turun takhta kepada stesen televisyen NHK. Berita tersebut disiarkan dan menjadi berita terhangat minggu berkenaan. Tak berapa lama selepas itu, Akihito kembali ke kaca televisyen untuk menerangkan sebab baginda turun takhta dan menjadikan Naruhito sebagai maharaja baru. Kaji selidik umum turut menyaksikan majoriti responden menyokong hajat baginda.

Bagi Abe dan kelompok konservatif Jepun, mereka tiada pilihan melainkan akur dan menerima hasrat baginda. Pada tahun 2017, satu akta bersifat sekali sahaja berkenaan penurunan takhta Akihito diluluskan oleh Diet dan proses peralihan kuasa turut bermula. Tarikh penurunan takhta bermula pada 30 April 2019 dan bila itu berlaku, baginda dan Michiko akan memakai gelaran Joko atau Daijo Tenno. Bila ditanya sebab tarikh itu dipilih, Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga mendedahkan ia memberi peluang kepada Akihito meraikan sambutan jubli ke-30 tahunnya dan seiring dengan minggu cuti tahunan yang dikenali sebagai Minggu Emas (Golden Week).

Bermula esok, maka bermulalah pemerintahan rasmi Naruhito sebagai maharaja yang dikenali sebagai era Reiwa. Bagi yang mengenali baginda, Naruhito dikenali sebagai seorang yang sederhana, bijak dan menawan serta mempunyai kecintaan terhadap alam sekitar. Mendapat pendidikan di Universiti Oxford, baginda turut mengikut jejak langkah ayahandanya dengan mengahwini bekas diplomat Masako Owada yang berdarah rakyat biasa. Malah, baginda juga tidak teragak-agak meneruskan legasi ayahandanya tentang keamanan. Ini ditegaskan Naruhito semasa sambutan hari lahirnya ke-55 pada tahun 2015, “Beta tidak pernah mengalami peperangan. Tetapi beta fikir sangat penting hari ini, apabila memori perang semakin pudar, untuk melihat semula masa silam dengan penuh rendah diri dan mengajarkan sejarah dan pengalaman tragis Jepun dari generasi yang pernah mengalami peperangan kepada generasi berikutnya.”

Dan ini sesuatu yang harus dipelajari para pemimpin negara hari ini. Sikap Akihito yang mesra dan suka berdamping dengan rakyat seharusnya dicontohi kerana itu menyebabkan rakyat bukan saja menyanjung tetapi juga sedar bahawa pemimpin mereka juga tidak lokek meminjamkan masa untuk mendengar permasalahan mereka. Selain itu, sikap baginda yang mudah beradaptasi dengan perubahan masa dan bersedia membuat keputusan berat sebegini juga patut disanjung kerana ini menunjukkan kehebatan seorang manusia yang tahu hadnya dan bila masa terbaik untuk berundur dari pentas khalayak. Baginda turun takhta bukan kerana faktor luaran tetapi atas dasar cinta kepada tanah air dan rakyatnya serta memastikan penggantinya dapat meneruskan dan membina legasinya sendiri. Dan ini satu contoh terbaik seorang raja atau pemimpin yang harus diteladani terutama bagi generasi kepimpinan lama.

SUMBER

1. Jozuka, Emiko, Hollingsworth, Julia, Wakatsuki, Yuki dan Ripley, Will. (2019). From deity to people’s Emperor: The man who pushed imperial boundaries. CNN. https://edition.cnn.com/2019/04/29/asia/japan-imperial-abdication-akihito-reiwa-intl/index.html

2. New York Times. (1975). Prince and Princess of Japan Attacked by Okinawa Radicals. https://www.nytimes.com/1975/07/18/archives/prince-and-princess-of-japan-attacked-by-okinawa-radicals.html

3. Wingfield-Hayes, Rupert. (2019). Japan emperor: Akihito’s human touch. BBC. https://www.bbc.com/news/world-asia-48093668


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.