Semasa era Darurat (1948-1960), pengganas komunis sentiasa menjadi duri dalam daging kepada pasukan keselamatan British dan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi semua itu berubah dengan kemunculan Senoi Praaq. Bagi ahli Bintang Tiga, bertembung dengan Senoi Praaq ibarat menempah kematian untuk diri sendiri.

Unit khas yang terdiri daripada Orang Asli ini mungkin tidak akan terbentuk sekiranya permohonan untuk membentuk unit kedua Perkhidmatan Khas Udara (SAS) British oleh Jeneral Gerald Templer mendapat lampu hijau oleh kerajaan di London pada 1954. Selepas permohonannya ditolak, satu unit eksperimen kecil dibentuk pada 1956 dengan tujuan melatih Orang Asli sebagai jentera perisikan dan ketenteraan sehebat unit SAS.

Senoi Praaq atau Orang Perang dalam Bahasa Semai merupakan cetusan idea seorang pegawai perisikan bernama R.O.D Noone. Noone bukan calang-calang orang kerana merupakan pegawai perisikan tentera British berpangkat Kolonel dan sebahagian daripada struktur ketenteraan British di Tanah Melayu semasa Darurat.

Beli buku terbaru kami, KISAH KLASIK TAMADUN MELAYU di Shopee kami. Pautan: http://bit.ly/KisahKlasikShopee

Semasa membentangkan ideanya kepada Templer, Noone melihat Senoi Praaq sebagai senjata efektif menentang Bintang Tiga. Ini kerana unit ini boleh sampai ke kawasan petempatan Orang Asli yang terpencil dan mempengaruhi Orang Asli untuk menolak fahaman komunisme. Idea ini akhirnya mendapat kelulusan Templer pada 1956 sebagai salah satu cabang Jabatan Orang Asli (kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)).

Pada awalnya, kekuatan Senoi Praaq ialah sekitar 20 orang sebelum ditambah kepada 40 orang. Kesemua 40 rekrut ini dilatih oleh tentera British termasuk SAS menerusi mendiang Mejar (kini Viscount) John Slim. Mereka dilatih selama tiga bulan dengan fokus latihan tertumpu kepada pembentukan unit kecil dan senjata tersembunyi – komponen kepada taktik serangan hendap dengan kelajuan dan kejutan ditekankan.

Viscount John Slim pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar Senoi Praaq semasa berkhidmat bersama SAS.

Kesemua 40 orang ini merupakan ahli terawal Skuadron A dan diketuai oleh Charles H. Ley sebagai komander pertama mereka. Kekuatan Senoi Praaq kemudiannya bertambah kepada 80 orang menerusi pembentukan satu lagi skuadron pada 1957. Noone bertindak sebagai pegawai pemerintah mereka yang pertama dan berkhidmat dari 1957 hingga 1961.

Disebabkan nama Senoi Praaq, ramai menyangka majoriti ahli unit ini terdiri daripada orang Senoi. Hakikatnya, terdapat anggota Senoi Praaq yang mewakili 18 sub-etnik Orang Asli di seluruh negara.

Senoi Praaq beroperasi di hutan belantara tebal dari sempadan Thailand-Tanah Melayu hinggalah ke Johor. Bagi sesetengah unit pasukan keselamatan, beroperasi di hutan merupakan satu cabaran. Tetapi bagi Senoi Praaq, perkara sebegini sudah biasa kepada mereka kerana cara hidup mereka yang bersifat harmoni dengan alam.

Lantas, ini menjelaskan mengapa pengganas komunis takut dengan mereka. Menurut Pengarah Muzium Orang Asli di Gombak, Selangor, Asmawi Mohamed Yunos, terdapat banyak kisah yang didengarnya daripada pengunjung Orang Asli setiap kali mereka bertandang ke muzium berkenaan.

Salah satunya ialah seorang ahli Senoi Praaq berupaya membunuh 10 orang pengganas komunis. Ini turut disokong dengan banyak keterangan bertulis bahawa ramai pengganas komunis mati di tangan ahli unit ini. Perkara ini dicapai menerusi penggunaan helah memburu mereka seperti belantik atau senjata tradisional seperti sumpit.

Belantik selalunya digunakan sebagai cara untuk menjerat haiwan buruan seperti ayam hutan. Tetapi bagi Senoi Praaq, ia amat sesuai sebagai perangkap komunis. Komponen bahannya terdiri daripada rotan, akar dan tali. Sebaik saja siap dipasang, ia disembunyikan di bawah timbunan daun dan rumput. Mana-mana individu malang yang terpijak perangkap ini menjadi mangsa mudah unit berkenaan.

Selain itu, ahli Senoi Praaq juga dikenali kerana mempunyai kekuatan yang luar biasa di sebalik saiz badan yang biasa. Ini kerana gaya hidup mereka sebelum ini sudah biasa mengangkut barang berat dengan sesetengahnya mempunyai berat bersamaan dengan berat mereka sendiri.

Dan disebabkan mereka arif dengan selok-belok hutan, ini memudahkan mereka untuk mencari jalan pintas untuk berada di hadapan pengganas komunis. Bagi Asmawi, pengetahuan sebegini menjadikan Senoi Praaq sebagai musuh yang amat digeruni Bintang Tiga.

Tidak ramai tahu selepas negara mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia pada September 1963, Senoi Praaq membantu melatih unit Peninjau Montagnard. Unit ini dibentuk atas permintaan Presiden Vietnam Selatan, Ngo Dinh Diem yang ketika itu berdepan ancaman Vietnam Utara yang berfahaman komunisme.

Tugas mereka ialah mengajar Peninjau Montagnard seberapa banyak pengetahuan tentang operasi ketenteraan terutama di belantara dan membentuk rangkaian perisikan dalam kalangan orang Montagnard. Disebabkan reputasi mereka yang cekap di belantara, Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggelar Senoi Praaq sebagai Silent Killer (Pembunuh Senyap).

Bagaimanapun, misi ini dirahsiakan bukan saja bagi menjaga integriti misi tetapi menjaga kestabilan politik dan hubungan luar yang dijalin Malaysia ketika itu. Apabila situasi di Vietnam semakin berkecamuk dan kempen Ganyang Malaysia yang digerakkan Indonesia dimulakan, Senoi Praaq segera dibawa pulang ke tanah air.

Setiap pembelian buku The Patriots di bulan Ramadan akan didermakan kepada Persatuan Cinta Gaza. Beli di: http://bit.ly/TerhempasnyaShopee

Tetapi dalam perjalanan pulang, mereka masih perlu berdepan ancaman komunis. Ramai ahli Senoi Praaq gugur semasa pulang tetapi ia mengukuhkan legasi mereka sebagai unit yang digeruni pihak musuh. Kisah mereka diabadikan menerusi buku karangan Roy Jumper yang bertajuk Death Waits in the Dark: the Senoi Praaq, Malaysia’s Killer Elite pada 2001.

Apabila komunis melancarkan kempen pemberontakan mereka yang kedua dari 1968 hingga 1990, kerajaan memutuskan untuk menyerap Senoi Praaq sebagai sebahagian daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1968. Ini bagi membolehkan pengalaman dan kepakaran mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh PDRM dalam memerangi ancaman komunis.

Susulan penyerapan itu, Senoi Praaq dinamakan semula sebagai Batalion Ketiga, Pasukan Gerakan Am (PGA). Dua tahun selepas itu, satu lagi batalion dibentuk oleh PDRM dan dikenali sebagai Batalion Ke-18, PGA.

Hari ini, walaupun sebahagian daripada PGA, peranan utama Senoi Praaq ialah mengawal kawasan sempadan negara. Dan sekiranya perlu, khidmat mereka dipinjamkan sebagai penjejak untuk operasi mencari individu yang hilang seperti operasi pencarian Nora Anne Quoirin di Negeri Sembilan pada 2019 dan helikopter Nuri yang terhempas di Genting Sepah pada 2007.

Kerana kecekapan mereka mengawal sempadan negara, kini giliran penyeludup pula yang terkencing-kencing dengan Senoi Praaq. Menurut bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar, komitmen tinggi, ketegasan dan integriti mereka menyebabkan penyeludup-penyeludup ibarat cacing kepanasan.


Kalau anda berminat membaca mengenai perkara seumpama dengan artikel, kami nak cadangkan buku terbaru kami, PERTEMPURAN DI HUTAN tulisan Dato’ Mohd Rani, yang bercerita pengalaman beliau melawan Komunis dalam 11 pertempuran. Beli di: t.ly/Z9XHR

RUJUKAN

Abdul Rahman, S. A. (2013). HISTORY OF SPECIAL OPERATIONS FORCES IN MALAYSIA. NAVAL
POSTGRADUATE SCHOOL, MONTEREY, CALIFORNIA.

Bernama. (2020, 20 November). CIA gelar Senoi Praaq “Silent Killer” – PGA.

Bernama. (2021, 30 Januari). Senoi Praaq berintegriti tinggi, digeruni penyeludup.

Sumber gambar: Foto Arkib NSTP


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply