Senjata Anti Satelit

0
592
views

Senjata antisatelit merupakan salah satu bentuk senjata angkasa lepas. Senjata angkasa lepas dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu senjata dari bumi ke angkasa lepas, angkasa lepas ke bumi, udara ke angkasa lepas dan angkasa lepas ke angkasa lepas. Senjata dari bumi ke angkasa lepas membabitkan penggunaan peluru berpandu balistik. Senjata angkasa lepas ke bumi pula masih belum dibangunkan oleh mana-mana negara.

Namun idea untuk membangunkan keupayaan senjata tersebut sudah mula difikirkan. Ketika era perang dingin, Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat cuba membangunkan silo-silo peluru berpandu yang mengorbit Bumi sebagai senjata angkasa lepas ke bumi. Namun Perjanjian Angkasa Lepas telah melarang mana-mana negara dunia ini menempatkan senjata di angkasa lepas.

Seterusnya, senjata udara ke angkasa lepas melibatkan peluru berpandu yang dilancarkan daripada pesawat-pesawat pejuang yang terbang pada altitud tinggi bagi memintas atau memusnahkan sasaran yang berada di angkasa lepas terutama sekali satelit tentera negara musuh. Kemudian senjata angkasa lepas ke angkasa lepas melibatkan satelit yang bertindak sebagai sistem persenjataan utama bagi memusnahkan sasaran yang berada di angkasa lepas.

Senjata antisatelit yang wujud sejak era perang dingin sehingga kini ialah senjata angkasa lepas ke angkasa lepas seperti satelit yang antisatelit, senjata udara ke angkasa lepas seperti pesawat yang dilengkapi dengan senjata laser dan peluru berpandu dan senjata bumi ke angkasa lepas seperti peluru berpandu balistik.

Sejak Kesatuan Soviet menghantar satelit pertamanya ke angkasa lepas iaitu Sputnik 1 pada 4 Oktober 1957 telah wujud perlumbaan dalam penerokaan angkasa lepas khususnya penghantaran satelit dan angkasawan ke angkasa lepas. Sebulan kemudian Soviet berjaya menghantar satelit Sputnik 2 ke angkasa lepas. Amerika Syarikat segera menghantar satelit pertamanya iaitu Explorer 1 ke angkasa lepas pada Februari 1958 sekali gus merancakkan lagi perlumbaan angkasa lepas antara dua kuasa agung perang dingin.

Manakala pada 18 Disember 1958, Amerika telah melancarkan satelit komunikasi pertamanya. Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet telah berjaya menghantar 6 satelit sepanjang tahun 1958, 14 satelit pada tahun 1959, 19 satelit pada tahun 1960 dan 35 satelit pada tahun 1961. Manakala pada tahun 1962, Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, Britain dan Kanada telah menghantar 70 satelit ke angkasa lepas menunjukkan bahawa satelit semakin penting kepada umat manusia terutama sekali bidang ketenteraan.

Jumlah satelit milik kerajaan dan swasta yang masih beroperasi pada tahun 2014 ialah 1100 buah satelit. Manakala 2600 buah satelit lagi sudah tidak berfungsi namun ia masih mengorbit Bumi. Pada tahun 2016 pula, jumlah satelit yang masih beroperasi ialah 1419 buah satelit. Daripada jumlah keseluruhan tersebut, Amerika Syarikat mempunyai 576 buah satelit, Rusia mempunyai 140 buah satelit dan China pula mempunyai 181 buah satelit. Sebanyak 522 buah satelit lagi merupakan milik pelbagai negara.

Pada tahun 2016 sahaja terdapat 146 buah satelit ketenteraan yang mengorbit Bumi. Satelit ketenteraan mempunyai pelbagai fungsi antaranya untuk tujuan perisikan dan navigasi. Satelit pengintipan yang merupakan salah satu jenis satelit ketenteraan berkeupayaan untuk mengambil gambar beresolusi tinggi, mencuri dengar perbualan atau komunikasi dan mengesan pelancaran peluru berpandu musuh terutama sekali peluru berpandu balistik.

Manakala Sistem Kedudukan Global atau GPS turut digunakan untuk tujuan ketenteraan seperti memberikan maklumat mengenai kedudukan atau lokasi sasaran dan pasukan tentera serta mampu menentukan arah bom dan peluru berpandu supaya dapat mengenai sasaran dengan tepat. Oleh itu senjata antisatelit memberikan ancaman bukan sahaja kepada satelit-satelit yang berada di orbit malahan ia mampu menjejaskan kehidupan seharian manusia di Bumi lebih-lebih lagi dalam aspek ketenteraan yang banyak bergantung kepada penggunaan satelit dalam sebarang operasi ketenteraan.

Pada 22 September 1959, Amerika Syarikat menggunakan peluru berpandu High Virgo yang dilancarkan daripada pesawat B-58 ketika menjalankan ujian senjata antisatelit tersebut. Satelit Explorer miliknya dijadikan sasaran dalam ujian tersebut, namun satelit tersebut tidak berjaya dimusnahkan. Seterusnya pada 13 Oktober 1959, peluru berpandu Bold Orion yang dilancarkan daripada pesawat B-47 telah berjaya memusnahkan satelit Explorer 6 pada ketinggian 251 kilometer. Dua ujian ini merupakan ujian senjata udara ke angkasa lepas terawal yang dilakukan oleh Amerika Syarikat. Ujian seterusnya dilakukan pada tahun 1961 dan 1962 dengan menggunakan pesawat F-4.

Kemudian Amerika Syarikat mula menempatkan peluru berpandu Mudflap DM-15S yang berkepala peledak nuklear di Kwajalein dari tahun 1962 sehingga 1966. Peluru berpandu tersebut dikatakan mampu memusnahkan satelit pada ketinggian 550 kilometer. Namun ia tidak diuji di angkasa lepas kerana radiasi nuklear mampu mencemarkan angkasa lepas. Seterusnya peluru berpandu balistik berkepala peledak nuklear Thor (DSV-2E) telah ditempatkan di pulau Johnston di Lautan Pasifik pada 1962 sehingga 1975 mampu memusnahkan satelit pada ketinggian 1300 kilometer.

Pada 13 September 1985 pula, pesawat F-15 telah menggunakan peluru berpandu udara ke permukaan AGM 69 sebagai pelancar yang membawa senjata antisatelit ASM 135 bagi memusnahkan satelit milik Amerika iaitu P78-1 pada ketinggian 285 kilometer. Sepanjang tahun 1984 sehingga 1986, sebanyak 5 kali ujian antisatelit telah dilakukan oleh Amerika Syarikat.

Manakala pada tahun 2008 pula sistem peluru berpandu Aegis telah digunakan bagi memusnahkan satelit pengintipan miliknya iaitu USA 193 pada ketinggian 247 kilometer. Sistem peluru berpandu Aegis yang telah melalui proses peningkatan keupayaan akan mampu memusnahkan satelit pada ketinggian 1450-2350 kilometer. Satelit yang berada di orbit berjarak dekat dengan Bumi (300-800 kilometer dari Bumi) akan mampu menjadi sasaran mudah sistem peluru berpandu Aegis. Ujian terhadap sistem ini mula dijalankan pada tahun 2015 dan bakal beroperasi menjelang tahun 2018.

Kesatuan Soviet atau kini Rusia turut membangunkan senjata anti satelitnya namun negara tersebut lebih menumpukan kepada satelit antisatelit. Satelit antisatelit turut dikenali sebagai satelit pembunuh bertindak untuk memusnahkan pelbagai jenis satelit seperti satelit tentera dan awam yang mengorbit Bumi. Satelit pembunuh akan dihantar ke orbit bagi memusnahkan satelit-satelit lain melalui pelbagai cara antaranya pelanggaran, meletupkan diri sendiri dan menggunakan senjata yang dipasang pada satelit pembunuh tersebut seperti senjata laser atau lengan robotik.

Satelit pembunuh pertama Soviet ialah Istrebitel Sputnikov/Sputnik yang bermaksud satelit pejuang. Satelit pembunuh ini akan meletupkan diri setelah menghampiri satelit yang menjadi sasarannya. Kesatuan Soviet telah menguji satelit pembunuhnya sepanjang era 60-an sehingga 80-an. Istrebitel Sputnikov mampu meletupkan satelit pada ketinggian 2000 kilometer.

Kemudian Kesatuan Soviet membangunkan sistem Naryad yang merupakan sistem roket berdasarkan kepada langgar untuk bunuh (hit-to-kill). Sistem Naryad mempunyai keupayaan memusnahkan satelit sehingga ketinggian 40 000 kilometer. Apabila ia telah diletakkan pada orbit, sistem roket tersebut berupaya untuk bergerak secara bebas dan menuju tepat ke pelbagai satelit sasaran sebelum meletup. Soviet juga melengkapkan pesawat tempur MiG 31 D dengan senjata antisatelit iyang dikenali sebagai sistem Kontakt. Senjata antisatelit tersebut merupakan pemintas sepanjang 33 kaki dan mampu sampai pada ketinggian 1500 kilometer. Pemintas tersebut mampu memusnahkan 36 satelit dalam masa kurang daripada 24 jam.

Kejatuhan Kesatuan Soviet tidak pernah memadamkan program senjata antisatelitnya. Rusia sebagai negara yang muncul selepas keruntuhan Soviet masih meneruskan program senjata antisatelit tersebut. Pada 18 November 2015, Rusia telah menguji peluru berpandu antisatelit yang dikenali sebagai Nudol. Rusia juga membangunkan senjata laser sebagai salah satu daripada senjata antisatelitnya. Hakikatnya senjata laser Rusia telah dibangunkan sejak zaman Soviet lagi. Laser berkuasa tinggi telah dipasang pada pesawat Ilyushin Il-76MD-90E.

Pesawat yang dilengkapi dengan senjata laser tersebut telah menjalankan misi ujian pertamanya pada 19 Ogos 1981. Kemudian pada tahun 2009, program senjata laser tersebut dibangunkan semula. Senjata laser digunakan bagi menyilau atau membutakan satelit. Ia juga mampu membakar alat pengesan dan optik sensitif yang ada pada satelit dengan tembakan laser bertenaga tinggi. Jarak efektif senjata laser tersebut ialah 1500 kilometer dan ia mampu mensasarkan satelit pengintip yang mengorbit pada Orbit Bumi Rendah.

China juga tidak ketinggalan dalam membangunkan senjata antisatelitnya sendiri. SC-19 merupakan sistem antisatelit yang berasaskan teknologi peluru berpandu balistik Dong Feng-21 atau CSS-5. Kinetic Kill Vehicle (KKV) atau Kenderaan Pembunuh Kinetik yang seberat 600 kilogram dibawa ke angkasa lepas melalui penggunaan peluru berpandu balistik. Ia menggunakan pengimejan inframerah untuk mengenal pasti dan mengesan sasarannya. SC-19 mampu mencapai ketinggian sejauh 1000 ke 1500 kilometer sekali gus mampu memusnahkan satelit-satelit yang berada di orbit yang berdekatan dengan Bumi.

SC-19 pertama kali diuji oleh China pada 7 Julai 2005, namun ujian tersebut sekadar menguji kelajuan sistem penerbangan roket SC-19. Kemudian pada 6 Februari 2006, China menguji sekali lagi sistem SC-19 tersebut. Pada 11 Januari 2007 pula, sistem SC-19 telah berjaya melanggar dan memusnahkan salah sebuah satelit cuacanya iaitu FY-1C pada ketinggian 865 kilometer. Ujian SC-19 dilakukan sekali lagi oleh China pada 11 Januari 2010.

Kemudian beberapa sumber risikan daripada pihak Amerika Syarikat mengatakan bahawa China menguji sistem SC-19 pada 20 Januari 2013 dan Dong Neng 2 pada 13 Mei 2013. Dong Neng 2 dikatakan mampu mencapai ketinggian sehingga 10 000 ke 30 000 kilometer. Ini menunjukkan bahawa China mempunyai senjata antisatelit yang mampu memusnahkan satelit yang berada di orbit jarak sederhana iaitu antara 2000 hingga 36 000 kilometer dari Bumi. Pada bulan Julai 2016, China menguji senjata anti satelitnya iaitu Dong Neng 3. Dong Neng 2 dan 3 merupakan Kenderaan Tenaga Kinetik yang mampu memintas satelit pengintipan dan navigasi yang berada di orbit jarak sederhana dari Bumi.

Secara kesimpulan, pelbagai negara kini mampu untuk membangunkan senjata angkasa lepas terutama sekali senjata antisatelit. Senjata ini perlu bagi melumpuhkan pelbagai sistem pertahanan negara yang bergantung kepada satelit. Sistem pertahanan peluru berpandu balistik amat bergantung kepada satelit ketika mengoperasikan sistem tersebut. Senjata antisatelit juga dapat melemahkan keupayaan pengintipan atau risikan negara musuh apabila satelit pengintipannya dapat dimusnahkan.

Walau bagaimanapun pembangunan senjata antisatelit ini telah mengundang perlumbaan senjata angkasa lepas antara negara-negara kuasa agung dunia khususnya Amerika Syarikat, Rusia dan China. Angkasa lepas sepatutnya bebas daripada sebarang aktiviti ketenteraan yang mampu mengundang peperangan. Ujian senjata ini juga telah meninggalkan kesan yang buruk di angkasa lepas apabila berlakunya pertambahan sampah atau serpihan angkasa yang datang daripada serpihan-serpihan satelit yang telah dimusnahkan oleh senjata antisatelit.

Rujukan

Eshel, T. 2016. Expanding Strategic Defense in Space – China’s Missile Interceptors and Satellite Killers. http://defense-update.com/20160728_bmd_asat.html [20 Mac 2018].

Eshel, T. 2016. Russia Plans to Deploy Anti-Satellite Airborne Laser Weapons. http://defense-update.com/20160926_a60.html [20 Mac 2018].

Global Security.com. 2016. Anti-Satellite Weapons – Overview. http://www.globalsecurity.org/space/systems/asat-overview.htm [19 Mac 2018].

Jones, S. 2015. A new arms race in our skies threatens the satellites that control everything from security to communications. https://www.ft.com/content/637bf054-8e34-11e5-8be4-3506bf20cc2b [20 Mac 2018].

Zak, A. 2013. The Hidden History of the Soviet Satellite-Killer. http://www.popularmechanics.com/space/satellites/a9620/the-hidden-history-of-the-soviet-satellite-killer-16108970/ [20 Mac 2018].

Artikel dihantar oleh Zulfiqar Mohd Yusof kepada The Patriots.