Seni Sukma Kencana – Seni Pedang Melayu

0
1288
views
Reka Bentuk Pedang Sukma Kencana

Telah diizinkan berperang kepada orang-orang yang diperangi kerana sesunggunya mereka telah dianiyai (Al –Hajj : 39)

Baru-baru ini, takdir telah menemukan saya dengan pengasas dan guru utama perguruan Seni pedang Sukma Kencana. Banyak yang kami bualkan bermula ilmu perkerisan, alam melayu hingga membawa ke seni pedang. Menurut Tuan Nara Paduka Haji Muhammad yang merupakan guru utama perguruan, umum mengetahui peranan, sejarah keris dalam sejarah peradaban orang melayu. Namun bagaimana kah dengan pedang? Soalan ini adalah mukaddimah kepada seribu satu cerita.

Beliau menerangkan, pedang melayu merupakan salah satu komponen yang signifikan dalam budaya melayu tetapi ianya tidak begitu popular berbanding keris. Pedang dicipta untuk satu maksud sahaja iaitu pertempuran. Ia adalah senjata khusus yang kemudiannya menjadi simbol status dan pangkat di kalangan bangsawan Melayu. Penggunaanya juga terhad kepada golongan Istana sahaja.

Antara faktor kenapa pedang tidak sepopular pedang kerana dari segi kos pembuatan. Selain itu, tempoh masa yang diperlukan untuk berlatih ilmu pedang yang lama selain pantang larang yang tidak membenarkan rakyat biasa menggunakan pedang.

Seperti di Perak, pédang Cura Si Manjakini yang dikatakan berasal dari milik Sang Sapurba telah diwarisi Kesultanan Perak. Pedang tersebut melambangkan keagungan dan kekuasaan Raja Pemerintah telah menjadi alat kebesaran turun-temurun bagi Sultan yang menaiki takhta Kesultanan Perak.

Pedang bukan parang, bukan sundang. Seni permainannya juga berbeza. Permainan pedang merosot apabila permainan pedang seperti tetakan parang. Hilang seni dan tertibnya.

Jenis Pedang Melayu

Pedang traditional melayu termasuk pedang Jenawi, pedang Chenangkas, Chunderik, pedang Sundang (bukan keris sundang) dan parang Anak Buaya atau Buaya Berenang. Terdapat juga senjata-senjata asing seperti Syamsir (Parsi) dan Talwar (India) yang telah diserap ke dalam kumpulan pedang melayu.

Pedang melayu juga dicantikkan dengan kesenian ukiran bertakhtakan emas dan perak serta permata. Adakala matanya berpamor dan diukir dengan wafaq dan ayat -ayat Al Quran serta ukiran sulur bayung yang membawa makna falsafah mistik pedang dan peperangan.

Seni Sukma Kencana

Salah satu seni pedang melayu yang kian dilupakan sedang diperkenalkan kembali, Seni Sukma Kencananya gelarnya. Ia warisan daripada seorang ulama’, Syaikh Abdul Latif Al Khalidi kini sedang dikembalikan oleh waris Syaikh iaitu Tuan Nara Paduka Haji Muhammad melalui perguruan Seni Sukma Kencana. Shaikh Abdul Latif Al Khalidi berasal dari Sumatera Utara dan melalui sumber lisan, nenek moyang Shaikh berasal dari Jazirah Arab. Apabila sampai ke Tanah Melayu, Shaikh Abdul latif Al Khalidi yang juga pengamal tarekah Naqsyabandi Khalidi menginovasikan seni permainan pedang Arab dengan kesesuaian budaya orang di sini. Tuan Paduka Nara generasi kelima Shaikh Abdul Latif telah mewarisi seni pedang ini dari leluhurnya kemudian beliau ‘brand’ kan kembali dengan nama Sukma Kencana.

Menurut Tuan Nara Paduka Haji Muhammad, Seni Pedang Sukma Kencana ialah seni pedang Melayu yang berteraskan konsep mempertahankan diri dari serangan musuh. Sistem ini lebih menumpukan kecekapan teknik dan kepantasan tindakan berbanding kekuatan fizikal, membuatkan sesuai untuk dipelajari semua golongan. Ia juga merupakan satu kaedah pembelajaran kinestetik dan melibatkan latihan psikomotor yang meransang kordinasi minda dan anggota badan. Teknik pedang Sukma Kencana tidak menggunakan kaedah “berlaga pedang” seperti kebanyakan seni pedang lain. Oleh itu, pedang yang digunakan juga direka khas mengikut kesesuaian sistem beladiri ini.

Reka Bentuk Pedang Sukma Kencana

Berikut adalah reka bentuk dan struktur pedangnya. Ia terdiri dari dua diri utama iaitu hulu dan mata pedang. Pedang Jenawi dipilih kerana ia sesuai dengan seni permainan Sukma Kencana. Jika diperincikan lagi, disana ada tapak kijang, simpai, pasak, leher, gandik, dagu, muka, hujung, pucuk, awak dan belakang pedang. Lihat gambar (dengan izin Guru Utama):

Reka Bentuk Pedang Sukma Kencana

Seni Permainan

Permainannya terbahagi bermula dua buah gerak asas iaitu :

  1.    Penanti Hamzah I – Pedang dihunus

Dari gerak Hamzah I lahir peringkat Umar I iaitu seni tangkis dan serang. Kita mempelajari bagaimana menangkis dan menyerang ketika pedang terhunus. Mempunyai 11 buah dan buah ke 11 dipecah dua. Jumlah buah keseluruhan adalah 12 buah.

  1. Penanti Hamzah II – Pedang dalam sarung

Dari gerak Hamzah II lahir peringkat Umar II iaitu seni tangkis dan serang juga. Kita mempelajari bagaimana menangkis dan menyerang ketika pedang di dalam sarung atau dipanggil ‘makan gerak’. Pergerakan peringkat Umar II tidak terhad, berdasarkan kepada beberapa gerakan asas yang boleh dikembangkan atau diadaptasi mengikut senario dan keadaan semasa.

Dalam kedua-dua buah tersebut, kita turut menekuni bagaimana menyerang dari pelbagai arah, menangkis serangan dari ruang yang banyak dan menghadapi serangan musuh yang menggunakan sengata lain seperti keris, parang, lembing dan lain-lain.

Seni pedang ini adalah berpaksikan penanti. Ia bermaksud kita hanya menanti musuh sambil berdiri tegak, tidak menanti dengan membuka kekuda. Gerakan terhad seperti berpijak antara dua papan sahaja. Sementara antara disiplin bertempur dalam seni pedang Sukma Kencana adalah kita tidak mengelak, tidak lari, tidak berlaga mata pedang dan kita menghalang hayunan pedang lawan menggunakan bahagian belakang pedang bukan matanya.


Kaedah AHMAD

Sekiranya mahu menangkis, maka mestilah melihat tepat arah dan kedudukan musuh. Dalam perguruan seni pedang sukma kencana, ada suatu seni berdiam dan menangkis nama Alif Ha Min Da yakni Ahmad. Kaedah ini sebenarnya asas kepada permainan pedang Sukma Kencana. Gabungan Penanti Hamzah I dan kaedah Ahmad membentuk buah – buah dalam peringkat Umar I. Bagi memudahkan faham, saya gambarkan dalam gambar rajah berikut –

Pemetaan Ahmad

Pemetaan AHMAD ini bertujuan melihat cara memandang lawan hadapan dari sudut yang empat. Setiap abjad hijaiyah baik Alif, Ha, Mim dan Da mempunyai seni dan kaedah tangkis masing-masing jika diserang dari arah tersebut.

Tahap Uthman

Para pelajar yang telah menguasai asas teknik Hamzah, Umar dan Ahmad yang memakan masa lebih kurang 6-7 bulan boleh menyambung pengajian ke peringkat Uthman. Menurut Tuan Nara Paduka, para pelajar yang sudah khatam asas dan berminat menjadi ‘master’ mesti melalui tahap ini.  Para pelajar akan mempelajari sekaligus menguasai permainan pedang sambil menggunakan perisai. Ini adalah asal permainan sukma kencana. Permainan perisai tidak diajar dari awal kerana sistem pelajaran Seni Sukma Kencana bersesuaian dengan ‘learning curve‘ atau lengkungan pembelajaran dari yang mudah kepada yang lebih kompleks. Pelajar mesti membiasakan diri mengendalikan pedang sebelum dibenarkan menggunakan teknik dua senjata.


Akhir kalam

Semoga seni pedang melayu tidak akan semakin hilang. Saya bersyukur kepada Allah ditemukan insan yang bertungkus lumus menjaga seni, budaya alam melayu. Sungguh, takkan melayu hilang di dunia bak kata laksamana Hang Tuah. Saya tidak ceritakan semua dalam artikel ini, jika para sahabat berminat mempelajarinya, boleh menghubungi langsung Guru Utama Tuan Nara Paduka (0189791019) dengan adab sebaiknya.