Silat Seni Gayong Dalam Tempur Tanpa Senjata ATM Dan Polis

1,327

Sebagai sesebuah Pasukan Keselamatan Negara, kesiapsiagaan setiap anggota adalah penting dan perlu berada pada tahap tertinggi.

Dalam situasi ketika berhadapan dengan musuh, anggota keselamatan terdedah dengan ‘close combat’ yang memerlukan satu teknik pertempuran jarak dekat tanpa menggunakan senjata bagi menewaskan musuh.

Oleh itu, satu teknik pertempuran jarak dekat amat penting bagi mengawal situasi ketika berhadapan dengan musuh atau penjenayah. Jadi, satu sitem pertempuran ini telah lama diwujudkan bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan setiap anggota keselamatan.

Tempur Tanpa Senjata, juga disebut sebagai  TTS merupakan salah satu seni beladiri yang dipraktikkan dengan menggunakan tangan kosong sebagai penangkis serangan dari pihak musuh.

Secara teknikalnya, TTS menerapkan beberapa elemen mempertahankan diri seperti tangkisan, tumbukan, kuncian dan beberapa gerakan lagi.

TTS atau dalam bahasa Inggeris ‘Unarmed Combat atau Hand to Hand Combat’  adalah salah satu cabang pertempuran jarak dekat (close combat) yang diguna pakai oleh pasukan tentera dan pasukan khas diseluruh dunia.

Dengan kata lain, TTS berbeza dari Seni Mempertahankan Diri konvensional. Ini kerana TTS lebih menekankan kepada falsafah gerak pendek, mudah dan praktikal. Doktrin TTS sangat mudah. ‘Sentuh dan bunuh’ pada jarak dekat dengan tangan kosong.

Pembelajaran TTS diolah dengan menggabungkan pelbagai seni mempertahankan diri (‘combined martial arts’) yang dilatih secara intensif.

Dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kursus asas TTS dijalankan oleh Cawangan TTS, Kor Polis Tentera DiRaja (KPTD) manakala PDRM pula dijalankan oleh PULAPOL (Pusat Latihan Polis & Sekolah Latihan Peperangan Dihutan).

Secara umumnya kursus asas TTS akan diajar kepada semua anggota tentera dan polis. Namun, TTS lanjutan yang lebih khusus terutamanya gerak ‘membunuh’ hanya di ajar kepada pasukan-pasukan  khusus dan khas.

Tahukah anda bahawa Silat Seni Gayong telah diserapkan dalam TTS kepada ATM dan juga Polis Diraja Malaysia? Ia telah mendapat persetujuan oleh ATM sekitar tahun 1970an.

Sejarah awal TTS di Malaysia bermula pada tahun 1963. Pada awalnya Taekwondo terlebih dahulu diperkenalkan dalam TTS yang dipimpin oleh Kolonel Choi daripada kedutaan Republik Korea.

Kemudian Silat Seni Gayong pula diterapkan dalam TTS tetapi hanya bermula pada awal 1970an.

Pada tahun 1971, Silat Seni Gayong telah diperkenalkan kepada Angkatan Tentera Malaysia. Untuk pengetahuan pembaca, penulis tidak menemui sebarang MOU atau satu perjanjian persefahaman antara Pertubuhan Silat Seni Gayong dan juga ATM.

Namun ketika sesi pertemuan dengan Waris Amanah Silat Seni Gayong, Cikgu Sazali di kediamannya yang terletak di Air Kuning,Taiping,  beliau telah berkongsi satu surat yang telah dikeluarkan oleh ATM kepada Pertubuhan Silat Seni Gayong pada ketika itu.

Surat berkenaan merupakan pengiktirafan dari ATM mengenai modul TTS yang di serap dari Silat Seni Gayong.

Dalam petikan surat berkenaan yang dibuat oleh Lt. Jen Tan Sri Dato Ungku Nazaruddin selaku Ketua Turus Tentera Darat:

“Di antara kebanyakan seni-seni mempertahankan diri ini, Angkatan Tentera telah memilih untuk mengakui dengan rasminya Silat Seni Gayong ini. Ajaran silat tanpa menggunakan senjata ini adalah difikirkan sangat penting dalam Angkatan Tentera”

Ketika awal intensif berkenaan, seramai 87 orang anggota pelbagai pangkat dari seluruh negara telah berjaya menamatkan kursus intensif Silat Seni Gayong yang berlangsung selama enam bulan di Kem Tiga Meriam, Taiping.

Anggota tentera ini kemudiannya ditauliahkan sebagai jurulatih dan diarahkan mengembangkan Silat Seni Gayong ini ke serata kem tentera di seluruh negara.

Tidak lama kemudian, pada tahun 1973 Silat Seni Gayong telah diperkenalkan kepada Polis Diraja Malaysia. Seramai 48 orang anggota polis pangkat rendah telah berjaya menamatkan latihan intensif Silat Seni Gayong yang berlangsung selama enam bulan.

Anggota- angota Polis berkenaan ditauliahkan sebagai jurulatih dan diarahkan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ini ke semua pusat latihan polis di seluruh negara.

Antara salah seorang  tokoh Silat Seni Gayong yang terlibat dalam melatih para anggota ketika itu ialah Cikgu Hj Awang Daud.

Beliau diamanahkan oleh Pemerintah Angkatan Tentera pada ketika itu untuk melatih Angkatan Tentera Malaysia seni TTS, dan juga kepada anggota Polis Diraja Malaysia.

Sehingga kini ‘Gayong Perang’ yang digunapakai oleh pasukan Komando 69 adalah merupakan hasil didikan Cikgu Hj Awang Daud yang diperkenalkan ketika awal tahun 1970an.

RUJUKAN:

Vat 69 – Perjuangan Semalam. https://www.facebook.com/403142033068693/photos/a.403147886401441/427241410658755/?type=1&theater

Dato’ Meor Abdul Rahman: Kisah Perjalanan Silat Seni Gayong. https://maajoomedia.com/2018/12/17/dato-meor-abdul-rahman-kisah-perjalanan-silat-seni-gayong/

Wisma Sendo Perak.

Cikgu Sazali Dato’ Meor Abdul Rahman (Waris Amanah Silat Seni Gayong)

Bro Rizal (Ahli Silat Seni Gayong)

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.