Negara kita sememangnya kaya dengan seni mempertahankan diri. Seni ini wujud sejak sekian lama dan merupakan warisan nenek moyang kita sejak berzaman.

Leluhur seni silat telah mengalir sejak berzaman, namun menjadikannya sebuah seni yang kekal releven sepanjang zaman merupakan satu cabaran yang perlu ditempuh bagi semua pengamal seni berkenaan.

Masih banyak seni mempertahankan diri orang-orang Melayu yang tidak didedahkan pada umum. Malah ada sesetengah darinya tidak pernah diketahui akan kewujudannya.

Pada artikel yang lepas, penulis banyak mendedahkan sejarah kegemilangan Silat Seni Gayong yang merupakan sebuah Pertubuhan Silat yang sangat disegani di Negara kita malah di mata dunia.

Untuk artikel kali ini, penulis ingin menceritakan serba sedikit mengenai satu seni mempertahankan diri orang Melayu yang berasal dari Pulau Pinang.

Pernahkah anda mendengar satu seni tempur yang berasal dari Pulau Pinang iaitu Siku 12? Bagi anak jati Pulau Pinang pasti mengetahui tentang seni tempur ini. Namun secara umumnya tidak ramai yang mengetahui sejarah tentang seni tempur ini dan siapa pengasasnya.

Untuk itu, penulis berjaya menemui sumber yang boleh mengupas sedikit sejarah mengenai Seni Siku 12. Beliau merupakan sahabat penulis dan beliau juga merupakan pengamal Seni Siku 12.

Syeikh Ghulam Meah bin Syeikh Ahmad Meah

Seni ini diasaskan oleh Syeikh Ghulam Meah bin Syeikh Ahmad Meah. Amat sedikit maklumat yang  diketahui mengenai tokoh ini. Namun beliau dikatakan hidup diawal abad ke 20 iaitu sekitar 1905 hingga 1947.

Beliau merupakan seorang juruukur yang berkhidmat dengan Majlis Perbandaran (Council Municipal) ketika zaman penjajahan British.

Syeikh Ghulam Meah seorang berdarah campuran Melayu,Arab,dan Pashtun. Di Pulau Pinang beliau bolehlah dikategorikan sebagai keturunan peranakan atau Jawi peranakan.

Beliau seorang yang amat meminati seni beladiri dan banyak mempelajari pelbagai jenis disiplin beladiri.

Dikatakan beliau pernah mempelajari 17 jenis senibeladiri termasuklah beberapa jenis Silat Melayu. Dikalangan masyarakat setempat ketika itu memanggilnya dengan panggilan “Mamu Dada” yang membawa maksud “DATUK” atau “TOKWAN” dalam bahasa Urdu.

Mamu Dada dikatakan sering terlibat dalam beberapa pertarungan dengan beberapa orang yang mahir dalam senibeladiri. Dan dari situ beliau sering membuat kajian dan ujikaji mengenai teknik, serangbela dan pukulan yang lebih efektif dan sesuai untuk beliau gunakan sebagai ‘pakaian’ diri.

Maka dari sini terciptalah satu sistem atau kaedah beladiri yang berasaskan dari senaman yang pada ketika itu beliau menamakannya dengan nama Senaman Siku.

Seni Siku 12

Seni ini tidaklah dikenali dengan nama ‘Siku 12’ ketika awal kemunculannya oleh Mamu Dada melainkan dengan nama Senaman Siku, Silat Pelaga, Silat Halalintar/Petir, Siku Combat(Sistem ini yang banyak diajarkan kepada orang luar Pulau Pinang hingga menjadi kekeliruan dan ada yang memanggilnya Pukul Pelaga).

Nama Seni Siku 12 atau Silat Siku 12 muncul selepas kematiannya. Manakala nama Silat Tok Kudung diberikan oleh orang awam yang menjadi saksi perkelahian beliau dengan beberapa orang samseng yang mana kelihatan beliau menggunakan kepantasan pusingan dan pergerakan teknik siku hingga dilihat seolah-olah seorang yang kudung.

Seni Siku 12 menggunakan besi padu yang panjangnya sekitar 2-2 1/2 meter panjang dengan berat sekitar 20-25kg sebagai alat bantu latihan utama.Terdapat juga besi pendek sekitar 15 inci dan juga 4 inci.

Antara senjata yang digunakan dalam seni ini pula ialah kayu panjang, pisau kembar bermata lebar dan juga tekpi dan ia bergantung pada jurusan pewaris Senaman Siku itu sendiri.

Pada asasnya, Seni Siku 12 merangkumi seluruh tubuh sebagai senjata serangan. Sama seperti seni beladiri yang lain. Hanya senaman dan senjata anggota tubuhnya lebih kepada penekanan penggunaan siku sebagai senjata utama.

Seni ini mengutamakan tempur jarak dekat. Apabila bertembung atau berlaga secara berhadapan bagi mengalahkan musuh, ia memfokuskan kepada tiga sasaran. Sama ada mencederakan lawan, mematahkan tulang anggota lawan atau memukul dengan pukulan maut.

Falsafahnya mudah. Siapa yang cepat dia ynag dapat.

(Mamu Dada kanan ketika di gelanggang latihan. Kredit foto: www.maajoomedia.com)

Untuk memahirkan diri dengan seni ini, seseorang itu memerlukan latihan sekurang-kurangnya dua tahun hanya untuk kefahaman dan kemahiran dalam peringkat ‘Senaman 12’ sahaja.

Bagaimanapun, hanya dengan menamatkan Senaman 12 saja sudah cukup memadai untuk digunakan sebagai ilmu seni mempertahankan diri.

Dari sinilah pecahan tiap anggota tubuh diajar sebagai senjata dan juga kaedah pecahan tapak. Mengikut cerita dari orang-orang lama termasuk dari guru-guru Siku 12 tidak ramai yang meneruskan kesinambungan Senaman Siku 12 ke peringkat seterusnya. Kebanyakannya akan berhenti setakat Senaman 12 sahaja.

Murid-murid Mamu Dada.

Mamu Dada diketahui mempunyai ramai anak murid baik sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, diceritakan terdapat 6 orang murid yang mana 5 darinya yang paling terkenal. Antaranya:

1.Pak Mat Hamden atau lebih terkenal dengan nama Pak Mat Hamdan

2.Pak Sahak atau dikenali dengan nama Pak Sahak Kastam.

3.Pak Bidin.

4.Pak Ibrahim atau dikenali dengan panggilan Ibrahim Body

5.Haji Yahya atau dikenali dengan panggilan Pak Ya Botak

6 Lukman Hakim

Apa yang menaruknya, kesemua mereka diberi pelajaran yang berbeza antara satu sama lain tetapi masih berasaskan kepada pelajaran asalnya iaitu Senaman Siku. Selepas kematian Mamu Dada,lima muridnya telah membentuk jurusan masing-masing berdasarkan pelajaran yang diterima dari Mamu Dada.

Allahyarham Mamu Dada meninggal dunia ketika berusia 42 tahun pada tanggal 6 Jun 1947 Ketika hayatnya Allahyarham telah mencipta sejenis senaman yang akhirnya mampu diaplikasikan sebagai sejenis seni mempertahankan diri yang diiktiraf oleh masyarakat ketika itu sebagai Silat Kelahiran Pulau Pinang.

Silat ini juga pernah didaftarkan atas nama ‘Seni Silat Petir Negeri Pulau Pinang’ pada tahun 1976 di Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

Siku 12 sejak awal kemunculannya dan selepas kematian Allahyarham Mamu Dada hanya berpusat di bahagian pulau sahaja iaitu di kawasan Bayan Lepas hingga ke Teluk Bahang. Kini penyebaran Siku 12 ke tanah besar Seberang Perai hingga sejauh Pulau Langkawi, Negeri Sembilan dan Johor .

‘Siku 12’ menjadi kebanggaan generasi lama Pulau Pinang. Bak kata orang lama “Cek, jangan berani mengaku anak Pulau Pinang kalau tak belajaq Siku 12”. Ini membuktikan bahawa Siku 12 pernah menjadi kebanggaan masyarakat Pulau Pinang satu ketika dulu hingga kini tanpa menidakkan kehebatan seni beladiri yang lain.

RUJUKAN:

(Selain rujukan di internet, artikel ini telah mendapat nasihat dari Encik Mohamad Rosidi selaku sumber rujukan penulis)

Shaik Dada Pendekar Pulau Pinang. http://dadameahpendekarpp.blogspot.com/

Seni Petir Siku 12 Langkawi. http://senipetirlangkawi.blogspot.com/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.