Seni Dakwah Sunan Drajat : Memuliakan Fakir Miskin

0
854
views

Pada tahun lepas, sekitar  Jun 2017, saya berpeluang membawa isteri menziarahi  makam Sunan Drajat yang terletak di Desa Drajat, Kecamatan Paciran, Kabupaten Lamongan, Jawa Timur. Makam Sunan Drajat berada di dataran tinggi dan 1km dari arah selatan pantai. Oleh kerana kompleks pemakaman ini berada berhampiran pantai, para penziarah berpeluang menikmati suasana pantai yang indah.

Saya yang sudah datang beberapa kali secara solo, mengambil peluang dalam permusafiran bersama isteri kali ini berkongsi sejarah Nusantara terutama sejarah dakwah Wali Songo sambil terus menziarahi makam mereka.  Saya percaya, kita wajar berkongsi secara telus minat dan kecenderungan kita kepada isteri,  pasti mereka menyokong usaha kita kendatipun tidak bersama di lapangan.

Untuk menuju kawasan pemakaman yang luasnya sekitar 4 hektar itu, para penziarah boleh memilih dua arah iaitu dari arah Surabaya dan Tuban dengan melalui jalan Dandeles (Anyer-Panarukan), sementara dari Kota Lamongan ke tempat pemakaman, mengambil masa sekitar 30minit menaiki kereta.

Makam Sunan Drajat terletak sedikit tinggi ke atas bukit. Untuk memasuki kompleks pemakaman, para penziarah mesti menaiki Tujuh Tangga (tundha pitu) yang melambangkan tujuh tingkatan alam dan nafsu manusia.

Sunan Drajat

Raden Qasim atau mashur ia dengan Sunan Drajat adalah putera Sunan Ampel dari perkawinan dengan Nyi Ageng Manila dan adik kandung kepada Sunan Bonang. Raden Qasim menghabiskan masa kanak-kanak dan remajanya di kampung halamannya di Ampeldenta, Surabaya. Beliau mempunyai nama yang banyak misalnya Sunan Mahmud, Sunang Mayang Madu, Sunan Muryapada, Raden Imam, Maulana Hasyim, Syekh Masakeh, Pengeran Syarifudin, Pangeran Kadrajat dan Masikh Munat.

Sunan Drajat mendapat pendidikan agama dan tarbiyah dari bapa beliau sendiri iaitu Sunan Ampel dan pernah dihantar oleh Sunan Ampel melanjutkan pengajian dibawah didikan Syarif Hidayatullah atau Sunan Gunung Jati di Cirebon. Sunan Drajat juga mendapat pendedahan adat budaya Jawa kerana lingkungan keluarga ibunya berbangsa Jawa hingga beliau menguasai asas, bahasa, seni, budaya dan sastera Jawa. Sepertimana abangnya Sunan Bonang yang memiliki kemahiran mencipta tembang (lagu atau syair), Sunan Drajat yang punyai bakat yang sama dipercayai pernah menghasilkan tembang Jawa bertajuk Macapat Laggam Pangkur.

Raden Qosim atau Sunan Drajat

Setelah dewasa, beliau diperintahkan ayahnya, Sunan Ampel, untuk berdakwah di pesisir barat Gresik. Raden Qasim mendarat di sebuah tempat yang kemudian dikenal sebagai Kampung Jelak, Banjarwati selepas terselamat dari badai ombak yang ganas. Menurut tarikh, peristiwa ini terjadi pada sekitar 1485 Masehi. Di sana, Raden Qasim disambut baik oleh ketua kampung bernama Mbah Mayang Madu dan Mbah Banjar. Kedua-dua tokoh itu dipercayai sudah diislamkan oleh pendakwah asal Surabaya, yang juga terdampar di sana beberapa tahun sebelumnya.

Raden Qasim kemudian menetap di Jelak, dan mengahwini Kemuning, puteri Mbah Mayang Madu yang jatuh hati dengan akhlak Raden Qosim. Di Jelak, Raden Qasim mendirikan sebuah surau, dan akhirnya menjadi pesantren tempat pengajian ratusan penduduk. Jelak, yang sebelumnya cuma dusun kecil dan terpencil kemudian berkembang menjadi kampung yang besar. Namanya berubah menjadi Banjaranyar. Selepas tiga tahun, Raden Qasim berpindah ke selatan, sekitar satu kilometer dari Jelak ke tempat yang lebih tinggi dan bebas dari banjir pada musim hujan dan tempat itu dinamai Desa Drajat.

Sunan Drajat menduduki sisi pergunungan selatan, yang kini menjadi kompleks pemakaman, dan dinamai Ndalem Duwur. Sunan Drajat mendirikan masjid agak jauh iaitu di barat tempat tinggalnya. Masjid itulah yang menjadi tempat berdakwah menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk.

Sunan Drajat terkenal akan kearifan dan kedermawanannya. Beliau menurunkan kepada para pengikutnya kaedah dakwah yang tidak saling menyakiti, baik melalui perkataan mahupun perbuatan. ”Bapang den simpangi, ana catur mungkur,” demikian nasihatnya, maksudnya jangan mendengarkan perbicaraan yang menjelek-jelekkan orang lain, apalagi melakukan perbuatan itu.

Disamping terkenal sebagai Wali yang berjiwa dermawan dan sosial, beliau juga dikenali sebagai anggota Wali Songo yang turut serta mendokong kesultanan Demak dan bersama mendirikan Masjid Demak. Ia merupakan simbol kebesaran atau syiar umat Islam ketika itu.

Pendekatan Dakwah Sunan Drajat

Sunan Drajat juga memperkenalkan Islam melalui konsep dakwah bil-hikmah, dengan cara yang bijak tanpa memaksa. Dalam menyampaikan ajarannya, Sunan menempuh LAPAN CARA sebagaimana yang disebut oleh Sidi Syaikh Rohimuddin Nawawi Al Bantani (saya mengolah sedikit pada penerangan:

  1. Mendirikan surau

Sunan drajat mendirikan surau atas maksud menghimpun sekaligus menyatukan masyarakat yang sudah mulai jatuh hati kepada dakwah beliau. Di surau, m,ereka berkumpul dan mempelajari al Quran dan asas agama Islam.

  1. Mendirikan pesantren

Sunan Drajat membangunkan pesantren sebagai pemicu penyebaran islam di desa drajat, jawa timur. Pesantren menjadi lubuk pengajian para pemuda yang ingin melanjutkan pendidikan agama secara serius hingga keluar menjadi para ulama dan kader dakwah yang berilmu tinggi.

  1. Riyadah dan uzlah

Terdapat suatu saat, dakwah tidak hanya dengan lisan akan tetapi cara mengasingkan diri, bermunajat, sulukiah rohaniah memohon bantuan dari Allah secara khusus akan sesuatu hajat. Ini merupakan amalan rutin para kekasih Allah yang sepenuh hati mereka bergantung hanya kepada Allah.

  1. Bersifat dermawan

Sunan Drajat sangat masyhur penyebar Islam yang sangat ’caring’ nasib kaum fakir miskin serta pejuang sosial. Sunan Drajat melakukan pelbagai usaha untuk memakmurkan dan meninggi taraf kehidupan masyarakat agat keluar dari belenggu kemiskinan hidup. Kerna perjuangan memajukan kehidupan warganya, Raden Patah (Sultan Demak) telah mengurniakan gelaran Sunan Mayang Madu kepada Sunan Drajat pada tahun 1520M.

  1. Mengajar keterampilan

Menurut Primbon milik Prof. KH R.Mohamad Adnan, dalam melakukan dakwah, Sunan drajat bukan hanya menyeru kepada dakwah, beliau juga mengajar cara-cara membuat rumah, membuat alat-alat yang digunakan untuk memikul orang seperti tanda dan joli.

  1. Menggunakan bahasa yang mudah difahami

Dalam menyebar Islam, Sunan Drajat meggunakan bahasa yang mudah agar masyarakat tidak sulit memahami. Beliau menyusun segala ajarannya itu dalam bentuk falsafah yang senang di hafal. Falsafah itu digelar ajaran Pepali Pitu.

  1. Budaya kesenian

Sunan Drajat kerap berdakwah melalui tembang pangkur dengan iringan gendang. Gending Pangkur ciptaan Sunan Drajat sampai sekarang masih disukai orang Jawa. Sunan Drajat juga pandai mengukir hinggakan pengikutnya tidak hanya belajar ilmu agama, bahakan turut belajar seni dan budaya.

Waqaf Saham

  1. Menjaga keamanan penduduk

Sunan Drajat sangat mengambil berat akan masyarakatnya. Beliau sering berjalan di sekeliling perkampungan pada malam hari. Penduduk merasa aman dan dilindungi dari gangguan makhluk halus yang kononnya bermaharajalela selama itu dan setelah pembukaan hutan. Selesai solat asar, Sunan Drajat juga akan mengelilingi kampung sambil berzikir dan mengingatkan penduduk untuk melaksanakan solat magrib.

Ajaran Pepali Pitu Sunan Drajat (Tujuh Dasar ajaran)

Sunan Drajat telah menyimpulkan segala isi ajarannya dalam bentuk himpunan kata-kata yang mudah difahami dan di hafal. Himpunan itu digelar ajaran atau falsafah Pepali Pitu. Tujuan Tujuh Filosofi ini sebagai usaha Sunan Drajat membasmi kemiskinan.  Ia seperti berikut:

  1. Memangun resep tyasing sasama (kita selalu membuat senang hati orang lain)
  2. Jroning suka kudu eling lan waspodo (dalam suasana gembira, hendaknya tetapi ingat Tuhan dan selalu waspada).
  3. Laksitaning subrata tan nyipa marang pringga bayaing lampah (dalam upaya mencapai cita-cita luhur jangan menghiraukan halangan dan rintangan).
  4. Meper hardaning pancadriya (sentiasa berjuang menekan gejolak hawa nafsu –nafsu inderawi).
  5. Heneng-hening- henung (dalam diam akan dicapai keheningan dan dalam hening akan mencapai jalan kebebasan mulia).
  6. Mulya guna panca waktu (pencapaian kemuliaan lahir batin dicapai dengan menjalani solat lima waktu).
  7. Menehono teken marang wong kang wuto, manehono mangan marang wong kang luwe, menehono busana marang wong kang wuda, menehono pangiyup marang wong kang kaudanan (berikan tongkat kepada orang buta, berikan makan kepada orang yang lapar, berikan pakaian kepada orang yang tidak berpakaian, berikan tempat teduh kepada orang yang kehujanan).

Antara 7 Ajaran Pepali Pitu, pesanan yang ketujuh sangat terkenal dan sering disebut orang. Berikut ajaran ketujuh dan syarahannya :

Ukiran nasihat Sunan Drajat diukir di kawasan pemakaman
  1. Menehono teken marang wuto (berilah tongkat kepada orang buta). Ia bermaksud, beri petunjuk kepada orang yang tidak agama).
  2. Menehono mangan marang wong kang luwe (berilah makan kepada kelaparan). Ia bermaksud, sejahterakan orang-orang miskin.
  3. Menehono busono marang wong kang wudo (berilah pakaian bagi orang yang tidak berpakaian). Bermaksud ajari budi pekerti orang tidak beradab.
  4. Menehono ngiyup marang wong kang kudanan (berilah tempat berteduh kepada orang yang kehujanan). – Bermakna lindungi lah orang yang tertindas.

Sunan Drajat juga menulis perumpamaan yang cukup indah dalam meluahkan ilmu makrifat. Ia seperti berikut:

“Ilang, jenenge kawula, Sirna datang ana keri, pan ilangwujudira, tegese wujude widi, ilang wujude iki, anenggih perlambangira, Lir lintang karahinan, kesorodan sang hyang rawi.

Ertinya:

“Hilang jati diri makhluk, lenyap tiada tersisa, kerana hilang wujud keberadaannya, itulah juga wujud Tuhan, itulah yang ada ini, adapun persamaannya, seperti bintang di waktu siang yang tersinari matahari”.

Saya sangat terkesan dengan pendekatan dakwah Sunan Drajat yang menggunakan bahasa yang mudah dalam dalam penyampaian bahkan mencipta lagu dan simpulan hikmah yang mudah dihafal oleh masyarakat Jawa ketika itu. Ini kerana, saya tiba-tiba teringat ketika mula-mula memasuki dunia yang memerlukan saya berucap, saya banyak menggunakan bahasa yang tinggi dalam ucapan termasuk dalam penulisan kerna menyangka ia akan menjadi tarikan, tetapi saya salah. Ternyata, masyarakat umum lebih gemar kepada penyampaian yang jelas dan mudah difahami. Saya kira, ini kelebihan yang dimiliki oleh Kiyai Us Abdul Somad lc, ulama muda yang berasal dari Riau yang kini mendapat sambutan luar biasa baik dari bumi Indonesia sendiri dan juga Malaysia.

Kiyai Haji Abdur Rahman Wahid atau lebih dikenali Gus Dur, mantan pengerusi Nahdatul Ulama’ (NU) yang juga mantan Presiden Republik Indonesia ke-4 pernah berseloroh apabila ditanya apakah perbezaan antara kiyai dan ahli akademik?

Gus Dur menjawab, “Kiyai itu memudahkan apa yang sulit sementara ahli akademik menyulitkan apa yang mudah”

Walaupun demikian, tidak nafikan penggunaan bahasa tinggi (baca:jargon) baik dalam pengucapan atau penulisan tetap diperlukan bersesuaian dengan lapangannya seperti di dalam dunia akademik. Sudah tentu, ia berbeza kerana para pembaca pun dikalangan ahli akademik.

Kitab Amhjah (Gambar dari Museum Sunan Drajat) koleksi penulis

Perginya Wali, Pencinta Fakir Miskin

Demikian lah Raden Qasim atau Sunan Drajat. Digelar Sunan Drajat kerana beliau menetap di bukit yang tinggi, seakan melambangkan tingkat ilmunya yang tinggi iaitu tingkatan atau derajat para ulama’ muqarabbin (ulama yang dekat dengan Allah).

Sunan Drajat menunjukkan contoh bagaimana sepatutnya seorang ulama’ dan pendakwah mesti mendekati fikir miskin. Jangan biarkan mereka terbelenggu dengan kemiskinan ilmu agama sesudah sedia terbelenggu dengan kemiskinan harta. Ironinya, sebahagian pendakwah lebih gemar mendekati para hartawan kerna habuannya lebih tebal dan cocok. Jika orang miskin, jangankan sampul akan tetapi para pendakwah pula yang harus keluarkan belanja sendiri. Sebenarnya, itulah pengorbanan, kita memberi bukan hanya menerima.

Museum Khusus Sunan Drajat

Sebagai penghormatan atas jasa-jasa Sunan Drajat yang menyebarkan Islam di wilayah Lomongan, pemerintah Kabupaten Lamongan mendirikan Muzium di sebelah timur kompleks pemakaman Sunan Drajat. Terdapat barang dan alat peninggalan yang digunakan oleh Sunan Drajat dalam berdakwah seperti gamelan Singo Mengkok, dayung perahu dan lain-lain.

Muzium ini telah dirasmikan oleh Gabenor Jawa Timur pada 1 Mac 1992.
Sunan Drajat menghabiskan sisa hidupannya di Ndalem Duwur, hingga wafat pada 1522M. Di tempat itu kini dibangun sebuah muzium tempat menyimpan barang-barang peninggalan Sunan Drajat termasuk dayung perahu yang dulu pernah menyelamatkannya.

Sekian,

Angah Sunan,

Surabaya, Jawa Timur

angahsunan.patriots@gmail.com

Pengasas Sunan Press PLT

Rujukan:

(1) Pengalaman peribadi penulis dalam kembara beliau

(2) I.Rofi’ie Ariniro, Panduan Wisata Religi Ziarah Wali Songo, penerbitan Saufa (2016)

(3) MB. Rahimsyah. AR, Wali Songo Penyebar Agama Islam di Tanah Jawa, disertai Tata Cara Ziarah Kubur, Cipta Karya Surabaya (2011)

(4) Sidi Rohimuddin Nawawi Al Bantani, Kisah Ajaib Wali Songo, Melvana Publishing (2017)

(5) Abd latif Jufri, Ibnu Mohsin Al Muari, Pendekatan Dakwah Wali 9, Majlis Agama Islam Negeri Johor (2013).