Bagaimanakah caranya bagi kita untuk mencerap alam realiti? Apa yang boleh kita gunakan untuk memahami alam?

Kita ada sekurang-kurangnya dua jenis cara. Kaedah yang paling banyak digunakan adalah kaedah empirisisme. Alam realiti dicerap dengan menggunakan teknik fizikal seperti eksperimentasi dan pengalaman. Memandangkan teknik ini hanya bergantung kepada objek fizikal dan deria, maka cerapan kita tak menggambarkan alam ini dengan sepenuhnya. Itu belum masuk lagi halangan komunikasi dalam bahasa. Oleh kerana komunikasi adalah projeksi fizikal, maka komunikasi tak menggambarkan sepenuhnya tentang realiti. Maka, dengan cara apakah yang kita boleh guna untuk menggambarkan realiti dengan lebih tepat?

Inilah datangnya kepentingan seni. Penggambaran realiti yang sempurna bermula dengan jiwa dan hati makhluk berintelek. Sekalipun seni masih dibatasi kaedah fizikal, tapi ia mampu menyentuh jiwa kita dan menyampaikan makna yang cuba diberi, tanpa halangan komunikasi yang begitu menonjol. Sebagai contoh, antara gambar pemenang hadiah Pulitzer dengan berita tentang gambar tersebut, yang mana satukah yang lebih bermakna, lebih menyentuh jiwa anda? Sudah tentulah gambar.

Alam realiti memang takkan mampu dicerap sepenuhnya oleh kita. Sebagaimana menurut Plato, apa yang mampu dicerap oleh kita hanyalah sekadar bayangan kepada realiti sebenar. Kecantikan dalam seni adalah bayangan kepada kecantikan sebenar alam realiti. Inilah yang diterangkan dalam konsep ‘bentuk’ oleh Plato melalui karya Phaedo dan juga Alegori Manusia Gua dalam Republik.

Namun, dalam kita membincangkan hal metafizik tentang ‘bentuk’ kecantikan seni, kita terlupa tentang satu hal penting. Bagi menjelmakan kecantikan seni, manusia menggunakan objek luar sebagai perwakilan makna. Bukankah objek luar ini objek fizikal? Bukankah objek ini terkait dengan budaya masyarakat tersebut? Ya, seni sebagaimana objek fizikal yang lain, tetap terkait dengan elemen fizikal.

Kita ambil contoh puisi Homer. Homer menulis puisi epik Illiad dan Odyssey yang indah dan dikagumi oleh masyarakat buat berzaman. Sekarang saya mahu tanya, apakah perlambangan yang digunakan Homer? Bukankah dalam epiknya itu secara tersurat dan tersiratnya menceritakan budaya tamadun Yunani Purba? Plato sendiri mengatakan Homer sebagai guru kepada tamadun Yunani (ten Hellada pepaideuken). Bukankah ini menunjukkan seni sebagai cerminan tamadun Yunani? Bagaimana pula dengan epik Gilgamesh? Ini adalah kisah proto ‘coming of age’ tertua di dunia.

Gambar 1: Filem Troy yang diolah daripada puisi epik Illiad (Troy. 2004).

Begitu juga dengan seni muzik. Dek pengaruh ahli falsafah Jean Jacques Rousseau, gerakan Romantisisme muncul dan era Romantik pun bermula. Rousseau menekankan kepentingan emosi dan cinta kerana pada zaman tersebut, kahwin paksa adalah normal demi kepentingan ekonomi dan ini melahirkan masyarakat yang negatif. Oleh sebab itulah, anda akan menemui banyak karya seni yang mempunyai nilai emosi mendalam. Contohnya, karya muzik Liebestraume oleh Franz Liszt membawa makna nilai romantika dan kesedihan dalam bercinta. Karya ini adalah hasil projeksi Fransz Liszt mengenai puisi dengan nama yang sama berkenaan 3 jenis cinta. Hal yang sama wujud dalam Der Ring des Nibelungen oleh Richard Wagner. Karya orkestra ini berkenaan epik dan saga Norse seperti Ride of the Valkeries. Bagaimana dengan lukisan The Alchemist in Search of the Philosopher’s Stone oleh Joseph Wright? Bukankah itu ekspresi dan cerminan tamadun British pada waktu zaman Pencerahan? Bukankah ini cerminan tamadun Eropah pada waktu waktu yang disebut di atas?

Gambar 2: The Alchemist in Search of the Philosopher’s Stone, Joseph Wright (1795). Karya seni ini menggambarkan pergerakan intelektual pada zaman Pencerahan British. Cahaya terang yang diperoleh dalam bekas kelalang tersebut ialah interaksi elemen fosforus sebagai metafora inkuiri golongan intelektual British.

Bagaimana pula dengan The Brothers Kamarazov? Karya agung Fyodor Dostoyevsky ini ditulis berlatar belakangkan empayar Russia pada abad ke-19. Novel ini membawa tema berat seperti teodisi, kehendak bebas, posisi agama dalam masyarakat dan sebagainya. Buku ini mencerminkan realiti yang dihadapi oleh Dostoyevsky pada waktu tersebut seperti kematian anaknya, kes Nechayev dan masalah sosial masyarakatnya. Tema masalah sosial ini juga dapat dilihat dalam karya Salina oleh Sasterawan Negara A. Samad Said dan Anak Mat Lela Gila oleh Pak Sako yang menyentuh masalah sosial yang dibayangi zaman kolonial dan perang dunia.

Gambar 3: Anak Mat Lela Gila oleh Pak Sako.

Mari kita sentuh tentang muzik moden. Sekitar tahun 70-an, masyarakat mendambakan sesuatu yang lebih berseni dalam karya seni. Hal ini semakin menonjol apabila angkasawan Amerika Syarikat berjaya mendarat di bulan. 2 perkara ini mencetuskan pergerakan muzik progresif yang mahu membawa seni ke arah paradigma, jauh ke hadapan. David Bowie misalnya, mencetuskan genre baru yakni ‘space rock’ dan ini dikira sebagai progresif kerana mencipta genre original. Kumpulan kugiran seperti YES, Pink Floyd dan King Crimson telah menggubah lagu-lagu yang dikira aneh dari sudut komposisinya. Berlainan dengan rentak muzik biasa yakni 4/4, muzik mereka digubah berdasarkan rentak muzik ganjil seperti 5/4 dan 11/8. Komposisi ini menghasilkan rentak yang panjang dan artistik. Sebagai contoh, Close to the Edge oleh Yes membawa bunyi seperti anda dalam perjalanan ke galaksi lain dan panjang lagu ini adalah 18 minit. Karya agung muzik prog rock ialah Supper’s Ready oleh Genesis, hikayat berpandangan alam Kristian yang dijadikan sebagai muzik dan panjang lagu ini adalah 22 minit. Di dalam lagu mereka selalunya terkandung mesej artistik yang ingin disampaikan dengan cara gubahan kompleks. Anda boleh baca dengan lebih lanjut tentang gubahan lagu prog pada link artikel saya yang ini

Gambar 4: Album Foxtrot oleh Genesis. Kebanyakan album muzik progresif menggunakan motif seni seperti di atas.

Selang dua dekad, gerakan grunge mula mendominasi masyarakat belia. Dek permasalahan yang melanda generasi X pada waktu tersebut, mereka menghasilkan muzik yang lebih ‘raw’ dan ‘noise’ dengan elemen yang lebih simplistik sebagai simbol kepada derita anak muda. Kita lihat contoh lagu Creep oleh Radiohead. Lagu ini berkenaan perempuan dambaan penyanyi di kolejnya dan dia merasakan dirinya tak layak untuknya. Sekiranya kita analisa key muzik yang digunakan, key-nya ialah ‘major’. Ini adalah menghairankan kerana key ‘major’ sepatutnya menghasilkan lagu yang gembira dan optimistik, bukan lagu sedih seperti Creep. Untuk menghasilkan lagu sedih, anda perlu menggunakan key ‘minor’. Campuran lagu sedih dengan key ‘major’ ini adalah projeksi komposer lagu tersebut tentang kesedihan jenis sentimental. Sebagai perbandingan, key ‘minor’ membawa maksud kesedihan jenis nihilistik tahap murung. Kalau anda tak percaya, anda boleh suruh kawan anda yang pandai main gitar atau piano untuk memainkan kord ‘major’ dan ‘minor’.

Sekarang, saya nak sentuh kembali tentang karya seni penulisan, tapi kali ini tentang sahabat-sahabat penulis saya. Helmi Effendy adalah seorang pencinta sejarah, maka anda akan jumpa banyak fakta-fakta sejarah Melayu di dalamnya sebagai plot cerita seperti novel Dari Alam Lain.

Gambar 5: Dari Alam Lain oleh Helmi Effendy ataupun lebih dikenali sebagai admin H.E. Hak cipta milik Buku Prima dan penulis.

Fahmi Mustaffa adalah seorang pengembara dan juga berminda terbuka, maka novel Amsterdam hasil nukilannya mengekspresikan jiwa anak muda di kota paling bebas dan liberal di dunia. Mungkin anda tak nampak apa persamaan di antara dua novel ini, tapi kalau anda perhatikan secara teliti, kedua-dua novel ini wujud pada zaman kebangkitan bahasa Melayu dan pra-‘renaissance’ Malaysia dek tekanan masyarakat terhadap elemen tamadun Melayu dan Malaysia secara amnya yang mahukan karya seni yang tak klise sebagaimana novel-novel cinta Melayu. 50-100 tahun akan datang nanti, ilmuwan akan menjadikan karya-karya seperti Dari Alam Lain dan Amsterdam sebagai parameter cerminan tamadun Malaysia pada tahun 2010-2020. Berlainan dengan Malaysia, karya seni di Jepun telah berkembang dengan sangat pesat sampaikan novel ringan dan komiknya sendiri membawa tema yang lebih berat berbanding novel novel klise Melayu. Ini adalah cerminan tamadun Jepun yang menunjukkan golongan belia mereka celik ilmu dan teknologi.

Gambar 6: Amsterdam oleh Fahmi Mustaffa. Hak cipta milik Fixi dan penulis.

Seni itu adalah ekspresi diri, seni itu adalah objektif, seni juga adalah subjek fizikal. Di sebalik penghasilan karya seni terkandung 1001 kisah di dalamnya. Sekiranya anda memandang seni sebagai manifestasi metafizik semata-mata, maka anda akan gagal untuk melihat apa yang cuba diceritakan oleh orang-orang terdahulu berkenaan keadaan mereka pada waktu ketika itu. Hikayat Merong Mahawangsa ada menceritakan tentang burung garuda yang menculik puteri raja China. Dari sudut saintifik, burung ini sememangnya wujud pada zaman dahulu yakni burung helang Haast gergasi yang cukup kuat untuk memburu burung emu sebelum pupus pada tahun 1400. Kisah Singapura Dilanggar Todak sekiranya dianalisa adalah lebih bermakna dari sudut saintifik berbanding artistik kerana ia adalah perlambangan kepada kota Singapura yang dilanggar kerajaan Majaphit atau Siam Dharmaraja. Sama juga dengan mitos rumpun Austronesia berkenaan navigasi buruj dan pelayaran yang menjadikan mereka bangsa-bangsa pelayar purba seperti kaum Melayu, Maori dan Polynesia. Melalui kisah dan karya seni terdahulu inilah para ilmuwan mampu mencari dan meneliti genealogi sejarah dunia.

Saya tak menafikan seni itu objektif. Saya juga tak beberapa suka dengan konsep merelatifkan seni sebagaimana karya seni ekspresi abstrak oleh Jackson Pollock. Namun, anda tak boleh menafikan permintaan dan sambutan masyarakat terhadap karyanya menunjukkan pola pemikiran masyarakat pasca moden di Amerika Syarikat. Bukankah tamadun itu terdiri daripada hasil nilai metafizik dan fizikal yang tinggi? Bukankah karya seni itu merupakan sumber sekunder sejarah? Bukankah sejarah itu menceritakan tentang tamadun manusia? Bukankah ini bermakna seni itu cerminan tamadun?

Untuk mengatakan seni itu bukan cerminan tamadun adalah kesalahan fatal dan tak saintifik. Seni itu esennya membawa nilai metafizik, tapi jangan sama sekali kita sanggah sifat luarannya yang menjadi cerminan, tingkap masa dan projeksi terhadap realiti masyarakat sang seniman.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

Leave A Reply