Perang Dunia Kedua telah mencapai tahun kemuncak apabila kemaraan tentera Jerman dan Tentera Berikat di Eropah serta Afrika Utara disekat. Namun, di medan Asia Pasifik, tahun 1942 membawa sitausi yang berbeza apabila Tentera Empayar Jepun berjaya menakluki Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Burma, Hindia Timur Belanda dan Rabaul. Kemaraan tentera Jepun ini mengancam kestabilan Australia yang merupakan negara komawel. Amerika Syarikat melihat kemaraan ini satu petanda yang tidak baik kerana ini akan menghalang operasi ketenteraan mereka di Pasifik serta usaha mereka untuk mengalahkan Jepun.

Oleh itu, informasi dan kedudukan musuh menjadi aset yang amat berharga untuk dimiliki. Mengambil inspirasi daripada pasukan khas dan penuh kerahsiaan Special Operation Executive (SOE) atau Eksekutif Operasi-Operasi Khas, Australia dengan persetujuan Jeneral Douglas MacArthur yang merupakan komander Tentera Amerika Syarikat di Timur menubuhkan Special Operation Australia (SOA) atau Pasukan Khas Operasi Australia pada Mac 1942. Akan tetapi, disebabkan SOA merupakan sebuah agensi perisikan rahsia, pihak tentera Australia memberi nama agensi ini Service Reconnaissance Deparment (SRD) atau Jabatan Peninjau Hadapan bagi mengelakkan operasi-operaso rahsia mereka ini diketahui oleh orang awam dan yang lebih penting, tentera Berikat.

Lambang Pasukan Z

Objektif utama SOA adalah untuk membentuk jaringan perkongsian maklumat kepada pemerhati dan operatif-operatif bagi Tentera Bersekutu di kawasan Southwest Pacific Area (SWPA) atau kawasan barat daya Pasifik. Salah satu unit khas yang mengawasi dan memantau kawasan Asia Pasifik ini adalah ‘Z’ Special Unit atau Unit Khas ‘Z’. Mereka diberi tanggungjawab untuk melakukan operasi-operasi sulit seperti sabotaj dan mengumpul risikan sebagai persedian sebelum tentera Australia dan Bersekutu melakukan pendaratan bagi menawan semula kawasan yang telah ditakluk oleh tentera Empayar Jepun. Unit ‘Z’ ini dianggotai oleh anggota tentera dari kesemua cabang ketenteraan tentera Australia termasuk tentera Amerika, British dan New Zealand. Orang awam yang berasal dari Britain, Australia, New Zealand dan lain-lain turut menyumbang dalam unit ini.

Unit Khas ‘Z’ dilatih sebagaimana unit-unit komando yang lain, mahir dengan pertempuran gerila dan tanpa senjata. Mereka juga dilatih teknik-teknik mengumpul maklumat risikan dan cara berkomunikasi dengan penduduk tempatan sebagai persediaan operasi. Mengikut rekod yang baru dikeluarkan, Unit Khas ‘Z’ berjaya melakukan sebanyak 260 serangan ke atas kawasan yang diduduki tentera Empayar Jepun.

Operasi SEMUT dan Unit SEMUT I

Nama operasi ini diambil sempena Bahasa Melayu bagi “ant” iaitu semut. SEMUT merupakan nama operasi bagi Unit Khas ‘Z’ di Sarawak manakala AGAS merupakan nama operasi di Borneo Utara. Unit ini terbahagi kepada empat unit kecil; SEMUT I, SEMUT II, SEMUT III, dan SEMUT IV. Daripada kesemua unit ini, unit SEMUT I merupakan unit yang paling menyerlah dan berkesan dalam melumpuhkan pergerakan dan penguasaan Tentera Empayar Jepun.

Memandangkan penguasaan Tentera Bersekutu hampir tiada di Borneo, Unit Khas ‘Z’ menghantar pasukan peninjau bagi melakukan peninjauan awal dan menguasai tapak pendaratan bagi ketibaan pasukan utama. Jangka masa diantara pasukan peninjau dan pendaratan pasukan utama adalah 2 minggu. Pasukan peninjau ini akan mendirikan markas operasi hadapan atau Forward Operating Base (FOB).

SEMUT I diketuai oleh Mejar Tom Harrisson, seorang pegawai Tentera Darat British yang mempunyai pengetahuan teknik-teknik peperangan gerila dan arif dengan persekitaran medan tempur di Sarawak. SOA memberi arahan kepada SEMUT I untuk beroperasi di kawasan sekitar luar sempadan Brunei, Limbang dan Sungai Terusan di Sawarak, dan kawasan Sungai Padas di British North Borneo yang merupakan nama lain bagi Sabah pada ketika itu. Dengan kekuatan sebanyak 42 orang operatif pada kemuncak operasi, SEMUT I berjaya melaksanakan objektif yang diberikan oleh SOA.

Pada 25 Mac 1945, sebanyak 8 orang operatif SEMUT I melakukan penerjunan ke Bario bagi melakukan peninjauan awal. Mereka adalah pasukan peninjau dan bertanggungjawab untuk memastikan kawasan pendaratan mereka selamat dari serangan hendap tentera Empayar Jepun. Bantuan kepada operatif-operatif SEMUT I tiba pada 26 May, 11 hingga 25 Jun dan 10 Ogos. Mereka mendirikan markas operasi hadapan di Bario kerana kawasan tersebut terasing disebalik pergunungan dan berdekatan dengan Sungai Batam. Sepanjang Operasi SEMUT berlangsung, markas SEMUT sentiasa berubah bagi mengelak dihidu unit perisikan tentera Empayar Jepun. Markas SEMUT beralih ke Belawit kerana terdapat sokongan daripada kaum Murut yang amat membenci Jepun. Selain itu, bagi memudahkan operasi, sebuah landasan kapal terbang sementara dibina bertujuan menerima penghantaran bekalan dan operatif SEMUT menggunakan pesawat ringan.

Seramai 30 orang operatif SEMUT I melakukan penerjunan menggunakan payung terjun dari pesawat pengebom B24 Liberator yang diterbangkan oleh Penerbangan No. 200 (Skuadron Operasi Khas), dan selebihnya tiba di Belawit dengan menaiki pesawat Auster dari Tarakan dan Labuan. Selain menerima bantuan dari penduduk orang Asli, SEMUT I menerima sebanyak 371 pakej yang dianggarkan seberat 33.5 tan yang digugurkan oleh RAAF.

SEMUT I mengekalkan keakraban mereka dengan penduduk tempatan untuk memastikan bantuan dari segi perubatan dapat disediakan daripada setiap perkampungan yang mereka lawati jika diperlukan. Bantuan dari segi senjata dan kelengkapan lain digugurkan dari udara oleh Tentera Udara Diraja Australia atau Royal Australia Air Force (RAAF). Penduduk tempatan yang dilihat berpotensi ditapis dan dinilai kesetiaan mereka sebelum mereka menerima latihan pengendalian senjata dan asas pertempuran daripada para operatif yang rata-rata merupakan anggota tentera bertaraf pasukan khas. Mereka kemudian akan berkhidmat dibawah operatif masing-masing membentuk ketembukan paramilitari yang bertanggungjawab melakukan perang gerila terhadap tentera Empayar Jepun.  Selain itu, tugas mereka adalah untuk menghantar laporan pergerakan dan bilangan tentera Empayar Jepun kepada operatif masing-masing. Laporan ini akan dikumpulkan dan digunakan oleh RAAF untuk melakukan pengebom strategik bagi melumpuhkan pergerakan tentera Jepun.

Setiap operatif bekerja bersendirian dan dibantu oleh pasukan gerila masing-masing yang terdiri daripada suku kaum Kelabit, Murut, Iban, Tagul di pedalaman serta Melayu dan Cina di kawasan persisiran. Sebagai langkah keselamatan untuk memastikan jika berlakunya penangkapan operatif, hanya seorang sahaja yang akan ditawan, para operatif akan mengekalkan jarak lebih kurang dua ke tiga hari perjalanan sesama operatif. Disebabkan kekurangan set radio bagi tujuan komunikasi serta kawasan pergunungan yang menghalang capaian frequensi yang diperlukan, para operatif akan menggunakan penduduk tempatan yang berada dalam pasukan mereka untuk bertindak menjadi penghantar maklumat atau ‘runner’.

Pada tarikh 9/10 Jun 1945, SEMUT I melancarkan serangan hendap ke atas kedudukan tentera Empayar Jepun. Pada masa yang sama, Tentera Bersekutu yang diketuai oleh Tentera Australia melakukan pendaratan di Borneo Utara dan Labuan. Tentera Empayar Jepun mengalami masa yang sukar untuk berperang dengan Tentera Bersekutu kerana terpaksa berperang pada dua medan; hutan dan persisir pantai. Ketika ini, Imperial Japanese Navy (IJN) atau Tentera Laut Empayar Jepun tidak dapat memberi bantuan secara efektif kerana memiliki kapal perang yang terhad akibat kerap tewas dengan Tentera Laut Amerika yang jauh lebih moden dan memiliki sejumlah kapal terbang pengangkut.

Peta menunjukkan kedudukan Tentera Empayar Jepun yang sedang berundur akibat serangan Tentera Bersekutu dan Unit Khas ‘Z’ pada pertengahan 1945

Operasi-operasi SEMUT I mula dikurangkan selepas 10 Ogos. Ini sebagai persedia pengunduran aset-aset strategik dan para operatif. Pihak SOA tidak mahu orang asli yang dilatih sebagai salah satu tentera operasi SEMUT I berpaling tadah dan mengancam nyawa operatif. Pada 15 Ogos 1945, tentera Jepun menyerah kalah. Ketika itu, SEMUT I telah berjaya mengawal kawasan sebanyak 16,000 batu persegi yang diduduki hamper 250,00 penduduk. Tanah Borneo dibebaskan dari cengkaman Jepun.

Pertempuran diantara Tentera Berikat dan Tentera Bersekutu di Borneo semakin berkurangan walaupun terdapat saki-baki tentera Empayar Jepun yang tidak mahu menyerah kalah. Pada penghujung November 1945, markas utama SEMUT termasuk staf-staf yang bertanggungjawab mengendalikan sistem komunikasi dan lapangan terbang sementara di Bario berundur ke Labuan. Operasi SEMUT ditutup dan SEMUT I dibubarkan.

Kesan Terhadap Penaklukan Semula Sarawak dan Seluruh Borneo

Operasi-operasi rahsia yang dikendalikan oleh operatif-operatif SEMUT I telah berjaya melumpuhkan rangkaian logistik dari segi makanan dan perubatan tentera Empayar Jepun. Tidak cukup dengan ini, penduduk tempatan mula bertindak berpaling tadah dan menyumbang informasi kepada SEMUT.

Selain itu, operatif SEMUT I berjaya merampas peta-peta milik tentera Empayar Jepun yang mengandungi maklumat-maklumat kedudukan aset-aset strategik dan jumlah kekuatan infantri Jepun. Peta-peta dan dokumen-dokumen yang dirampas diserahkan kepada agensi penterjemahan Allied Translation and Interpreter Service (ATIS). Hasil terjemahan ATIS menunjukkan banyak lagi kawasan di Sarawak yang belum pernah diterokai dan berkemungkinan memiliki sumber asli yang banyak.

Sepanjang unit SEMUT I beroperasi, sebanyak 1033 tentera Empayar Jepun termasuk 32 tentera simpanan Jepun terbunuh dan  sebanyak 35 orang tentera Empayar Jepun yang ditawan. Unit SEMUT I pula mengalami sebanyak 18 orang kematian dari unit paramilitari orang asli dan kosong bagi operatif SEMUT I. SEMUT khususnya unit SEMUT I telah banyak menyumbang kepada penaklukan semula Borneo walaupun nama mereka tidak dikenali ramai. Mereka adalah pewira yang tidak didendang. Harus diingat, SEMUT I dan seluruh Operasi SEMUT tidak akan berjaya jika tidak kerana kehebatan tentera paramilitari yang terdiri daripada orang asli Sarawak. Mereka telah banyak menabur bakti walaupun tidak dikenali demi tanah yang dicintai.

“Mahal harga tanah negara ini, dan pewira, mereka yang mencurahkan keringat dan darah mereka demi suatu kebebasan”

Rujukan Bahan

Pembacaan Permulaan:-

  1. “Z” Special Unit in Australia during WWII. (n.d.). Retrieved July 18, 2017, from http://www.ozatwar.com/ausarmy/zforce.htm

Pembacaan Lanjutan:-

  1. Long, B. (1989).“Z” Special Unit’s Secret War: Operation SEMUT I: Soldiering with the Head-Hunters of Borneo

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

2 Comments

Reply To Faris Maju Cancel Reply