Moving Forward As One

Seminole: Kaum Pribumi Amerika Yang Tidak Terkalahkan

3,470

Kaum Seminole adalah salah satu kaum Pribumi Amerika yang berasal dari negeri Florida, yang kini kebanyakannya masih menetap di negeri tersebut dan sebahagian lagi di Oklahoma. Sejarah kaum Seminole bermula pada abad ke-18 melalui proses etnogenesis.

Sejarah kaum Seminole bermula dengan kumpulan Creek Indian dari Georgia dan Alabama yang berhijrah ke Florida pada tahun 1700-an. Konflik dengan peneroka Eropah dan suku-suku lain menyebabkan mereka mula mencari tanah yang baru untuk memulakan hidup yang aman dan membuka penempatan.

Kumpulan Creek Tanah Rendah berpindah ke Florida untuk menjauhkan diri mereka dari didominasi Creek Tanah Tinggi. Sesetengah kelompok ini cuba meneroka tanah dan ladang-ladang baru yang subur untuk mengusahakan tanaman jagung, kacang dan tanaman-tanaman lain.

Pada masa yang sama, pihak penjajah Sepanyol pernah menggalakkan migrasi ini namun di sebalik dorongan itu, Sepanyol sebenarnya hanya mahu mempergunakan kaum pribumi untuk menyediakan wilayah penyangga antara negeri Florida dan koloni Inggeris. Tahun 1770-an adalah tahun di mana orang-orang Indian Florida secara kolektif dirujuk sebagai orang Seminole, nama yang bermaksud “orang liar” atau “pelarian.”

Kaum Seminole kebanyakannya berasal usul dari keturunan suku-suku Tenggara yang digabungkan bersama di Florida. Pembentukan suku Amerika Utara ini berlaku selama beberapa dekad melalui beberapa gelombang imigrasi yang rumit, terutamanya selepas Perang Creek, dan turut merangkumi pelarian hamba berbangsa Afrika-Amerika yang juga menjadi sebahagian dari suku tersebut. Menjelang tahun 1800-an, populasi mereka dianggarkan sekitar 5,000 orang.

Billy Bowlegs, antara pejuang Seminole yang terkenal.

Walau bagaimanapun, kaum Seminole tidak pernah menerima pengiktirafan persekutuan oleh kerajaan Amerika Syarikat sebagai kumpulan bebas, sehinggalah mereka menerima diiktiraf Persekutuan pada tahun 1957 yang merangkumi tiga kaum Seminole iaitu Bangsa Seminole Oklahoma, Suku Seminole Florida, dan Suku Mikasuki (Miccosukee) Indian Florida.

Kaum Seminole terdiri dari pecahan suku-suku Pribumi Amerika dari Georgia, Mississippi, dan Alabama, yang kebanyakannya merupakan dari federasi kesukuan Muscogee Creek, dan juga orang Afrika Amerika yang melarikan diri ke Florida dari dimangsakan oleh sistem perhambaan di South Carolina dan Georgia.

Kira-kira seramai 3,000 orang Seminole diusir secara paksa hingga mendesak mereka ke arah barat Sungai Mississippi, kempen pengusiran ini dilaksanakan di bawah Jeneral Andrew Jackson berdasarkan salah satu akta undang-undang iaitu Indian Removal Act of 1830 (Trail of Tears). Pengusiran ini turut melibatkan nenek moyang suku-suku Seminole Oklahoma yang ada hari ini. 

Coehajjo, salah seorang ketua suku Seminole

Kira-kira seramai 300 hingga 500 orang dari pelbagai suku-suku kaum Seminole yang menentang telah mengekalkan kedudukan mereka di Florida, namun sejarah mereka dalam mempertahankan diri dan tanah air mereka bersama-sama dengan suku Mikasuki di dalam dan di sekitar Everglades sebelum itu jauh lebih panjang.

Dalam usaha untuk mengusir mereka, kerajaan Amerika Syarikat melancarkan Perang Seminole, di mana seramai kira-kira 1,500 tentera Amerika maut. Kaum Seminole yang terakhir tidak pernah sesekali pun cuba menyerahkan kedaulatan dan memberi kemenangan mudah kepada Amerika Syarikat.

Hari ini, orang-orang Seminole telah memiliki hak ke atas kedaulatan tanah asal mereka dan hak ke atas perkembangan ekonomi yang berasaskan pasaran tembakau, sektor pelancongan, perjudian dan hiburan. Mereka juga dipercayai sebagai kumpulan manusia pertama yang menangkap dan memakan ketam batu yang kita kenali hari ini.

Hard Rock Café merupakan antara jenama francais yang menjadi sumber ekonomi Seminole

Kaum Seminole hari ini memiliki sebanyak enam tanah rizab. Mereka telah membangunkan sektor perhotelan dan resort yang lebih besar untuk perjudian di beberapa tanah rizab mereka. Pada tahun 2007, kaum Seminole telah membeli hak francais milik Hard Rock Café dengan harga $ 965 juta, ini turut termasuk 124 buah Hard Rock Cafe, empat buah Hotel Hard Rock, dua Hotel Hard Rock dan Hotel Kasino, dua tapak persembahan dan konsert Hard Rock Live!, dan saham di tiga hotel tak berjenama.

Semenjak itu, mereka menaikkan jenama Hard Rock Café pada hotel-hotel dan kasino milik mereka. Kini mereka telah pun memilik sebanyak tujuh buah kasino. Sektor pelancongan yang berkait rapat dengan kasino juga turut menyumbang dari segi daya tarikan yang membawa masuk pelancong untuk membuat tempahan aktiviti berburu, memancing, dan lawatan bermaklumat, maka pelancongan juga merupakan sebahagian dari sumber ekonomi mereka.

Dan, di sebalik semua kejayaan ini, sejarah mereka dalam perjuangan menentang agenda mengusir penduduk-penduduk pribumi Florida pada abad ke-19 bukanlah sejarah yang pendek dan mudah. Banyak harta dan nyawa dikorbankan namun untuk menurut perintah meninggalkan tanah air mereka tidak pernah sama sekali dituruti. Dengan itu, tercetuslah perang di antara tentera kerajaan Amerika Syarikat dengan para pejuang Seminole dalam bentuk perang trilogi tiga siri.

Perang Seminole Pertama

Seminole adalah kaum pribumi yang menghadapi masalah yang sama yang dihadapi oleh semua suku-suku pribumi yang lain kerana para peneroka Amerika dan Sepanyol mahu merampas tanah asal mereka. Manakala para pemilik ladang di selatan pula mahu mendapatkan hamba-hamba Afrika-Amerika yang menerima perlindungan dari orang-orang Seminole. (Ketika ini masih ada negeri-negeri Amerika yang membenarkan perhambaan berdasarkan undang-undang setempat.)

Perang Seminole Pertama.

Beberapa siri pertembungan kecil yang ganas telah mencetuskan Perang Seminole Pertama, yang bermula di suatu lokasi antara tahun 1814 dan 1818 dan berakhir pada tahun 1818. Sebilangan besar pertempuran itu melibatkan pertembungan dengan pasukan tentera Amerika Syarikat yang diketuai oleh Jeneral Andrew Jackson.

Pihak tentera kerajaan mengalahkan pejuang-pejuang Seminole dalam kebanyakan pertempuran, dan akibat dari pertempuran yang berterusan ini juga akhirnya akan menyebabkan penjajah Sepanyol menjual negeri Florida kepada pejajah Amerika.

Pada tahun 1823, kerajaan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian dengan kaum Seminole di Moultrie Creek, di mana ia akan membentuk tanah rizab Seminole di Florida tengah. Ia memakan masa selama beberapa tahun, dan di sepanjang tempoh itu mereka telah menghadapi banyak provokasi dari pihak tentera, sebelum sebahagian besar suku-suku Seminole berpindah ke tanah rizab pada tahun 1827.

Pada tahun 1830-an, Indian Relocation Act  (Akta Penempatan Semula) menuntut semua suku-suku Tenggara berpindah ke Wilayah Indian (Oklahoma). Sebahagian dari suku kaum Seminole menandatangani Perjanjian Payne’s Landing pada tahun 1834, yang memberi mereka masa selama tiga tahun untuk berpindah. Namun, konflik dengan suku-suku Seminole yang enggan menandatangani perjanjian tersebut menyebabkan tercetusnya Perang Seminole Kedua.

Perang Seminole Kedua

Pada tahun 1835, pertempuran bermula. Menjelang tahun 1837, beberapa orang ketua puak Seminole yang ada telah menandatangani perjanjian, tetapi beberapa lagi ketua puak Seminole, antara yang terkenal seperti Osceola dan Abiaka telah menolak untuk menyerah. Kemudian mereka mengetuai misi menuju ke Kubu Brooks untuk membebaskan lebih dari 700 orang Seminole yang berada dalam senarai menunggu untuk dipindahkan ke Wilayah Indian. 

Namun, apabila Osceola dan para pemimpin lain kemudian bertemu dengan tentera kerajaan setelah dijanjikan satu rundingan damai di bawah bendera putih, mereka tiba-tiba ditahan dan dipenjarakan. Dengan itu, perang akan terus berlanjutan. Hari ini, sosok Osceola telah menjadi simbol perjuangan yang terkenal di Florida, bahkan pasukan bolasepak Florida State University telah menjadikan Osceola sebagai maskot mereka.

Arca Osceola yang dibina di Florida State University.

Menjelang 10 Mei 1842, semasa Presiden John Tyler yang telah mula merasa putus asa, bertindak memerintahkan segala tindakan ketenteraan kerajaan yang gagal terhadap suku Seminole untuk ditamatkan, hasil dari perang ini telah menghanguskan kira-kira lebih dari $ 20 juta peruntukan yang dibelanjakan, seramai 1,500 orang tentera Amerika Syarikat telah terkorban dan masih lagi tiada sebarang perjanjian damai secara formal telah dimeterai.

Pada zaman tersebut, kempen ini dianggap sebagai kempen ketenteraan yang paling mahal pernah tercatat dalam sejarah ketika negara itu masih setahun jagung. Dan ia belum berakhir.

Tiga belas tahun kemudian, semasa satu pasukan peninjau Angkatan Tentera Amerika Syarikat sedang menjejaki kedudukan Abiaka, seorang tokoh perubatan dari suku Mikasuki dan mana-mana suku-suku Seminole lain yang masih bertahan, mereka telah diserang oleh pahlawan Seminole di bawah pimpinan Billy Bowlegs. Ini menyebabkan kerajaan melaburkan seluruh tanah rizab untuk menangkap penyerang.

Setelah Billy Bowlegs akhirnya berjaya ditangkap dan diusir, ini secara tidak langsung telah menamatkan sebarang tindakan pencerobohan di antara kaum Seminole dan kerajaan Amerika Syarikat. Amerika pada awalnya menjangkakan mereka mampu menguruskan kaum Seminole sama seperti suku-suku pribumi yang lain, namun kerajaan Amerika Syarikat gagal mendesak suku Seminole Florida menyerah kalah.

Beberapa suku-suku Seminole yang masih meneruskan kelangsungan hidup diberikan tanah rizab di Florida barat daya, manakala yang selebihnya dihantar ke Wilayah Indian.

Perang Seminole Ketiga

Pada tahun 1849, desakan yang berterusan untuk memaksa kaum Seminole berpindah ke Wilayah Indian telah mencetuskan lebih banyak perkelahian di Florida. Sebahagian dari mereka telah berpindah manakala sebahagian lagi yang lain kekal dengan keputusan untuk terus menduduki tanah rizab. Ini menyebabkan Perang Seminole Ketiga berlaku pada tahun 1855.

Pertempuran di tengah hutan belantara Florida.

Menjelang bulan Mei 1858, sebahagian besar masyarakat dari suku-suku Seminole yang tersisa telah menyerah kalah. Sebahagian besar yang lain dihantar ke barat. Hanya sejumlah kecil sahaja orang-orang Seminole yang dipimpin oleh Abiaka bersama beberapa ketua-ketua puak yang lain mengekalkan kedudukan mereka di Florida tengah-selatan.

Berdasarkan perkiraan sejarah, mungkin hanya terdapat beberapa ratus orang lelaki, wanita dan kanak-kanak Seminole yang gagal ditundukkan kerajaan. Mereka bersembunyi di kawasan paya bakau dan di Everglades, Florida Selatan.

Walaupun pernah ditawarkan berbagai-bagai janji-janji manis, tidak ada satu pun umpan yang boleh menarik saki baki kecil orang Seminole yang terakhir itu keluar dari rimha belantara.

Kerajaan Amerika Syarikat akhirnya mengisytiharkan perang telah berakhir,  walaupun tiada satu pun perjanjian damai yang pernah ditandatangani, dan tidak ada seorang pun saki baki orang Seminole Florida yang terakhir memilih untuk kekal menentang kerajaan telah menyerah diri.

Suku Seminole Hitam yang berkhidmat sebagai peninjau untuk tentera Amerika Syarikat

Suku-suku Seminole Florida yang berjaya terselamat terdiri daripada sekurang-kurangnya dua paksi utama: penutur Maskoki yang tinggal berhampiran dengan Tasik Okeechobee dan mereka yang bertutur dalam bahasa yang berkait dengan bahasa Hitchiti (juga dikenali sebagai bahasa Miccosukee atau Seminole) dan tinggal di selatan. 

Di kawasan terpencil seperti rimba belantara Florida yang belum dipetakan, kaum Seminole kekal menetap di situ, mereka mendiami rumah pondok atau khemah tradisional yang kecil dengan rangka diperbuat dari kayu cemara.

Suku-suku Seminole telah diasingkan dari masyarakat Florida dan seluruh dunia sehinggalah menjelang pertengahan abad ke-20, setelah sekian lama masa berlalu di mana kebanyakan suku-suku telah mengalami proses asimilasi, pertukaran agama dan pembunuhan budaya.

Semasa Perang Seminole baru bermula, salah seorang ketua puak Seminole bernama Abiaka atau Sam Jones telah menjadi seorang pakar perubatan yang disegani dari suku Mikasuki. Menjelang tamatnya peperangan, dia telah menyumbangkan kemahiran dan tenaganya demi membimbing kaum Seminole di sepanjang tempoh peperangan selama hampir lima dekad. 

Abiaka amat sukar untuk ditemui sehingga gambaran dirinya hanya boleh dilukis.

Diberi gelaran sebagai “Sam Jones” dan “The Devil” oleh tentera Amerika, Abiaka merupakan seorang ahli perubatan, pejuang, perisik, pakar strategi, dan pemimpin puak. Suaranya adalah yang paling lantang dalam menentang program penyingkiran kaum Seminole dari tanah air sendiri, bahkan setiap kali para pemimpin Amerika berbicara mengenai agenda memaksa kaum Seminole meninggalkan Florida, jawapan yang berbunyi “Sam Jones dan pengikutnya tidak akan pernah bersetuju untuk pergi” adalah reaksi yang sudah menjadi kebiasaan. 

Semasa perang, dia sering kali mengelak dari melibatkan dirinya di meja rundingan bersama pihak tentera Amerika Syarikat, sebaliknya dia hanya akan mengirimkan leftenan yang dipercayainya seperti Coacoochee dan Osceola sebagai wakil. Sebagai perisik, kebiasaannya dia akan pergi ke kem-kem Amerika dengan menyamar sebagai nelayan yang menjual hasil tangkapan, sambil memerhati dan mengkaji apa saja yang boleh dimanfaatkan tanpa perlu risau dirinya terdedah. 

Menjelang berakhirnya perang, Abiaka telah memimpin saki-baki suku-suku dari kaum Seminole yang berjaya meneruskan kelangsungan semasa di Florida, untuk menuju ke kawasan tanah lembap yang jauh dan terasing dari jangkauan pihak tentera dan para peneroka Amerika. Kaum Seminole Florida boleh dikatakan tidak pupus dan berjaya mengekalkan identiti aslinya hingga ke hari ini atas jasa dan usaha Abiaka.

Pemburu haiwan kaum Seminole.

Dalam ketiga-tiga perang ini, tidak pernah ada satu pun perjanjian damai yang telah ditandatangani secara formal. Semenjak itu, kaum Seminole menjalani kehidupan mereka secara isolasi dan terasing kerana amat sukar untuk menemui mereka di kawasan pedalaman yang mereka jadikan sebagai penempatan di Florida. Kerana inilah kaum Seminole sering diberi jolokan sebagai “Bangsa yang tidak terkalahkan”.

RUJUKAN:

Lippert, Dorothy. Spignesi, J. Stephen. (2007). Native American History For Dummies. 1st Edition.

Stone, Leo. (2021). Seminoles: Native Americans Who Never Surrendered. Kings and Generals.

Ruangan komen telah ditutup.