Semangat Perang Salib : Asas Utama Serangan Portugis Ke Atas Melaka

910
views

Pada pertengahan abad ke-15 dan awal abad ke-16, peranan Melaka ke atas dunia Islam sangatlah besar. Melaka sebagai pelabuhan utama perdagangan rempah dunia dan antara pelabuhan yang terkaya dan terpenting di dunia menjadi pengukuh ekonomi kerajaan-kerajaan Islam.

Kekuatan ekonomi Islam di dunia yang berdasarkan perdagangan rempah yang pusatnya di Melaka menjadi faktor kepesatan aktiviti dakwah dan penyebaran Islam pada ketika itu.

Hal ini sangat disedari oleh Portugis. Sebab itu Alfonso de Albuquerque pernah berkata sepertimana yang dicatatkan oleh pencatat-pencatat Portugis :-

“Kota ini adalah sumber yang paling besar bagi rempah-rempah, ubat-ubatan dan kekayaan di seluruh dunia….Dengan mengusir orang-orang Islam keluar dari Melaka, api umat Islam akan dipadamkan dan kepercayaan mereka tidak akan tersebar lebih jauh lagi dengan sendirinya….dan jika kita mengambil (menawan) yang satu ini (Melaka) juga, mereka (umat Islam) tidak akan mempunyai negara untuk menyara mereka….”

Batu ukiran perisai Raja Alfonso Henriques, pengasas Kerajaan Portugal yang ditemui di Bukit St Paul Melaka diyakini dibawa oleh angkatan tentera Portugis semasa menyerang Melaka.

Siapakah Raja Alfonso Henriques ini? Beliau adalah pemimpin perang salib ke atas kerajaan Islam Murabbitun yang menguasai Portugal (Al-Gharb Al-Andalus) suatu ketika dahulu.

Pada tahun 1147, Raja Alfonso Henriques yang memimpin tentera salib berjaya merampas kota Lisbon (Lashbuna) dari pemerintahan orang Islam. Dengan itu, umat Islam diusir dari Lisbon.

Barangkali batu ukiran perisai Raja Alfonso Henriques itu menjadi pemangkin semangat tentera Portugis ketika menyerang Melaka.