Selamatkan Nyawa Kanak-Kanak Membawa Kepada Terlebih Populasi?

1,010

Salah satu perkara yang jika kita fikirkan melalui pemikiran yang logik akal adalah kemajuan dalam bidang sains perubatan dan memberi bantuan bagi menangani masalah kematian kanak-kanak di bawah usia 5 tahun di negara-negara miskin akan menyebabkan masalah populasi di dunia ini semakin bertambah.

Populasi dunia yang melebihi daripada 10 billion manusia akan menyebabkan dunia kita mengalami tekanan dan masalah besar dalam membekalkan keperluan daripada segi makanan, minuman dan keperluan asas setiap manusia.

Dalam artikel kali ini, saya akan menjelaskan kepada anda apa yang kita dapat pelajari menerusi beberapa foundation dan pertolongan yang disumbangkan oleh negara-negara maju kepada negara-negara yang mengalami kemiskinan ini dan menyentuh sedikit mengenai populasi yang meningkat di dunia ini.

Dalam beberapa foundation yang ditubuhkan, salah satunya yang terkenal adalah Bill & Melinda Foundation yang memberikan bantuan kewangan kepada negara-negara miskin dalam menangani kes-kes kematian kanak-kanak dibawah usia 5 tahun.

Sebelum anda bertanya mengapa kanak-kanak dibawah usia 5 tahun? Bukan 10 atau 12 tahun? Jawapannya adalah kerana data dan statistik yang saya gunakan untuk artikel ini mengambil kira had umur berkenaan. Atas daripada 5 tahun, kita tidak dapat membuat anggaran kerana data yang anda kemungkinan tidak tepat dan tidak mencukupi.

Walau bagaimanapun, hal ini memberikan persoalan kepada kita, adakah dengan menangani masalah kematian kanak-kanak ini akan menyebabkan populasi di dunia ini semakin tinggi? Mungkin jika kita fikirkan daripada segi ekonomi dan bekalan makanan yang berada di dunia sekarang, ia masih mencukupi untuk kita, namun, mungkin tidka mencukupi untuk mereka yang berasal daripada negara-negara miskin. Kita juga tahu, kadar kematian di negara-negara miskin ini terutama sekali kepada kanak-kanak dibawah usia 5 tahun adalah amat tinggi.

Antara contoh yang kita ada berdasarkan kajian adalah negara Afghanistan, di mana kadar kematian kanak-kanak di bawah usia 5 tahun ini adalah 10% dan di negara seperti Ethiopia, Nigeria atau Biafra, kadar kematian ini meningkat sehingga mencapai sebanyak 25%. Adakah pertolongan yang kita berikan untuk menangani masalah ini akan menyebabkan kanak-kanak itu yang biasanya mati, tetapi kini hidup hasil daripada kemajuan bidang sains perubatan dan langkah-langkah pencegahan yang dilakukan akan menyebabkan peningkatan jumlah rakyat di negara mereka sehingga menerukkan lagi masalah kebuluran yang mereka alami. Senang kata, lebih ramai kita selamatkan, maka semakin ramailah populasi mereka bukan?

Baik, sebelum kita membuat graf ramalan mengenai trajektori ini, mari kita lihat terlebih dahulu mengenai punca kematian kanak-kanak ini. Kajian statistik menunjukkan, majoriti daripada kematian kanak-kanak ini adalah disebabkan oleh penyakit yang boleh dicegah, seperti Malaria, Dengue, masalah kurang nutrisi pemakanan dan masalah kelahiran itu sendiri. Selebihnya adalah 6% iaitu kecederaan dan 11% adalah penyakit seperti kanser dan penyakit genetic (non-communicable disease)

Andai kata punca-punca kematian ini dapat dicegah dan kemudian dihentikan, adakah ini bermakna dunia akan mengalami pertambahan daripada segi populasi? Jawapannya tidak. Data ini sedikit pelik dan paradoks bukan? Berdasarkan data yang ada, simulasi tentang trajektori dari segi jumlah populasi dunia daripada sekarang sehingga ke tahun 2100 telahpun dibuat. Daripada itu, mereka mendapati, semakin ramai kanak-kanak ini dapat diselamatkan, semakin rendah pertumbuhan daripada segi populasi akan berlaku.

Hal ini adalah kerana untuk sesuatu keluarga itu memahami dan mempunyai pengetahuan tentang apakah sebab-sebab kematian yang boleh dicegah, ini bermaksud mereka perlu mendapatkan pembelajaran (education), dan dalam kajian yang dibuat, mereka yang mempunyai kadar pendidikan yang tinggi akan memilih untuk mendapatkan kaedah perancangan keluarga, dan membesarkan anak-anak mereka dengan kualiti, berbanding dengan kuantiti.

Akan tetapi, ini bukanlah bermaksud mereka yang tidak berpendidikan akan mempunyai anak yang ramai, tetapi hal ini bermaksud, mereka yang mempunyai pendidikan dan membina keluarga biasanya akan tahu kemampuan mereka dalam membesarkan bilangan anak mereka agar kesemua anak yang dibesarkan itu berada dalam keadaan serba mencukupi daripada segi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pendidikan. 

Jika anda lihat graf di atas, anda akan dapati, kadar kelahiran menjadi menurun sejak tahun 1990 kerana masyarakat di dunia semakin berpendidikan dan kaedah perancangan keluarga telah diperkenalkan dan diajar secara meluas. Salah satu data yang kita ada adalah mengenai negara Afghanistan di mana seperti yang saya sebutkan di atas, kadar kematian kanak-kanak adalah sebanyak 10%. Sekiranya hal ini diteruskan, populasi mereka dijangka akan meningkat daripada 30 juta orang (pada tahun 2014) kepada 55 juta orang pada tahun 2050.

Langkah pencegahan kematian kanak-kanak di bawah usia 5 tahun ini sebenarnya memberi kesan kepada hampir semua populasi tanpa mengira usia di sana. Penambahbaikkan infrastruktur kesihatan dan pendidikan, pencegahan kehamilan pada terlalu muda (usia remaja), perancangan keluarga akan menjadikan rakyat dan populasi mereka membesar dan mendapat kehidupan yang serba lengkap. Sebenarnya, data paradoks ini iaitu pencegahan kematian akan menyebabkan kadar kelahiran terkawal telahpun dicapai oleh beberapa negara di dunia ini.

Jadi, secara kesimpulannya, apabila kita berjaya menangani masalah utama iaitu kematian yang disebabkan oleh sesuatu yang boleh dicegah, maka, perkembangan daripada segi lain akan mulai menunjukkan kesan. Kesan-kesan ini diharap akan menjadikan dunia ini sebagai satu tempat yang aman dan kondusif untuk seseorang itu membesar.

Disclaimer – Artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan dan penambahan ilmu pengetahuan daripada segi bidang sains sahaja. Segala komen seperti ‘segala takdir telah ditentukan’, ‘siapalah manusia untuk membuat ramalan dan manusia tidak boleh mencegah kematian’ adalah dianggap tidak relevan dan koheren berdasarkan graf dan data yang dibincangkan. Terima kasih.

Rujukan dan Pautan

  1. Graf dan data – https://ourworldindata.org/world-population-growth
  2. Artikel dalam bahasa Inggeris oleh Melinda Gates – https://www.gatesfoundation.org/who-we-are/resources-and-media/annual-letters-list/annual-letter-2014
  3. Bacaan lanjut – https://www.gatesinstitute.org/
  4. Graf mengenai kadar kematian kanak-kanak – https://ourworldindata.org/child-mortality
  5. Penerangan komprehensif dalam bentuk video

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.