Selamat Ulang Tahun Saintis Hebat, Isaac Newton

359

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Semalam, (25 Disember) merupakan hari ulang tahun kelahiran fizikawan ulung, Isaac Newton yang ke-377 tahun. Pada umurnya baru sahaja 23 tahun, Newton telah merumuskan;

i. Hukum Graviti
ii. Hukum Pergerakan
iii. Kalkulus
iv. Memperbaharui ilmu optik

Tahun tersebut dikenali sebagai tahun keagungan (annus mirabilis) Newton. Newton membangunkan empat hukum saintifik dalam tempoh setahun sahaja.

Newton mempunyai personaliti yang sangat misteri dan amat sukar untuk mengenalinya kerana Newton seorang yang anti-sosial. Anak murid Newton pernah melihat Newton gelak sekali sahaja ketika dalam kuliah.

Newton juga seorang yang sering meragui (suspicious) dengan niat orang lain. Ini antara sebab mengapa Newton tidak terbitkan kerjanya ketika berumur 23 tahun itu kerana bimbang hasil kerjanya dicuri.

Walaupun Newton amat dikenali sebagai seorang fizikawan, beliau banyak menghabiskan hayatnya dalam al-kimia dan teologi. Namun, karya-karyanya dalam al-kimia dan teologi tidak pernah diterbitkan ketika Newton masih hidup kerana;

i. Amalan al-kimia adalah amalan terlarang pada ketika itu. Sekiranya terdapat syak wasangka bahawa Newton mengamalkan al-kimia, Newton telah pun berada dalam kedudukan yang buruk.

ii. Newton banyak mengkiritik Gereja dan tafsiran Bible dalam tulisannya dan dia menyembunyikan kepercayaannya yang menolak konsep Triniti.

Dalam al-kimia, Newton mempunyai matlamat yang sama seperti al-kimiawan (alchemist) yang lain iaitu mencipta batu hikmah (philosopher’s stone). Tujuan al-kimiawan yang lain mencari batu hikmah biasanya mahu menukarkan logam biasa menjadi emas ataupun mencari rahsia kehidupan abadi.

Tetapi untuk Newton, dia mahu mencipta batu hikmah kerana mahu mencari kunci rahsia alam. Istilah modennya, Newton mahu mencari “The theory of everything” atau “The fundamental law of nature”.

Penglibatannya dalam al-kimia sebenarnya telah menjadi salah satu penyumbang utama dalam pembentukan teori graviti sejagat. Newton tidak pernah dapat mencipta batu hikmah, tetapi dia dapat menukarkan logam biasa menjadi perak yang dia namakannya sebagai “White Stone”.

Di perpustakaannya, Newton mempunyai koleksi al-kimia yang begitu banyak dan dia pernah menulis berjuta perkataan tentang al-kimia.

Dalam teologi, Newton telah melakukan kajian ke atas Bible dan beliau mendapati Bible pada zamannya telah pun banyak tokok tambah. Newton mengetahui hal ini kerana dia dapat menjejak Bible dalam bentuk asalnya yang tiada tokok tambah.

Hasil daripada situ, Newton menolak Triniti yang mempercayai Jesus sebagai Tuhan. Newton menganggap Jesus sebagai manusia biasa. Mentuhankan Jesus bagi Newton adalah syirik.

Newton pernah menghantar surat kepada John Locke, Bapa Liberalism Moden berkenaan kritikannya ke atas Gereja dan korupsi ke atas teks wahyu. Dan surat-surat tersebut telah menjadi sebuah buku teologi yang bertajuk “An Historical Account of Two Notable Corruptions of Scripture.”

Pada lewat usianya, barulah Newton mula bersosial dan mempunyai kabel dengan orang besar. Newton pernah terlibat sebagai ahli parlimen dan presiden di Royal Society sehinggalah mendapat darjah kesatria (pangkat “Sir”) oleh Ratu England.

Newton meninggal dunia pada umur 84 tahun. Rambutnya diselidik dan mendapati terdapat merkuri. Mungkin disebabkan oleh amalan al-kimianya dan telah menyumbang kepada perangainya yang pelik di lewat usia.

“I do not know what I may appear to the world, but to myself I seem to have been only like a boy playing on the sea-shore, and diverting myself in now and then finding a smoother pebble or a prettier shell than ordinary, whilst the great ocean of truth lay all undiscovered before me.” – Isaac Newton

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.