Selamat Jalan Champion, Khabib Nurmagomedov

1,806

Siapa sangka perlawanan UFC 254 yang berlangsung di Abu Dhabi semalam merupakan perlawanan terakhir bintang sukan seni mempertahankan diri itu, Khabib Nurmagomedov. Selepas berjaya mengalahkan lawannya, Justin Gaethje, beliau mengumumkan persaraannya dari sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA) ketika berada di kemuncak prestasi.

Bila ditanya sebab beliau membuat keputusan mengejutkan itu, Khabib berkata, “”Bila UFC memanggil saya (untuk bertarung) dengan Justin, saya telah berbincang dengan ibu selama tiga hari.

Farewell.

“Dia tidak mahu saya berlawan tanpa kelibat ayah saya (ayah Khabib, Allahyarham Abdulmanap Nurmagomedov kembali ke balik papan kerana komplikasi Covid-19). Tetapi saya telah berjanji dengan ibu, ini pertarungan terakhir saya. Jika saya sudah berjanji, saya mesti tunaikan. Ini pertarungan terakhir saya.”

Jadi, siapa sebenarnya Khabib Nurmagomedov? Anak jati Slidi, Dagestan ini dilahirkan pada 20 September 1988 dan mempunyai darah etnik Avar. Anak kedua dari tiga adik-beradik itu mula dilatih bapanya sendiri dalam pelbagai disiplin seni mempertahankan diri seperti gusti, judo dan sambo sejak berusia lapan tahun lagi. Khabib sendiri sudah menunjukkan minat ke arah berkenaan bila melihat pelajar-pelajar berlatih di gimnasium.

Selepas berpindah ke Kirovaul, Allahyarham Abdulmanap mengubahsuai tingkat bawah rumah mereka dan dijadikan sebagai gimnasium. Di sinilah, beliau melatih mana-mana individu yang beraspirasi menjadi atlet seni mempertahankan diri termasuk Khabib. Semasa hayatnya, Allahyarham Abdulmanap merupakan jurulatih pasukan sambo kebangsaan di Dagestan selain melatih beberapa atlet lain dalam disiplin lain di Makhachkala, Rusia.

Namun, bukanlah sesuatu yang mudah dari satu sukan ke satu sukan lain dan ini diakui sendiri beliau. Semasa usia remajanya, Khabib berhadapan kesukaran beralih dari gusti ke judo tetapi bapanya mahu bakal jaguh UFC itu membiasakan diri memakai pakaian uniform kogi. Selain itu, beliau juga selalu terjebak dengan pergaduhan jalanan sebelum memberi fokus kepada seni mempertahankan diri campuran (MMA).

Pertarungan pertama beliau dalam arena MMA bermula pada tahun 2008 dan dalam masa sebulan, sudah mampu menewaskan empat lawannya. Khabib tidak lagi menoleh ke belakang dan terus mengorak langkah dalam arena sukan ini. Dengan rekod 16 kemenangan dalam setiap perlawanan di Rusia dan Ukraine dalam tempoh tiga tahun, itu sudah cukup bagi UFC menawarkannya peluang bertanding dalam pertandingan sukan berprestij itu.

Sebagai permulaan, Khabib memeterai perjanjian sebanyak enam perlawanan dengan UFC untuk bertanding dalam divisyen UFC kategori lightweight. Dan pada perlawanan pertamanya, anak jati Slidi ini berjaya mengatasi lawannya dari Iran, Kamal Shalorus pada pusingan ketiga perlawanan.

Pada tahun 2013, namanya mula meniti di bibir peminat UFC menerusi dua kemenangan besar. Pertama, pada Mei 2013, Khabib berjaya mengalahkan Abel Trujillo dan turut mencipta rekod baru kejohanan iaitu bilangan menjatuhkan lawan paling banyak dalam satu perlawanan iaitu 21 kali daripada 27 percubaan.

Dan pada September tahun sama, beliau berjaya mengalahkan satu lagi nama besar UFC iaitu Pat Healy. Selepas tamat perlawanan, Presiden UFC Dana White memuji persembahan pendatang baru dari Rusia itu dengan gaya perlawanannya mengingatkan White kepada bekas jaguh MMA, Matt Hughes.

Tetapi untuk beberapa tahun berikutnya, masalah kecederaan dan pembatalan beberapa perlawanan merencatkan sedikit rentak jaguh berdarah Avar itu. Bagi Khabib, bila mengetahui lawannya membatalkan perlawanan pada saat akhir merupakan sesuatu yang mengecewakan.

Dalam satu temubual dengan The MMA Hour, beliau berkata, “Jika mereka kata mereka nak melawan yang terbaik,  mereka patut melawan yang terbaik. Jika mereka mahu, saya bersedia melawan mereka berdua (Gilbert Melendez dan Nate Diaz) secara serentak dalam gelanggang.” Kedua-dua individu membatalkan perlawanan mereka atas sebab-sebab berbeza pada tahun 2014.

Pada April 2018, barulah lelaki berdarah Avar itu berupaya mencabar gelaran juara UFC kategori lightweight. Pada mulanya, Khabib seharusnya berhadapan dengan Tony Ferguson tetapi lawannya itu mengalami kecederaan dan terpaksa menarik diri. UFC kemudian memilih Max Holloway tetapi Holloway disingkirkan kerana dianggap tidak cergas oleh Suruhanjaya Perlawanan Negeri New York (NYSAC).

Akhirnya, Al Iaquinta dipilih sebagai lawan untuk perlawanan merebut kejuaraan kategori tersebut. Dan sepanjang perlawanan, Khabib mendominasi perlawanan dari mula hingga akhir dan menang hasil keputusan sebulat suara juri. Ini membolehkannya meraih gelaran kejuaraan tersebut.

Dan seperti dijangka, Khabib akan berlawan dalam satu pertarungan untuk mempertahankan kejuaraannya pada Ogos 2018. Lawannya itu seperti dijangka ialah McGregor. McGregor memang dikenali dengan sikapnya yang suka memprovokasi pihak lawan dan kadangkala, provokasinya itu bersifat melampau termasuk menyerang negara atau agama pihak lawannya.

Tumbangnya Gregor.

Tetapi Khabib memilih menjawab cabaran dan kerenah lawannya di gelanggang dan pada 6 Oktober 2018, sejarah tercipta. McGregor tumbang dengan kemenangan menyebelahi anak jati Slidir itu dan beliau berjaya mempertahankan gelarannya itu lalu menambahkan winning-streak yang dimilikinya ke 27-0.

Tetapi kekecohan tercetus gara-gara sikap Khabib yang dikatakan menyerang salah seorang krew McGregor dengan McGregor sendiri berlawan dengan beberapa krew Khabib. Dalam sidang media pasca-perlawanan, beliau berkata, “Dia (McGregor) mempersoalkan agama saya. Dia mengejek negara saya. Dia menghina bapa saya.

“Dia datang ke Brooklyn dan merosakkan bas serta hampir menyebabkan beberapa orang terbunuh. Jadi orang mempersoalkan mengapa saya melompat ke sangkar gelanggang? Kenapa mereka bercakap soal ini? Saya tak faham. Bapa saya mengajar saya untuk menghormati orang lain.

“Mereka yang mengenali saya, mereka tahu siapa diri saya. Ini sukan yang mementingkan maruah dan kehormatan, bukannya sukan di mana orang boleh menghina sesiapa saja sesuka hati. Saya nak ubah sukan ini. Mereka boleh bercakap tentang agama dan negara – anda tidak boleh katakan perkara-perkara sedemikian. Pada saya, ini sesuatu yang penting.”

Di sebalik rupanya yang ganas dalam gelanggang, tidak ramai tahu Khabib merupakan seorang Muslim yang berpegang teguh dengan ajaran agama. Beliau tidak pernah menyentuh arak dan jika anda perasan, tiada sebarang tatu yang dicacah pada badannya. Malah, Khabib juga amat berbangga dengan warisannya sendiri dengan memakai topi papakha iaitu topi tradisional etnik Avar selepas pertarungan dan semasa mempromosikan UFC.

Lelaki ini juga fasih bertutur dalam beberapa bahasa seperti Bahasa Arab, Bahasa Rusia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Turki. Khabib sudah berkahwin sejak tahun 2013 dan mempunyai dua cahaya mata, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Perlawanan UFC 254 merupakan acara akhir kejohanan UFC yang dianjurkan di Pulau Yas, Abu Dhabi. Khabib sepatutnya tampil pada UFC 249 menentang Tony Ferguson tetapi tidak dapat berbuat demikian berikutan sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan di Rusia akibat pandemik Covid-19. Ini menyebabkan UFC membawa masuk Gaethje sebagai lawan baru Ferguson.

Selepas bertarung selama lima pusingan, Ferguson terpaksa akur dengan kehandalan ahli MMA dari Amerika Syarikat itu. Dan ini membawa kepada pertembungan Khabib-Gaethje bagi merebut gelaran juara lightweight UFC. Ramai menjangkakan anak jati Safford, Arizona itu dapat menjinakkan jaguh UFC berdarah Avar itu kerana mempunyai latar belakang dalam sukan gusti.

Tetapi perkara sebaliknya berlaku dalam perlawanan UFC 254. Khabib mendominasi pusingan pertama dengan memberi banyak tekanan kepada Gaethje sebelum berjaya menundukkan lawannya pada pusingan kedua. Jaguh UFC itu menyertai senarai lawan yang pernah ditumbangkan beliau seperti McGregor, Dustin Poirier, Al Iaquinta dan Edson Barboza.

Jari kaki Khabib yang berbalut.

Dan paling mengagumkan, Khabib sebenarnya berlawan dalam keadaan baru pulih dari kecederaan seperti didedahkan Presiden UFC, Dana White. White berkata, “Apa yang dilalui lelaki ini, kita semua bernasib baik dapat melihatnya bertarung malam ini (semalam). Saya mendengar pelbagai khabar yang saya sendiri tidak tahu.

“Pada satu ketika, beliau dikatakan dibawa ke hospital kerana kecederaan patah kaki tiga minggu lepas. Jadi, beliau mengalami kecederaan patah dua jari kaki dan satu tulang pada kakinya patah – itu yang diberitahu pasukannya kepada saya. Perkara ini tidak pernah diberitahu kepada sesiapa. Beliau merupakan salah satu daripada individu terkuat di dunia dan dia pelawan nombor satu di dunia.”

Bagi Khabib, perlawanan ini juga dianggap istimewa kerana menentang rakan yang membantunya beradaptasi dengan dunia UFC termasuk membantu menurunkan berat sebanyak beberapa paun sebelum melawan Darrell Horcher. Beliau menambah, “Terima kasih, Justin (Gaethje). 2016 saya masih ingat bila saya nak turunkan lagi berat, anda banyak membantu saya. Terima kasih, saudaraku.”

“Saya tahu anda seorang lelaki yang hebat. Saya tahu anda amat menjaga orang-orang di sekeliling anda. Saya tahu banyak perkara tentang anda. Kekalkan hubungan rapat anda dengan mereka kerana anda tidak tahu apa yang berlaku pada hari esok.”

Ciapan Conor McGregor
Ciapan Daniel Cormier

Keputusan persaraan Khabib mengundang penghargaan daripada ramai pihak termasuk jaguh-jaguh UFC. Berikut beberapa ciapan mereka selepas mendapat tahu keputusan persaraan beliau.

RUJUKAN:

BBC. (2018). UFC 229: Who is Conor McGregor’s opponent Khabib Nurmagomedov? https://www.bbc.com/sport/mixed-martial-arts/45745463

BBC. (2018). Khabib Nurmagomedov beats Conor McGregor: Russian ‘has to be suspended’. https://www.bbc.com/sport/mixed-martial-arts/45775969

Head, Simon. (2020). Khabib Nurmagomedov retires from UFC after beating Justin Gaethje. BBC. https://www.bbc.com/sport/mixed-martial-arts/54676605

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.