Selamat Datang Ke Perang Dunia Kedua!

0
2336
views

Ramai yang berpendapat apabila kejayaan Kuasa Bersekutu yang terdiri daripada British, Perancis dan Russia mengalahkan Pakatan Tengah yang terdiri daripada Jerman, Austria-Hungary dan Turki Uthmaniyyah ketika Perang Dunia Pertama 1914-1918, maka tidak akan ada lagi perang besar berlaku. Kini, dunia didominasi oleh negara-negara yang menang terutama sekali British, Perancis, Jepun dan Amerika Syarikat. Banyak tanah-tanah dan wilayah-wilayah bekas jajahan Jerman, Austria-Hungary dan Turki Uthmaniyyah diambil dek kerana kekalahan Pakatan Tengah tersebut.

Selepas Perang Dunia Pertama tamat, beberapa isu dan konflik semakin menjadi-jadi lebih-lebih lagi di Eropah. Dunia beranggapan yang keamanan akan dikecapi selepas Perang Dunia Pertama merupakan sangkaan yang amat meleset. Revolusi demi revolusi semakin menjadi-jadi. Kebangkitan gerakkan Komunis dan Nasionalis mula mengambil tempat di pentas dunia. Kemiskinan, kebuluran dan kematian semakin parah.

1918-1924

Tahun-tahun ini merupakan tahun yang paling gawat yang dilalui dunia pada masa itu. Bermula selepas kekalahan Jerman pada 18 November 1918, satu per satu negara-negara di dunia mengalami revolusi dan perang saudara yang tersendiri. Jika sebelum itu, Jerman, Austria-Hungary dan Turki Uthmaniyyah merupakan sebuah negara monarki, selepas perang, raja-raja di negara tersebut digulingkan termasuklah sekutu rapat British dan Perancis iaitu Rusia.

Jerman menjadi sebuah negara republik selepas Kaiser Wilhelm dipaksa untuk turun takhta. Negara-negara di dalam Empayar Austria-Hungary dan Turki Uthmaniyyah masing masing mengisytiharkan kemerdekaan ataupun menjadi tanah jajahan British dan Perancis.

Maka, lahirlah negara-negara baru selepas Perang Dunia Pertama seperti Poland, Yugoslavia, Czechoslovakia, Ukraine, Belarus, Latvia, Lithuania, Estonia, Iraq, Finland dan Saudi Arabia. Kebanyakkan negara-negara merdeka ini merupakan bekas wilayah di dalam empayar Turki, Austria-Hungary dan Rusia dimana pemimpin mereka memimpin empayar ini dengan lemah, kejam dan dahsyat sekali.

Stalin, Lenin dan Trotsky menjadi tulang belakang disebalik kejayaan Komunis mengambil alih kuasa di Rusia.’

Sekutu rapat British dan Perancis iaitu Rusia merupakan negara pertama yang merasai pergolakkan berdarah besar-besaran. Keengganan Tsar Nicholas II untuk membawa keluar Rusia keluar daripada Perang Dunia Pertama membawa padah apabila beliau digulingkan dalam suatu revolusi demokratik pimpinan Alexander Kerensky pada 1917. Apabila Kerensky enggan membawa Rusia keluar daripada kancah peperangan, beliau juga digulingkan.

Kali ini, Vladimir Lenin dan Parti Bolshevik Komunis pimpinan beliau menggulingkan Kerensky dalam Revolusi Oktober tahun 1917. Maka, berlakulah Perang Saudara Rusia diantara Tentera Merah Komunis dan Tentera Putih Monarkis/Demokratik yang berlanjutan sehingga 1922 di mana kemenangan berpihak kepada Vladimir Lenin dan terbentuklah sebuah negara Soviet Union, yang merangkumi Rusia, Belarus, Ukraine, Kaukasus, dan negara-negara Asia Tengah.

Pada tahun 1918-1919, Jerman menghadapi beberapa jenis revolusi dan kebangkitan rakyat daripada puak Komunis, puak Pemisah, dan puak junta Tentera dengan harapan dapat menjatuhkan sistem Republik di Jerman.

Jerman merupakan negara yang paling teruk terjejas selepas perang. Perjanjian Damai Versailles merupakan perjanjian yang sangat tidak adil bagi Jerman. Mereka berseorangan terpaksa membayar pampasan kepada negara-negara yang menang kerana sekutu-sekutu Jerman semuanya sudah tiada dan dibubarkan. Inflasi, kebuluran, kemiskinan semakin berleluasa di dalam negara Jerman. Ini diburukkan lagi apabila ada beberapa pihak bangkit membuat kacau dan revolusi menuntut agar kebajikan dan maruah rakyat diperbaiki semula. Pada 1918-1919, Jerman melalui beberapa siri revolusi seperti Revolusi Kelasi dan Revolusi Spartacus Komunis menuntut kemerdekaan di beberapa buah wilayah di dalam Jerman.

Selepas Revolusi Jerman berakhir, Jerman akhirnya dipimpin secara Demokratik selepas berjaya mengalahkan puak Monarkis dan Komunis. Kemudian, Jerman dikejutkan oleh beberapa siri percubaan rampasan kuasa dilakukan seperti Rampasan Kuasa Kapp oleh Wolfgang Kapp 1920 dan Rampasan Kuasa Dewan Arak oleh Adolf Hitler 1923. Semua coup d’etat ini berjaya dipatahkan oleh kerajaan demokratik Jerman pada ketika itu.

Kawad Ke Arah Rome 1922. Mussolini berkawad dari bandar Naples terus ke ibu kota Rome dengan mendesak Raja Itali Victor Emmanuelle III untuk melantik beliau sebagai Perdana Menteri.

Di Itali, walaupun berada di pihak yang menang, hutang negara melambung naik kerana Perang Dunia Pertama. Ramai rakyat dibelenggu kemiskinan dan tiada peluang pekerjaan. Puak Komunis mula bertapak di Itali seterusnya cuba untuk menubuhkan sebuah Republik Komunis seperti di Russia.

Benito Mussolini bersama puak Baju Hitam yang menyokong ideologi Fascist Nasionalis cuba untuk menghalang rancangan Puak Komunis. Selepas berjaya menawan hati rakyat Itali, Mussolini melancarkan kempen Kawad Ke arah Rome pada 1922 dengan harapan dapat menggulingkan Perdana Menteri Itali ketika itu, Luigi Fracta. Melihat daripada sokongan rakyat yang padu dan kebolehan Mussolini mengekang ancaman Komunis, Raja Itali, Victor Emmanuelle III terus mengarahkan Mussolini mengambil tempat sebagai Perdana Menteri Itali.

Rampasan Kuasa Dewan Arak 1923. Hitler dan Parti Nazi cuba untuk merampas kuasa seperti yang dilakukan oleh Mussolini di Itali tetapi gagal.

Jepun pula seperti Itali apabila mereka dibelenggu dengan masalah hutang dan terhimpit dengan masalah politik dalaman. Ada pihak yang mahukan negara diperintah secara Raja Berpelembagaan dan ada yang mahukan pemerintahan ketenteraan. Jepun mendapat beberapa tanah jajahan peninggalan Jerman di Lautan Pasifik dan mereka memerlukan modal untuk membangunkan wilayah-wilayah baru itu.

Turki pula menyaksikan negara tersebut diperintah oleh Tentera Berikat terdiri daripada Itali, British, Perancis, Russia dan Greece. Field Marshal Mustafa Kemal memimpin suatu gerakkan (perang) untuk menghalau Tentera Berikat keluar dari Turki. Akhirnya pada tahun 1923, Tentera Berikat bersetuju untuk keluar daripada Turki dan Mustafa Kemal mengisytiharkan Turki sebagai Republik. Pada tahun 1924, Mustafa Kemal memansuhkan sistem Khalifah dan menghalau Sultan Abdul Majid II daripada Turki.

Untuk mengelakkan gerakan-gerakan penyokong Khalifah, Mustafa Kemal Atarturk menghapuskan sistem Khalifah dan memaksa Sultan Abdul Majid II untuk keluar meninggalkan Turki.

1924-1933

Tahun-tahun ini menyaksikan beberapa insiden penting dalam sejarah. Pada tahun 1924, Vladimir Lenin meninggal dunia dan tempat beliau diambil alih oleh Joseph Stalin untuk memimpin Soviet Union. Stalin mula untuk menjadikan diri beliau sebagai pemimpin muktamad Soviet Union dengan membunuh dan menghalau beberapa orang pesaing dikalangan Parti Komunis seperti Sergei Kirov dan Leon Trotsky.

Di Asia pula, China semakin bergolak. Pada ketika itu, terdapat banyak puak-puak yang memerintah tanah besar China. Chiang Kai-Shek, ketua Parti Nasionalis Kuomintang mempimpin suatu kempen ketenteraan yang dipanggil Expedisi Ke Utara yang berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan Beiyang di Beijing dan para-para pembesar (warlords) di China seterusnya menyatukan China menjadi sebuah Republik China pada 1926. Namun pada tahun 1927, berlaku pemberontakan Komunis pimpinan Mao Zedong untuk menjadikan China sebagai negara Komunis.

Waqaf Saham

Disebabkan perbezaan ideologi, maka tercetuslah Perang Saudara di antara Chiang Kai-Shek (kanan) dan Mao Zedong. Disebabkan perang ini juga, Jepun mengambil peluang untuk menjarah seluruh China pada 1937.

Pada tahun 1931, Jepun menyerang timur laut China dan menakluk seluruh Machuria. Serangan ini berlaku kerana Jepun mengatakan bahawa ada askar China menyerang pos kawalan Jepun di sempadan Korea-China. Insiden ini berakhir pada tahun 1932 apabila Jepun  menduduki seluruh Manchuria dan menjadika wilayah tersebut sebagai negara boneka Jepun.

Di Eropah pula, Hero Jerman dan komander bersara ketika Perang Dunia Pertama iaitu Field Marshal Paul von Hindenburg dipilih sebagai Presiden baru menggantikan Presiden Frederich Ebert yang tidak popular dalam pilihan raya 1925. Pada ketika ini Adolf Hitler masih lagi dipenjara selepas kegagalan beliau ketika cubaan Rampasan Kuasa Dewan Arak 1923. Ketika ini Hitler sedar untuk menguasai Jerman dan mengembalikan maruah rakyat Jerman, Hitler perlu memasuki bertanding di pilihan raya, bukan secara coup d’etat. Ini ditulis sendiri Hitler dalam buku yang ditulis ketika itu iaitu Mein Kampf.

Di Itali pula menyaksikan sebuah insiden bersejarah yang berlaku pada tahun 1926. Kerajaan Itali pimpinan Raja Victor Emmanuelle III dan Benito Mussolini menandatangani Perjanjian Lateran dengan Pope Pius XI, mengakhiri persengketaan di antara Itali dan Bandar Vatican sejak 1860 di mana, akhirnya, Kerajaan Vatican mengesahkan pendudukan Itali di ibu kota Rome yang merupakan bekas wilayah Vatican manakala Itali mengesahkan bahawa Bandar Vatican akan menjadi sebuah negara yang berdaulat dan berjanji untuk memelihara kesucianya.

Adolf Hitler mengangkat sumpah sebagai Chancellor Jerman dihadapan Presiden Paul von Hindenburg.

Kembali semula ke Jerman, pada tahun 1933, Parti Sosialis Nasional (Nazi) pimpinan Adolf Hitler berjaya memenangi pilihan raya dan diangkat sebagai Chancellor Jerman (Perdana Menteri) oleh Presiden von Hindenburg. Di sinilah bermula titik permulaan kepada semua konflik yang menjurus ke Perang Dunia Kedua enam tahun kemudian. Kuasa seorang Chancellor tidak mutlak dan Hitler mahu mengubahnya.

Pada tahun yang sama, bangunan parlimen Jerman iaitu Reichstag terbakar. Hitler menyalahkan puak Komunis dan Parti Pembangkang diatas insiden kebakaran ini dan mengeluarkan Dikri Reichstag dan Akta Pengesahan (Enabling Act) yang membekukan hak asasi rakyat, pengharaman parti pembangkang dan penahanan semua suspek-suspek yang memusuhi kerajaan.

Insiden ini menyebabkan Jerman menjadi sebuah negara Diktator dimana kuasa Canselor Jerman lebih berpengaruh daripada kuasa Presiden yang dianggap simbol sahaja. Ketika ini, Amerika Syarikat mendapat seorang Presiden baru bernama Franklin D. Roosevelt.

1934-1939

Selepas pembunuhan ketua Detasmen Petir SA, Rohm dalam Malam Pisau-Pisau Panjang, Hitler menggantikan tempat beliau dengan Heinrich Himmler (kiri) yang lebih setia kepada Hitler.

Tahun-tahun ini menjadi tahun di mana dunia sedang bergerak ke arah satu lagi perang dunia. Ketika ini, Adolf Hitler menjadi pemimpin mutlak negara Jerman selepas kematian Presiden von Hindenburg pada 1934. Pada tahun itu juga, Hitler mengemaskini semula pentadbiran beliau.

Insiden Malam Pisau-Pisau Panjang, menyaksikan Hitler dan Pengawal-Pengawal Peribadi SS (Schutzstaffel) membunuh dan menghapuskan pegawai Detasmen Petir SA (Sturmabteilung) yang merupakan pasukan paramilitari Parti Nazi yang dipimpin Ernst Rohm agar mereka tidak berkomplot untuk menjatuhkan Hitler. Tidak ada seorang pun yang berani menentang Hitler sebagai ketua negara dan beliau kini boleh fokus untuk membangunkan semula negara Jerman dan bersiap sedia untuk berperang.

Memasuki tahun 1935, sebagai polisi appeasement (berbaik-baik), British menandatangani Perjanjian Naval British-Jerman di mana British bersetuju supaya Jerman membina angkatan laut mereka yang tidak lebih 35% kapal perang yang British ada ketika itu. Dengan termeterainya perjanjian ini, British secara tidak langsung mula ‘berkawan-kawan’ dengan Jerman dan membenarkan Jerman untuk meningkatkan jumlah angkatan tentera walaupun diharamkan dalam Perjanjian Versailles.

Mussolini menerima tabik hormat daripada Tentera Itali ketika Perang Itali-Ethiopia. Beliau mempunyai cita-cita untuk membina sebuah Empayar Rom Baru

Tahun ini juga menyaksikan Hitler mengeluarkan Undang-Undang Nuremberg di mana, menyekat dan mengehadkan kebebasan dan hak orang-orang Yahudi di Jerman. Seterusnya, Itali mengisytihar perang terhadap Empayar Ethiopia di Afrika Timur di mana menjadi batu asas untuk Mussolini merealisasikan cita-cita beliau untuk membina sebuah Empayar Rom Baru. Disebabkan oleh kelemahan dan kemunduran teknologi tentera Ethiopia, Itali mudah mengalahkan mereka pada 1936 dan menjadikan Ethiopia sebagai negara Afrika terakhir yang dikolonisasikan oleh penjajah.

Hitler menghantar sepasukan kontijen tentera untuk membantu General Franco ketika Perang Saudara Sepanyol 1936-1939 yang membawa kepada kemenangan kepada rejim Nasionalis Franco.

Pada tahun 1936 juga, Sepanyol terjebak kedalam Perang Saudara diantara Nasionalis pimpinan General Francisco Franco menentang Republikan pimpinan Presiden Manuel Azana. Jerman dan Itali menggunakan kesempatan ini untuk mencuba beberapa teknologi-teknologi ketenteraan di sana sambil menyokong rejim Franco.

Manakala Soviet Union memberikan bantuan bekalan senjata kepada tentera Republikan pimpinan Presiden Azana. Tahun ini juga menyaksikan Soviet Union pimpinan Joseph Stalin melancarkan kempen pembunuhan beramai-ramai dikalangan suspek-suspek yang dianggap musuh kepada Stalin. (The Great Purge).

Chamberlain (Britain), Daladier (Perancis) berhempas pulas untuk memuaskan hati Hitler dengan menandatangani Perjanjian Munich untuk menyerahkan Czechoslovakia kepada Jerman.

Memasuki tahun 1937, Neville Chamberlain, seorang yang menyokong idea appeasement diangkat sebagai Perdana Menteri Britain dan Presiden Roosevelt kekal sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua. Di Asia, mengambil peluang bergaduhan antara Nasionalis China dan Komunis China, Jepun melancarkan Perang China-Jepun Kedua terhadap China dengan objektif untuk mengkolonisasi seluruh negara China. Ada pendapat bahawa, perang ini merupakan titik pertama Perang Dunia Kedua.

Di akhir tahun ini, Tentera Jepun memasuki Nanjing (Nanking), bandar kedua terbesar China. Di sinilah berlakunya kemusnahan moral manusia apabila berlakunya Perogolan Beramai-Ramai Nanjing.

Selepas Tentera Jepun memasuki Nanking pada 1937, bandar tersebut dijarah dan dicabul dengan amat dahsyat dimana penduduk dirogol dan dibunuh beramai-ramai dan kejam sekali.

Pada tahun 1938, Austria bersetuju untuk menjadi sebahagian kepada wilayah Jerman. Seterusnya, British, Perancis dan Itali menandatangani Perjanjian Munich dengan Jerman yang menuntut sebahagian utara wilayah berpendudukan Jerman di Czechoslovakia diserahkan kepada Jerman secara aman. Ini adalah salah satu cara British dan Perancis untuk mengelak peperangan dengan Jerman.

Di Asia pula, Jepun yang sedang sibuk berperang dengan China, melancarkan konflik bersenjata terhadap Soviet Union di timur pada tahun 1938 dan 1939. Hal ini kerana Jepun tidak berpuas hati terhadap pendudukan Tentera Soviet di sepanjang sempadan Soviet-Jepun yang dianggap sebagai haram dan tidak sah.

Dalam beberapa siri pertempuran seperti Pertempuran Tasik Khasan dan Pertempuran Khalkhin Gol, Jepun tewas teruk kepada Tentera Soviet yang dipimpin oleh General Georgy Zhukov yang lebih moden daripada Tentera Jepun. Hasilnya, Jepun menandatangani Perjanjian Non-Aggression­ dengan Soviet Union. Perang ini juga menjadi pengajaran buat Jepun supaya tidak lagi menyerang Soviet Union di utara, tetapi untuk fokus ke selatan (Hakushin-ron dan Nashin-ron).

Georgy Zhukov menjadi duri dalam daging bagi Tentera Jepun kerana berjaya mematahkan dan menewaskan tentera Jepun pada 1939. Hal ini menyebabkan Jepun tidak berani lagi untuk menyerang Soviet Union.

Dengan berakhirnya Perang Saudara Sepanyol, yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Nasionalis Franco, kini Jerman dan Itali mempunyai pengalaman peperangan yang sangat berguna. Pada 1939, Itali menceroboh dan menakluk Albania. Kemudian Mussolini bersetuju untuk mengadakan Pakatan Besi dengan Nazi Jerman pimpinan Adolf Hitler yang merangkumi perjanjian ekonomi dan pertahanan dua hala.

Pada Ogos tahun tersebut, Hitler pula menandatangani Perjanjian Molotov-Ribbentrop di mana Jerman tidak akan diganggu oleh Soviet Union jika Jerman menyerang Poland. Hal ini merupakan suatu kegagalan paling besar oleh British dan Perancis kerana terlalu berlembut dengan Hitler. Pada September tahun yang sama, Nazi Jerman mengisytihar perang terhadap Poland. British dan Perancis mengisytihar perang terhadap Jerman.

Dengan Jepun masih berperang dengan China di Asia sejak 1937, kini Eropah ditarik ke dalam medan peperangan. Selamat Datang ke Perang Dunia Kedua.

Rujukan:

  1. Kevin Mason, “Building an Unwanted Nation: The Anglo-American Partnership and Austrian proponents of a Separate Nationhood, 1918–1934.”
  2. Carley, Michael Jabara (1993). “End of the ‘Low, Dishonest Decade’: Failure of the Anglo–Franco–Soviet Alliance in 1939”. Europe–Asia Studies.
  3. The Road to World War II in 30 minutes. https://www.youtube.com/watch?v=eMWWbZegvxo&t=468s