Selamat Datang ke E3 2018!

0
202
views

Electronic Entertainment Expo ataupun E3 secara ringkas, merupakan ekspo permainan video yang mengumpulkan pemain-pemain industri, pihak media dan juga peminat permainan video di dalam satu acara berprestij. Dengan kehadiran mencecah puluhan ribu saban tahun, dan persembahan-persembahan dan pendedahan permainan-permainan video yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat dan gamers di seluruh dunia, E3 merupakan acara terbesar dalam industri permainan video. Ekspo yang dianjurkan secara tahunan ini berjaya menarik sekurang-kurangnya 60,000 orang pengunjung setiap tahun. Di ekspo inilah permainan video yang baharu dipertotonkan kepada orang awam dan pihak media buat pertama kalinya. Tidak kurang juga dengan perlancaran-perlancaran konsol terbaharu yang mewarnai dan menggerakkan industri turut diadakan di ekspo ini. Sepanjang 24 tahun tempoh penganjuran ekspo ini, ianya telah melalui pelbagai peristiwa menarik dan perubahan ke arah membentuk acara yang menjadi titik tolak revolusi dalam industri permainan video.

Untuk lebih memahami bagaimana E3 bermula, eloklah kita menjejakkan kaki ke tahun 1985, 2 tahun selepas kejatuhan industri permainan video. Pada tahun itu, Nintendo baru sahaja melancarkan konsol pertama mereka (Nintendo Entertainment System) ke pasaran Amerika Syarikat yang dilancarkan sewaktu CES (Consumer Electronic Show) sedang berlansung. Ya, ketika itu kebanyakan pemain industri mempamerkan permainan video dan juga konsol-konsol keluaran mereka di CES. Terpaksalah mereka berkongsi ruang pameran dengan peralatan elektronik yang lain seperti televisyen, dan radio. Pun begitu, pameran-pameran dari syarikat permainan video selalu menjadi perhatian pengunjung dan terutama sekali pihak media.

Segalanya berubah pada awal 1990-an, apabila industri elektronik semakin pesat berkembang. Pada ketika itu, permainan video bukanlah lagi perhatian utama pengunjung. Fokus dan perhatian mula diberikan kepada telefon bimit dan juga perkakasan multimedia seperti pemain CD dan juga komputer riba. Ini menyebabkan syarikat-syarikat permainan video mula diketepikan. Malah layanan yang diterima oleh pemain industri ketika itu oleh penganjur CES sendiri amatlah teruk. Syarikat-syarikat permainan video tidak diletakkan di dalam ruang pameran di dalam dewan, sebaliknya diletakkan di kemah-kemah di luar berdepan dengan hujan dan panas. Melihatkan industri permainan video yang juga turut pesat berkembang pada ketika, membuatkan banyak syarikat-syarikat permainan video sedar yang industri mereka lebih hebat dari penghinaan yang dibuat oleh penganjur CES. Oleh kerana itulah, banyak syarikat-syarikat seperti Sega mula menarik diri daripada CES.

Pada tahun 1994, akibat dari tekanan yang dikenakan oleh pihak kongres dan juga kerajaan Amerika Syarikat, IDSA (Interactive Digital Software Association) ditubuhkan bagi memberi solusi terhadap kecaman kerajaan ekoran imej dan visual keganasan yang dipamerkan secara meluas di dalam permainan video pada ketika itu. Sistem rating ESRB (Entertainment Software Rating Board) merupakan antara hasil penyelesaian IDSA. Mendengarkan keluhan syarikat-syarikat permainan video tentang layanan penganjur CES, IDSA cuba berunding dengan pihak penganjur, tapi gagal. Ketika itu, Pat Farrell, yang merupakan pencipta majalah GamePro mencetuskan idea untuk menganjurkan ekspo yang khusus untuk industri permainan video. Cadangan Farrell dibawa kepada IDSA dan hasil perbincangan mereka, membawa kepada penubuhan E3.

E3 yang pertama diadakan pada musim panas tahun 1995 di Los Angeles, California. Pada mulanya pihak penganjur (termsuklah Farrell dan IDSA) kurang yakin yang E3 akan mendapat sambutan. Namun begitu, belumpun E3 membuka tirai, kesemua ruang pameran telahpun habis ditempah. Tahun itu menyaksikan kedatangan sehingga 40,000 orang termsuklah pihak media. Perlancaran bersejarah Playstation juga dilakukan ketika E3 kali pertama ini. Selepas sekali sahaja penganjuran, E3 telahpun diangkat sebagai acara terbesar dalam industri permainan video.

Selepas itu E3 terus dianjurkan tahun demi tahun. Pernah bertukar lokasi sekejap ke Atlanta,Georgia dari tahun 1997 hinggalah 1998. Tetapi selepas daripada itu, Los Angeles kekal menjadi lokasi rasmi bagi E3. E3 juga pernah dikecilkan skopnya atas sebab-sebab kewangan pada tahun 2007, tapi kembali dianjurkan secara besar-besaran pada tahun berikutnya. Sejak tahun 2015, E3 mula dibuka kepada orang awam secara terhad. Tiket untuk menghadiri E3 dijual kepada peminat dan gamers sedunia menyaksikan kedatangan ke E3 melonjak sehingga mencecah 70,000 orang pada satu-satu masa. Pada tahun ini, E3 akan dianjurkan pada 13 Jun di Los Angeles.

E3 2018

E3 kali ini bakal menyaksikan gergasi-gergasi industri permainan video bersaing diantara satu sama lain mempersembahkan permainan video masing-masing. Dalam beberapa minggu yang lepas, pihak media telahpun memberi ramalan mereka tentang apa yang bakal dipersembahkan ketika E3 kali ini. Antaranya…

Sony

Sony dijangka tidak mengumumkan sebarang konsol ataupun perkakasan yang baru untuk E3 kali ini. Playstation 4 Pro yang baru sahaja mereka lancarkan 2 tahun yang lalu sudah cukup untuk kekal relevan buat masa sekarang. Playstation 5 pun masih lagi di awal pembangunan. Jadi keseluruhan persembahan Sony mungkin tertumpu kepada permainan video eksklusif untuk konsol mereka Playstation. Antara permainan video yang menjadi perhatian adalah The Last of Us Part 2 (sekuel kepada permainan video terbaik 2013), Spider-Man dan Death Stranding yang dibangunkan oleh Hideo Kojima.

Microsoft

Seperti juga Sony, Microsoft juga lihatnya tidak bercadang untuk melancarkan sebarang konsol ataupun perkakasan yang baharu. Xbox One X baru sahaja dilancarkan tahun lepas dan dengan jualan yang kurang memberansangkan adalah lebih elok untuk Microsoft mempromosikan sahaja konsol yang sedia ada. Jadi Microsoft juga mungkin lebih memberi tumpuan kepada permainan-permainan video eksklusif mereka. Mungkin Halo 6 yang dibangunkan oleh 343 bakal menjadi pertaruhan utama mereka. Selain daripada Halo, mungkin E3 kali ini juga bakal menyaksikan Gears of War 5 dan juga Fable yang di-reboot.

Nintendo

Nintendo dijangka akan memberi perhatian mempromosikan konsol mereka Nintendo Switch. Mungkin banyak permainan video diluar sana yang akan dilancarkan untuk Switch. Tahun ini juga Nintendo dijangka memberi fokus pada francais permainan video melee mereka, Super Smash Bros yang akan dilancarkan kepada platform Switch. Ada juga ura-ura yang mengatakan Nintendo bakal melancarkan iterasi terbaru francais popular mereka, Metroid Prime 4. Apa-apapun sama-samalah kita nantikan persembahan Nintendo di E3 nanti.

EA

EA mengambil pendekatan berbeza dengan syarikat-syarikat yang lain apabila menganjurkan sidang media mereka di luar dari kerangka E3. Pun begitu ia masih di dalam lingkup perjalanan acara tersebut. EA bakal mengumumkan iterais terbaru francais sukan mereka yang popular (EA Sport) termasuklah FIFA 2019, Madden 2019, NHL 2019 dan banyak lagi.Selain daripada itu EA juga bakal mempersembahkan Battlefield V kepada peminat di E3. Anthem yang dibangunkan oleh Bioware juga bakal membuat kemunculan sulung mereka di E3 kali ini.

Ubisoft

Sebagai penerbit dan pembangun francais Assassin’s Creed yang popular, sudah tentulah E3 kali ini bakal menyaksikan Ubisoft mengumumkan Assassin’s Creed yang terbaharu. Diberi nama sebagai Assassin’s Creed Odyssey, iterasi kali ini akan membawa gamers ke zaman Greece purba. Selain daripada itu Ubisoft juga bakal memberi perhatian kepada francais seperti Tom Clancy’s Splinter Cell dan juga Beyond Good and Evil 2.

Bethesda

Tiada pengumuman yang besar boleh dijangkakan dari Bethesda kali ini. Namun begitu, beberapa hari yang lepas, Bethesda baru sahaja mengumumkan Fallout 76. Selain daripada itu Rage 2 juga bakal dilancarkan di E3 kali ini.

E3 kali ni dijangkakan akan membawa sehingga 70,000-80,000 orang pengunjung. Apa yang pasti segala pengumuman dan persembahan pada E3 kali ni bakal mewarnai dunia industri permainan video bagi tahun yang mendatang.

Rujukan:

Boyle,Emma, Lincoln, Dom (Jun, 2018), “E3 2018: all the latest news and rumors from this year’s big gaming show” TechRadar