Sekolah-Sekolah Sihir Dalam Novel Harry Potter

944

Dalam konteks novel Harry Potter karya J.K Rowling, ahli sihir bukan sahaja hidup di kawasan Scotland, tetapi di serata dunia. Disebabkan hal itu, beberapa sekolah sihir utama diwujudkan dalam memberi ‘PdPc’ kepada kanak-kanak ahli sihir dan membentuk sifat baik dalam diri mereka.

Hari ini, penulis nak ceritakan serba ringkas sahaja apakah sekolah-sekolah sihir dunia Harry Potter yang wujud dan diakui sendiri J.K Rowling. Penulis tak dapat nak men ‘detail’ kan kerana bilangannya agak banyak juga.

Terdapat dua jenis sekolah. Sekolah bertaraf wilayah, bermaksud sekolah ini hanya menerima pelajar dari wilayah itu sahaja dan sekolah bertaraf benua, bermaksud sekolah yang hanya menerima pelajar dari seluruh benua, tidak kisahlah dari negara mana sekalipun, asalkan terkandung di dalam benua sama.

Hogwart School Of Witchcraft and Wizardry

Jenis: Sekolah Bertaraf Wilayah

Bagi peminat novel atau filem bersiri Harry Potter, mustahil kalian tidak pernah mempunyai minat untuk ke sana. Sebagai sebuah sekolah atau institusi sihir eksklusif yang ditonjolkan, sekolah sihir ini terletak di Scotland namun menerima pelajar yang HANYA berasal dari Great Britain dan Ireland.

Mempunyai rumah Gryffindor, Hufflepuff, Ravenclaw dan Slytherin, pengetua sekolah yang terkenal ialah Albus Percival Wulfric Brian Dumbledore. Antara graduan sekolah ini ialah Hermione Granger.

Sesiapa waktu kecil pernah tunggu mana surat Hogwart, memang tidak akan sampai sebab korang duduk di Malaysia.

Beauxbatons Academy Of Magic

Jenis: Sekolah Berataraf Wilayah

Sesiapa yang pernah menonton filem Harry Potter and Goblet Of Fire atau membaca novelnya, tentunya nama sekolah ini pernah tertera. Kalian tentunya ingat beberapa perempuan berbaju biru, masuk ke dalam dewan lalu menghayun tangan kiri dan kanan serta pada akhirnya mengeluarkan sekumpulan rerama biru. Beauxbatons terletak di France (Perancis). Selain menerima pelajar dari Perancis, mereka juga menerima pelajar dari Sepanyol, Portugal, Netherland, Luxemborg dan Belgium.

Pengetua yang paling terkenal ialah Olympe Maxime atau Madam Maxime, manakala pelajarnya yang paling popular ialah Fleur Delacour. Fleur memasuki Kejohanan Triwizard dan kalah selepas itu. Selepas kian meningkat umur, dia berkahwin dengan Bill Weasly dan dikurniakan anak perempuan bernama Victoire Weasly.

Durmstrang Institute

Jenis: Sekolah Bertaraf Wilayah

Seperti Beauxbatons, Durmstrang juga dikenali selepas filem Goblet Of Fire. Durmstrang terletak di Eropah Utara dan menerima mana-mana pelajar Eropah hinggalah ke Bulgaria. Namun, sekolah ini tidak menerima pelajar Muggle-borns. Pengetuanya yang paling ‘famous’ ialah Igor Karkaroff, seorang bekas Death Eater.

Sebenarnya, Lucius Malfoy pernah merancang untuk menghantar Draco ke sini memandangkan dia rapat dengan Igor Karkaroff. Namun, Narcissa menghalang niatnya itu kerana sekolah itu terlalu jauh.

Pelajar paling terkenal di sekolah itu ialah Viktor Krum, juga seorang Seeker untuk pasukan Quidditch Bulgaria Kebangsaan. Dia ialah idola kepada Ronald Weasly.

Ilvermorny School Of Witchcraft And Wizardry

Jenis: Sekolah Bertaraf Wilayah

Bagi peminat Porpentina Goldstein, antara watak dominan dalam siri Fantastic Beast, mereka pasti mengetahui Tina seorang pelajar Ilvermorny. Ilvermorny terletak di Amerika Utara, secara lebih tepatnya di Amerika Syarikat.

Ilvermorny mempunyai empat rumah, Thunderbird, Puckwudgie, Horned Serpent dan Wampus. Seperti Hogwart, mereka mempunyai kelas sama seperti sihir, pertahanan terhadap ilmu hitam, posyen dan seumpama dengannya.

Antara pelajar yang terkenal ialah adik beradik Goldstein. Porpentina dan Queenie. Porpentina yang kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Newt Scammander, protagonis dalam filem dan novel bersiri Fantastic Beast.

Castelobruxo

Jenis: Sekolah Bertaraf Benua

Castelo diambil dari perkataan castle yang bermaksud istana manakala bruxo bermaksud ahli sihir. Castelobruxo ialah sebuah sekolah bertaraf benua, yang mengambil pelajar yang berasal dari Benua Amerika Selatan. Terletak di dalam hutan hujan Amazon di Brazil, pengetua terkenal mereka ialah Benedita Dourado.

Castelobruxo setua Hogwart-bermakna ia dibina ribuan tahun terdahulu. Pengetuanya juga berhubung baik dengan Dumbledore. Subjek utama dan kebanggaan sekolah ini ialah subjek Herbalogi dan Magizoologist.

Mahoutokoro School Of Magic

Jenis: Sekolah Bertaraf Benua

Mahoutokoro ialah sekolah tertua yang dibina, lebih lama dari kesemua sekolah yang disenarai dalam artikel kali ini dan juga sebelumnya. Mahou bermaksud sihir, magis manakal tokoro yang bermaksud tempat, lokasi.

Mahoutokora seperti namanya terletak di Jepun, antara salah satu sekolah yang disertai ahli sihir di Asia (maksudnya sekolah sihir bertaraf benua). Reputasi Mahoutokoro juga sangat hebat, mencerminkan budaya Jepun yang berdisiplin, itulah yang digambarkan J.K Rowling.

Mahoutokoro konfem menang dalam setiap Kejohanan Quidditch Dunia dan salah seorang pelajarnya sudah menyertai pertandingan antarabangsa yang membolehkan pemenangnya digelar posyen master (gelaran bagi Prof. Horace Slughorn).

Uagadou School Of Magic

Jenis: Sekolah Bertaraf Benua

Uagadou ialah institusi pendidik sihir bertaraf benua dan menerima pelajar seluruh Benua Afrika. Terletak di Uganda, sekolah ini memuatkan pelajar paling ramai antara 8 sekolah sihir yang lain.

Uagadou mempunyai cara pemanggilan murid yang paling istimewa. Jikalau Hogwart menghantar burung hantu yang menghantar surat, Uagadou pula menghantar pesanan melalui mimpi. Cara ini tidak pernah dipraktikkan sekolah sihir yang lain dan dianggap eksklusif.

Uagadou mempunyai reputasi tinggi dalam subjek Astronomi, Alkimia dan Transfigurasi. Uagadou dieja “ Wag-a-doo ” . Menurut beberapa khabar angin, mungkin namanya diinspirasikan dari perkataan Ouagadou, sebuah empayar Ghana yang sekarang terletak di tenggara Mauritania dan Mali barat. Mungkin juga berasal dari Ouagadougo, ibu negara Burkina Faso.

Koldovstoretz

Jenis: Tidak diketahui

Koldovstorets tiada banyak maklumat, tetapi disahkan oleh J.K Rowling akan kesahihannya. Koldovstoretz terletak di Rusia dan terkenal dalam perlawanan Quidditch.

Ada juga beberapa sekolah sihir yang dibuat oleh andaian peminat sendiri.

Mesir – The New Alexandria School Of Enlightment

Filipina – Takipsilim School For Sorcery and Magic

Asia dan Eropah Timur – Baba Yaga University Of Magic

Kanada – Borealis Schools Of Magical Learning

Sahara – Heka School Of Ancient Magic

China – Kunlun

Greece – Omphalos School At Delphi

Asia Tenggara – Noithai Burrow For Magical Learning

Korea Selatan – Gungjeon Palace Of Witchcraft

Penulis tidak tahu Malaysia dalam skop negara mana. Kalau yang real, mungkin Mahoutokoro. Tetapi ingat, ini hanya imaginasi J.K Rowling semata-mata. Hendaklah sebagai umat Islam, dijauhkan dari kita daripada mengamalkan sihir. (Sihir pada takrifan Islam dilarang kerana mendatangkan mudhorat)

Artikel dikirimkan oleh MYpotterhead untuk The Patriots. 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.