Menjunjung kasih, merafak sembah, sekalung takziah.

Negara kita khususnya rakyat negeri Pahang dikejutkan dengan kemangkatan Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada kira-kira pukul 8.50 pagi tanggal 22 Mei 2019 bersamaan 17 Ramadan di Institut Jantung Negara(IJN) pada usia 88 tahun.

Sekilas mengenai baginda. Baginda diputerakan pada 24 Oktober 1930 dan merupakan putera kepada almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’azzam Shah dan almarhumah Tengku Ampuan Fatimah. Baginda merupakan putera tunggal setelah kekanda baginda meninggal ketika masih kecil.

Baginda telah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada 1944 ketika baginda berusia 14 tahun dan ditabalkan sebagai Sultan Pahang pada tanggal 8 Mei 1974 selepas kemangkatan ayahandanya almarhum Sultan Abu Bakar. Baginda pernah menyandang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 26 April 1979 sehingga 25 April 1984.

Pada 6 Januari 2019, Sultan Muhammad V dari Kelantan meletakkan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa serta merta. Baginda Sultan Muhammad V merupakan Agong pertama dalam sejarah yang meletakkan jawatan selaku YDPA. Perletakan jawatan baginda selaku Agong selaras dengan Perkara 32(2) Perlembagaan Persekutuan.

Kekosongan penyandang Agong dipangku oleh Sultan Nazrin Shah dari Perak sehingga Agong yang baharu dilantik. Mengikut sistem penggiliran, giliran selepas Agong dari Kelantan adalah Pahang. Jikalau Sultan Ahmad Shah dilantik menjadi Agong, baginda merupakan sultan kedua yang menyandang jawatan Agong sebanyak dua kali mengikut sistem penggiliran. Sultan pertama yang menyandang jawatan Agong sebanyak dua kali adalah almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah iaitu Sultan Kedah yang menjadi Agong kelima bagi penggal 1970-1975 dan Agong keempat belas bagi penggal 2011-2016.

Namun, ekoran keadaan Sultan Ahmad Shah yang berada dalam keadaan gering, cadangan untuk melantik Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu telah dibuat.

Pada 11 Januari 2019, Mesyuarat Khas Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang dipengerusikan Tengku Abdullah sendiri telah diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Mesyuarat tersebut melibatkan kerabat diraja Pahang dan Orang-Orang Besar Berempat, Berlapan serta 16 negeri. Turut hadir adalah bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang merupakan antara Orang-Orang Besar Berempat Pahang.

Berdasarkan Perkara 9 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Sultan Ahmad Shah dibolehkan untuk turun takhta dan menyerahkannya jika baginda rela hati tanpa paksaan dan perlu menandatangani Surat Perintah.

Surat Perintah berkenaan itu pula hendaklah disaksikan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Pahang yang kedua-duanya hendaklah hadir bersama-sama pada masa Raja Pemerintah menurunkan tandatangan pada Surat Perintah itu.

Perkara Sembilan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang turut menerangkan sekiranya Raja Pemerintah tidak bersemayam dalam negeri ketika turun takhta, perintah mengesahkan turun takhta itu hendaklah dibuat dengan Surat Perintah dan diletak cap Mohor Negeri yang ditandatangani Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Pahang.

Mesyuarat pada malam itu bersetuju dan meluluskan pindaan Bahagian 1 Perkara 9A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada ahli majlis jumaah untuk menurunkan takhta raja disebabkan kegeringan yang besar dan berat.

Maka, Sultan Ahmad Shah telah turun dari takhta dan menyerahkannya kepada puteranya Tengku Abdullah. Tengku Abdullah telah dimahsyurkan sebagai Sultan Pahang yang baharu pada 15 Januari 2019 bertempat di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Pemahsyuran Sultan Pahang yang baharu memberi gambaran jelas bahawa baginda Sultan Abdullah akan menyandang jawatan Agong dan perkara ini menjadi kenyataan apabila baginda dipilih sebagai YDPA ke-16 pada 31 Januari 2019.

Sejak jawatan Agong diperkenalkan, setiap negeri dan setiap sultan menaiki takhta setelah sultan yang terdahulu mangkat mengikut sistem monarki namun Pahang adalah negeri pertama berlakunya penyerahan takhta ketika pemerintah negeri sebagai sultan yang sah masih hidup.

Jika sejarah diteliti, peralihan takhta ketika penyandang masih hidup yang paling hampir adalah di Selangor.

Pada 1933, Tengku Musa Eddin putera sulung kepada Sultan Alauddin Sulaiman Shah iaitu Sultan Selangor ketika itu telah disingkirkan sebagai Raja Muda Selangor oleh British atas alasan perlanggaran moral dan salahlaku peribadi. Residen British pada waktu itu T.S. Adams yang mencadangkan penyingkiran Raja Muda Musa Eddin kerana resah dengan sikap pemikiran terbukanya.

British telah melantik saudara tirinya Tengku Alam Shah sebagai Raja Muda. Perlantikan ini juga turut melangkah bendul apabila Tengku Badar kekanda kepada Tengku Alam Shah juga diketepikan British.

Tengku Musa Eddin telah diberi gelaran Tengku Kelana Jaya Putera. Tengku Alam Shah memegang jawatan sebagai Raja Muda sehingga ditabalkan menjadi sultan pada 1938 dengan memakai nama Sultan Hisamuddin Alam Shah setelah kemangkatan ayahanda baginda dan pertabalan dipengerusikan sendiri oleh Tengku Musa Eddin.

Semasa Jepun menyerang dan menguasai Tanah Melayu, pada 1942 Sultan Hisamuddin disingkirkan dari takhta oleh pengurus tentera Jepun dan menabalkan Tengku Musa Eddin selaku pewaris yang sah sebagai sultan dengan memakai nama Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah.

Pada 1945, sekembalinya penguasaan kolonial British ke atas tanah melayu, baginda Sultan Musa telah diturunkan dari takhta oleh pengurus tentera British di bawah Lord Louis Mountbatten. Baginda kemudiannya telah dibuang negeri ke Kepulauan Cocos Keeling. Baginda dibawa pulang ke Selangor setelah jatuh gering dan telah mangkat pada tahun 1955.

Sultan Hisamuddin Riayat Shah terus menduduki takhta sehingga mangkat pada tahun 1960 dan digantikan dengan putera baginda Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Sultan Salahuddin mangkat pada 2001 dan takhta Sultan Selangor diduduki oleh putera baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah sehingga kini.

Walaupun begitu, perbezaan pertukaran takhta di antara Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah dan Sultan Hisamuddin Alam Shah adalah bukan disebabkan kerelaan hati tetapi disebabkan percaturan permainan kuasa kolonial British.

Penyerahan takhta oleh Sultan Ahmad Shah kepada Sultan Abdullah masa kini adalah disebabkan kemaslahatan baginda dan dibuat tanpa paksaan oleh kuasa luar.

Penyerahan takhta ini merupakan suatu tindakan dan langkah yang bijak dan patut dilakukan. Hikmahnya dapat difahami kini setelah Sultan Ahmad Shah mangkat pada hari ini tanpa baginda perlu bersesak kudrat di hujung usia baginda jika dilantik sebagai Agong dan negara juga tidak perlu mengalami pertukaran Agong sebanyak dua kali dalam setahun.

Pahang kehilangan seorang sultan yang penyayang dan berjiwa rakyat serta diumum berkabung selama 40 hari.

Sembah takziah

KDYMM ALMARHUM SULTAN AHMAD SHAH AL MUSTA’IN BILLAH IBNI ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR

(24 Oktober 1930 – 22 Mei 2019)

RUJUKAN:

1. Sejarah Kesultanan Melayu Pahang. Berita Harian 12 Januari 2019. Dicapai pada 22 Mei 2019

2. Malaysia Crowns Sultan Abdullah as 16th King. The New Straits Times. 1 Februari 2019. Dicapai pada 22 Mei 2019.

3. www.dirajapahang.my


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Knowledge is not power. Knowledge is knowledge, power is power. But knowledge is the key to power. Without a proper fortune you shall perish. Pelajar Sarjana Muda Syariah & Undang-undang. Mengagungkan pelbagai cabang ilmu, tapi tak semua. Mempunyai visi tersendiri dalam menyubur masyarakat dengan ilmu. Seorang Potterhead.

Comments are closed.