Gambar yang anda lihat ini adalah cukup ikonik bila berbicara soal kekejaman perang. Kepada ramai orang, gambar ini jelas membuktikan peribahasa bahawa sekeping gambar menceritakan seribu perkara, apatah lagi di dalam gambar ini jelas kelihatan seorang anggota tentera menembak seorang awam daripada jarak yang sangat dekat. Kejam dan zalim kelihatannya. Ceritanya, sekali imbas, adalah cukup ringkas. Seorang tentera Vietnam Selatan, menembak dengan zalim seorang penduduk awam dari Vietnam Utara – mungkin demi melunaskan dendam, atau sekadar mahu menghapuskan saki-baki pendokong Vietnam Utara yang berpaksikan fahaman komunis. Sekali imbas, ceritanya cukup sadis dan mampu mengundang kemarahan ramai orang terhadap pasukan Vietnam Selatan – yang dikatakan sebenarnya adalah boneka Amerika.

Tapi, cerita sebenarnya, kalau benar-benar didalami, tidaklah seringkas itu. Ia sebenarnya bukan tentang komunis lawan demokrasi, atau Vietnam Utara lawan Vietnam Selatan, dan bukan juga tentang boneka sesiapa.

Hakikatnya, lelaki yang ditembak dalam gambar ini bukanlah seorang awam seperti yang kita sangkakan. Sebaliknya,” mangsa” tersebut adalah tahanan Viet Cong, Nguyễn Văn Lém (juga dikenali sebagai Kapten Bay Lop). Van Lem, atau dikenali juga sebagai Bay Lop, adalah seorang pembunuh. Malah, dia sebenarnya adalah ketua kepada skuad pembunuh Viet Cong yang mensasarkan pegawai-pegawai Vietnam Selatan dan anggota keluaga mereka.

Pada awal pagi hari di mana gambar ini ditangkap – 1 Februari 1968, Bay Lop telah mengetuai sekumpulan kereta kebal V untuk menyerang sebuah Kem Armor di Go Vap. Selepas menguasai kem tersebut, Bay Lop telah menahan Lt.Kol Tuan bersama-sama anggota keluarganya. Dalam usaha mendapatkan maklumat daripada Tuan, Bay Lop telah menyiksa dan akhirnya membunuh Tuan. Bay Lop kemudian telah membunuh juga keseluruhan anggota keluarga Tuan termasuk ibunya yang berusia 80 tahun.

Bay Lop kemudiannya telah ditangkap oleh pasukan Vietnam Selatan ketika berada di sebuah kubur besar, di mana tertanam mayat 7 anggota polis Vietnam Selatan serta anggota keluarga mereka yang selama ini menjadi sasaran dia dan pasukannya. Keseluruhannya, di dalam lubang itu, terdapat 34 mayat – kesemuanya terikat tangan dan ditembak daripada jarak dekat. Penangkapannya juga adalah sempena peristiwa Tet Offensive, yang melibatkan pertempuran besar-besaran antara kedua-dua pasukan Vietnam Utara dan Selatan. Selepas ditangkap, Bay Lop telah dibawa kepada Mejar General Ngoc Loan di sebatang jalan di Saigon. Jurufoto Eddie Adams yang berada di situ, telah merakam peristiwa itu. Katanya,

“Saya hanya mengikut ketiga-tiga mereka ketika mereka berjalan menghampiri kami, sesekali mengetik kamera saya. Ketika mereka sudahdekat – kira-kira 5 kaki daripada kami, anggota-anggota tentera itu berhenti dan berundur. Saya lihat seorang lelaki berjalan daripada arah kiri. Dia mengeluarkan pistol daripada penggantung di tubuhnya dan mengangkatnya. Saya tidak sangka dia akan melepaskan tembakan. Ketika itu, ia adalah perkara biasa apabila pistol dihalakan ke arah kepala seorang tawanan semasa soal-siasat. Jadi, saya hanya bersedia untuk mengambil gambar itu – sesi ugutan dan sial-siasat. Tapi, bukan itu yang berlaku. Lelaki itu hanya mengeluarkan pistol itu dan terus melepaskan tembakan ke kepala tawanan itu. Saya pula telah tertangkap gambar itu pada ketika itu.” Selepas itu, dengan tenang General itu melangkah ke arah Adams dan berkata,” Mereka ini telah banyak membunuh orang-orang saya, dan orang-orang awak juga,” dan selepas itu dia terus berlalu.

Daripada siri gambar yang ditangkap itu, gambar di atas adalah yang paling terkenal – General Ngoc Loan menembak Bay Lop dengan pistol Smith & Wesson .38, diberikan jolokan” Saigon Execution,” dan Eddie Adams telah memenangi anugerah Pullitzer pada tahun 1969 kerana imej itu.

Jadi, segalanya selesailah kan? Jawapannya – tidak.

Ia mencetuskan satu polemik – apakah yang dilakukan oleh Ngoc Loan itu satu tindakan yang betul? Peguam tentera masih tercari-cari jawapannya, samada apa yag telah dilakukan itu tidak bercanggah dengan Konvensyen Geneva tentang layanan terhadap tahanan. Daripada pandangan Ngoc Loan, lelaki di hadapannya ketika itu adalah seorang pembunuh sadis yang bukan saja telah membunuh rakan-rakannya, tetapi juga keluarga mereka dan ramai lagi insan yang tidak bersalah. Dia adalah seorang lelaki yang merbahaya, yang menggunakan istilah patriotisme demi membenarkan tindakannya yang kononnya diambil atas dasar perjuangan politiknya.

Eddie Adams

Bagi Adams sendiri, hal itu tidak habis di situ saja. Tanpa diduga, gambar yang beredar sekeliling dunia tanpa kapsyen itu, akhirnya telah menjadikan Ngoc Loan dianggap sebagai orang jahat. Adams ternyata menyesal dengan tindakannya merakamkan gambar tersebut. Katanya,” Benar peperangan itu dahsyat. Namun tindakan Gen. Ngoc Loan – ketua polis pada ketika itu adalah adil dan bersebab. Beliau membunuh Viet Cong; dan saya pula telah membunuh beliau dengan kamera saya .” Katanya, General Loan sebenarnya adalah seorang wira, bukan sebaliknya. Adams merasakan, dia telah merosakkan hidup Ngoc Loan dengan gambar yang telah diambilnya itu.

Beberapa bulan selepas gambar itu diambil, Ngoc Loan telah cedera parah akibat tembakan mesingan, yang telah memaksa kakinya dipotong. Selepas tamat peperangan itu, dia dibenci di tempat asalnya. Selepas sebuah hospital Australi enggan merawatnya, dia telah dipindahkan ke US, di mana dia terpaksa berdepan dengan kempen besar-besaran untuk menghalaunya keluar. Ketika dia sampai di US, Perkhidmatan Imigresen negara itu mahu terus menghambatnya keluar, dan salah satu puncanya adalah gambar yang telah diambil oleh Adams. Mereka malah meminta Adams untuk menyokong pendakwaan ke atas Ngoc Loan.

Tetapi, Adams memilih untuk melakukan sebaliknya, dan sebaliknya menyokong Ngoc Loan. Ngoc Loan akhirnya dibenarkan untuk terus tinggal di US. Selepas kematian Ngoc Loan pada tahun 1998 akibat kanser, Adamas menyatakan -” Lelaki itu sebenarnya adalah seorang wira. Amerika sepatutnya menangis. Saya benci melihat dia pergi dalam keadaan sebegini, tanpa masyarakat mengetahui siapa dia sebenarnya.” Masakan tidak – pada tahun 1975 Ngoc Loan telah cuba meneruskan hidup dengan membuka sebuah kedai pizza, yang dikendalikannya sehingga tahun 1991 di sebuah pasaraya, Rolling Valley Mall di Burke, Virginia, apabila identiti sebenarnya terbongkar dan dia terpaksa bersara setelah menerima pelbagai ancaman dan menjadi mangsa perbuatan khianat.

Ngoc Loan di kedai pizzanya

Sementara itu – meski terbunuh, legasi Bay Lop ternyata lebih bernasib baik. Nama Bay Lop itu sebenarnya adalah nama rahsia Nguyen Van Lem yang datangnya daripada nama hadapan isterinya, Lop. Ngoc Loan Thi Lop memang mengetahui bahawa suaminya – Van Lem, adalah seorang pegawai Viet Cong . dia hanya tahu bahawa suaminya telah ditembak mati selepas membaca suratkhabar pada February 1968 dan melihat gambar yang diambil oleh Adams. Ketika itu, dia baru mengandung dan akibat takut dengan pihak berkuasa Vietnam Selatan, dia telah membawa lari dua orang anak perempuannya berusia 13 dan 3 tahun, dan menumpang di rumah saudaranya. Dia terpaksa berhempas-pulas meneruskan hidup, sehinggalah perang tamat. Selepas peperangan itu, dia diberikan pencen bulanan, sebuah rumah dan anak lelakinya yang lahir lapan bulan selepas kematian bapanya itu, telah diberikan biasiswa untuk belajar.

Ngoc Loan Thi Lop, isteri Bay Lop

Perang Vietnam menyaksikan kebangkitan peranan media dalam merakamkan sisi peperangan yang selama ini tidak begitu diketahui orang ramai. Tidak keterlaluan jika dikatakan, media menjadi medan pertempuran kedua, yang akhirnya membawa kepada keputusan peperangan tersebut. Buat julung kalinya, jurugambar dan wartawan awam dibenarkan ikut serta di medan peperangan, dan hasilnya, bermacam benda direkodkan. Ada yang menyokong peperangan itu, ada yang menentang, ada yang bersimpati, dan ada yang sebaliknya. Sehingga kini, peranan media dalam merakam peristiwa sebegini, telah berkembang, dengan facade atau dimensi yang lebih meluas. Saya sendiri terlibat dengan kerja-kerja sebegini, dan seringkali saya ditanyakan soalan yang sama..” Yang menyibuk-nyibuk tu kenapa?.”

Kata seorang jurugambar, Catherine Leroy,” It is so important to document war in photos so we never forget (ianya adalah sangat penting untuk mendokumenkan peperangan dalam bentuk foto supaya kita takkan pernah lupa). Semasa Perang Vietnam itu, beliau telah merakamkan antara gambar paling sadis yang pernah dirakamkan dan dikeluarkan daripada medan tempur itu. Cedera akibat serpihan peluru semasa sedang mengikut pasukan Marin US di Zon Bebas Tentera, beliau telah dijadikan tawanan semasa  Tet Offensive oleh askar Vietnam Utara dan semasa dipenjarakan, beliau berjaya memujuk askar-askar Vietnam Utara ini untuk dirakamkan gambar mereka. Beliau meninggalkan peperangan itu dengan parut PTSD, tetapi meneruskankerjanya di zon bergolak di Utara Ireland, Somalia, Afghanistan, Iran, Iraq dan banyak lagi, sebelum meninggal pada tahun 2006.

Catherine Leroy

Jawapannya itu – supaya ianya tidak dilupakan, dan juga kerana ada saja pihak yang akan mengambil kesempatan terlebih dulu dan memutar-belitkan cerita sebenar. Seperti yang berlaku semasa insiden Lahad Datu dulu, apabila kami di sini terpaksa berhempas-pulas membetulkan cerita-cerita putar belit yang disebarkan oleh pihak tertentu yang dibayar untuk memburukkan imej pasukan kita dan nama perwira-perwira kita yang berjuang bermati-matian. Sudahnya, mereka yang memutarbelit cerita ini dihagai dengan pingat atas sebab mereka berada di sana, sedang kami yang bertungkus-lumus di sini, tetap dikatakan menyibuk dan macam bagus. Tapi, kami tetap teruskan usaha kami, kerana jika kami berhenti, fitnah yang tersebar itu akan akhirnya melumpuhkan kekuatan pertahanan kita

Sekeping gambar seribu makna..namun adakah makna itu sampai kepada kita seratus peratus? Maka ingat-ingatlah sendiri, tentang kesan gambar-gambar yang kita sebarkan. – apakah menimbulkan salah faham yang membawa kepada petaka..=WRA=


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Comments are closed.