Dua tahun lepas, bila Qatar diberi kata dua oleh jiran-jiran Teluknya untuk memenuhi semua 13 tuntutan/enam tuntutan utama (bergantung kepada media mana yang menjadi rujukan) seperti menghalau keluar anggota kepimpinan Hamas dan Ikhwanul Muslimin serta menutup stesen televisyen Al-Jazeera, ia sebenarnya merupakan satu permainan kuasa bagi blok diketuai Arab Saudi untuk menunjukkan prestij mereka sebagai kuasa utama di Timur Tengah.

Dan selepas Doha enggan melayan tuntutan mereka, blok berkenaan mengenakan sekatan diplomatik dan ekonomi ke atas Qatar dan sekatan tersebut masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini. Persoalannya, apa kisah Doha bila diuji dengan permainan sebegini?

Bagi felo penyelidik Michael Stephens dari Royal United Services Institute, Doha ketika itu berhadapan dengan dua medan pertempuran. Pertama, untuk mengubah tanggapan ramai bahawasanya mereka bukan penyokong gerakan keganasan seperti Daish dan Al-Qaeda seperti didakwa Arab Saudi dan rakan bloknya.

Kedua, Doha perlu menunjukkan kepada dunia bahawa kedudukan ekonominya masih kukuh, ia tempat terbaik untuk pelaburan dan bersedia mewujudkan keadaan yang membenarkan lebih banyak pelaburan luar secara langsung (FDI) masuk ke situ.

Dan selepas 19 bulan, kedudukan Qatar dilihat tidaklah terjejas seperti dibayangkan Riyadh dan rakan bloknya. Jika Riyadh menyangka tekanan mereka ini dapat menyedarkan Doha akan kedudukan sebenarnya di rantau Teluk, nyata percaturan mereka tersilap sama sekali.

Tatkala Arab Saudi terus bergelut dengan skandal pembunuhan wartawan Allahyarham Jamal Khashoggi yang membayangi kepimpinan negara berkenaan, Qatar pula menunjukkan negaranya masih dibuka untuk pelaburan dan perniagaan. Sebelum sekatan dikenakan, lebih 60% import datang dari negara-negara yang memboikot terutama bekalan makanan.

Untuk mengelak situasi buruk berlaku, Doha segera mendapatkan laluan bekalan makanan alternatif melalui Turki dan Iran. Mereka juga berusaha menambah bilangan produk tempatan di pasaran termasuk mengimport ribuan susu lembu untuk memastikan bekalan susu sentiasa ada.

Menurut seorang bekas penasihat ekonomi Qatar yang enggan dikenali, apa yang dilakukan Doha merupakan sesuatu yang cerdik. Tetapi beliau berpandangan dengan kekayaan mereka yang melimpah ruah itu, Doha seharusnya menggunakan kekayaan tersebut untuk membeli saham syarikat-syarikat makanan bagi menjamin bekalan makanan untuk jangka masa panjang.

Namun secara dasarnya, Doha melakukan satu tugas yang cemerlang bagi memastikan rakyatnya tidak terjejas dengan sekatan yang dikenakan itu. Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini ialah pembukaan Pelabuhan Hamad pada September 2017. Pelabuhan laut dalam ini membolehkan Doha menerima lebih banyak kapal kargo dengan kapasiti besar.

Sebelum ini, barang-barang ini akan tiba di pelabuhan-pelabuhan negara jiran seperti Dubai (Emiriah Arab Bersatu (UAE)) sebelum dihantar semula ke Qatar menggunakan kapal-kapal kecil. Selain berusaha menjaga stok bekalan makanan sentiasa ada, Doha juga memperkukuh hubungan dagangnya dengan negara-negara luar Timur Tengah termasuk Amerika Syarikat.

Pada tahun lepas, mereka mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kewangan Wilbur Ross dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin serta tempahan syarikat penerbangan Qatar Airways untuk pesawat-pesawat Boeing yang bernilai berbilion dolar.

Selain Amerika Syarikat, Jerman turut menjadi tumpuan Qatar menerusi lawatan Emir Tamim bin Hamad al-Thani ke Berlin pada September tahun lepas. Menerusi lawatan berkenaan, Qatar bersedia menawarkan pelaburan dalam sektor kewangan dan tenaga Jerman sebanyak 10 bilion euro untuk tempoh lima tahun akan datang. Dan dengan kedudukan Doha sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022, ia turut membuka peluang pelaburan dalam sektor pembinaan, kejuruteraan dan logistik serta sebagai hub pembinaan semula negara-negara yang dilanda perang seperti Syria dan Iraq.

Selain itu, Qatar juga berusaha memperkenalkan pelbagai reformasi ekonomi seperti zon ekonomi khas, aktiviti penswastaan dan undang-undang buruh bagi menarik lebih ramai pelabur bertandang ke Doha. Namun, reformasi sebegini masih belum menyakinkan ramai kerana masih ada masalah yang mengehadkan peluang pelaburan seperti kerenah birokrasi, kurangnya persaingan dan harga yang terlalu mahal.

Dan tidak seperti negara lain yang perlu mempelbagaikan pendapatan negara, Doha tidak berhadapan masalah sedemikian kerana masih mempunyai simpanan gas asli yang banyak. Jika tidak, bagaimana mereka boleh mengeskport 81 juta tan gas asli sekaligus menjadikan mereka pengeksport gas asli terbesar dunia. Dan kerana gas asli ini juga membantu ekonomi Qatar terus berkembang dari 1.6% (2017) hinggalah 2.4% (2018) dan 3.1% (2019) berdasarkan ramalan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

Dari segi strategi yang kita kenali sebagai diplomasi kewangan ini, nyatalah Qatar dilihat jauh lebih ke hadapan berbanding Arab Saudi dan UAE. Kelicikan mereka dalam permainan sebegini akhirnya menjadikan blok Teluk diketuai Saudi diperlakukan seperti orang bodoh dan menjadikan mereka lebih Arab berbanding dua negara yang disebut sebelum ini di dunia Arab.

Dan jangan terkejut pada satu masa, blok ini terpaksa menelan ubat yang pahit dan mengakui sekatan ini bukan saja satu kegagalan tetapi juga satu peluang yang menjadikan Qatar sebagai pemain penting di rantau Timur Tengah.

SUMBER

1. Shalal, Andrea dan Alkoussa, Riham. (2018). Reuters. Qatar eyes Germany’s energy, finance sectors with 10 bln euro investment.

2. Smith, Matt. (2019). BBC. How is Qatar coping with its economic embargo?

3. J. Mintner, Terrence. (2019). The Media Line. Doling Out Cash: Qatar’s ‘Soft Power’ Approach To Circumventing The Saudi-led Embargo


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.