Flu Sepanyol Yang Bµnµh 50 Juta Nyawa 100 Tahun Dulu Asal Dari China

1,951

Pra-tempah hanya di Shopee

Sebelum Covid-19[1], dunia sudah berdepan dengan pandemik wabak penyakit sejak zaman-berzaman. Dan jika mahu membuat perbandingan dengan situasi melanda dunia hari ini, flu Sepanyol atau Spanish Flu dilihat perbandingan yang tepat. Sebelum Covid-19, ia merupakan pandemik peny-akit yang paling merbahaya pada zaman atom[2].

Tetapi sebelum itu, apa itu flu? Mengikut definisi Kamus Dewan, ia bermaksud penyakit berjangkit yang mengakibatkan si penghidapnya demam selesema dan mengalami sengal-sengal otot. Penyakit ini amat mudah berjangkit dan menyerang sistem pernafasan si penghidapnya.

Ia mudah berjangkit sama ada terhela titisan pernafasan yang muncul daripada batuk, bersin dan percakapan pesakit. Atau seseorang itu menyentuh sesuatu yang dijangkiti virus flu dan menyentuh mata, mulut atau hidung. Penularan peny-akit flu berlaku setiap tahun dan ia berbeza mengikut jenis virus dan impak jangkitan kepada pesakit.

Penularan flu Sepanyol dikatakan bermula pada 1918 pada bulan-bulan terakhir Per-ang Dunia Pertama (WWI). Mengikut penilaian sejarawan-sejarawan, mereka percaya flu ini dibawa oleh veteran-veteran per-ang termasuk yang berada di Medan Barat[3] (Western Front). Di situ, keadaan tempat tinggal mereka bukan saja basah tetapi sesak dan kotor.

Rajah 1: Keadaan tentera British yang berada di salah satu parit semasa Pertem-puran Somme.

Ini mengakibatkan sistem imuniti mereka menjadi lemah akibat tidak cukup zat makanan. Dan ia turut mencetuskan penularan sejenis penyakit yang dikenali sebagai “La Grippe”. Dalam anekdot mereka, veteran-veteran ini menyifatkan La Grippe sebagai mudah berjangkit dan menjangkiti ramai orang tanpa mengira pangkat. Selepas tiga hari jatuh sakit, pesakit akan pulih seperti sediakala tetapi tidak ramai yang berpeluang mendapat kelebihan sama.

Pada musim panas 1918, semua askar ini pulang ke kampung halaman masing-masing dan bertemu semula dengan orang tersayang selepas terpisah selama beberapa tahun. Tetapi kepulangan mereka membawa duka dengan ramai orang sama ada tentera atau orang awam dijangkiti dan tidak ramai yang pulih dalam kadar yang cepat. Kumpulan demografi yang paling terkesan semasa penularan flu Sepanyol ialah kumpulan demografi 20-30 tahun.

Selain dibawa oleh veteran-veteran WWI, ada juga percaya flu Sepanyol sebenarnya berasal dari China. Ini berdasarkan satu laporan National Geographic yang diterbitkan pada 2014 bahawa flu ini turut menjangkiti kumpulan pekerja China yang dibawa oleh Kor Buruh China[4] ke Kanada pada 1917 dan 1918. Teori ini dikemukakan oleh sejarawan Mark Humphries dari Universiti Memorial Newfoundland menerusi bukunya The Last Plague.

Dalam buku tersebut, wujud rekod-rekod yang mendedahkan buruh-buruh China dibawa dari sana ke Medan Barat untuk melakukan pelbagai kerja. Dalam perjalanan, mereka perlu menghabiskan masa selama enam hari dalam gerabak keretapi sebelum dibawa ke Perancis. Berdasarkan rekod, 90,000 orang dihantar ke sana untuk kerja-kerja seperti membina landasan, membaiki gerabak keretapi dan menggali parit-parit bagi pihak ten-tera.

Dalam catatannya, daripada 25,000 orang yang dihantar kembali ke Kanada, 3,000 daripada diletakkan dalam gerabak kuarantin. Flu sebegini gagal dikesan pengamal perubatan ketika itu kerana aspek bias perkauman termasuk persepsi pekerja-pekerja Asia ialah pemalas. Akibatnya, apabila mereka tiba utara Perancis, ramai jatuh sakit dan sesetengah daripadanya menunggu masa kembali ke negeri cacing[5].

Jadi, bagaimana nama flu Sepanyol ini tercetus? Semasa pandemik ini bermula, Sepanyol merupakan negara terawal yang mengesan flu ini tetapi ia tidak diketahui orang ramai atas alasan larangan berita semasa per-ang. Semasa WWI, negara itu memilih berkecuali dan tidak memihak sesiapa serta membenarkan media ketika itu menyiarkan laporan awal penyakit ini. Akibatnya ramai percaya flu ini berasal dari Sepanyol sekaligus membawa kepada nama yang kita kenali hari ini.

Di Sepanyol, flu Sepanyol menjadi mimpi ngeri kepada warganya termasuk Raja Sepanyol ketika itu, Raja Alfonso XIII. Baginda menjadi sebahagian daripada 100,000 penduduk yang dijangkiti flu ini. Keadaan ini tidak dibantu dengan 30-40% populasi yang menetap atau bekerja di ruangan sempit turut dijangkiti. Flu Sepanyol bukan sekadar merencatkan kegiatan ekonomi rakyat malah menggugat sistem pengangkutan dan sistem komunikasi negara itu.

Simptom flu Sepanyol berbeza-beza mengikut gelombang flu yang melanda dunia ketika itu. Semasa gelombang awal melanda pada musim bunga 1918, simptomnya bersifat kecil dan tidak membahayakan pesakit seperti seram sejuk, demam dan keletihan. Kebiasaannya, selepas mendapat rawatan, pesakit akan pulih selepas beberapa hari dan bilangan kema-tian yang dilaporkan juga sedikit.

Tetapi semua itu berubah menerusi gelombang kedua flu Sepanyol yang lebih mudah berjangkit. Gelombang ini berlaku pada musim luruh tahun sama yang menyaksikan pesakit ma-ti dalam tempoh beberapa jam atau hari selepas mengalami simptom-simptom. Antara simptom mereka ialah bengkak pada kepala, keletihan, batuk kering, hilang selera makan, sakit perut, banyak berpeluh, kegagalan organ pernafasan dan pneumonia[6].

Begitupun, agak sukar mengetahui sama ada seseorang pesakit itu meninggal dunia akibat flu Sepanyol atau pneumonia. Tambah Humphries lagi, pneumonia atau mana-mana penyakit pernafasan yang membawa kepada punca kematian dianggap punca sebenar kema-tian. Ini sekaligus menjelaskan mengapa pakar-pakar bergelut menentukan bilangan sebenar kematian akibat flu Sepanyol kerana ada mangsa yang ma-ti akibat pelbagai masalah kesihatan lain selain flu.

Yang pasti, pandemik ini membuatkan ramai doktor menggaru kepala tentang langkah yang patut dilakukan orang ramai. Antara nasihat yang biasa diberi ialah mengelak tempat yang sesak atau berjumpa dengan sesiapa. Ada juga mencadangkan ubat-ubatan alternatif seperti kayu manis, air sup daging dan wain. Dan seperti situasi pandemik Covid-19 hari ini, orang ramai pada ketika itu diarah menutup mulut dan hidung dengan pelitup muka.

Bagaimanapun, nak mengharapkan orang ramai bekerjasama dan patuh kepada arahan memakai pelitup muka bukan sesuatu yang mudah. Di San Francisco, tiga orang individu ditembak oleh pihak berkuasa kerana enggan mematuhi arahan mandatori memakai pelitup muka. Sementara di Arizona pula, penduduk dikenakan denda AS$10 sekiranya ditahan kerana tidak memakai pelitup muka.

Rajah 2: Polis meronda di jalan-jalan Amerika Syarikat bagi mengawal keselamatan kota-kota semasa pandemik flu Sepanyol melanda. Sumber: Arkib Negara Amerika Syarikat.

Seperti Covid-19, pandemik flu Sepanyol memaksa banyak kerajaan melaksanakan pelbagai langkah drastik bagi membendung penularan flu tersebut. Antara pendekatan yang dilaksanakan ialah menutup lokasi-lokasi awam seperti sekolah dan kedai-kedai, penjarakan fizikal, larangan perkumpulan secara beramai-ramai dan mengehadkan kapasiti pengangkutan awam.

Pendekatan sebegini sememangnya keras dan mengundang rungutan orang ramai tetapi berupaya melandaikan bilangan kes flu Sepanyol. Kota-kota Amerika Syarikat (AS) seperti St. Louis, San Francisco, Milwaukee dan Kansas City melaporkan pengurangan kes sebanyak 30-50%. Manakala di bahagian timur AS seperti New York melaporkan pengurangan kes yang ketara selepas melaksanakan langkah-langkah tersebut.

Begitupun, penurunan kes flu Sepanyol bukan bermakna pendekatan tegas sebegini boleh dilonggarkan. Ini yang terjadi kepada kota St. Louis yang memutuskan melonggarkan pendekatan tegas mereka kurang dua bulan selepas ia dilaksanakan. Langkah tersebut dibuat selepas melihat bilangan kema-tian akibat flu Sepanyol di kota tersebut menurun. Bagaimanapun, kelonggaran itu membawa kepada pertambahan kes mendadak. Kota-kota lain yang memilih mengekalkan pendekatan tegas tidak mengalami gelombang baru yang membawa kepada pertambahan kes.

Satu lagi persamaan situasi Covid-19 dan flu Sepanyol ialah ada saja individu atau syarikat berperangai akal labah-labah, di gua buruk suka merakut[7]. Individu/syarikat sebegini menjaja produk mereka sebagai penawar mujarab kononnya ubat terbaik bagi pandemik yang melanda ketika itu. Misalnya, sebuah syarikat vitamin menjual produk bernama Formamint pada tahun 1918 dengan premis ia dapat mencegah seseorang itu daripada dijangkiti flu Sepanyol.

Rajah 3: Hospital sementara flu Sepanyol di Kem Funston, Kansas pada 1918. Sumber: Arkib Sejarah Otis, Muzium Kesihatan dan Perubatan Negara

Situasi ini tidak dibantu oleh kekurangan doktor akibat WWI. Bagi mana-mana doktor yang tidak dipanggil berkhidmat di medan perang, mereka juga jatuh sakit akibat penyakit itu. Sekolah-sekolah dan bangunan-bangunan awam ditukar fungsi sebagai hospital sementara. Bagi pelajar-pelajar jurusan perubatan pula, situasi pandemik flu Sepanyol memaksa mereka tampil ke depan dan berkhidmat sebagai pakar perubatan.

Rajah 4: Jururawat-jururawat menyediakan topeng untuk mengekang penularan flu Sepanyol pada 1918. Sumber: Arkib Negara Amerika Syarikat

Menjelang musim bunga 1919, bilangan kematian akibat flu Sepanyol mula menurun. Tetapi kemusnahan yang ditinggalkan penyakit itu terhadap negara-negara dunia mengingatkan ramai cendekiawan tentang kemusnahan sama yang ditinggalkan pandemik Black Death lebih 500 tahun yang lalu.

Berdasarkan statistik yang dipetik Nancy Bristow dalam bukunya “American Pandemic: The Lost Worlds of the 1918 Influenza Epidemic”, beliau percaya 500 juta orang dijangkiti flu ini dengan 50 juta kema-tian direkodkan. Bagaimanapun, beliau percaya angka sebenar kema-tian akibat flu Sepanyol jauh lebih tinggi daripada angka rasmi.

Di AS sahaja, 25% populasi dijangkiti dan angka tersebut bertambah kepada 40% kerana membabitkan anggota Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy). Menjelang Oktober 1918, 200,000 warga Amerika terbunuh akibat flu ini dan Bristow percaya 675,000 orang ma-ti secara keseluruhan. Impak flu Sepanyol terhadap AS amat dahsyat sehinggakan anggaran jangka hayat warga AS berkurangan sebanyak 12 tahun pada 1918.

Hari ini, jika ditanya mana-mana cendekiawan tentang flu mana yang paling merbahaya, jawapan mereka sentiasa tekal iaitu flu Sepanyol. Perbandingannya mudah iaitu membandingkan flu Sepanyol dengan influenza H1N1 atau selesema babi. Influenza itu dinamakan sedemikian kerana virusnya mempunyai struktur sama dengan virus yang dijumpai dalam babi dan muncul dari 2009 hingga 2010.

Selesema babi membun-uh antara 151,700 hingga 575,400 orang pada tahun pertama kemunculannya mengikut laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). Jika ditukar dalam bentuk peratusan, ia hanya sekadar 0.001% hingga 0.007% daripada populasi dunia hari ini. 80% kematian akibat selesema babi membabitkan individu berusia di bawah 65 tahun. Manakala bagi pesakit yang mati akibat selesema biasa, 70-90% pesakit berusia melebihi 65 tahun ke atas.

Tetapi dalam konteks hari ini, satu-satunya pesaing yang boleh memecahkan rekod flu Sepanyol ialah Covid-19. Berdasarkan rekod terkini, 93.8 juta kes direkodkan dengan 2.01 juta kematian. Sementara 51.7 juta pesakit lagi disahkan sembuh. Covid-19 dilihat lebih merbahaya kerana penghidapnya tidak menunjukkan simptom selama berhari-hari sebelum menyedari mereka telah dijangkiti.

NOTA KAKI:

[1] Sejenis virus berjangkit yang menyebabkan jangkitan pernafasan (Covid-19) dan telah menunjukkan bukti penularan manusia kepada manusia. Kali pertama dikenalpasti oleh pihak berkuasa di Wuhan, Hubei, China sebagai penyebab pandemik wabak koronavirus 2019–20 yang berlaku ketika ini.

[2] Simpulan bahasa yang bermaksud zaman moden.

[3] Teater per-ang utama semasa WWI.

[4] Tenaga kerja yang direkrut kerajaan British dan Perancis semasa WWI dengan tujuan membebaskan ten-tera daripada melakukan kerja-kerja sokongan dan buruh.

[5] Simpulan bahasa yang bermaksud mati.

[6] Nama lain bagi penyakit radang paru-paru.

[7] Peribahasa yang bermaksud orang jahat yang suka menipu orang.

RUJUKAN:

Vergano, D. (2014). 1918 Flu Pandemic That Kill-ed 50 Million Originated in China, Historians Say. National Geographic.

History. (2020). Spanish Flu.

Live Science. (2020). Spanish flu: The deadliest pandemic in history.

Strochlic, N. dan D. Champine, R. (2020). How some cities ‘flattened the curve’ during the 1918 flu pandemic. National Geographic.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.