Akhbar memainkan peranan penting di dalam kehidupan masyarakat. Akhbar bertindak sebagai saluran informasi dari segi isu semasa, pendidikan, hiburan dan lain-lain. Dalam sesetengah kes, akhbar dijadikan sebagai alat propaganda untuk menyebarkan fahaman ataupun perjuangan sesebuah pertubuhan. Baru-baru ni, Akhbar Utusan Malaysia telah menyambut ulang tahunnya yang ke 80. Sepanjang 80 tahun akhbar ini berdiri, terlalu banyak duri dan ranjau yang telah ia tempuhi.

Idea pertama tertubuhnya Utusan Melayu timbul ketika di dalam mesyuarat yang diadakan di rumah Daud Mohd Shah, Presiden Kesatuan Melayu Singapura pada ketika itu. Antara mereka yang hadir ialah Yusof Ishak, bakal Presiden Singapura kelak dan Haji Ambo’ Sulooh, salah seorang pemimpin Melayu yang tersohor di Singapura.

Di dalam mesyuarat ini, mereka bersepakat untuk melantik Yusof Ishak bagi menubuhkan akhbar Melayu itu. Ini kerana, Yusof berpengalaman di dalam industri akhbar kerana pada sebelum itu, beliau telah pun bekerja sebagai wartawan di Warta Malaya selama 7 tahun. Yusof kemudiannya berjaya membawa masuk Abdul Rahim Kajai yang digelar Bapa Kewartawanan Melayu untuk menyertai beliau dan pasukannya.

Pada tanggal 18 Jun 1938, Utusan Press Limited pun ditubuhkan untuk menerbitkan akhbar Utusan Melayu Namun, kosnya amat tinggi, mereka memerlukan lebih kurang 12500 Ringgit Malaya untuk pendaftaran syarikat itu. . Kesemua pengasas Utusan Melayu menyumbangkan duit mereka sebanyak 2000 Ringgit Malaya untuk menubuhkan syarikat ini.

Yusof Ishak juga telah menjelajah ke serata Singapura untuk meminta sedikit sumbangan daripada orang Melayu untuk menubuhkan syarikat. Hasilnya, 400 orang Melayu telah membeli saham syarikat tersebut. Walau bagaimanapun, ia masih lagi kekurangan sebanyak 8,500 Ringgit Malaya. Akhirnya, dengan bantuan Daud Mohd Shah dan Ambo’ Sulooh, mereka berjaya mengumpulkan jumlah 12 500 Ringgit itu dan membuatkan jumlah pemegang saham seramai 542 orang.

Pada April 1939, Ishak Haji Mohammad (Pak Sako) dan Zainal Abidin Alias (ZABHA) telah menyertai Utusan Melayu.  Pada 29 Mei 1939, Utusan Melayu mencatatkan keluaran sulungnya dengan harga 10 sen senaskhah. Sebanyak 1,000 naskhah telah dicetak selama sebulan.  Kemudian jumlah cetakan dikurangkan kepada 700 naskhah dan kemu­dian turun kepada 600  sahaja.

Pak Sako kemudiannya dilantik sebagai Pengarang Utusan yang pertama dan Yusof Ishak dilantik sebagai Ketua Pengarang Utusan. Pada November 1939, Utusan telah menerbitkan Utusan Zaman yang diterbit pada setiap ahad. Pada 1 Jun 1941, Utusan mula menceburi bidang majalah apabila mereka menerbitkan majalah Mastika.

Ketika Perang meletus, hanya 50 akhbar sahaja dicetak dan dijual. Semua akhbar dijual oleh pekerja sendiri kerana kesemua kedai telah ditutup. Ketika penjajahan Jepun, Utusan Melayu dan Warta Malaya digabungkan di bawah satu nama yang dinamakan Malai Shimbun. Ketika ini, akhbar Utusan hanya dijadikan sebagai alat propaganda Jepun semata-mata.

Sementelah tewasnya Jepun pada September 1945, Yusof Ishak cuba untuk menghidupkan semula Utusan Melayu walaupun segala mesin dan kelengkapan mereka musnah ketika perang.  Syarikat Utusan Melayu kemudiannya berpindah ke 185, Cecil Street yang merupakan bekas pejabat Warta Malaya. Mereka kemudiannya berjaya menerbitkan semula akhbar Utusan pada 1 November 1945. 

Apabila British ingin memperkenalkan Malayan Union pada 1946, Utusan membantah hasrat British itu di dalam akhbar-akhbar mereka. Di dalam Sidang Pengarang, Pengarang telah mengutuk sekeras’kerasnya tindakan British tersebut. Dalam tempoh masa yang sekejap sahaja, orang Melayu mula bersatu hasil daripada dorongan yang dilontarkan oleh Utusan. pendirian Utusan Melayu menentang Malayan Union itu telah menjadi salah satu pendorong kepada Datuk Onn Jaafar untul memimpin orang Melayu pada masa itu yang bersepakat memusuhi Malayan Union dan seterusnya menubuhkan parti keramat Melayu, UMNO.

Malah ketika hari pengisytiharan Malayan Union itu, Utusan Melayu telah menyeru kepada orang Melayu supaya memulaukan majlis tersebut dan melilit kain putih pada songkok dan memakainya selama seminggu sebagai tanda berkabung.  Pada masa itu, Utusan Melayu  membuktikan bahawa bukan Hang Tuah sahaja yang yakin bahawa Melayu takkan hilang di dunia, Utusan Melayu yakin orang Melayu akan terus hidup dan berjaya.

Utusan Melayu terus unggul menjadi suara keramat orang Melayu sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Setahun selepas merdeka, Utusan Melayu telah memindahkan operasinya dari Cecil Street ke Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Pada masa itu, Utusan Melayu telah pun meluaskan sayapnya.

8000 orang telah membeli syer baharu di dalam Utusan Melayu manakala sejumlah 4000 orang lagi membeli syer mereka menerusi Syarikat Federal Transit Transport Ltd. Di antara pemilik syer ini ialah DYMM Sultan Selangor sendiri dan hampir kesemua sultan-sultan Melayu yang ada.

Pada 1959, Yusof Ishak telah meletakkan jawatan sebagai Pengurus Besar dan Ketua Pengarang selepas diberi kata dua oleh Tunku Abdul Rahman. Yusof pun kemudian kembali ke Singapura dan menjual segala syernya di dalam saham Utusan. Said Zahari dilantik bagi menggantikan Yusof Ishak

Pada 1961, Said Zahari telah melancarkan mogok Utusan di pejabat mereka. Ini kerana Said merasakan Utusan sewajarnya menjadi sebuah akhbar yang bebas dan tidak mengikut mana-mana telunjuk pemerintah.  Mogok itu disertai oleh 115 orang pekerja yang diketuai oleh Said sendiri.

Di Singapura, 30 pekerja turut menyertai mogok tersebut.  Akibatnya pada hari itu, akhbar Utusan  Melayu tidak diterbitkan dan diterbitkan keesokkan harinya oleh mereka yang tidak menyertai mogok.  Akibat daripada mogok tersebut, Said Zahari telah diberi status Persona Non Grata oleh pihak kerajaan buat selama-lamanya.

Ketika Era Konfrotasi, Utusan Melayu terus menyeru kepada semua rakyat agar tidak mudah terpengaruh  walaupun diasak oleh pihak Indonesia. Malah Ketua Pengarang Utusan Melayu ketika itu, Melan Abdullah telah menubuhkan Front Bertindak Rakyat bagi menangkis, bersatu tenaga dan menentang idea Sukarno mengenai Ganyang Malaysia itu. Sentimen ini telah digunakan untuk menarik rakyat Malaysia supaya menyokong kerajaan dan tidak mudah simpati kepada pihak Indonesia. 

Pada 1967, satu peristiwa terjadi. Orang-orang Melayu yang selama ini mengagumi Utusan membakar surat khabar itu sebagai bantahan. Pada 3 Mac 1967, kira-kira 1,500 orang yang mengisytiharkan diri mereka sebagai pencinta-pencinta bahasa tiba-tiba menjadi tidak waras, seolah-olah hilang pertimbangan lalu membakar akhbar Utusan Melayu di luar bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur.

Bantahan ini diadakan untuk membantah tindakan kerajaan berkaitan dengan meluluskan Rang Undang-Undang di bawah Perkara 152 (soal Bahasa Melayu). Kemuncak insiden itu apabila sejumlah akhbar Utusan Melayu dibakar  sebagai tanda protes terhadap Utusan Melayu yang dianggap sebagai pengampu kerajaan dan pembodek. 

Ternyata insiden itu amat dikesali oleh pihak kerajaan kerana mereka tidak menyangka orang-orang Melayu sanggup melakukan perbuatan yang tidak bermoral itu terhadap akhbar suara keramat mereka.

Menjelang 1980 hingga pertengahan 2000 Utusan Melayu menjadi terus progresif apabila berjaya menjadi penganjur Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa pada 1988. Kejohanan ini turut mendapat pengiktirafan badan-badan antarabangsa.  Pada 1989, Utusan Melayu menyambut ulang tahunnya yang ke 50 dengan mengadakan Mini Marathon Utusan.

Marathon ini berjaya menarik lebih 11 ribu penyertaan  dan mecatatkan penyertaan marathon tertinggi di dalam negara pada ketika itu. Pada 1994, kedudukan saham Utusan Melayu merupakan antara yang tertinggi semasa penyenarainya pada tahun itu. Sepuluh tahun kemudian, akhbar Kosmo! diterbitkan bagi mereka yang lebih suka kepada santai dan ringan.

Menjelang 2010an, walaupun dunia mula dibanjiri dengan akhbar yang berbentuk tabloid, akhbar Utusan Melayu masih gah dan unggul sebagai Akhbar nombor 1 di Malaysia. 2018 mencatatkan sejarah hitam buat Utusan Melayu. Pasca tumbangnya UMNO yang merupakan pemegang saham Utusan, mereka terus mencatatkan kerugian demi kerugian.

Pada Disember 2018, mereka terpaksa memberhentikan sejumlah pekerja mereka untuk menampung kos operasi mereka. Ogos 2019 memberikan satu tragedi hitam dan noktah buat Utusan Melayu. Pada tanggal 21 Ogos 2019, Utusan Malaysia akan menutup operasinya buat selama-lamanya. Akhbar ini mati pada ulang tahunnya ke 80.

Akhbar yang telah membawa suara dan pembela orang Melayu khususnya dan orang Malaysia khasnya akhirnya terkubur buat selama-lamanya. Selepas ini, tiadalah lagi coretan daripada Awang Selamat ataupun hiburan ringan daripada Senyum Kambing.

Selamat berehat Utusan Melayu. Terima Kasih atas segalanya.

Utusan Melayu 29 Mei 1939 – 21 Ogos 2019.

RUJUKAN:

  1. Maidin, Z. (2013). Di depan api di belakang duri: Kisah sejarah Utusan Melayu. Cheras, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd
  2. Muhammad, I. B. (1997). Memoir Pak Sako: Putera gunung tahan. Bangi
  3. Muhammad, A. (2007). Sejarah perjuangan Utusan Melayu. Kuala Lumpur: Gateway Pub. House.
  4. Di sebalik jendela Utusan. (1989). Kuala Lumpur: Utusan Melayu (Malaysia).
  5. Ismail, A. S., & Abdullah, A. K. (1991). Samad Ismail: Ketokohan dan kewartawanan A. Kuala Lumpur.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Comments are closed.