Sejarah Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyabandiyyah: Antara Tarikat Sufi Muktabar Termasyhur Alam Melayu

0
4362
views

Tarikat Qadiriyyah wal Naqsyabandiyyah merupakan tarekat sufi yang didirikan oleh Sheikh Ahmad Khatib Sambas yang merupakan ulama besar di negeri Sambas, Kalimantan Barat. Selain itu, beliau juga antara ahli sufi dan tokoh ulama yang tersohor di Alam Melayu. Syeikh Ahmad Khatib Sambas dilahirkan pada tahun 1802 di Kampung Dagang, Sambas.

Syeikh Ahmad Khatib Sambas juga dilantik sebagai Imam Masjidil Haram di Mekah Al Mukarramah dan beliau menetap disana sehingga akhir hayat. Di dalam Tarikat Qadiriyyah, seorang mursyid yang telah mencapai taraf “mukammil” diberi peluang untuk memberikan nama mengikut nisbah nama sendiri kepada tarekat yang dipimpinnya. Walaubagaimanapun, Syeikh Ahmad Khatib Sambas masih mengekalkan nama Tarikat Qadiriyyah dan pada masa yang sama Tarikat Naqsyabandiyyah juga amat terkenal dikalangan orang Melayu. Oleh itu, Syeikh Ahmad Khatib yang juga memiliki kelayakan Tarikat Qadiriyyah dan Tarikat Naqsyabandiyyah menggabungkan kedua – dua tarikat tersebut dengan dinamakan Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyabandiyyah.

Syeikh Ahmad Khatib Sambas menjadikan Mekah dan Madinah sebagai pusat penyebaran ajaran Tarikat Qadiriyyah wal Naqsyabandiyyah. Penyebaran ini dilakukan oleh wakil – wakil Syeikh Ahmad Khatib Sambas untuk disebarkan ke seluruh Alam Melayu. Antaranya adalah Syeikh Abdul Karim Al Bantani, Syeikh Ahmad Hasbullah Bin Muhammad Al Manduri, Syeikh Asnawi Banten, dan Syeikh Muhammad Bin Ismail Bin Abdur Rahim Al Bali. Selain itu, Syeikh Ahmad Khatib Sambas juga mempunyai anak murid yang berasal dari negeri Sarawak iaitu Haji Abdul Latif Bin Haji Abdul Qadir yang juga merupakan guru kepada ulama negeri Sarawak yang terkenal iaitu Syeikh Othman Al Sarawaki. Syeikh Othman Al Sarawaki juga dikatakan ahli Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyabandiyyah.

Fathul Arifin adalah risalah yang menjadi rujukan Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyabandiyyah dan ia merupakan risalah yang ditulis oleh pelbagai anak murid Syeikh  Ahmad Khatib Sambas dan antara versi Fathul Arifin yang diterbitkan sekarang adalah versi Syeikh Muhammad Bin Ismail Bin Abdur Rahim Al Bali. Selain itu, Syeikh Muhammad Bin Ismail Bin Abdur Rahim Al Bali juga merupakan jurutulis kepada Syeikh Ahmad Khatib Sambas. Di dalam risalah tersebut mengajarkan talqin, zikir,dan bai’ah tarikat. Tarikat Qadiriyyah wal Naqsyabandiyyah menekankan kaedah zikir Jahar (Zahir) dan zikir Khafi (Batin). Kedua – dua zikir ini adalah kaedah – kaedah yang terdapat di dalam kedua – dua tarrikat dan digabungkan ke dalam Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyabandiyyah.  Selain itu, Kitab Uquudul Jumaan juga menjadi sumber rujukan bagi tarikat ini untuk amalan zikir dan disiplin – disiplin tarikat dan juga doa – doa harian yang menjadi amalan pengikut tarikat ini. Ajaran Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyabandiyyah juga menekankan empat perkara asas ajaran iaitu kesempurnaan Suluk, adab dan etika, zikir dan mukarabbah (meditasi).

Waqaf Saham

Syaikh Abdullah bin Nur Muhammad yang dikenali sebagai Abah Sepuh merupakan salah seorang anak murid kepada Mursyid Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyabandiyyah,  Syaikh Tolhah bin Talabudin yang juga merupakan anak murid kepada Syeikh Ahmad Khatib Sambas. Syeikh Abdullah Bin Nur telah mendirikan sebuah pondok yang dinamakan Pesantren Suryalaya. Pesantren Suryalaya bukan sahaja menjadi pusat kepada yang ingin belajar Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyhabandiyyah, namun juga untuk menjadi pusat keilmuan dalam bidang – bidang ilmu yang bersangkut paut kepada duniawi dan ukhrawi. Pembinaan Pesantren Suryalaya ini adalah sesuai dengan tuntutan Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyabandiyyah yang menekankan keseimbangan hidup di dunia dan akhirat. Kemunculan Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyabandiyyah adalah sebagai benteng untuk mengekang ajaran Wahdatul Wujud yang kian merebak di dalam masyarakat Islam di Alam Melayu itu sendiri kerana terlalu menekankan konsep ketuhanan Pantheisme dan meringan – ringankan syariat Islam.

Akhir sekali, Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyabandiyyah adalah bukti ketekunan umat Islam di Alam Melayu dalam mempelajari ilmu intelektual dan sumbangan Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyabandiyyah yang didirikan oleh Syeikh Ahmad Khatib Sambas telah merubah pandangan umat Islam kepada ilmu tasawuf itu sendiri. Tarikat Qadiriyyah Wal Naqsyabandiyyah tersebar luas ke Malaysia, Singapura, Arab Saudi, Brunei dan Australia.

Rujukan:

  1. Rifat, R. (2012). Pemikiran KH Achmad Asrori al-Ishaqy (Studi atas Pola Pengembangan Tarekat Qadiriyah wa Naqsyabandiyah Utsmaniyah Surabaya) (Doctoral dissertation, IAIN Walisongo).
  2. Van Bruinessen, M. (1992). Tarekat Naqsyabandiyah di Indonesia. Bandung: Mizan.
  3. WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH (2004), Ahmad Khathib Sambas – Mursyid Tariqat Qadiriyah, Utusan Malaysia Online, http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
  4. TAREKAT YANG TELAH DILULUSKAN PENDAFTARANNYA DI BAWAH ENAKMEN TERAKAT TASAWUF (NEGERI SEMBILAN) 2005- TAREKAT QODIRIYYAH NAQSYABANDIYYAH, http://muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/161-tarekat-tassawuf-berdaftar/620-tarekat-yang-telah-diluluskan-pendaftarannya-di-bawah-enakmen-terakat-tasawuf-negeri-sembilan-2005-tarekat-qodiriyyah-naqsyabandiyyah
  5. LEBIH LANJUT MENGENAI SAYYIDI SYAIKH AHMAD KHATIB AS-SAMBASY RA., http://tqn-ppsuryalaya.blogspot.my/2013/12/lebih-lanjut-mengenai-sayyidi-syaikh.html
  6. Sejarah Pondok Pesantren Suryalaya, http://www.suryalaya.org/sejarah.html
  7. Thariqah Qadiriyah Naqsyabandiyah, http://www.suryalaya.org/tqn1.html

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.