Sejarah Sukan Ragbi

438

Piala Dunia Ragbi 2019 semakin hampir melabuhkan tirainya dan aksi perlawanan akhir menyaksikan pertembungan dua pasukan hebat iaitu England dan Afrika Selatan. Kedua-dua pasukan berjaya mara ke peringkat akhir selepas mengatasi lawan masing-masing di peringkat separuh akhir iaitu New Zealand dan Wales. Tatkala penyokong Lions dan Springboks berkira-kira pasukan mana yang akan bergelar juara, mari kita selusuri sejarah sukan ragbi itu sendiri.

Sebelum sukan ragbi moden diperkenalkan, sebenarnya terdapat banyak jenis sukan sama seperti ragbi menjadi pilihan masyarakat tertentu. New Zealand memperkenalkan Ki-o-rahi, Jepun (kemari), Australia (marn grook), Georgia (lelo burti), Selatan Wales (cnapan) dan Ireland (caid).

Keterangan pertama berkenaan sukan seperti ragbi ini direkodkan oleh William FitzStephen antata 1174 hingga 1183. Dalam keterangannya, antara aktiviti golongan muda semasa pesta Shrove Tuesday ialah membawa bola ke padang di mana mereka akan bertanding dan berebut bola habis-habisan sambil disaksikan oleh golongan bangsawan, hartawan dan warga emas.

Namun, sukan sebegini tidak disukai oleh pihak berkuasa ketika itu kerana berpotensi mencetuskan pergaduhan. Justeru tidak hairanlah semasa Zaman Pertengahan dan awal era moden, terdapat usaha untuk mengharamkan sukan ini. Di England saja, terdapat 30 undang-undang diraja dan tempatan dikuatkuasakan untuk mengharamkan sukan ini tetapi tidak berhasil kerana ia menjadi sukan rakyat yang popular ketika itu.

Sehinggakan pada satu ketika semasa era pemerintahan Raja Edward II, akibat terlalu murka dengan kekecohan yang ditimbulkan daripada permainan ini di London, baginda menitahkan sesiapa saja yang bermain atau menganjurkan permainan itu dipenjarakan. Dekri ini dikeluarkan pada 13 April 1314.

Ramai mengatakan permulaan sukan ragbi moden ini diperkenalkan oleh seorang pelajar Sekolah Rugby di Warwickshire bernama William Webb Ellis dalam satu perlawanan pada tahun 1823. Mengikut peraturan permainan ketika itu, pemain bila mendapat bola harus berundur ke belakang dan dari situ, menyepak bola ke atas atau cuba menjaringkan gol. Pihak lawan tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka hanya boleh mara di tempat di mana bola ditangkap. Tetapi Ellis memilih bukan berundur tetapi segera berlari ke hadapan dengan bola di tangan menuju ke arah gol lawan.

Ia dianggap satu perkara merbahaya dan ia hanya menjadi sebahagian daripada peraturan pada tahun 1841. Tetapi sejak itu, peraturan dan kemahsyuran sukan ini mendapat tempat lebih-lebih lagi bila alumni Sekolah Rugby menyambung pelajaran di Oxford dan Cambridge dengan perlawanan ragbi pertama antara universiti berlaku pada tahun 1872.

Dari universiti-universiti ini, graduan-graduan yang bergelar guru pula menyebarkan sukan ini di sekolah-sekolah sekitar United Kingdom termasuk di Wales dan Scotland. Bagi alumni Rugby yang bergelar tentera, mereka menyebarkan sukan ini di mana saja mereka ditempatkan. Ini membawa kepada perlawanan ragbi antarabangsa pertama membabitkan Scotland dan Lions di Raeburn Place, Edinburgh pada tahun 1871.

Tetapi menurut penulis Julian Humphrys, teori yang mengatakan Ellis merupakan pencipta sukan ragbi moden dianggap goyah. Ini kerana pada permulaan abad ke-19, sekolah-sekolah awam termasuk Rugby bermain versi bola sepak mereka dengan peraturan berbeza-beza walaupun dibenarkan menangkap bola untuk menyepaknya semula.

Pada tahun 1820-an, pelajar-pelajar Rugby bermain bola dengan membawa bola dengan tangan dan ia kemudiannya penting dalam permainan bola sepak versi mereka. Menjelang tahun 1863, Persatuan Bola Sepak (FA) telah menetapkan peraturan standard bola sepak termasuk melarang pemain membawa bola dengan tangan. Ini yang kemudiannya menjadi permulaan kepada sukan ragbi moden yang kita ketahui hari ini.

Peraturan standard sukan ragbi bermula pada tahun 1871 menerusi satu mesyuarat yang diadakan di Pall Mall Restaurant, London. 22 kelab ragbi mengambil bahagian tetapi wakil Wasps gagal hadir kerana muncul di restoran berbeza. Menerusi mesyuarat ini, Rugby Football Union (RFU) ditubuhkan dengan Algernon Rutter menjadi presiden pertama. Tiga alumni Rugby yang mempunyai latar belakang pendidikan undang-undang dipilih untuk menulis undang-undang ragbi yang standard dan ia diluluskan pada tahun 1871.  

Tetapi 20 tahun selepas itu, kesatuan itu berpecah kepada Kesatuan Ragbi dan Liga Ragbi dan semua ini berlaku kerana duit. Ya, duit. Pada tahun 1895, RFU menolak usul pemain diberi bayaran atas sebab kehilangan pendapatan melalui satu undian. Akibatnya, 22 kelab mengambil keputusan menubuhkan Kesatuan Ragbi Utara.

Hari ini dikenali dengan nama Liga Ragbi Bola Sepak (RFL), ia membenarkan pemain dibayar dan membuat perubahan terhadap permainan. RFU berusaha mempertahankan konsep amatur termasuk mengenakan penggantungan seumur hidup kepada mana-mana pemain yang berkecimpung secara profesional. Ia hanya berubah pada tahun 1905 apabila Lembaga Ragbi Antarabangsa (IRB) tunduk kepada situasi semasa dan membenarkan pemain kesatuan dibayar gaji.

RUJUKAN:

1. Johnson, Ben. History of Rugby Football. Historic UK. https://www.historic-uk.com/CultureUK/History-of-Rugby-Football/

2. Humphrys, Julian. (2019). The history of rugby: when was the sport invented?. History Extra. https://www.historyextra.com/period/victorian/history-rugby-william-web-ellis-union-league-split-when/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.