Sejarah Sistem Kasta Di India

12,113

Sebuah kajian genetik ke atas penduduk India mendapati sistem kasta masyarakat India telah pun diamalkan secara meluas selama hampir 2000 tahun.

Sistem kasta berasaskan prinsip agama Hindu dan ia menentukan bagaimana interaksi  antara sesebuah kumpulan masyarakat dengan kumpulan masyarakat yang lain. Penyusunan hierarki sosial sebegini hanya membenarkan perkahwinan dalam lingkungan kasta yang sama. Malah, ia menetapkan bahawa kasta seseorang sudah ditetapkan sejak lahir. Selain itu, setiap kasta juga dikaitkan dengan lapangan kerja yang tersendiri.

Live Science melaporkan bahawa para penyelidik menjalankan analisa DNA terhadap 371 orang dari 73 buah kumpulan dan melaporkan penemuan mereka itu dalam American Journal of Human Genetics. Mereka mendapati bahawa populasi di India mengamalkan kehidupan yang saling bergaul antara satu sama lain sekitar 4200 tahun lalu.

Namun, amalan kehidupan ini terhenti sekitar 1900 tahun yang lalu. Hasil penemuan ini didokong oleh petunjuk-petunjuk yang ditemui dalam teks-teks purba yang mengisyaratkan bahawa kasta telah pun wujud sejak 3000-3500 tahun lalu. Pembahagian kasta menjadi semakin ketat sekitar 2000 tahun lalu.

Gambar tahun 1860an menunjukkan golongan Rajput, yang diklasifikasikan sebagai Hindu berkasta tinggi

Tiga kumpulan masyarakat utama, iaitu paderi, bangsawan dan orang awam, dapat dikenal pasti pada sebuah koleksi gurindam Sanskrit berusia 3500 tahun yang dikenali sebagai Rigveda. Pun begitu, sumber ini belum menyebutkan tentang pengasingan dan pengetatan terhadap pelaksanaan kasta.

Kumpulan masyarakat keempat yang dikenali sebagai Shudra (kasta paling rendah) mula disebutkan pada tahun 1000SM. Apapun, hanya pada tahun 100SM barulah teks suci Manusmruti menyebut tentang larangan langsung perkahwinan campur antara kasta. Larangan ini kelihatan selari dengan hasil penyelidikan genetik yang disebutkan tadi.

Penulis bersama kertas kajian tersebut, iaitu Priya Moorjani, seorang ahli genetik di Universiti Harvard menerangkan bahawa hubungan sosial merentas-kasta pernah menjadi satu kelaziman bagi penduduk di India. Akan tetapi, suatu ‘perubahan berlaku di mana kebanyakan kumpulan ini mengamalkan endogami (perkahwinan hanya dijalankan dalam lingkungan kumpulan tersendiri) sekitar 2000 tahun lalu.”

Terbaru: Fiksyen Mahakarya

Sistem kasta ini memiliki kaitan dengan kepercayaan Hindu tentang empat varna  – pengaturan dan penyusunan manusia mengikut kesucian rohani dalaman mereka. Kedudukan tertinggi dihuni oleh golongan paderi, atau Brahmin. Golongan pahlawan atau Kshatriya adalah kumpulan yang seterusnya. Manakala Vaishyas, atau para pedagang adalah kasta yang ketiga.

Kasta paling rendah adalah Shudra (buruh, artisan dan hamba). Kasta Shudra turut dikenali sebagai ‘kasta yang tidak boleh disentuh’ dan mereka lazim ditindas. Antara bentuk penindasan tersebut adalah larangan meminum air dari perigi-perigi yang digunakan oleh kasta-kasta lain yang lebih tinggi. Mereka juga dilarang dari terlibat dalam ritual-ritual keagamaan. Malah, bayang-bayang mereka sama sekali tidak boleh meneduhi kasta Brahmin.

Piramid sistem kasta di India


Menjelang awal kurun ke-20, India berusaha mendapatkan kemerdekaannya dari British dan sistem kasta menjadi suatu isu yang sangat kontroversi pada waktu itu. Sistem ini dikritik kerana disifatkan sebagai satu bentuk ketidakadilan dan penindasan. Kini, perlembagaan India melarang penggunaan istilah ‘kasta yang tidak boleh disentuh’ ketika merujuk kasta Shudra. Penindasan berdasarkan kasta juga dilarang.

Memasuki zaman teknologi dan maklumat, kepentingan sistem kasta mula hilang terutama dari sudut ekonomi. Namun, amalannya berkekalan sebagai doktrin keagamaan dan ia terus menjadi faktor pemecah-belah dalam kalangan masyarakat India pada hari ini.

Gandhi mengunjungi Madras (kini Chennai) pada 1933. Ucapan dan tulisan-tulisannya dalam jelajah ini membahaskan tentang penindasan dalam kalangan kasta-kata di India

TERJEMAHAN:

April Holloway. (5 Ogos 2017). The Controversial Indian Caste System Has Been Dividing India for 2000 Years. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/controversial-indian-caste-system-has-been-dividing-india-2000-years-021548

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.