David Copperfield, David Blaine, Criss Angel dan Harry Houdini. Keempat-empat mereka merupakan ahli silap mata terkenal yang sentiasa menggamit orang ramai dengan pelbagai helah dan silap mata tersendiri. Sejarah silap mata sendiri sebenarnya merupakan satu sejarah yang panjang.

IKLAN: PBAKL ONLINE sedang berlangsung di Shopee The Patriots. Dapatkan judul kami pada harga serendah RM20. Klik: shp.ee/efz9vb5

Ada berpandangan ia dikatakan sudah bermula semasa era Mesir Purba atau lebih tepat era Baqet III. Satu lukisan pada dinding makam baginda di nekropolis Bani Hassan menunjukkan dua orang lelaki berlutut dengan empat mangkuk diterbalikkan diletakkan di antara kedua-duanya. Ada mendakwa itu merupakan bukti terawal silap mata wujud semasa era ini. Tetapi ada juga yang melihat ini sebagai satu bentuk permainan kegemaran rakyat ketika itu.

Yang pasti, silap mata atau lebih tepat silap mata mangkuk dan bola sudah dinyatakan dalam bentuk teks semasa era Rom. Helah ini disebut oleh penulis Rom terkenal, Seneca the Younger dalam karyanya yang bertajuk Epistulae Morales ad Lucilium (Surat-Surat Moral kepada Lucillius) yang diterbitkan sekitar tahun 65 Masihi.

Silap mata mangkuk dan bola boleh dianggap sebagai silap mata tertua di dunia. Helahnya mudah, bola diletakkan dalam salah satu daripada ketiga-tiga mangkuk sebelum ahli silap mata membuatkan bola melompat ke mangkuk lain atau menambah bilangannya. Hakikatnya, tanpa pengetahuan penonton, satu bola tambahan diletakkan di bawah salah satu mangkuk dengan bola asal disimpan secara rahsia semasa persembahan.

Di sebalik nama helah ini, kadang-kadang ahli silap mata menggantikan bola atau mangkuk dengan objek lain yang bersesuaian dengan persembahannya. Di Itali, helah ini dipanggil il gioco dei bussolotti (permainan penggoncang dadu). Mereka menggunakan kotak penggoncang dadu berbentuk silinder sebagai alternatif kepada cawan atau mangkuk semasa menunjukkan silap mata ini kepada orang ramai.

Pada Zaman Pertengahan, tidak diketahui tentang cerita silap mata terutama di tanah besar Eropah. Bagaimanapun perlu diingat, silap mata dianggap sama sahaja seperti sihir dan sesiapa yang melakukannya kecaman masyarakat dan berdepan prospek kema_tian yang menggerunkan. Bagi penduduk dan pihak gereja ketika itu, pengamal sihir dianggap bersubahat dengan syaitan dan berusaha menyelewengkan masyarakat untuk berpaling daripada agama.

Bagi pengamal silap mata, selain dianggap ahli sihir oleh masyarakat dan gereja, mereka turut dilabel sebagai penjen_ayah kerana membantu aktiviti kecu_rian berleluasa. Mesej ini dilihat dengan jelas menerusi lukisan The Conjurer yang dihasilkan oleh pelukis abad ke-16, Hieronymous Bosch.

Rajah 1: The Conjurer oleh Hieronymous Bosch

Dalam lukisan tersebut, Bosch melukis imej orang ramai yang tertarik dengan helah silap mata yang dipersembahkan seorang silap mata. Bagaimanapun, pada masa sama, seorang lelaki (berkemungkinan rakan subahat ahli silap mata) secara senyap-senyap mengambil uncang wang milik seorang penduduk. Mesej Bosch amat jelas: jangan percaya kepada ahli silap mata!

Bagi mengubah persepsi orang ramai terhadap hal ini, penulis dan ahli politik Inggeris Reginald Scot menerbitkan buku The Discoverie of Witchcraft pada 1584. Dalam buku tersebut, beliau menegaskan silap mata bukan sihir kerana ia bergantung kepada teknik ringkas untuk menjayakannya. Scot turut menyelar pihak gereja Roman Katolik kerana menyamakan silap mata dengan sihir yang mengakibatkan ahli silap mata disalah sangka sebagai ahli sihir.

Rajah 2: Kulit muka hadapan The Discoverie of Witchcraft.

Ini menjadikan buku The Discoverie of Witchcraft sebagai buku silap mata pertama diterbitkan dalam sejarah. Bagaimanapun, ramai cendekiawan Inggeris menolak idea yang dikemukakan Scot. Nasibnya bertambah malang apabila Raja James I yang ditabalkan sebagai Raja England dan Ireland pada 1603 menitahkan semua salinan buku tersebut diba_kar.

Tetapi lama-kelamaan, idea ahli silap mata merupakan ahli sihir tidak lagi dianggap relevan dan ia mula dilihat sebagai satu bentuk hiburan kepada masyarakat. Antara ahli silap mata yang muncul pada abad ke-17 ialah Isaac Fawkes. Fawkes aktif sebagai ahli silap mata dan menghiburkan penonton di Pesta Bartholomew antara 1720 hingga 1731. Selain itu, beliau juga pernah dipanggil ke istana untuk menghiburkan Raja George II.

Rajah 3: Isaac Fawkes dengan helah silap mata

Fawkes kembali ke negeri cacing pada 1732 selepas dikatakan terbu_nuh dalam satu keba_karan di gerai pesta miliknya. Beliau dikatakan mempunyai kekayaan berjumlah 10,000 paun yang bersamaan dengan AS$1 juta (RM4.1 juta) hari ini. Fawkes dianggap ikon silap mata kepada semua ahli silap mata selepasnya kerana mempunyai gerakan tangan yang lincah semasa membuat persembahan.

Silap mata moden hanya bermula sekitar abad ke-19 terima kasih kepada Jean-Eugène Robert-Houdin. Robert-Houdin ialah seorang pembuat jam tetapi mempunyai minat mendalam terhadap dunia silap mata.

Rajah 4: Jean-Eugene Robert-Houdin

Impak yang ditinggalkan beliau masih dirasai sehingga hari ini. Pertama, dari segi penampilan, Robert-Houdin lebih selesa mengenakan sut malam yang segak. Beliau memilih penampilan ini bagi membuang stigma aura mistik yang dikatakan ada kaitan dengan silap mata. Selain itu, Robert-Houdin turut menyelar mana-mana ahli silap mata yang menggunakan sihir sebagai rahsia helah mereka sebagai penipu besar.

Reputasi Robert-Houdin digunakan sepenuhnya oleh Perancis untuk membantu kempen pendudukan mereka di Algeria. Walaupun berjaya menakluk negara itu pada tahun 1830, masih ramai pemimpin dan warga Algeria melancarkan pemberontakan bagi menolak kehadiran mereka di situ. Situasi ini tidak dibantu oleh kemunculan golongan murabit[1] yang menggesa orang ramai bangkit menentang penjajah Eropah itu.

Paris yang terdesak meminta bantuan Robert-Houdin melawan pengaruh golongan murabit menerusi silap matanya. Ini kerana menurut mereka, golongan murabit dikatakan mengamalkan silap mata bagi menyakinkan orang ramai untuk terus menentang Perancis. Ini mendorongnya mengadakan persembahan di seluruh Algeria bagi mempengaruhi orang awam menyokong rejim baru itu.

Antara helah yang digunakan oleh Robert-Houdin ialah menarik keluar barang dari topi, meminta seorang sukarelawan mengangkat peti kayu magis atau menjadikan sukarelawan hilang sebentar. Tetapi persembahannya yang paling mencabar ialah bila beliau diminta mengadakan persembahan silap mata di hadapan 60 ketua puak.

Apabila persembahan itu dibuat di hadapan mereka, ramai merasa kagum dengan helah yang ditunjukkan. Malah, Robert-Houdin dengan bantuan seorang penterjemah menjelaskan kepada mereka bagaimana beliau melakukan semua helah silap mata tersebut. Beberapa hari selepas itu, separuh daripada mereka mengumumkan menyokong pendudukan Perancis di Algeria.

Semasa era Victoria England pula, silap mata terkenal kerana pelbagai faktor seperti peralatan mekanikal, kelicikan ahli silap mata dan rasa ingin tahu mendalam terhadap perkara pelik dan tidak diketahui. Dua lokasi pilihan bagi ahli silap mata ialah Egyptian Hall dan Institut Politeknik Diraja (Royal Polytechnic Institution).

IKLAN: Kami melancarkan POLITIK UNTUK PEMULA pada harga diskaun di PBAKL Online. 100 pembeli terawal dapat sign penulis. Link beli: https://shp.ee/rjhp7xi

Nama Egyptian Hall menjadi terkenal kerana menjadi lokasi persembahan dua ahli silap mata terkenal George Alfred Cooke dan John Neville Maskelyne. Jadi, bagi mana-mana ahli silap mata ketika itu, ia dianggap satu penghormatan untuk melakukan persembahan di situ. Menariknya, Houdini pernah berkeinginan mengadakan persembahan di Egyptian Hall pada 1898 tetapi tidak diberi peluang berbuat demikian.

Institut Politeknik Diraja ditubuhkan pada 1838 dengan tujuan mendidik orang ramai berkenaan pengetahuan saintifik. Di sinilah, silap mata dan sains bergabung dengan ia menjadi lokasi pameran ciptaan mekanikal dan saintifik terbaru ketika itu.

Menjelang abad ke-20, persembahan silap mata ditayangkan di televisyen sekaligus mendorong orang ramai melihatnya secara lebih meluas. Bagaimanapun, persembahan silap mata hari ini dilihat lebih menekankan nilai hiburan daripada nilai pendidikan seperti yang dianjurkan Robert-Houdin. Bagaimanapun, legasi beliau diteruskan oleh sesetengah ahli silap mata terkenal seperti James Randi dan duo Penn dan Teller.

NOTA KAKI:

[1] Golongan cendekiawan dan guru agama Islam di Afrika Barat dan sebahagian Afrika Utara. Kebiasaannya, golongan ini merupakan hafiz dan pengajar al-Quran. Ada juga yang dikenali sebagai ahli sufi atau pemimpin komuniti agama setempat.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.