Sejarah Sepak Takraw Dari Zaman Melaka Sehingga Kini

0
560
views

Alkisah maka tersebutlah perkataan anak Sultan Mansur Syah yang bernama Raja Muhammad itu; pada niat baginda Raja Muhammad itulah hendak dirajakan di Melaka. Maka Raja Ahmad dan Raja Muhammad telah besarlah kedua anakanda baginda itu. Akan Raja Muhammad itulah yang sangat dikasihi baginda. 

Sekali sepertua, Raja Muhammad pergi bermain-main berkuda ke kampung Bendahara Paduka Raja. Adapun pada masa itu Tun Besar, anak Bendahara, sedang bermain sepak raga di lebuh, dengan segala orang muda-muda. Maka Raja Muhammad pun lalu, ketika itu Tun Besar sedang menyepak raga; maka raga itu pun jatuh menimpa destar Raja Muhammad, jatuh ke tanah. Maka kata Raja Muhammad, “Ceh, jatuh destar kita oleh Tun Besar!” Sambil memandang mata penjawatnya. Maka berlari orang yang membawa puan baginda, ditikamnya Tun Besar, kena belikat terus ke hulu hati. Maka Tun Besar pun Mati. 

Maka orang pun gemparlah; segala anak buah Bendahara Paduka Raja pun semuanya keluar dengan alat senjatanya. Maka Bendahara Paduka Raja pun keluar bertanya, “Apa sebab gempar ini?” Maka kata orang itu, “Anakanda Tun Besar mati dibunuh oleh Raja Muhammad!” Maka segala perihalnya semua dikatakan orang pada Bendahara Paduka Raja. Maka kata Bendahara, “Mengapatah maka kamu semua berlengkap ini?” Maka sahut segala anak buah Bendahara, “Sahaya semua hendak berbalas akan kematian saudara sahaya semua!” maka kata Bendahara Paduka Raja, “Hei! Hei! Hendak derhakakah ke bukit? Hendak derhakakah ke bukit? Nyiah! Nyiah! Kamu semua; nyiah! Kerana istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi akan anak raja seorang ini, janganlah kita pertuan.” Maka segala anak-anak Bendahara Paduka Raja pun diamlah sama-sama; masing-masing menyuruh menyimpan senjatanya. Mayat Tun Besar pun ditanamkan oranglah. 

Setelah Sultan Mansur Syah mendengar gempar itu, maka baginda pun bertanya, “Apa digemparkan orang itu?” Sembah Tun Indera Segara “Tun Besar, anak Datuk Bendahara tuanku, mati dibunuh oleh paduka anakanda Raja Muhammad.” Maka segala perihal semuanya dipersembahkan kepada Sultan Mansur Syah. Maka titah baginda, “Apa kata Bendahara?” Maka sembah Tun Indera Segara, “Akan kata Datuk Bendahara, yang adat hamba Melayu tidak pernah derhaka, tetapi akan kita bertuankan anak raja seorang ini janganlah.” 

Maka Sultan Mansur Syah pun memanggil Raja Muhammad; setelah datang, maka baginda pun murka akan anakanda baginda Raja Muhammad, titah baginda, “Celaka si Muhammad ini. Hei Muhammad! Apatah dayaku engkau ditolak muka bumi Melaka!” Maka baginda pun menyuruh memanggil Seri Bija Diraja ke Pahang. Maka Seri Bija Diraja pun datanglah. Maka Raja Muhammad pun diserahkan baginda kepada Seri Bija Diraja, disuruh rajakan di Pahang. 

Petikan daripada buku Sejarah Melayu itu bukan bertujuan untuk mengajak pembaca merenung tentang tindakan melulu Raja Muhammad sebaliknya bertujuan untuk memberikan gambaran kepada kita bahawa permainan sepak takraw sudah berada di rantau nusantara ini sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Hingga kini pun sepak raga masih dimainkan dan merupakan salah satu acara popular dalam kejohanan sukan rantau Asia. Di Malaysia permainan ini disebut ‘sepak raga’, di Filipina ‘sipa’, di Burma ‘chinlone’, di Laos ‘kator’, dan di Thailand ‘takraw’. Nama sepak takraw diambil dari bahasa Melayu dan bahasa Thailand. Kata “sepak” berasal dari bahasa Melayu yang bermaksud ‘menendang’. Bagi perkataan  “takraw” berasal dari bahasa Thailand yang bermaksud ‘bola yang dianyam’

Walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa sepak raga berasal dari negara China dengan sebutan ‘cuju’ yang bermaksud ‘menendang bola’ akan tetapi asal usul sepak raga masih tidak dapat dipastikan kerana tidak terdapat satu bukti kukuh yang mengesahkan permainan ini berasal dari negara mana. Perkara yang pasti ialah sepak raga telah menjadi permainan tradisi pusaka yang dimainkan oleh raja-raja melayu sejak sebelum tahun 1478 lagi. Bagaimanakah pula kisah sepak raga pada era pascamerdeka?

Waqaf Saham

Inisiatif untuk mengetengahkan permainan tradisional ini untuk menjadi satu acara sukan dimulakan secara rasminya sekitar tahun 60-an. Melalui satu persidangan yang dianjurkan oleh Persatuan Sepak Raga Pulau Pinang pada tahun 1960, wakil-wakil dari negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah dan Singapura bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Persekutuan Sepak Raga Malaya/Malaysia. Hasil daripada pertubuhan ini lahirlah satu pertandingan sepak raga untuk merebut  Piala Emas Khir Johari. Pertandingan yang pertama telah diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 27 Disember 1962 hingga 28 Disember 1962. Dalam pertandingan yang pertama ini, negeri Pulau Pinang menjadi johan dan naib johan ialah Singapura.

Sumber Gambar : ©infotakraw.com : Zainal Abidin Mohammad Arabee “Non Kilat” selaku ketua pasukan Pulau Pinang menerima Piala Emas Khir Johari daripada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra selaku Juara Edisi Pertama, Kejohanan Piala Emas Khir Johari,  di Stadium Negara Kuala Lumpur. (27 – 28 Disember 1962)

Dalam pertandingan tersebut Tunku Abdul Rahman telah berucap, “Sepak raga bukanlah suatu permainan baharu di negeri ini bahkan ia telah dimainkan turun-temurun dari zaman datuk nenek kita. Kemenangan sahaja bukanlah menjadi tujuan dalam satu-satu pertandingan itu, kerana tujuan itu diadakan ialah untuk membangkitkan kegemaran dan meninggikan darjah permainannya.”

Pada tahun 1965, negara Malaysia menjadi tuan rumah bagi Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP). Pada tahun ini juga buat kali pertama sepak raga dibawa ke peringkat antarabangsa dengan nama sebagai sepak takraw. Disini juga pingat emas pertama sukan Sukan SEAP berjaya dirangkul oleh Malaysia. Sejak itu, Malaysia menjadi kuasa besar dalam acara tersebut dan mengekalkan dominasi selaku pemenang pingat emas dalam temasya dwi tahunan itu. Bermula Sukan SEAP, Kuala Lumpur 1971 sehinggalah Sukan SEA Singapura 1983, Malaysia tidak pernah tidak membawa pulang pingat emas. Dunia sepak takraw telah melahirkan banyak bintang takraw Malaysia. Antara nama-nama lagenda sepak takraw yang terhasil ketika itu ialah Adnan Saidin (killer), Kamarudin Salleh (tekong), Md Noor Hj. Ali (killer), Mohd Nor Osman (feeder), Jamal Din (tekong), Marzuki Daud (killer) dan ramai lagi nama yang mengharumkan nama negara dalam arena sepak takraw negara.

Generasi hari ini harus tahu bahawa pasukan sepak takraw negara yang menyertai Sukan SEA di Jakarta pada 1979, berjaya merangkul pingat emas, sehingga meletakkan negara sebagai pasukan handalan Asia Tenggara. Pada 1980, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada masa itu di bawah Tan Sri Samad Idris mengadakan pula siri pertunjukan di Republik Rakyat China, Korea Utara dan Hong Kong, sekali gus sukan ini menembusi minat dalam kalangan negara Asia itu. Selepas itu, rentetan kejayaan bertambah, penaja semakin yakin dan Malaysia adalah pasukan yang amat digeruni dalam aksi peringkat antarabangsa. Semakin ramai jaguh yang lahir, semangatnya tidak pernah pudar dan libasannya, jika direjam maka meledaklah lantai lawan.

Dalam tempoh itu terutamanya sehingga 1983, pasukan Malaysia begitu dominan sehingga menyapu pingat emas di semua Sukan SEAP dan Sukan SEA kecuali Sukan SEAP 1967 di Bangkok, Thailand yang mana Malaysia hanya menang pingat perak dan Sukan SEAP 1969 di Rangoon, Myanmar kerana acara itu  tidak dipertandingkan. Malaysia juga memenangi dua pingat emas di Sukan Asia 1990 di Beijing, China dan satu pingat emas di Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun yang menjadi pingat emas terakhir dimenangi pasukan negara di Sukan Asia.

Kemerosotan sepak takraw negara mula merudum setelah kali terakhir memperolehi pingat emas acara berpasukan pada Sukan SEA Manila 1991. Selepas itu, Thailand merampas takhta sebagai kuasa besar sepak takraw antarabangsa. Skuad negara pernah dimalukan oleh Korea dalam Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di New Delhi, India. Selain itu, skuad negara juga pernah dimalukan dalam Sukan SEA 2013. Kekalahan itu menyebabkan Malaysia hilang status sebagai satu ‘kuasa besar’ di rantau Asia Tenggara, sekali gus menghakis kedudukan Malaysia dalam sepak takraw di benua Asia.

Bermula pertengahan 1990-an, Thailand muncul sebagai kuasa besar baharu sepak takraw sehingga berjaya membolot semua pingat emas yang dipertandingkan di Sukan SEA dan Sukan Asia. Thailand hanya kehilangan satu pingat emas acara antara regu kepada Malaysia di Sukan SEA 2005 di Manila. Era awal 2002 menyaksikan kemerosotan pasukan sepak takraw negara. Bukan sahaja gagal menyaingi Thailand, malah Malaysia sudah mula tewas kepada pasukan-pasukan yang dulu dianggap belasahan seperti Indonesia, Vietnam, Laos, Myanmar dan Korea Selatan. Dalam Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, pasukan negara sekadar meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan selepas tewas kepada Thailand di peringkat separuh akhir.

Walau bagaimanapun, kelukaan demi kelukaan pasukan takraw negara terubat dalam Sukan Asia 2018 apabila pasukan negara kita berjaya menewaskan pasukan tuan rumah iaitu Indonesia.  Sukan SEA Ke-30 akan diadakan pada tahun 2019 di Manila, Filipina. Untuk sukan tersebut, Majlis Sukan Negara (MSN) telah menyasarkan atlet negara akan memperoleh antara 93 hingga 96 pingat emas. Sayangnya, acara sepak takraw tidak termasuk dalam senarai tersebut. Mungkin ada sedikit rasa memandang rendah setelah kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh pasukan sepak takraw negara kita. Pasukan takraw negara harus memperkuat semangat dan keazaman untuk mengulangi kejayaan dalam Sukan Asia 2018 ke Sukan SEA Ke-30 pada tahun 2019 nanti.