Sejarah Ruwaq Jawi Di Al-Azhar Mesir Sejak 1815 Masihi

1,012

Kalimah ‘Ruwaq’ adalah nama khusus yang digunakan oleh Masjid al-Azhar al-Syarif yang membawa maksud tempat tinggal para pelajar al-Azhar di dalam masjid al-Azhar mengikut negara masing-masing satu ketika dahulu. 

Antara ruwaq yang ada di dalam masjid al-Azhar adalah Ruwaq Magharibah untuk para pelajar dari Maghribi, Ruwaq Atrak untuk para pelajar dari Turki, Ruwaq Zaila’i untuk para pelajar dari Afrika dan Ruwaq Jawi untuk para pelajar dari Nusantara. Namun pada hari ini ruwaq-ruwaq tersebut sudah tidak lagi menjadi tempat tinggal pelajar sekalipun sebahagian ruwaq berfungsi sebagai kelas penyampaian ilmu.

Sumber dari al-Azhar menyatakan bahawa Ruwaq Jawi (turut juga disebut: Ruwaq Jawah dan Ruwaq Jawa) terletak di antara Ruwaq Syawam dan Ruwaq Sulaimaniyyah. Ruwaq Jawi adalah satu bilik kecil yang didiami oleh para pelajar al-Azhar dari Nusantara. Para penghuninya akan menerima 11 keping roti setiap hari. Kenyataan ini menunjukkan bahawa penghuni Ruwaq Jawi dalam satu masa adalah berjumlah sekitar 11 orang. [1]

Selain itu, Ruwaq Jawi juga berperanan dalam menyimpan khazanah ilmu buat al-Azhar al-Syarif. Jumlah manuskrip yang berada di dalam Ruwaq Jawi satu ketika dahulu berjumlah sebanyak 64 jilid buku. [2]

Menurut satu kajian, Ruwaq Jawi telah wujud sebelum kedatangan Kiyai Haji Abdul Manan Dipomenggolo yang tiba di al-Azhar pada tahun 1860-an bahkan menurut beberapa sumber, Ruwaq Jawi sudah wujud di dalam Masjid al-Azhar al-Syarif pada tahun 1815 Masihi. [3]

Antara para ulamak Nusantara yang dikenalpasti pernah tinggal di dalam Ruwaq Jawi adalah: 

• Kiyai Abdul Manan Dipomenggolo dari tanah Jawa (berada di Mesir sekitar tahun 1850 Masihi) yang merupakan murid kepada Syeikh Ibrahim al-Bajuri. Kiyai Abdul Manan adalah datuk kepada Kiyai Mahfuz Termas yang merupakan pengarang kitab Hasyiah al-Tarmasi Ala Minhaj al-Qawim. [4]

• Syeikh Wan Ahmad al-Fatoni (tiba di Mesir pada tahun 1872). 

• Syeikh Ismail bin Abdul Muttolib dari Acheh yang pernah menjadi Syeikh Ruwaq Jawi. Beliau adalah murid kepada Syeikh Wan Ahmad al-Fatoni, Sumber dari al-Azhar menyatakan bahawa antara Syeikh Ruwaq Jawi yang terkenal adalah Syeikh Ismail Muhammad al-Jawi. Berkemungkinan beliau yang dimaksudkan adalah Syeikh Ismail bin Abdul Muttolib. [5]

• Syeikh Abdul Hamid bin Muhammad Ali Kudus (lahir 1863 dan wafat 1915) dari Kudus, Jawa Tengah yang merupakan murid kepada Syeikh Wan Ahmad al-Fatoni. Berkemungkinan besar beliau juga pernah tinggal di Ruwaq Jawi kerana beliau adalah di antara angkatan ulama Nusantara yang telah berangkat ke Mesir dari Makkah setelah Mesir didatangi oleh Syeikh Wan Ahmad al-Fatoni. [6]

Sejarah penubuhan Ruwaq Jawi ini adalah sangat lama. Para pendiri Ruwaq Jawi ini memikirkan dan mengusahakan tentang penubuhannya seumur hidup mereka berada di Ardul Kinanah. Ruwaq Jawi dihidupkan semula sepertimana dahulu pernah ada di Masjid Azhar sebagai kelas untuk pelajar Nusantara sejak zaman Sheikh Idris Marbawi belajar di Azhar.

Kesedaran menubuhkan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi adalah disebabkan Ruwaq Jawi sebenar yang berada di dalam Masjid al-Azhar al-Syarif sudah tidak lagi berfungsi sebagai tempat tinggal pelajar Nusantara dan tidak pula dijadikan tempat penyampaian ilmu pada hari ini. 

Atas kesedaran bahawa Ruwaq Jawi mampu mewujudkan suasana ilmiah dan melahirkan generasi yang cinta ilmu, lapan orang para pelajar al-Azhar al-Syarif dari Malaysia iaitu Ustaz Mohd Nazrul bin Abdul Nasir, Ustaz Hairul Nizam bin Mat Husain, Ustaz Abu Bakar bin Razak, Ustaz Khairul Abdan bin Baharuddin, Ustaz Mohammad Yaakub Yusro bin Yusuf, Ustaz Ammar bin Mustaffa, Ustaz Mohammad Faiz Zuhdi bin Azahar dan Ustaz Anas bin Mansor telah bermesyuarat kali pertama di Hayyu Sabik, Kaherah pada Jumaat 12 Rejab 1436 bersamaan 1 Mei 2015 untuk membincangkan penubuhan satu pusat pengajian yang akhirnya dinamakan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi di bawah kelolaan Syeikh Ruwaq yang pertama Ustaz Mohd Nazrul bin Abd Nasir. 

Pusat Pengajian Ruwaq Jawi seterusnya telah dirasmikan oleh Y.M T.Y.T Dato Ku Jaafar bin Ku Shaari Duta Besar Malaysia Ke Republik Arab Mesir Dan Palestin pada 5 Syawal 1436 bersamaan 21 Julai 2015 sekaligus menjadikan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi bernaung di bawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

Usaha ini adalah hasil dorongan sokongan dan semangat oleh para ulama Azhar sendiri. Kesemua asatizah ini merupakan murid kanan masyaikh dan diminta secara khusus oleh pengendali kelas pengajian di Masjid Azhar iaitu Sheikh Imad Dardir untuk membuka kelas tersebut.

Dan pastinya kelas ini juga mendapat restu dari Fadhilatul Mufti Diyar pada masa itu iaitu Al Allamah Sheikh Dr Ali Jumaah Rahimahullah. Ini menjadi sejarah besar di mana buat pertama kali, kelas pengajian bahasa Melayu dibuka di Masjid Azhar yang terkenal dengan keagungan ilmu Islam.

Pusat Pengajian Ruwaq Jawi menekankan majlis pembacaan kitab-kitab bersama para ulamak khususnya dari al-Azhar al-Syarif yang turut mempelajari kitab-kitab tersebut daripada para guru mereka dengan silsilah sanad yang bersambung sampai kepada pengarang kitab. 

Penubuhan kelas ini menjadi kemuncak kegemilangan dan simbol kesungguhan para pelajar Nusantara, khususnya pelajar Malaysia, dalam melazimi kelas pengajian ulama Azhar di Masjid Azhar, sehingga para masyaikh memandang pentingnya ditubuhkan kelas pengajian dalam bahasa Melayu di Masjid Azhar untuk menjadi pemudahcara mereka memahami asas mabadi ilmu.

Pelan pembangunan Ruwaq Jawi bukan sekadar di Mesir, tetapi akan disebar luaskan peranannya hingga ke Malaysia. Matlamatnya adalah untuk menubuhkan Azhar Thani di Malaysia. Ini usaha penyebarkan ilmu Islam yang serius, seperti seriusnya para ulama menubuhkan dan mempertahankan institusi Azhar selama lebih 1000 tahun!

Sehingga ke saat ini, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi telah mengadakan: 

1) Pembacaan kitab al-Jawahir al-Lu’luiyyah Syarah kepada al-Arbaun al-Nawawiyyah oleh Syeikh Ruwaq Ustaz Mohd Nazrul bin Abd Nasir, 

2) Majlis pembacaan Risalah al-Azkiya Fi Bayan Akhir Waqt al-Isha karangan Syeikh Ruwaq Ustaz Mohd Nazrul bin Abd Nasir pada 15 Syaaban 1436 bersamaan 2 Jun 2015.

3) Majlis periwayatan hadith-hadith Musalsal pada 1 Syawal 1436 bersamaan 17 Julai 2015 melalui jalan sanad Syeikh Ahmad Mamduh al-Azhari, 

4) Majlis pembacaan kitab al-Arba’un al-Nawawiyyah pada 5 Syawal 1436 bersamaan 21 Julai 2015 juga melalui jalan sanad Syeikh Ahmad Mamduh al-Azhari 

5) Pembacaan kitab al-Taqrirat al-Saniyyah oleh Syeikh Ruwaq Ustaz Mohd Nazrul bin Abd Nasir sebanyak lima kali majlis bermula pada 9 Syawal 1436 bersamaan 25 Julai 2015 

6) Dan pembacaan kitab al-Tuhfah al-Saniyyah yang dibaca di hadapan Syeikh Ali bin Soleh bin Ali al-Azhari yang merupakan murid langsung kepada Syeikh Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid pengarang kitab al-Tuhfat al-Saniyyah sebanyak 4 kali majlis bermula pada 18 Syawal 1436 bersamaan 3 Ogos 2015.

Oleh itu, untuk menjayakan usaha besar ini, Ruwaq Jawi bebas dari sebarang ikatan secara langsung atau tidak langsung dengan mana-mana badan politik dan berkepentingan. Usaha besar ini perlu melibatkan semua orang tanpa ada batasan fahaman politik, agar ianya dipandang sebagai usaha ummah, dan menjadi salah satu titik temu semua umat Islam.

Selain itu, Ruwaq Jawi juga tidak akan berkesan menjadi pihak neutral yang boleh memberikan pandangan serta teguran secara bebas. Dikhuatiri segala pandangan yang akan diutarakan perlu diselarikan secara veto dengan pandangan pihak berkepentingan.

Jika ini berlaku, ia akan kontradik dengan fungsi ilmu, maka akan hilang fungsi Ruwaq Jawi yang sepatutnya menjadikan ilmu Islam sebagai asas mereka. Institusi yang perlu mengikut telunjuk orang lain tidak akan berjaya menjadi institusi ilmu yang berkesan. Ruwaq Jawi akan mainkan peranannya secara ikhlas dan bebas. Jika sesekali mereka bersuara menegur, percayalah ia dibuat atas dasar yang benar.

Selain itu, untuk menjadikan ianya rasmi dan berautoriti, Ruwaq Jawi juga perlu melalui proses penubuhan yang mengikut prosedur diplomasi yang sepatutnya. Antaranya adalah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Mesir. Menggerakkan institusi seperti ini di negara yang sering bergolak seperti Mesir bukan mudah.

Semoga Allah memberkati sebarang usaha untuk memajukan lagi perjalanan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi di bumi al-Azhar al-Syarif.

Artikel kiriman Pusat Pengajian Ruwaq Jawi untuk The Patriots.

RUJUKAN

[1](Lihat: http://alazharmemory.eg/topics/topicsDetails.aspx?id=542). 

[2](Lihat: http://www.alukah.net/library/0/39511/)

[3(Lihat http://www.academia.edu/10954776/DARI_ACEH_SAMPAI_MESIR_SEKILAS_TENTANG_JARINGAN_TANAH_AIR_DAN_TANAH_SUCI_SEJAK_ABAD_KE-12 pada halaman 4
dan https://pwkpersis.wordpress.com/2008/05/10/sejarah-al-azhar-bag-i/)

[4](Lihat: http://majalah.hidayatullah.com/2015/06/kajian-kitab-ulama-nusantara-di-kairo/

[5](Lihat: http://alazharmemory.eg/topics/topicsDetails.aspx?id=542)

[6](Lihat http://bahrusshofa.blogspot.com/2005/11/syaikh-abdul-hamid-kudus.html)

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.