Sejarah Port Royal – Pusat Kegiatan Lanun Di Caribbean

8,435

Boleh dikatakan bahawa bagi penggemar kisah-kisah lanun, Pirates of the Caribbean saling tidak tumpah seperti Indiana Jones di mata ahli-ahli arkeologi. Romantisme sejarah bagi tujuan hiburan lazimnya mengorbankan ketepatan sejarah, dan filem Pirates of the Caribbean antara yang tidak terkecuali. Salah satu latar bagi filem ini adalah Port Royal, Jamaica. Dalam artikel kali ini, kita akan meneroka fakta-fakta sebenar di sebalik pelabuhan purba Jamaica.

Port Royal diteroka buat kali pertama oleh masyarakat asli Taino-India. Walaupun sejarahwan kurang jelas adakah mereka mendiami Port Royal ataupun tidak, masing-masing bersepakat dalam menyatakan bahawa Port Royal digunakan sebagai pusat operasi penangkapan ikan. Pada masa itu, Port Royal dipanggil sebagai Caguay atau Caguaya.

Sepanyol kemudiannya mengkolonikan Jamaica sekaligus kawasan ini dimasukkan ke bawah pemerintahan negara itu. Namun sama seperti masyarakat Taino sebelumnya, Sepanyol tidak begitu memanfaatkan Port Royal. Lebih daripada itu, nama yang digunakan oleh masyarakat Taino bagi merujuk tempat itu (Caguay) juga dikekalkan.

Pada tahun 1654, sebuah ekspedisi pimpinan Robert Venables dan William Penn (ayah beliau menubuhkan Pennsylvania) dihantar oleh Oliver Cromwell bagi tujuan menakluk Pulau Hispaniola (kini Haiti) dari Sepanyol. Setelah ditewaskan oleh Sepanyol, mereka berdua berasa takut untuk melaporkan kegagalan itu kepada Cromwell justeru memutuskan untuk menuju ke barat daya. Tepatnya, ke Pulau Jamaica yang kosong dari sebarang pertahanan.

Pulau itu berjaya dikuasai dan sebuah kubu yang dinamakan sebagai Fort Cromwell didirikan. Di sekitar kubu itu, sebuah petempatan yang dinamakan sebagai Point Cagway dibangunkan. Selepas Charles II menaiki takhta Inggeris, nama kubu ini diubah menjadi Fort Charles dan petempatan tersebut pula dinamakan sebagai Port Royal.

Peta Port Royal, Jamaica

Memandangkan kawasan ini berupaya menjadi pelabuhan yang besar dengan ciri-ciri alam semula jadi yang baik, Port Royal membangun menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting di Caribbean. Berikutan kekayaannya yang berlimpah-ruah, Port Royal perlu dilindungi dari musuh-musuh England, terutama sekali Sepanyol yang berkemungkinan memasang hasrat untuk merebut semula Jamaica.

Untuk tujuan itu, suatu bentuk perlanunan yang sah di sisi perundangan digubal, di mana lanun-lanun diberikan letter of marque and reprisal, yakni lesen daripada pihak kerajaan yang membenarkan kapal-kapal peribadi untuk menyerang dan merampas kapal-kapal musuh untuk dibawa pulang dan dinilai oleh Majlis Tentera Laut. Sistem perundangan ini secara efektif meluluskan sebarang serangan oleh kapal persendirian ke atas kapal-kapal Sepanyol.

Berikutan kedudukannya yang strategik lantaran terletak di laluan perdagangan antara Dunia Baru dan Sepanyol, Port Royal menggamit perhatian ramai lanun yang berhasrat menjadi privateer yang sah (pemilik kapal persendirian yang dibenarkan menyerang kapal musuh).

Salah seorang privateer yang paling masyhur dan berjaya di Port Royal adalah Henry Morgan, yang kelak dilantik sebagai Leftenan Gabenor Jamaica.

Kapten Morgan memasuki Port Royal

Kehadiran privateer-privateer yang membawa pulang harta rampasan daripada Sepanyol ini menggalakkan pertumbuhan pelbagai bentuk perniagaan lain. Tidak lama kemudian, bar dan rumah pelacuran dibuka di seluruh Port Royal dan menjadi tempat para privateer ini membelanjakan harta mereka.

Promosi Buku DTT

Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa satu daripada empat bangunan di Port Royal adalah bar atau rumah pelacuran, sekaligus menandakan betapa pesatnya dua buah perniagaan ini. Hal ini kemudiannya meraihkan Port Royal gelaran ‘bandar paling keji di muka bumi’.

Hari-hari gemilang Port Royal berakhir tidak lama kemudian, apabila sebuah gempa bumi dan tsunami yang dahsyat melanda pada tahun 1692. Akibatnya, sebahagian besar Port Royal ditenggelami laut. Ramai yang menyifatkan kemusnahan ini sebagai pembalasan tuhan keatas penduduk Port Royal berikutan gaya hidup mereka yang terlampau hedonism. Anggota-anggota Majlis Jamaica sendiri mengatakan, “Kita menerima nasib sebegini sebagai balasan daripada Tuhan yang Berkuasa’.

Walaupun terdapat sejumlah usaha untuk membina semula Port Royal pada dekad-dekad berikutnya, bandar ini tidak lagi berupaya mencapai ‘kegemilangan’ sebagaimana yang pernah ia kecapi. Tidak lama selepas itu, kepentingannya mula dibayangi oleh bandar Kingston, yang kini menjadi ibu kota Jamaica.

Pada hari ini, Port Royal hanyalah sebuah kampung nelayan yang sepi. Mungkin, keadaannya di masa kini saling tidak tumpah seperti hari-harinya ketika ia didiami oleh masyarakat Taino.

Apapun, tinggalan Port Royal yang tenggelam berada dalam keadana yang sangat terpelihara sekaligus membolehkan ahli-ahli arkeologi menjalankan penyelidikan dan mengkaji dengan lebih mendalam tentang Port Royal dan lanun-lanun atau privateer yang hidup di situ pada kurun ke-17.

Dengan penyelidikan-penyelidikan ini, diharapkan kita dapat meraih pengetahuan yang lebih jitu tentang kehidupan sebenar lanun atau privateer di Caribbean.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (10 Jun 2014). Port Royal and the Real Pirates of the Caribbean. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places/port-royal-and-real-pirates-caribbean-001740

Ruangan komen telah ditutup.

PROMO

LAWATI LAMAN SESAWANG UNTUK MELIHAT HARGA PROMOSI JUALAN KECEMASAN COVID-19.

 

https://www.thepatriots.store

16108