Sejarah Persaingan Jenama Adidas VS Puma

714

Pada 1 Julai 1924, Adolf ‘Adi’ Dassler bersama-sama abangnya, iaitu Rudolf Dassler telah mendaftarkan perusahaan membekal kasut sukan yang dikenali sebagai ‘Gebruder Dassler Schuhfabrik’ (GDS).

Adi dan Rudolf adalah anak kepada pasangan bangsa Jerman yang bernama Christoph dan Pauline Dassler. Keluarga Dassler menetap di Bandar Franconian, yang terletak di daerah Herzogenaurach wilayah Bavaria, Jerman. Perniagaan Dassler bermula dari ruangan dobi milik ibunya, yang terletak di bahagian belakang rumah keluarga Dassler.

Pada awalnya, idea untuk menubuhkan perusahaan ini datang dari buah fikiran Adi sebagai seseorang yang amat meminati bidang sukan. Berbekalkan tahap ‘passionate’ yang tinggi, Adi memainkan peranan penting sebagai ‘person incharge’ yang menguruskan segala hal berkaitan teknikal khususnya segmen produksi GDS.

Dalam pada itu, Rudolf pula mengambil tugas sebagai ‘head of sales’ yang menguruskan segala urusan berkaitan ‘marketing’ dan jualan GDS, selari dengan sifat ‘extroverted’ yang ada padanya. Keakraban kedua-dua beradik ini berjaya menjadikan GDS sebagai sebuah perusahaan kecil tapi maju lagi berdaya saing.

Untuk dua tahun pertama (1924 hingga 1926), perusahaan mereka hanya memiliki kapasiti pengeluaran sebanyak 50 pasang kasut pada setiap hari. Menjelang tahun 1927, Adi dan Rudolf membuat keputusan untuk menyewa sebuah premis kilang di kawasan bandar Herzogenaurach, di samping menambah bilangan pekerjanya kepada 25 orang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 100 pasang kasut pada setiap hari.

Kemudiannya, populariti GDS mula meningkat naik secara drastik lebih-lebih lagi setelah Adi berjaya mendapatkan ‘marketing’ percuma di kejohanan Sukan Olimpik Belanda pada tahun 1928. Adi memberikan penajaan kasut ‘track’ yang direka khas untuk atlet pelari jarak jauh (distance runner) kelahiran Jerman, iaitu Lina Radke. Kejayaan Lina dalam merangkul pingat emas sambil memecahkan rekod dunia telah memberikan nafas baharu buat syarikat GDS secara amnya.

Bagi menambah baik kualiti kasut keluaran mereka, Adi kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan Jurulatih Kebangsaan Acara Sukan Padang Jerman, iaitu Josef Waitzer. Kerjasama ini berjaya menjadikan kasut GDS semakin mendapat tempat di hati atlet-atlet sukan, khususnya ketika kejohanan Olimpik Los Angeles yang berlangsung pada tahun 1932.

Menjelang Olimpik Berlin 1936, GDS menambah lagi rekod kejayaan manisnya setelah atlet pelari pecut terkemuka dunia, iaitu Jesse Owens berjaya merangkul 4 buah pingat emas ketika menyarung kasut ‘spikes’ keluaran GDS.

Secara kumulatifnya, GDS telah berjaya membantu atlet sukan berkelas dunia untuk merangkul 7 buah pingat emas, 5 pingat perak dan 5 pingat gangsa di dalam beberapa buah kejohanan sukan peringkat dunia khususnya Olimpik. Kejayaan ini memberikan anjakan paradigma buat GDS, yang mana jenama ini mula mendapat perhatian di persada global.

Seiring dengan peningkatan popularitinya, GDS mengembangkan lagi empayar perniagaan mereka dengan mengambil alih sebuah premis kilang baharu yang terletak di jalan Wurzburger, Bandar Herzogenaurach. Adi dan Rudolf turut menambah bilangan pekerja sehingga 118 orang, sekali gus dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga mencecah 1000 pasang kasut sehari melalui dua buah kilangnya.

Walaubagaimanapun, kejayaan ini hanya sempat dinikmati sehingga tahun 1939, sebelum Kerajaan Jerman pimpinan Adolf Hitler dan Parti Nazi mencetuskan malapetaka besar, yang dikenali sebagai P3rang Dunia Kedua (WW2). Pada era pep3rangan, majoriti entiti perniagaan yang berada di Jerman telah dipaksa untuk menyokong kepimpinan Parti Nazi yang bermula pada tahun 1933. Jika tidak, perniagaan mereka akan ditindas.

Atas faktor itu, Adi dan Rudolf terpaksa memilih untuk menyertai angkatan tentera Nazi sebagai anggota kerahan dan berkhidmat sehingga tahun 1941. Sejurus selepas kontrak perkhidmatan Adi berakhir, kerajaan Nazi telah mengarahkan syarikat GDS untuk menghasilkan 10, 500 pasang kasut sukan untuk kegunaan anggota tentera.

Adi dan isterinya, Kathe Dassler menguruskan GDS sepanjang ketiadaan Rudolf yang masih dalam tempoh perkhidmatan. Sejak itu, hubungan baik antara Adi dan Rudolf mula menjadi renggang. Rudolf merasakan bahawa adiknya tidak layak untuk memimpin perniagaan milik mereka, dengan menyuarakan ketidakpuasan hati beliau di atas tindakan Adi yang seolah-olah banyak membelakangkan dirinya sebagai pemilik bersama.

Menjelang 28 Oktober 1943, kerajaan Nazi mengarahkan kesemua sektor pembuatan agar menghentikan sebarang bentuk pengeluaran produk bagi memberi keutamaan kepada sektor pertahanan. Majoriti premis kilang telah dijadikan sebagai kilang penyediaan alatan ketenteraan, termasuk kilang GDS yang diarahkan untuk membina komponen senjata. Arahan itu berkuatkuasa pada bulan November 1943 sehingga WW2 berakhir pada bulan Mei 1945.

Menjelang tahun 1946, negara Jerman menjalankan proses ‘denazification’ yang melibatkan sebilangan besar rakyat Jerman khususnya bekas-bekas anggota tentera Nazi termasuk Adi dan Rudolf. Mereka berdua telah dikategorikan sebagai Ahli Parti Nazi atas faktor keterlibatan mereka di dalam WW2. Setelah itu, Adi dan Rudolf diharamkan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti perniagaan.

Mereka bernasib baik setelah ramai pekerja GDS dan komuniti penduduk Bandar Herzogenaurach mempertahankan reputasi adik beradik Dassler itu. Pada bulan Julai 1946, pertuduhan ke atas mereka berdua telah dikurangkan dan mereka hanya dikenakan hukuman berbentuk ‘2 years of probation’, yang mana hak mereka untuk menguruskan perusahaan GDS dikembalikan sepenuhnya menjelang bulan Februari 1947.

Namun begitu, hubungan Adi dengan Rudolf sudah tidak dapat dipulihkan seperti sedia kala sehingga memaksa mereka membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing. Memasuki tahun 1948, secara rasminya perusahaan Gebruder Dassler Schuhfabrik yang diuruskan oleh adik beradik Dassler sejak tahun 1924 itu berpecah.

Rudolf Dassler terlebih dahulu menubuhkan syarikat perusahaan baharunya yang didaftarkan pada tahun 1948 atas nama ‘Puma’, sejurus selepas beliau mengambil alih kilang kedua milik GDS yang terletak di jalan Wurzburger.

Dalam pada itu, Adolf ‘Adi’ Dassler pula mendaftarkan syarikat ‘Adidas’ pada 18 Ogos 1949 dengan menjadikan kilang pertama milik GDS sebagai medan baharu. Nama ‘Adidas’ diambil bersempena dengan nama panggilannya ‘Adi’ dan ‘Das’ pula dari pangkal nama keluarganya, ‘Dassler’.

Memasuki era 1950an, jenama Adidas dan Puma mula bersaing secara sengit di dalam Bandar Herzogenaurach, yang mana persaingan mereka dikatakan hanya dipisahkan dengan sebatang sungai yang terletak di dalam bandar tersebut. Persaingan tersebut kekal sehingga ke hari ini, sehingga menjadikan jenama Adidas dan Puma sebagai jenama paling terkenal di dunia.

Pada tahun 2019, Adidas dan Puma telah tersenarai di dalam ‘Top 10’ jenama sukan paling bernilai di dunia. Adidas berada di tangga kedua di belakang jenama Nike, dengan perolehan jualan sebanyak $23.16 Bilion USD. Manakala, Puma berada pada kedudukan ke-3 dengan jumlah jualan sebanyak $5.7 Bilion menurut statista.com.

Perseteruan Adolf Dassler dan Rudolf Dassler telah melahirkan dua buah jenama sukan gergasi dunia, sekali gus merancakkan lagi arena sukan dunia sambil diwarnai dengan kualiti dan prestij barangan sukan keluaran mereka. Kalau dulu depa berdua tak bergaduh, mungkin hari ni kita akan pakai kasut sukan jenama Gebruder Dassler Schuhfabrik ‘instead of’ Adidas atau Puma.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.