Sejarah Permulaan April Fools

0
3370
views

Tidak ramai yang tahu asal usul April’s Fools. Lebih mengecewakan apabila umat Islam turut menyambutnya tanpa mengetahui nasib nenek moyang seagama yang dilumatkan teruk oleh tentera-tentera Ferdinand III dan Isabella I. Proksi-proksi mereka mengutuskan wain dan tembakau kepada Dunia Islam. Tetapi cukup pasal kejatuhan Islam di Andalusia, kerana peristiwa itu tiada kaitan langsung dengan April’s Fools.

Terdapat banyak pendustaan disebarkan yang mengatakan bahawa April’s Fools diciptakan untuk mengatakan bahawa umat Islam telah ditipu dan April’s Fools dibuat untuk menyambut kejatuhan Granada pada 1 April . Dan rata-ratanya ramai mempercayainya, berdasarkan amaun perkongsian yang diteliti.

Pertama sekali, Muhammad XII menyerahkan Emiriyah Granada, sekali kota dan Istana Alhambra pada 2 Januari, 1492. Itulah tarikh kejatuhan Granada, bukan 1 April seperti didendangkan. Perlu diingatkan bahawa rokok masih lagi belum wujud di Andalusia pada ketika ini.

Pendustaan kedua turut mengaitkan peristiwa yang sama, iaitu selepas kekalahan Islam, kuasa Kristian menjanjikan bahawa umat Islam akan dihantar ke Afrika, tetapi mereka memungkirinya lalu membakar kapal-kapal pada 1 April. Maka mereka menyambut April’s Fools untuk menghina umat Islam – ini adalah satu fitnah. Sungguhpun kuasa Islam jatuh pada 1492, arahan pertama yang menghalau umat Islam dikeluarkan pada April, 1609. Jangan bersorak lagi, kerana April tersebut bertarikhkan April 9, iaitu pada ketika Raja Philip III.

Itupun baginda menghalau golongan Morisco yang merupakan turun temurun umat Islam yang murtad kerana takutkan penghalauan atau hukuman mati daripada Ferdinand III dan Isabella I.

Asal usul April’s Fools Day masih lagi misteri. Sejarawan mengandaikan bahawa peristiwa ini bermula sejak 1582, apabila Perancis tukar sistem kalendar Julian ke Gregorian. Tidak ramai yang sedar bahawa tahun baru telah ditolak ke 1 Januari. Dan mereka akan dibahan jika menyambut peristiwa tahun baru semasa penghujung Mac hingga 1 April. ‘Pembahanan’ ini akan menyusuli sejenis ikan kertas yang akan diletakkan di belakang mereka – “poisson d’avril” (ikan April) sebagai simbol ikan yang mudah ditangkap dan orang yang mudah tertipu.

Sejarawan turut berpendapat bahawa peristiwa April’s Fools dapat ditemui daripada perayaan kuno seperti Hilaria, di Rom pada penghujung Mac. Ada juga spekulasi bahawa peristiwa ini terikat dengan ekuinoks, iaitu hari pertama Musim Bunga untuk Hemisfera Utara, apabila Alam Semulajadi menipu orang dengan cuaca berubah.

Apa-apa pun, peristiwa ini sampai Britain pada abad ke-18. Di Scotland, April’s Fools adalah peristiwa dua hari, bermula dengan upcara “hunting the gowk” iaitu apabila pengutus dihantar untuk menguruskan tugasan yang sebenarnya palsu, disambungkan dengan Hari Tailie iaitu apabila orang-orang diusik dengan tanda “tendang aku” atau ekor dilekatkan di belakang.

Makin lama, tradisi ini disambut satu dunia. Media siap membuat perakuan palsu lagi untuk menipu penonton. Semua ini adalah usikan, yang tiada kaitan dengan peperangan atau propaganda. Pada 1957, BBC siap menunjukkan petani-petani Switzerland sedang menuai mi spaghetti daripada pokok. Ramai juga yang ditipu. Sports Illustrated siap menipu seorang budak baru bernama Sidd Finch membaling bola selaju 168 batu sejam (270km/j). Pada 1998 pula, Burger King mempromosikan hidangan “Left-Handed Whopper” yang menyaksikan ramai pelanggan yang memesankan sandwich tersebut – tetapi itu hanyalah gurauan April semata-mata.

Apa-apa pun artikel ini bukanlah mahu menghalalkan fatwa yang dikeluarkan ke atas April Fool oleh para ulamak dan badan berautoriti agama di Malaysia kerana apa yang kami cuba betulkan di sini ialah kesalahan fakta yang asyik disebarkan di alam maya. Yang haram tetap haram hukumnya.

Islam ialah agama yang mengangkat kebenaran, maka berhujahlah atas nama kebenaran.

Previous articleOrang Belanda – Si “Playboy” Borneo
Next articleAmalan Berhijab Di Kalangan Wanita Islam Di Alam Melayu Ketika Zaman Penjajahan Barat
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE