Perisikan merupakan antara kegiatan tertua yang dijalankan dalam sesebuah masyarakat sehingga ke hari ini. Penemuan – penemuan zaman prasejarah telah membuktikan bahawa kegiatan perisikan bukanlah sesuatu yang baharu kepada manusia. Hal ini demikian kerana, masyarakat zaman prasejarah telahpun mengaplikasi elemen perisikan dalam aktiviti kehidupan seharian mereka seperti memburu.

Anggota masyarakat zaman prasejarah akan cuba mendapatkan maklumat merangkumi pelbagai elemen mengenai haiwan buruan mereka. Ini merangkumi elemen – elemen perisikan seperti lokasi, kekuatan dan kebolehan serta bilangan.

Walaupun perisikan bukanlah istilah yang sesuai digunakan untuk merujuk kegiatan masyarakat zaman prasejarah ini, namun kesedaran masyarakat tersebut terhadap kepentingan maklumat menunjukkan bahawa masyarakat tersebut memahami elemen – elemen asas perisikan serta menjalankan kegiatan tersebut dalam memenuhi keperluan harian mereka.

Perisikan, menurut World Book Encyclopedia adalah sebuah istilah yang merujuk pada tindakan sesebuah Negara menggunakan ejen perisik untuk mendapatkan rahsiah Negara lain bagi tujuan ketenteraan, politik, ekonomi dan sebagainya. Shaharudin Ali menurut karyanya yang bertajuk “Peranan Perisik dalam Keselamatan dan Pertahanan Negara” dalam Majalah Perajurit berkata bahawa aktiviti perisikan memberikan keutamaan kepada usaha mengumpul maklumat.

Seseorang ajen perisikan akan memberi keutamaan pada maklumat – maklumat penting seperti niat dan rancangan musuh, maklumat – maklumat strategik terutamanya merangkumi elemen keselamatan, politik, sosial dan ekonomi serta dasar – dasar yang berkepentingan.

Secara umumnya kegiatan perisikan boleh ditakrif sebagai tindakan sesebuah pihak mendapatkan maklumat mengenai pihak musuh/lawan bagi tujuan analisis dan sintesis yang akhirnya membawa kepada pengetahuan serta tindakan susulan.

Maka boleh dirumuskan bahawa kegiatan perisikan dijalankan dengan matlamat untuk mendapatkan maklumat agar boleh dianalisis serta diguna pakai untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Kegiatan perisikan seperti dinyatakan sebelum ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam kehidupan manusia. Kegiatan ini merupakan antara keperluan harian masyarakat zaman prasejarah dalam usaha mendapatkan bekalan makanan. Kemajuan politik,ekonomi dan sosial yang dilalui masyarakat zaman prasejarah telah mengubah kegiatan perisikan secara langsung.

Perkembangan dalam kehidupan manusia seperti permulaan kehidupan berpuak telah meningkatkan persaingan antara puak secara politik, ekonomi mahupun sosial sehingga membawa kepada peperangan. Perkembangan ini telah jelas membawa kegiatan perisikan ke sebuah dimensi yang baharu.

Menurut penemuan sejarah, antara kegiatan perisikan terawal yang pernah direkodkan adalah sekitar tahun 1274 Sebelum Masihi ketika Peperangan Kadesh yang tercetus antara kepimpinan Ramses II mewakili Kerajaan Mesir dan Kerajaan Hitties yang dipimpin Raja Muwatallis. Ketika peperangan ini Ramses II telah bergerak bersama 24,000 orang tenteranya yang dibahagikan kepada empat divisyen, iaitu Amun, Ra, P’tah dan Seth. Setiap divisyen dianggotai seramai 5000 tentera infantri dan 500 tentera berkuda. Raja Muwatallis pula telah bergerak ke Kadesh bersama 17,000 orang anggota tenteranya. Kadesh merupakan sebuah dataran yang terletak di tengah – tengah antara kedua – dua empayar ini.

Bandar Amarru yang terletak berhampiran kawasan ini pula merupakan sebuah bandar yang strategik bagi keperluan ketenteraan, pertahanan dan perdagangan. Faktor ini telah memperhangat peperangan ini.Dalam usaha memastikan kejayaan berada di pihak beliau,Raja Muwatallis telah bertindak untuk menghantar dua perisik ke kem pihak Mesir.

Namun, kedua – dua perisik tersebut tidak ditugaskan untuk mendapatkan maklumat mengenai musuh seperti yang dilakukan dalam kegiatan – kegiatan periskan sebelum ini. Kedua – dua perisik ini telah menyamar dan berlakon sebagai pelarian daripada kerajaan Hitties. Mereka telah menggunakan sentimen kezaliman kepimpinan kerajaan Hitties sebagai asas untuk meyakinkan tentera kerajaan Mesir.

Keyakinan yang dibina telah digunakan sebaik mungkin untuk memberi maklumat palsu dan melemahkan tindakan tentera Kerajaan Mesir. Kedua – dua perisik tersebut telah meyakinkan Ramses II dan tenterannya bahawa tentera Kerajaan Hitties masih jauh dari Kadesh. Ramses yang teruja mendengar perkhabaran ini telah bergerak ke Kota Kadesh dengan segera bersama pasukan utamannya meninggalkan pasukan tenteranya jauh di belakang.

Ketika Ramses II dan pasukan utamanya tiba di Kota Kadesh, mereka diserang secara mengejut oleh tentera Kerajaan Hitties yang sebenarnya sudah sampai awal lagi ke Kota Kadesh. Namun serangan tersebut gagal kerana kedua – dua perisik yang menyamar terpaksa mengajui kebenaran ketika disoal siasat.

Kesemua Divisyen Tentera Ramses II telah dimaklumakan akan penemuan ini lalu mereka telah mempercepat perjalanan mereka ke Kota Kadesh dan akhirnya berjaya menyelamatkan Ramses II. Peristiwa tipu helah ini merupakan antara peristiwa yang membawa sebuah dimensi yang baharu ke dalam dunia periskan.

Dalam konteks dunia hari ini, perisikan bukan sahaja tertakluk pada kegiatan mendapatkan maklumat namun merangkumi sebuah bidang yang sangat luas. Malah perisikan telah menjadi barisan /benteng pertahanan pertama sesebuah Negara dalam usaha mengekalkan kedudukan politik, ekonomi serta sosialnya.

Agensi periskan adalah agensi wajib bagi sesebuah Negara dan kini kegiatan perisikan bukan sahaja berfokuskan pada usaha mendapatkan maklumat berkaitan ketenteraan namun telah mengalami evolusi sehingga menjadi sebuah bidang yang merangkumi kemenjadian sesebuah Negara dalam pelbagai bidang. Malaysia merupakan antara Negara yang tidak terlepas dari perkembangan ini.

Kerajaan telah bertindak untuk mewujudkan agensi – agensi perisikan untuk memastikan keselamatan dan kemenjadian Negara sentiasa terjamin. Walau bagaimanapun, perkembangan dalam agensi – agensi perisikan di Negara kita amat eksklusif dan tidak terdedah kepada masyarakat umum seperti yang berlaku di Negara barat khususnya di Amerika Syarikat mahupun British.

Agensi perisikan di Negara kita bukanlah seperti yang kita lihat di filem – filem Hollywood yang sering memaparkan ejen – ejen MI6 (Agensi Perisikan British) atau CIA (Agensi Perisikan Amerika Syarikat) yang berpakaian segak dan menggunakan senjata – senjata canggih serta mampu membunuh musuh dalam apa jua keadaan.

Sifat kerahsiaan yang merupakan asas kepada kewujudan agensi – agensi perisikan di Negara kita begitu kuat dan kekal sehingga hari ini sehinggakan sangat sukar untuk mencari maklumat mengenainya. Namun, secara umum agensi – agensi perisikan di Negara kita dapat dibahagikan kepada beberapa agensi utama.

Pertama, agensi perisikan yang diletakkan dibawah pihak Angkatan Tentera Malaysia. Kedua adalah agensi Cawangan Khas yang dilatakkan dibawah pihak Polis DiRaja Malaysia. Selain dua agensi utama ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah turut diwujudkan untuk menjadi penyelaras maklumat perisikan dari pihak tentera mahupun polis sebelum dikemukakan kepada pihak pemerintahan untuk arahan/tindakan susulan.

Agensi dibawah Angkatan Tentera Malaysia yang bertanggung jawab untuk melaksanakan kegiatan perisikan adalah Kor Risik atau KORRIS. KORRIS telah meneriman penganugerahan gelaran DiRaja pada 7 Jun 1997 oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di – Pertuan Agong ke X, Tunku Ja’far ibni Almarhum Tunku Abdul Rahman. Kor ini telah ditubuhkan secara rasmi pada 7 November 1969 dengan tujuan melahirkan anggota tentera yang berorientasikan kegiatan perisikan serta memenuhi keperluan perisikan Negara di peringkat antarabangsa, tempatan mahupun agensi kerajaan yang lain.

Kor ini kini dipengerusikan oleh seorang Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP). Menurut kajian sejarah, penubuhan kor ini berkait rapat dengan usaha kerajaan menghadapi ancaman komunis yang berleluasa ketika itu. Walaupun KORRIS merupakan antara kor utama dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia namun kewujudan kor ini tidak diketahui ramai seperti kewujudan rejimen/kor lain yang lebih banyak menerima perhatian media seperti Rejimen Askar Melayu DiRaja mahupun Regimen Gerak Khas.

KORRIS adalah sebuah organisasi dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia yang mempunyai lima bahagian utama, iaitu Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), Jabatanarah Risik (DTD), Anggota Tentera Cawangan Khas (ATCK), Rejimen Khas Perisikan Tempur (RKPT) dan Pusat Latihan Perisikan (PULARIS). Setiap bahagian ini mempunyai kepentingannya yang sendiri dan setiap bahagian ini pula mempunyai subdivisyen yang tertentu.

Misalnya, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) mempunyai enam subdivisyen yang berperanan sebagai unit operasi iaitu Cawangan Gerak Saraf, Cawangan Periskan Tempur, Cawangan Periskan Imej, Cawangan Risik Balas dan Keselamatan serta Cawangan Risik Peperangan Elektronik. Setiap bahagian ini mampu bergerak secara bersendirian ketika menjalankan operasi mahupun latihan namun pada masa yang sama hubungan bersama agensi – agensi kerajaan yang lain turut dijalinkan. Setiap bahagian dalam Kor ini berperanan untuk memastikan Negara sentiasa bebas daripada ancaman – ancaman luar.

Leftenan Jeneral Datuk Mohd Salleh Ismail yang merupakan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) telah menyatakan dan menegaskan bahawa “Pihak perisikan tentera hanya bertanggungjawab ke atas keselamatan dan kedaulatan daripada ancaman luar”.

Kenyataan ini menjelaskan peranan KORRIS sebagai sebuah agensi perisikan yang bertugas untuk menjaga kepentingan Negara daripada ancaman luar. Setiap anggota perisik yang bertugas dalam KORRIS perlu menjalani latihan di Pusat Latihan Perisikan (PULARIS).

Pusat Latihan Perisikan (PULARIS) ini yang terletak di Sungai Buloh ini berperanan untuk melatih pegawai mahupun anggota daripada semua perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Hasil daripada kewujudan sekolah ini, Angkatan Tentera Malaysia kini mempunyai bahagian perisikan merangkumi ketiga – tiga cabang perkhidmatan iaitu Risik Darat, Risik Laut dan Risik Udara.

Selain itu, pusat latihan ini turut berperanan untuk melatih pegawai tentera negara asing dalam bidang perisikan. Antara bahagian penting KORRIS adalah bahagian Anggota Tentera Cawangan Khas (ATCK) yang turut dikenali sebagai Divisyen E7. Bahagian ini bertanggungjawab dalam melaksanakan operasi – operasi khas berkaitan ancaman militan dan kegiatan subversif.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pihak Polis DiRaja Malaysia turut mempunyai sebuah agensi perisikan yang beroperasi untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman negara. Agensi tersebut lebih dikenali dengan gelaran Special Branch atau Cawangan Khas.

Namun agensi ini pula bertanggungjawab untuk memastikan negara bebas dari sebarang ancaman mahupun kegiatan subversif dalaman. Special Branch atau Cawangan Khas merupakan penerusan daripada Special Branch yang wujud sejak zaman penjajahan British lagi. Ketika zaman penjajahan British, agensi tersebut telah bertanggungjawab dalam membendung ancaman komunis serta penentangan penduduk tempatan terhadap pemerintahan yang dijalankan penjajah.

Tidak dapat dinafikan bahawa agensi ini sangat penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga. Perubahan telah berlaku dalam agensi ini merangkumi pelbagai aspek sejajar dengan perkembangan teknologi. Hari ini agensi ini terbahagi kepada beberapa cawangan kecil, iaitu Inteligen Teknikal, Inteligen Sosial, Inteligen Luar, Inteligen Politik, Inteligen Ekonomi dan Inteligen Keselamatan.

Perkembangan agensi ini telah turut meningkatkan peranan agensi ini. Jikalau suatu ketika dahulu agensi ini hanya berperanan dalam bidang keselamatan, kini peranan agensi tersebut telah meningkat sejajar dengan kepentingan negara meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial.

Dalam konteks dunia hari ini ancaman dalaman merangkumi pelbagai isu yang kompleks seperti pertelingkahan etnik, ancaman militan, perkembangan ideologi agama dan politik yang sempit, pemerdagangan manusia, perkembangan kongsi gelap, penyeludupan bahan terlarang malah isu pendatang tanpa izin menjadi tanggungjawab Special Branch atau Cawangan Khas.

Agensi ini telah membuktikan kebolehan mereka ketika menghadapi ancaman dari kumpulan – kumpulan pelampau seperti Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Al – Maunah. Berbekalkan maklumat perisikan yang efisien, anggota Cawangan Khas telah bertindak dengan pantas untuk mengatasi ancaman kumpulan – kumpulan tersebut.Kejadian seperti rampasan senjatan dan tawanan di Bukit Jenalek serta Pencerobohan di Lahad Datu adalah antara kejadian yang menjadikan agensi – agensi perisikan seperti Cawangan Khas suatu keperluan wajib di negara kita.

Agensi – agensi perisikan seperti KORRIS Angkatan Tentera Malaysia dan Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia adalah suatu keperluan wajib dalam konteks negara hari ini. Ancaman – ancaman terrorisme kegiatan subversif, ketidakstabilan politik dan militan serta jenayah siber yang semakin hari semakin berkembang sejajar dengan perkembangan teknologi hanya mampu ditangani dengan kewujudan agensi – agensi seperti ini.

Tidak dapat dinafikan maklumat mengenai kewujudan mereka sangat eksklusif dan tidak terdedah kepada masyarakat umum. Nilai kerahsiaan yang menjadi asas kepada kewujudan mereka sentiasa terjaga rapi walaupun mereka layak menerima penghargaan seperti agensi – agensi keselamatan yang lain. Namun, segala kehendak mereka dikorbankan demi memastikan kewujudan mereka sentiasa dikaburi dengan elemen kerahsian demi keselamatan negara.

Sebuah Dedikasi Khas kepada,
Semua yang pernah dan masih berkhidmat dalam agensi – agensi perisikan Negara.

RUJUKAN:

Abu Abd Al – Halim. Ketenteraan dan Peperangan : Senjata, Taktikal dan Teknologi. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 2014


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang nasionalis Malaysia.

Comments are closed.