Kita semua sedia maklum kerenah Amerika Syarikat yang melihat perang tarif sebagai satu peluang untuk mengembalikan kedudukannya sebagai antara kuasa ekonomi dunia. Ini mendorong negara Uncle Sam itu tidak teragak-agak mengenakan tarif ke atas beberapa negara termasuk China. Tetapi perang sebegini bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah Amerika. Hakikatnya, sesetengah perang tarif ini bukan saja mencetuskan revolusi tetapi juga membawa kepada kejatuhan presiden dan menambah kerosakan ekonomi pada tempoh-tempoh tertentu.

Boston Tea Party

Bagi penduduk koloni Amerika yang ditadbir Britain ketika itu, kehidupan mereka boleh dianggap tertekan dan tertindas. Ini berikutan tindakan kerajaan British mengenakan pelbagai jenis cukai ke atas banyak barangan dari akhbar dan kad poker hinggalah cat, gelas dan teh. Semua cukai ini dikuatkuasakan melalui penggubalan beberapa akta seperti Akta Setem 1765 dan Akta Townshend 1767. Pengenalan cukai-cukai ini membawa kepada pelbagai bantahan dari kalangan penduduk koloni yang membawa kepada Insiden King Street/Pembunuhan Beramai-Ramai Boston 1770. Dalam insiden tersebut, lima penduduk Boston terbunuh sementara enam lagi cedera akibat ditembak oleh tentera British tanpa sebarang arahan dari pegawai pemerintah mereka.

Untuk mengelak hubungan Britain dengan negeri-negeri koloni Amerika dari terus tegang, Parlimen Britain meluluskan undang-undang menarik balik penggubalan Akta Townshend. Menerusi keputusan ini, semua cukai yang dikenakan ke atas barangan ditarik balik kecuali teh. Alasan Perdana Menteri Britain ketika itu Frederick North, 2nd Earl of Guifford ialah ia memberi mereka hak untuk terus mengenakan cukai ke atas penduduk Amerika. Ini menyebabkan penyeludupan teh berleluasa dan turut menjejaskan kedudukan kewangan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI). Ini berikutan lambakan teh di gudang-gudang mereka di mana tiada siapa mahu membeli teh pada harga yang dianggap cekik darah akibat pengenaan cukai berkenaan. Ini memaksa kabinet North memperkenalkan Akta Teh 1773 untuk mengembalikan semula kekuatan kewangan SHTI.

Namun, keengganan North untuk menarik balik duti Townshend bernilai tiga pence ke atas teh nyata memarakkan lagi kemarahan penduduk koloni. Bekas Chancellor of the Exchequer (sama taraf dengan Menteri Kewangan), William Dowdeswell memberi amaran tindakan bodoh kabinet ini akan memakan diri. Namun North enggan melepaskan cukai berkenaan kerana ia digunakan untuk membayar gaji pegawai koloni. SHTI berusaha menyembunyikan caj ini dari pengetahuan penduduk koloni tetapi tidak berhasil. Dan ini membawa kepada tindakan sekumpulan penduduk Boston yang menyamar sebagai pahlawan Mohawk menaiki tiga buah kapal iaitu Dartmouth, Eleanor dan Beaver pada Disember 1773. Dalam tempoh tiga jam, mereka mencampakkan 342 buah peti mengandungi teh yang bernilai sejuta dolar ke laut.

Tetapi tindakan kumpulan yang diketuai Sons of Liberty ini menimbulkan kemarahan ramai termasuk golongan ahli politik yang bersimpati dengan nasib penduduk koloni. Ini memaksa Parlimen meluluskan pelbagai jenis undang-undang yang menghukum penduduk Boston yang dipanggil Intolerable Acts. Ini termasuk menutup pelabuhan Boston dan menuntut mereka membayar ganti rugi atas kehilangan kargo teh tersebut. Namun, ini memarakkan lagi tindakan Sons of Liberty termasuk membakar kapal Peggy Stewart pada Oktober 1774.  Ini memaksa kerajaan Britain mengeluarkan beberapa resolusi untuk berbaik semula dengan koloni Amerika tetapi nasi sudah jadi bubur. Ini yang membawa kepada Perang Revolusi pada April 1775.

Akta Tarif Smoot-Hawley

Semasa berkempen untuk menjadi presiden pada tahun 1928, salah satu ikrar Herbert Hoover sekiranya menjadi presiden ialah membantu golongan petani yang terjejas akibat kemelesetan ekonomi semasa era The Great Depression. Ini ditambah sentimen beberapa anggota parti Republican seperti Reed Smoot dan Willis C. Hawley yang melihat kenaikan tarif ke atas produk pertanian yang diimport dapat membantu golongan tani. Ini sama sekali berlawanan dengan Laporan Persidangan Ekonomi Dunia Liga Negara-Negara 1927 yang melihat perlunya pengakhiran kepada penetapan tarif. Namun, itu tidak menghalang Kongres yang dikawal Republican ketika itu meluluskan penggubalan Akta Tarif Smoot Hawley pada Mac 1930.

Ramai ahli ekonomi melihat tindakan penggubalan akta ini satu tindakan harakiri yang akan menyusahkan Amerika Syarikat untuk jangka masa panjang. Dua bulan selepas akta itu diluluskan, lebih 1,000 ahli ekonomi diketuai Paul Douglas dan Frank Howard memfailkan petisyen mendesak Hoover menggunakan kuasanya sebagai presiden untuk menolak Akta Tarif Smoot Hawley. Henry Ford menggelar undang-undang tersebut satu bentuk kebodohan ekonomi. Hoover sendiri pada dasarnya menolak akta tersebut kerana ia akan melanggar ikrarnya kepada syarikat-syarikat antarabangsa. Tetapi disebabkan tekanan daripada rakan-rakan partinya sendiri, beliau akhirnya meluluskan akta tersebut. Tetapi Hoover juga sedar ini akan mencetuskan tindak balas daripada negara-negara lain.

Figure 1: Henry Ford menyelar penyokong Akta Tarif Smoot-Hawley sebagai bodoh dan tidak faham soal ekonomi

Selepas Amerika mengenakan tarif ke atas 20,000 barangan import, negara-negara Eropah dan Kanada bertindak balas dengan mengenakan tarif ke atas produk-produk buatan Amerika. Ini mengakibatkan kejatuhan eksport sebanyak 61% pada tahun 1933 dan menyukarkan usaha pemulihan ekonomi Amerika semasa era The Great Depression. Semasa kempen pemilihan presiden 1932, Franklin Delano Roosevelt berjanji akan memansuhkan akta berkenaan sekiranya dipilih sebagai presiden. Kerana enggan menerima nasihat orang yang lebih pakar, Hoover, Smoot dan Hawley tewas dalam kempen pemilihan semula mereka. Selepas dipilih sebagai presiden, Roosevelt meluluskan Akta Perjanjian Perdagangan Bersama 1934 yang memberi beliau kuasa untuk merunding pengurangan kadar tarif.

Perang Tarif Ayam 1964

Selain dikenali kerana meneruskan usaha menggubal Akta Hak Sivil 1964 dan memerangi kemiskinan, Lyndon B. Johnson turut dikenali kerana terlibat dengan perang tarif dengan negara-negara Eropah terutama Perancis dan Jerman Barat. Puncanya, lambakan import ayam dari Amerika Syarikat di benua Eropah. Ini berlaku berikutan ayam yang dahulunya dianggap makanan mewah di Eropah kini mudah didapati berikutan import ayam yang murah dari negara Uncle Sam itu. Namun, ini mengundang ketidakpuasan hati ramai terutama Belgium, Jerman Barat dan Perancis yang menuduh Washington sengaja melambakkan import ayam di negara mereka.

Ini mendorong Perancis dan Jerman Barat tidak teragak-agak mengenakan tarif ke atas produk ayam Amerika, sekaligus memberi tamparan hebat kepada industri ayam negara tersebut. Ramai tidak berpuas hati dengan tindakan negara-negara Eropah. Senator Demokrat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat J. William Fulbright mengugut mengurangkan bilangan tentera Amerika yang diperuntukkan pada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Sementara dalam koresponden Cancelor Jerman Konrad Adenauer dengan John F. Kennedy selama dua tahun, separuh daripadanya melibatkan isu ayam.

Sebagai tindak balas, Johnson mengeluarkan arahan eksekutif meluluskan tarif 25% ke atas barang-barang seperti lori dan brandi. Ini mengakibatkan Jerman gagal mengimport lori, lori pikap dan van komersial keluaran Volkswagen dengan nilai import jatuh sebanyak satu pertiga. Selain Jerman, kenderaan dari negara luar juga terjejas dengan pengenaan tarif tersebut seperti Jepun. Ini memberi peluang kepada pengeluar kenderaan Amerika Syarikat mendominasi pasaran kenderaan komersial negara tersebut. Bagi mengatasi tarif ini, sesetengah syarikat mencari kelompangan dalam isu tarif. Sesetengah seperti Toyota dan Nissan membina loji pemasangan di Amerika dan Kanada. Ada pula berusaha mengeksport kenderaan dari negara asing dan memasang semula komponen baru setibanya di Amerika sebelum dijual di pasaran.

Perang Tarif Amerika-Jepun 1987

Selepas mengambil alih pentadbiran dari Jimmy Carter, keutamaan pertama Ronald Reagan ialah mengembalikan semula ekonomi Amerika Syarikat ke tahap terbaik. Polisi-polisi yang diperkenalkannya membolehkan Amerika kembali sebagai antara kuasa ekonomi ketika itu. Namun, semua sedia maklum pentadbiran Reagan juga menyaksikan pelbagai detik memalukan seperti skandal Iran-Contra dan Perang Tarif Amerika-Jepun 1987.

Perang dagang Jepun-Amerika bukan sesuatu yang baru kerana ini pernah tercetus pada tahun 1930-an membabitkan industri tekstil. Pada tahun 1980-an, isu ini kembali timbul tetapi melibatkan polisi perdagangan Jepun yang dilihat menolak unsur pasaran bebas yang dibawa Amerika. Washington berhujah polisi-polisi ekonomi Tokyo sama sekali tidak menguntungkan mereka dan menyukarkan usaha mereka mendapatkan akses ke pasaran Jepun. Selain itu, penambahan eksport Jepun ke Amerika termasuk dalam bidang automotif dilihat mengancam pemain-pemain pasaran di sana. Ini memaksa Amerika Syarikat menggesa Tokyo mengurangkan had eksport komoditinya ke Amerika merangkumi pelbagai industri dari automotif hinggalah elektronik pada tahun 1980-an dan mengenakan tarif ke atas kenderaan buatan negara Matahari Terbit itu.

Pada tahun 1985, isu akses pasaran pula yang menjadi punca ketegangan Amerika-Jepun. Ini berikutan wujud defisit eksport membabitkan Amerika Syarikat ke Jepun dilihat semakin bertambah dari tahun ke tahun. Bagi Reagan, jawapan kepada penyelesaian isu ini ialah lebih banyak akses kepada pasaran Jepun. Walaupun Tokyo cuba bertolak ansur dengan tuntutan Washington, tetapi itu masih belum memuaskan hati Reagan. Akibatnya pada tahun 1987, Amerika mengenakan tarif sebanyak $300 juta ke atas komputer, televisyen dan peralatan buatan Jepun. Namun, Jepun memilih tidak melakukan langkah sama kerana tidak mahu menjejaskan kedudukan ekonomi dunia ketika itu. Tetapi ia nyata tidak membantu mengurangkan defisit eksport Amerika ke Jepun dan rakyat Amerika terpaksa membayar lebih $53 bilion untuk tarif import.

Perang Tarif Balak Amerika-Kanada

Selain Perang Tarif Amerika-Jepun, pentadbiran Reagan turut menyaksikan pertikaian membabitkan soal kayu balak. Washington mendakwa industri kayu balak Kanada mendapat kelebihan tidak adil kerana mendapat subsidi daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri masing-masing. Memandangkan kebanyakan tanah pembalakan diuruskan oleh kerajaan negeri dan persekutuan, mereka menetapkan harga kayu balak mengikut kos pentadbiran dan bukan harga pasaran.

Sebaliknya di Amerika Syarikat, kebanyakan tanah pembalakan dimiliki oleh pemilik persendirian dan kelompok ini merupakan pelobi industri di Capitol Hill. Ini mendorong mereka menuduh Kanada mempunyai kelebihan tidak adil dalam industri berkenaan. Pertikaian yang sudah memasuki tahun ke-36 ini menyaksikan kedua-duanya saling mengenakan tarif ke atas kayu balak mereka.

Walaupun Kanada sudah menjangka akan membayar tarif tinggi untuk tarif kayu balak pada tahun 2018, kesannya sudah mula dirasai warga Amerika yang berkira-kira mahu membeli rumah. Menurut Persatuan Pembina Rumah Kebangsaan (NAHB), tarif yang dikenakan sudah membawa kenaikan sebanyak $9,000 bagi pemilikan sebuah rumah keluarga di Amerika. Dan jika trend ini berterusan, ini akan menyukarkan usaha penduduk yang beraspirasi memiliki rumah pada harga yang berpatutan. NAHB turut menyelar sikap Setiausaha Perniagaan Wilbur Ross yang melihat tarif kayu balak Kanada tidak akan memberi kesan pada harga rumah di Amerika Syarikat. Selain harga rumah yang akan meningkat, NAHB juga bimbang akan potensi kehilangan pekerjaan dalam industri.

Perang Pisang

Kita suka menjadikan pisang sebagai pencuci mulut selepas makan. Tetapi bagi negara-negara Eropah dan 10 buah negara Amerika Latin, ia menjadi punca perang dagang antara mereka. Dan Amerika Syarikat tidak ketinggalan terlibat dalam pertikaian ini. Jadi mengapa negara Uncle Sam memutuskan untuk menyibuk? Kebanyakan ladang pisang yang diusahakan di Amerika Latin dimiliki oleh firma-firma Amerika. Dan bagi negara-negara Amerika Latin sendiri, apa yang berlaku membabitkan komoditi pisang tidak seharusnya berlaku sama sekali. Pertikaian timbul kerana pisang yang diimport dari Amerika Latin dikenakan duti manakala pisang yang datang dari negara-negara bekas jajahan mereka di Afrika, Carribean dan Kepulauan Pasifik langsung tidak dikenakan duti.

Jadi apa sebab pisang menjadi buruan utama Amerika, Eropah dan Amerika Latin? Pasaran Eropah merupakan pasaran pisang terbesar di dunia dengan pada tahun 2008 sahaja menyaksikan Eropah mengeksport 5.5 juta tan pisang. 80% pisang datang dari negara Amerika Latin manakala 17% datang dari negara Afrika, Carribean dan Pasifik. Ecuador merupakan pengeksport terbesar pisang dunia dengan industrinya merupakan industri kedua terbesar selepas industri minyak dan gas.

Pertikaian membabitkan komoditi ini berterusan selama dua dekad dan mula beransur reda bila Kesatuan Eropah (EU) bersetuju mengurangkan tarif secara beransur-ansur pada tahun 2009. Ini disusuli pula dengan perjanjian formal membabitkan EU dan 10 negara Amerika Latin untuk menamatkan lapan kes yang difailkan kepada Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO). Bagi bekas Setiausaha Negara Madeleine Albright, beliau pernah mengisytiharkan, “Saya tidak pernah menghabiskan masa sebanyak ini untuk pisang.”

Tarif besi 2002

Selepas menggantikan Bill Clinton, George W. Bush berjanji akan meneruskan dasar kerajaan yang bersifat mesra perniagaan. Tetapi itu tidak bermakna Bush akan mengulangi kesilapan bodoh penjawat presiden dari Parti Republican berkenaan soal tarif. Pada tahun 2002, beliau merancang akan mengenakan tarif sebanyak 30% ke atas negara-negara pengeluar besi. Logik di sebalik tindakan ini ia dapat membantu syarikat-syarikat pengeluar besi, meningkatkan pendapatan syarikat pengeluar dan dapat menyelamatkan lebih 3,500 pekerjaan.

Tetapi idea tersebut nyata ditolak negara-negara pengeluar besi dunia seperti Brazil, China dan EU. Akibatnya, banyak negara memfailkan aduan terhadap WTO kerana melihat apa yang dilakukan pentadbiran Bush menyalahi komitmen kadar tarif mereka. EU sudah mengugut akan mengenakan tarif berjumlah $2.2 bilion ke atas pelbagai barangan dari jus oren dan wiski hinggalah produk tenusu. Bush menghentikan langkah berkenaan selepas 18 bulan perlaksanaannya kerana sedar implikasi kewangan serius menanti jika tarif besi diteruskan. Institut Ekonomi Antarabangsa (IIE) mendedahkan lebih 26,000 pekerjaan hilang dari industri berteraskan besi akibat tarif tersebut.

SUMBER

  1. Oyedele, Akin. (2018). Business Insider. A 1960s ‘Chicken War’ reveals the driving force behind the boom of American pickup trucks. https://www.businessinsider.my/american-trucks-chicken-tax-explains-domination-2018-6/?r=US&IR=T
  2. BBC. (2012). Banana wars ends after 20 years. https://www.bbc.com/news/business-20263308
  3. BBC. (2009). Q&A: The banana wars. http://news.bbc.co.uk/2/mobile/business/8390099.stm
  4. Vomiero, Jessica. (2018). Global News. Trump’s tariffs on Canadian lumber are pricing Americans out of the U.S. housing market. https://globalnews.ca/news/4293847/tariffs-lumber-pricing-americans-out-of-housing-market-trump/
  5. Kennedy, Lesley. (2018). History.com. 7 Contentious Trade Wars in U.S. History. https://www.history.com/news/7-trade-wars-boston-tea-party-smoot-hawley
  6. Lopez, Linette. (2017). Business Insider. Here’s what happened the last time the US was reckless enough to try a steel tariff. https://www.businessinsider.my/bush-steel-tariff-impact-2017-7/?r=US&IR=T

 

  1. Satake, Masao. (2000). Australia-Japan Research Centre, Crawford School of Public Policy, The Australian National University. Trade Conflicts between Japan and the United States over Market Access: The Case of Automobiles and Automotive Parts. https://crawford.anu.edu.au/pdf/pep/pep-310.pdf

 

  1. Lin Say, Tee. (2018). The Star. The horrors of Smoot-Hawley Tariff Act. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2018/04/07/the-horrors-of-the-smoothawley-tariff-act/

 

  1. The Economist. (2003). Scrapped. https://www.economist.com/news/2003/12/05/scrapped

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.