Sejarah Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia

0
606
views

Bila sebut universiti-universiti berprestij, nama-nama seperti Oxford, Cambridge, Harvard dan Al-Azhar meniti di bibir para pelajar dan cendekiawan yang kepingin mahu melanjutkan pelajaran di sana. Di Malaysia, kita sebenarnya harus berbangga kerana mempunyai salah satu universiti berprestij bukan saja di negara ini tetapi juga di Asia Tenggara. Universiti yang saya maksudkan ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ia diasaskan dari pemikiran para pemikir Melayu ketika itu.

Idea menghasilkan sebuah universiti yang mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajian menjadi impian ramai pemikir dan pejuang Melayu sejak tahun 1903 lagi. Idea ini sudah digerakkan bukan saja oleh pemikir dan sasterawan Melayu terkenal Abdul Kadir Adabi sebagai manifestasi gerakan kebangsaan menentang penjajahan British pada ketika itu tetapi juga Majlis Raja-Raja Melayu. Selain itu, Persatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung sering menggesa dan menyarankan supaya Bahasa Melayu didaulatkan hingga ke peringkat universiti. Tetapi idea tersebut ditentang keras oleh penjajah dan ramai menganggap impian tersebut seakan sudah mati. Namun bagi para pemikir dan pejuang Melayu, impian tersebut terus membara dan ia diteruskan selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Pada tahun 1963, satu Seminar Bahasa dan Sastera diadakan dengan salah satu resolusi mendesak supaya ditubuhkan sebuah universiti yang ‘benar-benar bercorak kebangsaan’. Pada tahun 1969, impian para pemikir ini semakin bersemarak lebih-lebih lagi dengan penubuhan sebuah jawatankuasa penaja UKM. Jawatankuasa ini dianggotai oleh beberapa individu terkemuka termasuk bekas Speaker Dewan Rakyat Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail dan Perdana Menteri Malaysia ketika ini, Tun Dr Mahathir Mohamad. Semasa menganggotai jawatankuasa yang mengesyorkan dan menyiarkan laporan penubuhan UKM, beliau mengisi peranan sebagai Menteri Pelajaran. Selain Allahyarham Tun Syed Nasir dan Tun Dr Mahathir, jawatankuasa tersebut turut disertai bakal Naib Cancelor pertama UKM Tan Sri Dr Rashdan Baba. Ini juga selaras dengan agenda Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang melihat UKM sebagai satu institusi bagi pelajar lepasan sekolah terutama aliran Melayu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Atas dasar dan sifatnya yang memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar ilmu, atas sebab itulah institusi ini dinamakan Universiti Kebangsaan. Tambahan pula, institusi ini juga merupakan perintis, pendukung dan kemuncak kepada sistem pendidikan kebangsaan negara ini. Hasilnya, UKM tampil sebagai universiti pertama yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran. Walaupun pelbagai universiti dan kolej muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan untuk tahun-tahun berikutnya, UKM tetap unggul sebagai institusi penjana ilmu dan profesionalisme kepada para pelajar. Malah, ia juga sebenarnya satu manifestasi kebanggaan para pejuang bangsa yang berterusan mahu memartabatkan Bahasa Melayu.

Impian para pejuang Melayu akhirnya menjadi kenyataan apabila UKM membuka pintu kepada 192 pelajar di kampus sementara di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur pada 18 Mei 1970. Pada ketika itu, institusi berkenaan hanya mempunyai tiga fakulti iaitu Fakulti Sains, Fakulti Kesenian dan Fakulti Pengajian Islam. Semasa UKM diasaskan, Allahyarham Tun Abdul Razak dilantik sebagai Cancelor UKM pertama dari 7 Julai 1970 hinggalah 14 Januari 1976. Selepas itu, peranan Cancelor diisi oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Setahun selepas itu atau lebih tepat Oktober 1977, UKM berpindah ke kampus tetapnya di Bangi yang terus berfungsi sehingga hari ini. Kampus ini berhampiran dengan kawasan metropolis yang merangkumi Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kampus yang berkeluasan 1,096 hektar ini terletak 45 kilometer dari KLIA, 30 kilometer (Kuala Lumpur) dan 20 kilometer (Putrajaya).

UKM juga mempunyai dua Kampus Kesihatan di mana satu terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan satu lagi merupakan Pusat Perubatan UKM (PPUKM) di Cheras. Kampus Kesihatan UKM Kuala Lumpur terdiri daripada Fakulti Sains Kesihatan, Farmasi, Pergigian dan Jabatan Pra-Klinikal Fakulti Perubatan. Kampus yang berkeluasan 20 hektar ini ditubuhkan pada tahun 1974. Sementaa kampus PPUKM di Cheras pula mempunyai keluasan 22.03 hektar dan dirasmikan pada 14 Julai 1998. Kampus tersebut terdiri daripada Fakulti Perubatan, Hospital Pengajaran UKM dan Institut Biologi dan Perubatan Molekular UKM (UMBI). Tidak ramai tahu Fakulti Perubatan Pasca Ijazah UKM merupakan fakulti perubatan yang terbesar di Malaysia dalam melahirkan doktor-doktor pakar. Antara pencapaian mereka ialah pembedahan pacakan koklear ke atas pesakit pertama iaitu Ang Boon Su pada 14 Disember 1995. Program Implan Koklea ini merupakan program seumpamanya yang pertama di negara ASEAN.

Bagi Kampus Induk Bangi, ia mengandungi beberapa fakulti, pusat dan institut iaitu Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Fakulti Undang-undang, Fakulti Pendidikan, Fakulti Teknologi Sains dan Maklumat, Institut ATMA, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik, Institut Sains Angkasa, Institut Kajian Oksidental, Pusat Pengajian Siswazah, Pusat Pengajian Umum, Pusat Pembangunan Mahasiswa, Pusat Pembangunan Akademik, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa (PUSPA).

Selain mempunyai satu kampus induk dan dua kampus cawangan, UKM juga mempunyai tujuh stesen penyelidikan. Stesen-stesen yang dikendalikan oleh universiti ulung ini ialah Stesen Penyelidikan Tasik Chini, Stesen Penyelidikan Ekosistem Marin, Stesen Penyelidikan Taman Geologi Langkawi, Stesen Penyelidikan Marin, Stesen Penyelidikan Bukit Fraser dan Stesen Penyelidikan Loji Bioteknologi. Di kampus induknya, sebuah stesen penyelidikan terletak di situ iaitu Kampus Makmal Hidup UKM. Kampus ini terdiri daripada Hutam Simpan Kekal UKM, Fernarium dan Herbarium.

Bagi orang-orang lama di Sabah, mereka pasti sedia maklum akan kewujudan kampus cawangan UKM di Sabah satu ketika dahulu. Pada tahun 1974, UKM menubuhkan UKM Kampus Sabah di Kebun Kawang, Papar. Nama Kebun Kawang kemudiannya ditukar kepada Limauan oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun yang ketika itu mengisi peranan sebagai Ketua Menteri Sabah. Kampus yang menempatkan Fakulti Sains dan Sumber Alam ini kemudiannya berpindah ke Bukit Padang, Kota Kinabalu pada 1980 sebelum seterusnya berpindah ke Menggatal, Tuaran pada 1990 bersama Fakulti Sains Pembangunan yang pada asalnya ditempatkan di Kampus Induk Bangi. Selepas penubuhan Universiti Malaysia Sabah pada 1994, UKM Kampus Sabah ditutup secara rasmi pada tahun 1996 dan kedua-dua fakulti berkenaan dipindahkan ke Kampus Induk Bangi.

Universiti ini terus berkembang pesat sebagai sebuah universiti awam terkehadapan yang kini mempunyai 13 fakulti dan 16 institut kecemerlangan penyelidikan. UKM juga mempunyai dua entiti yang beroperasi secara komersil iaitu UKM Holdings Sdn. Bhd. dan UKM Technology Sdn Bhd sebagai satu pendekatan dalam mengkomersilkan dan memasyarakatkan kepakaran yang dimiliki di samping menjana kewangan universiti. UKM juga turut menempa nama dalam sejarah sebagai universiti awam pertama yang mempunyai tabung wakaf sendiri bagi membantu pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan.

Sejak 48 tahun penubuhannya, UKM telah menghasilkan 176,009 graduan. Peningkatan jumlah pelajar luar negara yang setakat ini menjangkau 2,937 pelajar dari 42 buah negara membuktikan penerimaan global terhadap program dan ekosistem ilmu UKM. Selain itu, ia sebenarnya lubuk pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang dan bertanggungjawab melahirkan ramai tokoh akademik berkaliber. Prof Emeritus Tan Sri Awang Had Salleh misalnya yang pernah mengisi jawatan Naib Cancelor dari tahun 1980 hingga 1984 merupakan Naib Cancelor pertama Universiti Utara Malaysia. Menurut Prof Ulung Dato Shamsul Amri Baharuddin yang kini menjawat Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM berpandangan universiti ini merupakan tapak semaian bagi ahli akademik universiti baru di Malaysia.

Prof Ulung Shamsul Amri yang pernah memegang jawatan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) melihat UKM melalui ATMA telah berjaya mengangkat citra dan keanggunan tamadun dan budaya Melayu melalui teknologi terkini dalam talian di Portal Tamadun Melayu (www.malaycivilization.com) yang lebih dikenali dengan nama PADAT dan secara luar talian melalui cakera padat interaktif sejarah Melayu dalam tiga bahasa; Melayu, Inggeris dan Arab. Ia diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) sebagai sumber digital pengajian Melayu pada tahun 2003. Kandungannya yang komprehensif turut menarik minat Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan untuk menjadikan ATMA sebagai sayap penyelidikannya dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Ini turut ditambah selepas Prof. Dato’ Dr. Hood Salleh memegang Krusi Pengajian Melayu Pertama di Victoria University of Wellington, New Zealand (mulai 1997-akhir 2000), UKM telah menjadi pusat rujukan global dalam bidang berkaitan bahasa, budaya dan tamadun Melayu.

Bukan sedikit pencapaian yang dilakar UKM bukan saja di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa. Berasaskan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan lebih empat dekad, UKM dipilih sebagai salah sebuah universiti penyelidikan di Malaysia pada 2006. Proses pemantapan bidang penyelidikan disusuli dengan pengwujudan projek tertumpu di bawah lapan nic iaitu Cabaran Membina Negara-bangsa, Pembangunan Lestari Wilayah, Tenaga Keterbaharuan, Teknologi Kesihatan & Perubatan, Perubahan Iklim, Nanoteknologi & Bahan Termaju, Kepelbagaian Biologi dalam Pembangunan Bioteknologi dan ICT: Informatik Isian. Selain itu, institusi ini juga merupakan penerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2006 dan memperoleh status Swa-Akreditasi pada 2010 dan diberikan status Universiti Autonomi pada Januari 2012. Penganugerahan ini adalah pengiktirafan bagi kecemerlangan UKM dalam bidang akademik dan tadbir urus. UKM melestarikan kecemerlangannya melalui Pelan Strategik UKM 2000-2020 (PS2020) dan Pelan Transformasi ke arah universiti terkemuka dunia menjelang 2018.

Tiada siapa menyangka pada tahun 2013, UKM juga mendapat pengiktirafan Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bagi sijil kualiti MS ISO 9001:2008 Sistem Pengurusan Kualiti Perkhidmatan (SPKP) baru-baru ini, menjadikan universiti itu satu-satunya universiti awam di negara ini yang berjaya menggabungkan 12 Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah satu sijil. Dan beberapa bulan lepas, UKM berjaya mencapai kedudukan ke-184 universiti teratas dunia, menurut Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings bagi tahun 2018. Ia merupakan satu peningkatan berbanding kedudukan ke-230 pada tahun 2017. Menerusi ranking yang dikeluarkan QS juga, UKM turut membanggakan negara dengan pencapaian tangga ke-12 di dunia untuk penarafan universiti terbaik di bawah usia 50 tahun.

Senarai alumni terkenal UKM

1. Datuk Haji Mohd Rashid Hasnon – Ahli Parlimen Batu Pahat dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

2. Dr Sheikh Muszaphar Shukor – Angkasawan pertama negara.

3. Syed Hussein Alatas – Ahli akademik dan pengasas Parti GERAKAN.

Waqaf Saham

4. Anthony Loke Siew Foke – Ahli Parlimen Seremban dan Menteri Pengangkutan.

5. Datuk Liow Tiong Lai – Bekas Presiden Persatuan Cina Se-Malaysia (MCA) dan bekas Menteri Pengangkutan.

6. Tan Sri Dr Jemilah Mahmood – Pengasas MERCY Malaysia dan Ketua Cawangan Respon Kemanusiaan, Tabung Populasi PBB di New York.

7. Datuk Seri Anwar Ibrahim – Ahli Parlimen Port Dickson dan bekas Timbalan Perdana Menteri.

8. Anwar Fazal – Aktivis masyarakat sivil dan digelar Bapa Pergerakan NGO Malaysia.

9. Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad – Pakar mata dan motivasi serta pernah mendapat anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan dan Negeri Selangor pada tahun 2015.

10. Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof – Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

11. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar – Menteri Besar Terengganu dan Adun Rhu Rendang.

12. Datuk Wira Razali Ibrahim – Bekas Ahli Parlimen Muar dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

13. Tan Sri Fuzi Harun – Ketua Polis Negara.

14. Haji Ahmad Zakie Ahmad Shariff – Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

15. Tan Sri Hj. Mohamad Morshidi Abdul Ghani – Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

16. Datuk Seri Wong Chun Wai – Pengarah Eksekutif Kumpulan Media The Star.

17. Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komo – Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu.

18. Datuk Ahmad Maslan – Ahli Parlimen Pontian dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

19. Tan Sri Alimuddin Mohd Dom – Pro Cancelor Universiti Pendidikan Sultan Idris

20. Datuk Jilid Kuminding – Duta Malaysia ke Jordan.

SUMBER
1. Mohd Dom, Alimuddin. (2015). Utusan Malaysia. Selepas 45 tahun UKM tetap unggul. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/selepas-45-tahun-ukm-tetap-unggul-1.161720

2. Mohamed, Azmy. (2004). Utusan Malaysia. UKM dulu dan kini.
http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=UKM35tahun&pg=ukm_02.htm

3. Abdul Muhid, Norizan. (2013). Utusan Malaysia. Pencapaian UKM.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Kampus/20130311/ka_01/Pencapaian-UKM

4. Kosmo. (2018). UKM universiti bawah 50 tahun terbaik negara. http://www.kosmo.com.my/terkini/ukm-universiti-bawah-50-tahun-terbaik-negara-1.694481

5. Sinar Harian. (2016). Universiti awam perlu tingkat dana tabung wakaf. http://www.sinarharian.com.my/nasional/universiti-awam-perlu-tingkat-dana-tabung-wakaf-1.575448

6. A Hamid, Siti Salmiah dan Fiona, Julia. (2018). Berita Harian. UKM capai ranking 184 teratas dunia. https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/06/435552/ukm-capai-ranking-184-teratas-dunia

7. Universiti Kebangsaan Malaysia. Sejarah. http://www.ukm.my/transformasi/?page_id=14

8. Universiti Kebangsaan Malaysia. Sepintas Lalu. http://www.ukm.my/portal/sepintas-lalu/

Previous articleBeth Thomas: The Psychopath Little Girl
Next articleHills Like White Elephants: Sebuah Cerpen Tanpa Konteks.
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE