Selalunya, setiap kali aku balik ke rumah daripada universiti, benda pertama yang aku buat ialah pergi ke balkoni rumah untuk melihat tuan besar rumah kami: Muezza. Hobi dia setiap hari ialah tidur dan melantak. Kucing aku yang satu lagi, Brad Pitt adalah berlainan dengan Muezza dari segi sifat.

Barangkali kerana baka Maine Coone nya, dia suka ikut dan perhati ahli rumah kami dalam melakukan sesuatu. Juga, Brad Pitt ni lebih bijak, mampu selesaikan puzzle mudah seperti membuka sangkar dengan sendiri, mendengar cakap dan sebagainya, berpadanan dengan gelaran baka kucing Maine Coone sebagai ‘anjing’ versi kucing.

Melihatkan dua ekor kucing ni di rumah, satu soalan menjelma di fikiran aku. Dari mana kucing ni datang?

Kucing domestik yang melata zaman sekarang adalah hasil domestifikasi kucing liar di kawasan hutan. Jadi, inilah persoalannya; kucing hutan mana?

Menurut dapatan saintis, baka induk kucing hutan dipercayai berpusat Eropah sekitar 50,000 tahun dahulu. Kemudiannya, variasi kucing hutan Eropah ni bermigrasi ke Asia Tengah, yakni di sekitar kawasan Afrika Utara sehinggalah ke wilayah Turki, sekitar 10,000 tahun lepas. (ini adalah penting). Kemudiannya, kucing hutan ni bermigrasi ke merata tempat dan mewujudkan baka kucing hutan yang lain seperti kucing hutan Eropah, dan kucing hutan Asia.

Dapatan mengenai baka induk Asia Tengah ni penting kerana garis masa migrasi dan tempat adalah selaras dengan kebangkitan tamadun-tamadun purba. Hasil ekskavasi kubur neolitik berusia 9,5000 tahun di Cypurs menemukan tulang temulang manusia dan kucing yang berdekatan antara satu sama lain.

Dalam dunia arkeologi dan ekskavasi, manusia selalunya akan menanam objek dan haiwan kesayangan mereka sekali dalam kubur mereka, sebagaimana kubur orang Mongol yang mempunyai kubur kuda berdekatan dengannya.

Menariknya, Cyprus tak mempunyai mana-mana jenis baka kucing hutan di situ. Ini memberi makna kebarangkalian kucing dalam kubur tersebut diimport dari wilayah luar, dan wilayah terdekat yang mempunyai baka kucing liar ialah Asia Tengah. Kucing hutan Afrika.

Tamadun purba tertua di dunia terletak di kawasan Sabit Subur, juga di Asia tengah. Hasil penemuan arkeologi di wilayah ini menemukan tapak neolitik pra-tembikar di tapak bukit Taurus dan gunung Zagros. Tamadun neolitik dikenali sebagai tamadun di mana manusia mula menternak haiwan dan juga bercucuk tanam. Ini ialah kata kunci kedua.

Apabila manusia mula mengumpulkan hasil tanaman seperti gandum di gudang, ini akan menarik haiwan perosak untuk berkampung dan memakan semua hasil gandum ni.

Apa yang menarik tentang kucing ni ialah, kalau haiwan jinak lain selalunya manusia yang ternak dia sampai jadi jinak. Kucing ni dia yang ajar diri dia jadi jinak semata mata untuk senang cari makan. Bila jadi macam tu, lagi la manusia nak bela dia sebagai haiwan peliharaan. Maknanya memang dari dulu lagi la kucing ni kuat curi tulang.

Jadi, apa langkah terbaik untuk mencegah masalah ni? Ya, kucing lah solusi tersebut. Proses domestifikasi kucing hutan adalah selari dengan zaman neolitik di Sabit Subur. Namun, kucing hutan pada zaman tersebut mungkin terhad kepada haiwan pengawal binatang perosak semata-mata berbanding haiwan peliharaan.

Ini juga secara tak langsung menceritakan kenapa tamadun Mesir Purba menyembah kucing – sebab kucing ni makan haiwan perosak, dan juga sebab mereka ni melindungi firaun daripada haiwan berbisa macam ular yang memang makanan mereka. Sebab tu dewi Bastet, dewi kesuburan Mesir Purba berkepala kucing, ada cerita tentang dia berlawan dengan dewa ular Apep.

Bila ada teknologi perkapalan, orang boleh berniaga jauh jauh dari kampung halaman mereka. Namun, ada masalah lain pula yang muncul. Tikus pun akan naik kapal dagang sebab ada makanan. Jadi, pelaut pelaut purba ni akan bawa kucing sekali untuk kawal haiwan perosak.

Selain daripada itu, kucing ni derianya sensitive. Mereka oleh tahu kalau kalau ribut akan muncul di lautan. Lama kelamaan orang mula menganggap kapal akan menjadi lebih bertuah kalau ada kucing. Kalau kita ikut catatan sejarah pun memang banyak kapal terselamat daripada bencana sebab tengok kucing berperangai pelik di kapal.

Ada kalanya, kucing ni akan terlepas ke kawasan asing dan beranak pinak di situ. Bermula dari perihal inilah, kucing melata di satu dunia jadi baka berasingan. Sebab berdagang sahaja. Tradisi kucing atas kapal ni bertahan dari zaman purba hinggalah awal abad ke-20. Itupun ada je kapal yang bawa kucing untuk bermanja manja dan juga sebab mitos kucing bertuah tu.

Sampai sekarang kalau kita buat kajian perbandingan DNA, kucing domestik tak kira Maine Coon di Amerika, atau Angora di Turki, kesemuanya dikira keturunan kucing hutan Afrika, padahal di benua mereka tu ada sahaja kucing hutan lain.

RUJUKAN:

Driscoll, Carlos (2009). “The Taming of the Cat. Genetic and Archaeological findings hint that wildcats became housecats earlier- and in different place- than previously thought”. Scientific American. 300.6: 68–75.

Serpell, James A., “Domestication and history of the cat”, The Domestic Cat, Cambridge University Press, pp. 83–100, ISBN 9781139177177, retrieved 2019-04-09


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

Comments are closed.