Sejarah Pengunaan Napkin Meja

661
views

Pernahkah kita terfikir, dari mana datangnya penggunaan napkin meja yang sering kita lihat sama ada di restoran atau hotel? Apakah fungsi di sebalik penggunaan napkin meja ini dan apakah yang dimaksudkan dengan seni lipatan napkin?

Selama lebih 600 tahun, masyarakat di Eropah mengamalkan budaya penggunaan napkin ketika makan dan proses ini sebenarnya telah banyak mengalami evolusi sejak penemuan penggunaan napkin yang pertama dalam sejarah purba.

Berdasarkan rekod sejarah yang ditemui, didapati bahawa napkin pertama yang digunakan bagi membersihkan jari yang kotor adalah dalam kalangan masyarakat Sparta, iaitu di Greece purba. Napkin pertama ini dipanggil sebagai apomagdlies, iaitu segumpal doh yang kemudiannya dipotong kepada kepingan-kepingan kecil dan diuli serta dicanai di atas meja. Ini merupakan budaya menggunakan kepingan doh sebagai salah satu cara untuk membersihkan jari dan tangan.

Sementara itu, penggunaan napkin kertas dipercayai bermula di China, berikutan sejarah penghasilan kertas yang dikatakan berasal daripada negara tersebut. Napkin kertas yang pertama di China menyerupai napkin kertas moden pada hari ini yang biasanya digunakan untuk majlis koktel, dan telah digunakan sewaktu era Dinasti Tang. Pada masa itu, masyarakat China menggunakan napkin kertas kecil yang dilipat, dikenali sebagai chih pa, berfungsi untuk memegang cawan teh mereka.

Dalam kalangan masyarakat Rom pula, napkin ini dikenali sebagai sudaria dan mappa, di mana kedua-duanya mempunyai ukuran panjang yang berbeza. Sudaria atau disebut juga sebagai sudarium, ialah perkataan Latin yang bermaksud sapu tangan, dan merupakan sejenis fabrik bersaiz poket yang berfungsi untuk membersihkan kekotoran dan peluh pada dahi individu yang menikmati makanan sewaktu musim panas.

Mappa pula merupakan sejenis kain besar yang dihamparkan pada hujung kerusi sofa untuk melindungi makanan. Mappa juga adalah kain yang dibawa oleh para tetamu sewaktu majlis makan, berfungsi untuk meletakkan segala sisa makanan mereka sebelum dibawa pulang. Kebiasaannya, mappa ini diperbuat daripada kain sutera halus dan linen, dengan hiasan keemasan dan sulaman pelbagai warna.

Namun, dengan kejatuhan empayar Rom, budaya penggunaan napkin ini juga lenyap dan tidak lagi digunakan di meja makan. Masyarakat pada waktu itu menggunakan apa sahaja untuk membersihkan mulut dan tangan mereka selepas makan seperti kain dan kepingan roti.

Beberapa abad selepas itu, penggunaan napkin meja ini kembali terkenal, malah pelukis Dieric Bouts turut menggambarkan kepentingan penggunaan napkin meja melalui lukisan klasik beliau, iaitu The Last Supper. Penggunaan napkin meja di Eropah bermula dengan 1400 buah meja majlis diraja yang menggunakan napkin yang diperbuat daripada kain yang berbau wangi.

Pada abad ke-16, napkin meja ini telah mula mendapat tempat di hati masyarakat dan merupakan antara komponen utama dalam mengendalikan majlis makan atau majlis keramaian. Napkin pada masa itu datang dalam pelbagai saiz, dan dikenali dengan pelbagai nama yang menarik. Napkin dikenali sebagai serviette, diaper dan touaille (tuala) bergantung kepada saiz dan fungsi mereka. Touaille merupakan tuala yang digunakan oleh orang bawahan, kebiasaannya bagi menunjukkan status mereka sebagai orang suruhan.

Penggunaan napkin meja dalam lukisan The Last Supper oleh Dieric Bouts.
Sumber: (Kirkham, 2016)

Abad ke-17 menyaksikan penggunaan napkin meja bersaiz besar dengan ukuran 35 inci hingga 45 inci yang berfungsi untuk membantu tetamu dan individu makan dengan menggunakan tangan mereka, sebelum garfu dan sudu digunakan secara meluas.

Saiz napkin meja ini kemudiannya semakin berkurangan apabila penggunaan sudu dan garfu telah diterima sebagai salah satu komponen dalam majlis makan di Eropah pada abad ke-18. Pada abad ke-17 juga, negara Perancis telah menetapkan suatu peraturan khusus untuk golongan bangsawan berkaitan dengan penggunaan napkin meja ini, di mana setiap tetamu tidak boleh menggunakan napkin tersebut untuk membersihkan muka, gigi atau hidung.

Selain itu, peraturan ini juga menyebut bahawa individu yang berstatus paling tinggi dalam sesuatu majlis merupakan orang pertama yang akan membuka lipatan napkinnya, sebelum diikuti oleh individu lain mengikut status masing-masing. Jika semua tetamu yang hadir mempunyai status yang sama, maka mereka boleh membuka lipatan napkin tersebut pada masa yang sama.

Seni lipatan napkin di Eropah sebenarnya bermula di Itali. Seni lipatan napkin yang paling terkenal pada masa itu adalah lipatan napkin yang menyerupai bentuk haiwan. Napkin yang dilipat ini dikenali sebagai serviettes, dan telah menarik perhatian ramai orang British selepas ia diperkenalkan pada masa itu. Seni lipatan napkin ini semakin berkembang dan ramai mula meletakkan kreativiti masing-masing bagi menjadikan lipatan napkin semakin menarik.

Contoh seni lipatan napkin

Kesimpulan

Napkin meja adalah salah satu komponen utama yang melengkapkan meja makan dan aspek penting dalam perkhidmatan makanan. Meskipun penggunaan napkin meja adalah meluas di restoran-restoran besar serta hotel, namun, ia juga boleh digunakan untuk majlis-majlis keramaian peribadi yang dilakukan di rumah-rumah persendirian. Apa yang paling penting adalah untuk mematuhi etika penggunaan napkin meja dengan betul dan mengambil manfaat daripada penggunaan napkin tersebut untuk tujuan kebersihan.

Rujukan

Cross, N. (2012). Table Napkins – The True Art of Table Service. Retrieved July 13, 2018, from http://www.thebutlerschool.com/table-napkins-the-true-art-of-table-service/

Danovich, T. K. (2015). Unfolding The History Of Napkin Art. Retrieved July 12, 2018, from https://www.npr.org/sections/thesalt/2015/08/12/431271509/unfolding-the-history-of-napkin-art

Flandrin, J. L. (2007). Arranging The Meal: A History of Table Service in France. London, England: University of California Press.

Graber, M. J. (2014). Etiquette and Napkin History. Retrieved July 13, 2018, from http://etiquipedia.blogspot.com/2014/07/etiquette-and-few-words-on-napkins.html

Kirkham, D. (2016). The History and Etiquette of Napkins. Retrieved July 14, 2018, from http://www.mimismanners.com/history-etiquette-napkins/

Smith, E. (2017). A Brief History of Napkins, From Soft Dough to Paper. Retrieved July 12, 2018, from https://www.atlasobscura.com/articles/napkin-dining-table-recycling