Sekitar 2013 (tingkatan 5), saya dan beberapa lagi ‘subjek ujian’ telah dipilih oleh guru biologi untuk diambil darah bagi eksperimen pengkelasan darah. Jari saya diurut, dicucuk dan darah dititik kepada sekeping kad. Dari situ, saya tahu saya berdarah B+, dan juga dari mana dan bagaimana saya dapat masalah buta warna ni.

Jadi, macam mana pengkelasan darah ni dibuat?

SEJARAH PENGKELASAN DARAH

Dalam subjek genetik, kita diperkenalkan dengan konsep sifat dominan dan resesif. Semasa Gregory Mendel menjalankan eksperimen terkenalnya berkenaan genetik pokok kacang, beliau mendapati 3/4 daripada keseluruhan pokok kacangnya adalah tinggi, manakala 1/4 lagi pendek dan renek. Dalam bahasa mudahnya, ratio ketinggian pokok kacangnya ialah 3:1. Perkara ini tak tertakluk pada ketinggian pokok kacangnya sahaja, bahkan juga meliputi sifat-sifat lain pokok berkenaan seperti warna kacang (3 hijau: 1 kuning), warna bunga (3 ungu: 1 putih) dan sebagainya. Ratio terbanyak, yakni ‘3’, dikenali sebagai nilai dominan, manakala ‘1’ dikenali sebagai resesif (sedikit/minoriti).

Sekitar tahun 1900, seorang saintis bernama Karl Landsteiner di Universiti Vienna menyedari ada sesetengah darah mampu dicampurkan, dan sesetengah lagi akan membeku apabila dicampurkan. Selain itu, darah manusia juga akan membeku apabila dicampurkan dengan darah binatang. Dari sini, beliau faham bahawa darah mampu dikelaskan dalam kelompok tertentu. Sesetengah darah hanya boleh bercampur dengan sesetengah darah.

Gambar 1: Dr. Karl Landsteiner. Hasil kajiannya mengenai darah, beliau menerima Hadiah Nobel bagi Fisiologi pada tahun 1930.

Dalam disiplin biologi medikal, selalunya kita akan diperkenalkan dengan antigen dan antibodi. Antibodi merujuk kepada sistem imun dan antigen merujuk kepada bendasing yang merangsang pengeluaran antibodi. Untuk lebih jelas, kita lihat kes jangkitan kuman. Kuman ialah bendasing luar. Disebabkan ada sesetengah kuman ni merbahaya, maka sel darah putih dan antibodi dihasilkan untuk membunuh kuman. Oleh itu, kuman ialah antigen. Benda yang sama juga dapat dilihat dalam kes pengkelasan darah. Dalam bahasa mudah, antigen bertindak sebagai kad pengenalan bagi bendasing. Sekiranya antigen itu sesuai, ia diterima oleh sistem badan. Kalau tak sesuai, antigen berkenaan akan diserang, sebagaimana pendatang asing tanpa izin dihalau keluar.

Menerusi dapatan Dr. Karl, beliau mendapati bagi setiap kumpulan darah, mereka mempunyai antigen masing-masing untuk membezakan jenis-jenis darah. Oleh sebab itulah kenapa ada sesetengah darah mampu bercampur dan ada yang tak. Beliau mendapati, darah jenis A (darah antigen A) akan membeku dan bergumpal sekiranya diacmpur dengan darah jenis B (darah antigen B). Walau bagaimanapun, tiada apa-apa yang berlaku sekiranya darah A dicampur dengan darah A.

Sambungnya lagi, ini adalah kerana setiap darah mempunyai antibodi yang bertindak balas dengan antigen yang berlainan. Berlainan dengan antigen, antibodi dikelaskan secara berlawanan.  Bagi darah A, ia mempunyai antibodi B. Darah B pula mempunyai antibodi A. Mereka tak boleh sama kelas sebab kalau sama, antibodi itu akan menyerang antigen berkenaan. Apabila darah jenis B dimasukkan ke dalam pesakit berdarah A, antibodi B milik pesakit akan menyerang darah antigen B tersebut. Kalau pesakit berdarah B menerima darah A, antibodi A dalam pesakit akan serang darah A. Kelas yang sama akan saling menyerang.

Akan tetapi, beliau juga mendapati ada sejenis kelas darah yang tak mempunyai mempunyai antigen langsung, tapi mempunyai kedua-dua jenis antibodi. Ini bermakna, darah jenis ini mampu bercampur dengan darah lain tanpa sebarang masalah. Namun, darah jenis ini tak mampu menerima darah kelas lain dalam badan sebab ia mempunyai kedua-dua jenis antibodi, melainkan kelas darah yang sama dengannya. Kelas darah ni kemudiannya dikenali sebagai darah jenis O ( tiada antigen, ada antibodi A dan B). Ya, huruf ‘O’ itu sebenarnya adalah bermaksud ‘kosong’, tapi disalah erti. Menurut takrifan moden, pemilik darah jenis O ialah penderma universal.

Pada tahun berikutnya, pelajar beliau yakni Adriano dan Alfred terjumpa satu lagi jenis darah. Ia tak mempunyai sebarang antibodi, tapi mempunyai kedua-dua jenis antigen. Darah jenis ni mampu menerima semua jenis darah kerana tak mempunyai antibodi, tapi tak mampu didermakan kepada manusia berdarah kelas lain kerana ia mempunyai kedua-dua antigen A dan B. Kelas ini dikenali sebagai darah jenis AB dan pemiliknya dikenali sebagai penerima universal.

Gambar 2: Jadual pengekelasan darah manusia.

Anda rasa cerita ni tamat macam tu sahaja kah? Tak! Beberapa dekad selepas itu Dr. Karl dan Dr. Weiner menjumpai satu lagi jenis antigen – dinamai faktor Rh (Rhesus) sempena spesimen yang digunakan (monyet rhesus). Perkara ini hanya dapat dilihat penggunaannya apabila seorang wanita telah dikesan mengalami komplikasi darah bergumpal, walaupun dia menerima darah yang sama jenis dengannya. Untuk membezakan antigen-antigen faktor Rh, selalunya mereka dikenali sebagai Rh + (positif) dan Rh – (negatif).

Majoriti daripada kesemua manusia mempunyai Rh + (sekitar 85% di USA sahaja). Ingat tak apa saya cerita tentang sifat dominan dan resesif? Ya, Rh+ ialah dominan. Saya sambung kembali, bagi kes Rh +, pemiliknya mampu menerima kedua-dua jenis faktor Rh, tak kisah positif mahupun negatif. Bagi pemilik Rh -, mereka hanya boleh menerima darah berfaktorkan Rh + buat pertama kali sahaja. Selepas penerimaan tersebut, sistem imun manusia berdarah Rh – akan menghasilkan antibodi untuk merosakkan darah dengan Rh +. Seperti kes pengkelasan darah sebelum ini, antibodi badan akan melawan mana-mana antigen yang dirasakan asing dan tak sama. Oleh itu, selalunya darah berfaktorkan Rh – di bank darah hanya akan dikhaskan untuk pesakit yang mempunyai Rh – dek masalah penerimaan Rh + dan juga kerana darah Rh – ni sangat sukar untuk didapatkan. Tak ramai manusia mempunyai darah Rh -.

APLIKASI RINGKAS PENGKELASAN DARAH.

Menerusi dapatan ini, saintis mencipta sejenis kad yang boleh digunakan bagi melihat kita ni mempunyai darah jenis apa.

Gambar 3: Kad ujian darah.

Ya, saya maksudkan kad ini.

Jadi, kalau kita ingat balik, antibodi akan menyerang antigen yang sama kelas dengannya. Kita lihat pada kad di atas. Kelihatan darah di bahagian yang mengandungi anti-A (antibodi A), menjadi rosak dan bergumpal. Di bahagian anti-B, darah kekal elok. Di sebelahnya pula, anti-D (penguji darah Rh -) pula mengandungi darah rosak. Sekarang, saya cuba susun kembali data dan cuba meneka jenis darah ni.

-Darah ini diserang antibodi A, tapi selamat dengan antibodi B. Ini ialah darah jenis A. Darah jenis A mempunyai antibodi B, sebab tu ia selamat dengan antibodi B.

-Darah A rosak diserang anti-D (anti Rh +). Oleh itu, darah A ni berfaktorkan Rh +. Anti-D dalam darah Rh – akan sentiasa menyerang sel darah Rh +.

Kesimpulannya, ini ialah darah A+.

Sekarang, saya nak sentuh pula tentang benda lain. Saya yakin, anda mesti pernah mendengar masalah keguguran dan komplikasi bersalin, bukan? Ya, ada sesetengah daripada masalah ini berpunca daripada masalah tak sama faktor Rh.

Antara penyakit yang terkenal dengan masalah ini ialah hemolytic fetalis. Puncanya ialah apabila bapa dengan faktor Rh + berkahwin dengan si ibu dengan faktor Rh -. Apabila si ibu itu mengandungkan anak Rh +, penyakit tu tak muncul, tapi sistem imun si ibu akan mula menghasilkan anti-D.

`

Gambar 4: Ilustrasi ringkas berkenaan hemolytic fetalis. Ilustrasi ini adalah hak milik MedicoAid.

Penyakit ini hanya akan mula bila si ibu mengandung buat kali kedua dan ke atas (dan anak berdarah faktor Rh +). Sekiranya darah si ibu dan anak bercampur, anti-D milik ibu akan menyerang sel darah milik anak. Ini sekaligus akan menyebabkan si anak mengalami aenemia, masalah tak cukup darah. Untuk mengatasi masalah ini, si anak akan mewujudkan lebih banyak sel darah merah bagi mengatasi hal ini. Malangnya, sel-sel yang dihasilkan adalah pramatang dan cepat rosak. Ia kurang membantu. Sekiranya masalah ini melarat, anak itu akan mengalami jaundis (demam kuning) dek pigmen sel darah mati yang berkumpul banyak. Bagi mengatasi masalah ini secara total, si ibu selalunya akan diberikan ubat yang menghalang anti-D daripada berfungsi dengan baik.

MISTERI DI SEBALIK PENGKELASAN DARAH

Sebelum saya tamatkan artikel ini, saya nak beri satu persoalan tentang alkisah pengkelasan darah. Kalau ikut penerangan saya berkenaan genetik, setiap sifat dalam tubuh kita ni boleh dilihat sisi dominan dan resesif. Selalunya sifat dominan ni tinggi rationya kerana dianggap sebagai kelebihan evolusi berbanding sifat resesif yang dianggap kurang elok dari sudut evolusi manusia. Sebagai contoh, warna kulit gelap ialah sifat dominan manusia kerana kulit yang gelap mempunyai tahap perlindungan kanser kulit yang lebih tinggi. Bagi kes pengkelasan darah, darah jenis A atau B dan Rh + adalah dominan dan kelas O dan Rh – ialah resesif. Ini bermakna, kelompok manusia berdarah A+ (A dengan faktor Rh +) adalah yang paling ramai, bukan?

Tapi, kenapa graf data populasi dan jenis darah di atas sangat berlawanan dengan apa yang sepatutnya? Kenapa darah O+, yang sepatutnya resesif dan kurang jumlahnya, adalah yang paling banyak?

Haaa, kita tunggu artikel seterusnya, berkenaan genetik Mendel dan juga cliffhanger dari siapa saya dapat masalah buta warna dan darah B+ saya.

RUJUKAN:

  1. Henig, Robin Marantz (2009). The Monk in the Garden : The Lost and Found Genius of Gregor Mendel, the Father of Modern Genetics. Houghton Mifflin. ISBN0-395-97765-7.
  2. FARHUD, D. D., & ZARIF YEGANEH, M. (2013). A Brief History of Human Blood Groups. Iranian Journal of Public Health, 42(1), 1–6.
  3. The Editors of Encyclopædia Britannica (2017-07-18). “ABO blood group system”. Encyclopædia Britannica. Encyclopædia Britannica, Inc. Retrieved 2017-10-26.
  4. Maton, Anthea; Jean Hopkins; Charles William McLaughlin; Susan Johnson; Maryanna Quon Warner; David LaHart; Jill D. Wright (1993). Human Biology and Health. Englewood Cliffs, New Jersey, USA: Prentice Hall. ISBN 0-13-981176-1.
  5. Kantha, S.S. (1995). “The blood revolution initiated by the famous footnote of Karl Landsteiner’s 1900 paper”(PDF). The Ceylon Medical Journal. 40 (3): 123–125. PMID 8536328.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

Comments are closed.