Menurut kajian para penyelidik, tumbuhan kacang tanah berkemungkinan berasal dari Amerika Selatan, atau lebih khusus, Peru atau Brazil. Pendapat ini turut dibuktikan lagi menerusi penemuan sejumlah tembikar berbentuk kacang tanah yang berusia 1500SM di benua tersebut. Kemudian, tumbuhan ini mula diperkenalkan kepada orang Eropah semasa penerokaan mereka di Brazil.

Pada waktu itu, kacang tanah telah pun tersebar jauh hingga ke Mexico. Tumbuhan ini dibawa pulang oleh para peneroka itu dan dari Eropah, kacang tanah pun tersebar ke Afrika dan Asia. Kemasukannya ke Amerika Utara pula hanya berlaku pada abad ke-18M.

Kacang tanah sememangnya telah digunakan sejak berkurun-kurun lamanya. Misalnya di Brazil, orang-orang asli di sana menghasilkan minuman yang diperbuat daripada kacang. Di Afrika pula, mereka memasukkan kacang hancur ke dalam air rebusan. Sementara bagi masyarakat Cina, kacang berfungsi sebagai salah satu bahan untuk membuat sos.

Proses penuaian kacang tanah

PENCIPTA MENTEGA KACANG MODEN

Walaupun mentega kacang mula diperkenalkan oleh kaum Inca dari Amerika Selatan, bentuk yang dikenali pada hari ini hanya dicipta pada abad ke-19M – melibatkan beberapa nama yang dicalonkan sebagai pencipta resepi tersebut.

Antara nama yang masyhur disebutkan, malah digelar sebagai bapa perindustrian kacang, adalah George Washington Carver – ahli botani merangkap salah seorang pencipta terhebat dalam sejarah Amerika terutama apabila beliau berjaya menemukan lebih daripada 300 kegunaan kacang tanah.

Pun begitu, gelaran pencipta mentega kacang yang sebenar hanya sesuai diberikan kepada beberapa individu berikut:

  • Rose Davis dari New York – Menurut seorang sejarahwan yang bernama Eleanor Rosakranse, Rose Davis mula mencipta mentega kacang seawal tahun 1840an lagi apabila anaknya memaklumkan kepada Rose bahawa beliau pernah ternampak seorang wanita di Cuba mengisar kacang tanah sehingga lumat dan menyapunya ke roti. Hal itu memberikan inspirasi kepada Rose untuk menghasilkan mentega kacang.
  • Marcellus Gilmore Edson – Dicatatkan bahawa beliau menfailkan dan menerima paten pada tahun 1884 di Amerika Syarikat bagi sebuah idea yang disebutkan sebagai ‘gula-gula kacang’. Produk tersebut difahami sebagai sejenis adunan kacang berperisa yang dipanggang dan kemudian diproses menjadi cecair atau semi-cecair. Lalu, ia disejukkan sehingga memiliki bentuk dan tekstur seperti mentega.
  • George A. Bayle – Melalui usaha sama dengan seorang doktor bernama Dr. Ambrose Straub yang berasal dari St. Louis, Missouri, beliau mempatenkan sebuah mesin penghasil mentega kacang pada tahun 1903. Mesinnya ini dianggap sebagai pesaing kepada sebuah lagi mesin pembuat mentega yang telah dipatenkan lebih awal, iaitu pada tahun 1896 oleh John Lambert, bekas pekerja John Harvey Kellog.
  • Dr. John Harvey Kellog – Pada tahun 1895M, beliau yang turut terkenal sebagai pencipta emping jagung (cornflake) mempatenkan sebuah proses penghasilan mentega kacang. Kellogg memasarkan produknya itu sebagai makanan alternatif yang membekalkan zat protein bagi orang-orang yang tidak mempunyai gigi. Beliau turut menyebarkan ceramah kesihatan berkenaan produknya itu di seluruh Amerika Syarikat di samping menghidangkannya sebagai makanan buat para pesakitnya di Battle Creek Sanatorium, Michigan. Oleh kerana sumbangannya yang lebih meluas berbanding nama-nama yang lain, beliau secara umum dinamakan sebagai pencipta mentega kacang.

PENCIPTAAN MESIN MERANCAKKAN LAGI PENGHASILAN MENTEGA KACANG

Semasa kali pertama mentega kacang dicipta, ia dihasilkan dengan menggunakan lesung batu untuk menumbuk dan mengisar kacang tanah sehingga lumat. Kemudian, ia dimasukkan ke dalam pengisar daging bagi mendapatkan tekstur yang lebih halus. Proses ini sangat leceh dan sukar untuk mendapatkan konsistensi yang sesuai bagi setiap penghasilan.

Menerusi penciptaan mesin penghasil mentega kacang yang dipatenkan oleh Ambrose Straub (1903) dan John Lambert (1896), proses penghasilannya menjadi semakin mudah dan kuantiti-efisien.

Walau bagaimanapun, cara penghasilan sebegini masih terdapat kekurangan apabila mentega kacang yang dihasilkan tidak dapat bertahan lama sekaligus membuatkan produk tersebut tidak dapat dipasarkan dengan lebih meluas.

Masalah ini diselesaikan pada 1920an apabila Joseph Rosefield mempatenkan sebuah cara penghasilan yang baru. Beliau kemudiannya melancarkan Skippy, salah satu jenama mentega kacang yang paling dikenali pada hari ini di Amerika. Sejak masalah tersebut diselesaikan, mentega kacang terus menjadi pilihan masyarakat sampaikan wujud Hari Mentega Kacang Kebangsaan yang diraikan pada setiap tanggal 24 Januari.

Mentega kacang Peter Pan, sebuah jenama lama dalam tin lama

RUJUKAN:

Wu Mingren. (29 Mei 2019). Who Invented Peanut Butter? Origins of the Tasty Sandwich Spread. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/peanut-butter-who-invented-tasty-sandwich-spread-007989

National Peanut Board. (2017) History of Peanuts & Peanut Butter.
https://www.nationalpeanutboard.org/peanut-info/history-peanuts-peanut-butter.htm Tuan C. Nguyen. (30 Mei 2019). Who Invented Peanut Butter. ThoughtCo.
https://www.thoughtco.com/who-invented-peanut-butter-4082744


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.