Sejarah Penciptaan Kipas

317

Siapalah di Malaysia boleh hidup tanpa kipas. Kadang-kadang dalam bilik yang ada pendingin hawa pun tetap ada kipas. Sudahlah cuaca negara semakin panas angkara perubahan iklim sedunia. Taburan hujan pun tidak menentu.

Jadi setiap bulan tidak peliklah bil elektrik melambung kerana penggunaan kipas yang berleluasa. Entahnya satu bilik ada tiga kipas pun – siling, meja, berdiri. Yalah – akibat tak tahan panas, benda sebegini adalah normal.

Tapi fikir sejenak. Dari mana datangnya kipas? Benar, kemajuan elektrik memberikan sentuhan tenaga kinetik supaya kipas kekal berpusing untuk menjana pengudaraan. Cuma titik permulaan kipas yang paling awal itu wajar dipersoalkan.

Orang Mesir purba, menjadikan hamba untuk mengipas tuannya daun teratai besar. Orang-orang Yunani dan Rom memilih bulu merak yang diikat mengembang sebagai kipas.

Antara kipas pertama dalam dunia ialah kipas punkah dari India yang digunakan sekitar 500 S.M. Kipas ini diperbuat daripada buluh.

Punkah diletakkan tiang dan menggunakan sistem tali sawat dan takal untuk memastikan kipas bergerak ke atas dan bawah lalu menghadirkan angin sepoi-sepoi bahasa.

*Sumber : Fan History

Kedatangan British ke India telah menambahbaik teknologi kuno ini dengan teknik lebih moden. Punkah diletak di siling dan dikendalikan oleh seorang hamba. Jenis ini pula dipanggil punkah wallah.

Contoh Punkawallah. Tarik… Lepas… Tarik… Lepas… Ulang lagi…

Teknologi punkah ini masih diamalkan pada hari ini. Cuma sekarang elektrik digunakan untuk menggerakkan kepingan punkah.

Lihat segi empat di siling

Biasanya kalau India buat satu, China pun nak juga. Dalam teknologi kipas, China pun antara yang terawal dalam inovasi. Ding Huan merupakan seorang jurutera China semasa Dinasti Han telah meninggalkan kipas bulatan yang perlu diputar secara manual.

Kipas yang mempunyai bilah perlu diputarkan secara manual untuk menghasilkan angin.

Ilham Kipas Zaman Moden

Minda golongan cerdik pandai diperah sehabis-habisnya terutamanya pada masa Barat mengharungi gelombang haba. Pada abad ke-17 para saintis seperti Otto von Guericke dan Robert Boyle bergiat melaksanakan eksperimen untuk menggerakkan tenaga.

Promosi Buku DTT

Ditambah pula dengan kegigihan British dalam industri perlombongan arang batu, mereka perlu penggerak angin sangat-sangat supaya udara terkepung dalam lombong boleh dikeluarkan agar tiada yang sesak nafas.

Kedatangan kuasa wap (steam energy) yang membolehkan pergerakan kipas angin dengan baik. Pada tahun 1849, William Brunton berjaya menggerakkan kipas angin di sebuah lombong arang batu Selatan Wales. Namun hasil Brunton sebenarnya lebih kepada konsep semata-mata.

Hanya pada 1851 barulah Dr. David Boswell Reid mengabadikan namanya selepas berjaya memasang empat kipas kuasa wap untuk kegunaan Hospital St. George. Teori Reid sebenarnya mudah. Dengan tekanan mencukupi, kipas boleh berpusing.

Kebergantungan masyarakat kepada kuasa wap berhenti selepas Philip Diehl menciptakan kipas siling elektrik pertama dunia pada tahun 1882. Semestinya Revolusi Perindustrian perlu diberikan penghargaan kerana saintis berjaya menggerakkan kipas angin dengan menggunakan alkohol atau minyak tanah.

Pada tahun 1909, lagenda kipas angin global iaitu KDK mula bertapak. Kipas angin secara perlahan-lahan menjadi suatu keperluan manusia. Sebelum ini hanya golongan bangsawan dan hartawan sahaja memilikinya.

Tetapi inovasi semasa yang mengambil kesempatan dengan kejatuhan harga besi keluli telah menyebarkan pengaruh kipas angin ke seluruh dunia.

Kipas angin juga digunakan bagi unit pendingin hawa. Sekitar 1960-an, kaum keluarga di perumahan pangsa Barat berhenti bergantung kepada kipas.

Pengurusan perumahan telah mewajibkan pemasangan pendingin hawa berpusat. Bererti seluruh bangunan telah disejukkan dengan pendingin hawa yang dibiayai setiap isi rumah.

Tetapi inovasi kipas kian berterusan. Pada tahun 1998, William Fairbank dan Walter K. Boyd menciptakan kebolehan tetapan kelajuan. Kelajuan kipas angin selalu memainkan peranan dari segi penggunaan elektrik.

Sehingga hari ini ilham Fairbank-Boyd menjadi semakin berkembang selaras perkembangan teknologi moden. Kipas boleh dikawal melalui alat kawalan jauh malah telefon pintar.

RUJUKAN:

  1. John Steele Gordon (2012) Air Conditioning, Blessed Invention, Wall Street Journal Website. https://www.wsj.com/articles/SB10001424052702303567704577516781107829966
  2. Dr DAVID BOSWELL REID 1805-1863. http://www.hevac-heritage.org/built_environment/pioneers/38-Reid.pdf
  3. History of Fan, The Fan Museum Website.  https://www.thefanmuseum.org.uk/fan-history
Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.

16108