Islam merupakan agama terbesar yang diamalkan di Malaysia. Islam bukan sahaja mengajar penganutnya untuk berdoa dan berteleku di atas sejadah semata-mata. Malah, Islam turut mengajar dan memberi panduan untuk menjalankan setiap aspek dari kehidupan dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar perkara. Ini juga termasuklah dengan politik. Di Malaysia, parti politik yang banyak berjuang untuk memartabatkan Islam ialah Parti Agama Islam Se-Malaysia (PAS).

Parti PAS bukanlah parti yang pertama yang berjuang untuk memartabatkan Islam. Sebaliknya, parti ini menyambung obor perjuangan Parti Hizbul Muslimin yang telah diharamkan ketika darurat dilaksanakan pada 1948. Kemunculan PAS di dalam arena tanah air bermula pada tanggal 23 Ogos 1951. Pada hari itu, para ulama telah bersidang di Kuala Lumpur dan bersetuju untuk menubuhkan sebuah kesatuan yang berteraskan agama Islam yang diberi nama Persatuan Ulama Se Malaya.

Di dalam satu persidangan Ulama di Butterworth, Pulau Pinang pada 24 November 1951. Ianya ditukar nama kepada Parti Islam SeMalaya.  Orang yang bertanggungjawab untuk menubuhkan PAS ialah Haji Ahmad Fuad Hassan. Haji Ahmad Fuad Hassan merupakan bekas ahli Biro Agama UMNO.

Namun, sementelah beliau tewas di tangan Tunku Abdul Rahman semasa pemilihan Yang Di Pertua, beliau meninggalkan parti tersebut dan menubuhkan PAS. Seperkara lagi, beliau juga kurang gemar akan cara Tunku yang lebih gemar mengambil individu yang berpendidikan Inggeris berbanding individu berpendidikan agama.

Haji Ahmad Fuad Hassan menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulama telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulama yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.

Haji Abdullah Fahim juga turut menulis sebuah manifesto yang berjudul Manifesto Al Badawi yang menjadi rujukan untuk penubuhan parti ini. Di bawah pentadbiran Haji Ahmad Fuad dan Dr Haji Abbas Alias, PAS mengemukakan perjuangan untuk kemerdekaan di bawah pentadbiran Islam.

Seperti UMNO, PAS juga menolak kerakyatan secara jus soli yang tidak memberi manfaat kepada orang Melayu. PAS juga memperjuangkan agar Islam dijadikan acuan untuk dijadikan sebuah dasar bagi negara yang merdeka. Selepas Dr Burhanuddin dilantik sebagai Yang Di Pertua PAS ke-3,beliau memperincikan soal kemerdekaan dengan menggabungkan elemen Islam dan Melayu untuk menuntut kemerdekaan.

Pilihan raya Persekutuan 1955 medan pertama PAS di dalam pilihan raya. Di dalam pilihan raya itu, PAS berjaya memenangi satu kerusi daripada 11 kerusi yang dipertandingkan. Kerusi yang berjaya dimenangi oleh PAS itu ialah di kawasan Krian yang diwakili oleh Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein.

Pada Pilihan Raya 1959, PAS menjadi lebih agresif apabila parti itu berjaya menawan negeri Kelantan dan Terengganu masing-masing di bawah kepimpinan Ustaz Ahmad Lotfi Omar dan Mohd Daud Abdul Samad. Namun begitu, pada Oktober 1961, PAS telah kehilangan Terengganu hasil permainan politik kotor oleh pemerintah ketika itu.

Selepas jatuhnya Terengganu ke tangan Parti Perikatan, Parti PAS terus diasak oleh pihak pemerintah ketika itu, Antaranya Dr Burhanuddin ditangkap dan meninggal di penjara dan idea perjuangan PAS dijadikan sebagai kambing hitam di dalam beberapa peristiwa seperti Konfrotasi Malaysia-Indonesia, Rusuhan Kaum Singapura 1964 dan Tragedi 13 Mei 1969. Selepas tragedi 13 Mei, Dr Mohd Asri Muda terus menduduki tampuk kerusi Yang Di Pertua PAS dari 1965  sehingga 1971.

Pada 70-an, PAS memasuki fasa baru apabila menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan UMNO. Pada 1973, Parti campuran PAS-Perikatan telah ditubuhkan dan sama sama mengasaskan Barisan Nasional bagi menggantikan Parti Perikatan. Namun, kerjasama itu tidak kekal lama. Pada 1977, sebuah krisis politik telah berlaku dan PAS telah disingkirkan daripada BN pada masa yang sama mereka juga turut kehilangan Kelantan.

Antara 1978 hingga 198 2,  PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, Pada 1982, PAS mengasaskan kepimpinan tertinggi yang terdiri daripada kalangan ulama.  Tuan Haji Yusof Rawa (bapa Mujahid)  telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan.

Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). PAS juga turut mengusulkan kepada pihak kerajaan untuk melakukan beberapa buah projek seperti penubuhan Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa.

Menjelang 80an, PAS terus mengalami beberapa siri pergolakan. Pada 1984, Debat Terbuka PAS-UMNO telah diadakan.  Setahun kemudian, Peristiwa Mamali yang mengorbankan 14 nyawa tercetus.  Menjelang akhir 80an, Ustaz Fadzil Noor menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Semangat 46. Hasilnya, PAS kembali berjaya menawan Kelantan sejak 1977.

Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Semangat 46 lalu menyebabkan tertubuhnya Angkatan Pemuda Ummah. Ketika tercetusnya Reformasi,  PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999.

Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Namun, pencapaian PAS yang agak lemah dan aura kepimpinan Perdana Menteri baharu pada ketika itu menyebabkan Terengganu dirampas oleh BN.

Pada 2008, PAS bersama-sama Pakatan Rakyat mendapat kejayaan yang cemerlang. Mereka telah menawan Kedah dan Perak lalu mendirikan kerajaan negeri di sana. Kedah terus bertahan hingga 2013 manakala Perak kembali kepada BN pada 2009 setelah isu lompat parti tercetus di negeri itu.

Selepas Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz meninggal dunia pada 14 Februari 2015. PAS mengalami krisis lalu menyebabkan parti serpihan PAS, Parti Amanah Nasional tertubuh.

Pada PRU 2018, walaupun diasak dan difitnah bahawa PAS mendapat dana sebanyak 90 Juta, Parti PAS berjaya mengekalkan Kelantan dan menguasai semula Terengganu sejak kali terakhir pada 2004. Semoga PAS terus istiqamah dalam menegakkan dan menjadikan Islam sebagai perjuangan utama mereka.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Comments are closed.