Sejarah Majlis Raja-Raja Melayu

193

Majlis Raja-Raja Melayu merupakan antara komponen penting dalam sistem pemerintahan negara. Ini kerana majlis ini merupakan penghubung penting antara kerajaan persekutuan dengan negeri-negeri di Malaysia dan sebagai penjaga hak keistimewaan orang Melayu. Dan menerusi majlis ini juga, suara Raja-Raja Melayu terus kekal relevan tanpa mengira masa atau tempat. Justeru, timbul persoalan bila dan bagaimana majlis ini ditubuhkan?

Durbar

Idea penubuhan versi awal Majlis Raja-Raja Melayu atau Durbar ini mula dibangkitkan pada tahun 1896 selepas Britain berjaya menyatukan empat negeri Melayu dalam satu unit pemerintahan yang dipanggil Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB). NNMB terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dan ia dipengerusikan oleh seorang Residen Jeneral. Pada masa sama, wujud perbincangan di mana perlunya satu platform bagi Raja-Raja Melayu bersuara dan membenarkan Britain membincangkan isu-isu yang melanda NNMB ketika itu. Sesi Durbar yang pertama seharusnya berlangsung pada tahun 1896 tetapi ditangguhkan berikutan DYMM Sultan Abdul Samad (Selangor) jatuh gering.

Pada tahun 1897, sesi Durbar pertama diadakan dengan Astana Negara, Kuala Kangsar, Perak diberi penghormatan sebagai tuan rumah berikutan rasa hormat pihak British terhadap DYMM Sultan Idris Murshidul Adzam Shah. Persidangan ini dihadiri oleh Raja-Raja Melayu terdiri daripada Sultan Abdul Samad, Sultan Idris, DYMM Yamtuan Tuanku Muhammad Shah (Negeri Sembilan) dan DYMM Sultan Ahmad Muadzam Shah (Pahang), Residen-Residen, ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan Pesuruhjaya Tinggi British. Residen-residen yang hadir ialah Frank Swettenham (Residen Jeneral), Hugh Clifford (Pahang), J.P Rodger (Selangor) dan W.H Treacher (Perak).

Rajah 1: Sidang Durbar Pertama pada tahun 1897

Sementara wakil Pesuruhjaya Tinggi British ialah Gabenor Negeri-Negeri Selat (NNS) Sir Charles Mitchell. Negeri Sembilan tidak mempunyai residen ketika itu berikutan kematian Martin Lister pada Februari tahun sama. Setiap  Raja-Raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British menerima penghormatan 17 das tembakan senapang dan kawalan terhormat oleh 50 orang anggota ‘Malay States Guides’. Isu-isu penting yang menjadi tumpuan dalam persidangan Durbar ialah berkaitan hal ehwal  pengurusan kewangan, masalah hutang negeri Pahang, penetapan cukai timah dan candu, pembinaan landasan kereta api, pentadbiran tanah, peraturan buruh, hal ehwal pentadbiran Islam yang melibatan pelantikan kadi, pembinaan masjid, pendaftaran perkahwinan dan penceraian. Walaupun mesyuarat tersebut dianggap berjaya, Swettenham melihat mesyuarat ini tidak seharusnya diadakan lebih kerap dan Durbar kedua hanya diadakan enam tahun kemudian.

Pada tahun 1903, Kuala Lumpur pula diberi penghormatan sebagai tuan rumah mesyuarat Durbar yang kedua. Di sini, Raja-Raja Melayu mula menyatakan ketidakpuasan hati mereka secara terbuka. Sultan Idris meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kekurangan pegawai berbangsa Melayu dalam perkhidmatan awam dan mahukan lebih ramai pegawai dilantik dari orang Melayu. Sementara Tuanku Muhammad pula mahukan bahasa rasmi NNMB ialah Bahasa Melayu dan bukan Bahasa Inggeris. Gagasan baginda ini disokong oleh Sultan Idris kerana ia merupakan bahasa pertuturan harian bukan saja rakyat biasa tetapi juga golongan pemerintah.


Rajah 2: Sidang Durbar Kedua pada tahun 1903.

Pada tahun 1909, Britain memperkenalkan Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) hasil buah fikiran bekas penasihat British di Johor dan pengganti Swettenham, John Anderson. Anderson melihat langkah ini dapat melicinkan lagi pentadbiran NNMB tetapi bagi Raja-Raja Melayu, ia dianggap mencabar kedaulatan mereka berikutan status mereka sebagai ahli biasa dalam MMP. Selain itu, mereka juga murka kerana penubuhan MMP tidak mendapat perkenan mereka tetapi ditentukan oleh Raja Edward VII. Tetapi Raja-Raja Melayu dari NNMB dipaksa menandatangani perjanjian yang mengesahkan MMP dan kedudukan mereka dipergunakan sebagai tukang cap setiap dasar dan undang-undang yang mahu diperkenalkan Pejabat Tanah Jajahan di London. Selain itu, situasi Perang Dunia Pertama yang berlaku di Eropah ketika itu turut menyumbang kepada signifikan MMP dan sokongan (lebih kepada paksaan) Raja-Raja Melayu terhadap kempen Britain di sana. Ini mendorong mereka menarik diri dari Durbar sehingga tahun 1927.

Pada tahun 1927, Britain melaksanakan penyusunan semula MMP sekaligus memulakan langkah disentralisasi yang memberi kuasa kembali kepada kerajaan negeri. Ini ditambah jaminan pihak British bahawa kuasa Raja-Raja Melayu terutama dari Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB) bahawa kuasa mereka akan terus terjamin. Melalui penyusunan semula ini, Raja-Raja Melayu dari NNMB berundur dari MMP dan digantikan oleh wakil berbangsa Melayu dari setiap negeri. Ini membuka jalan kepada sidang Durbar yang ketiga di Kuala Kangsar pada tahun 1927.

Pada tahun 1930, sidang Durbar yang keempat diadakan di Singapura dan dianggap bersejarah atas dua sebab. Pertama, sidang ini diadakan di luar NNMB dan kedua, ia dihadiri oleh Raja-Raja Melayu dari NNMTB. Sementara itu, langkah disentralisasi dan reformasi pentadbiran terus digiatkan terutama semasa era Gabenor NNS dan Pesuruhjaya Tinggi British Sir Cecil Clementi. Menerusi sidang Durbar kelima di Sri Menanti pada tahun 1931, beliau berazam mahu melihat Tanah Melayu bersatu dan lebih banyak kuasa dikembalikan semula kepada Raja-Raja Melayu.

Kenyataan Clementi memberi nafas baru terhadap kepentingan Durbar sebagai platform para pemerintah Melayu bersuara dan memberi keyakinan kepada mereka. Tetapi ini juga menjadikan beliau sasaran kebencian golongan birokrat dan peniaga yang kaya-raya sehingga mendorong London memanggilnya pulang pada tahun 1934. Agenda Clementi ini hanya tercapai pada tahun 1935 menerusi perlantikan Sir Shenton Thomas. Durbar diadakan sebanyak dua kali sebelum Perang Dunia Kedua (WWII) meletus iaitu pada tahun 1937 dan Klang, Selangor pada tahun 1939.

Pembentukan Majlis Raja-Raja Melayu

Institusi Dubar di Tanah Melayu mengalami  perubahan pada tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu  dibentuk  menggantikan Malayan Union. Perjanjian Persekutuan 1948 telah memperuntukkan penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu atau dikenali sebagai  ‘Conference of Rulers’. Menerusi perjanjian ini,  Majlis Raja-Raja Melayu ditubuhkan dengan dianggotai raja-raja yang memerintah setiap negeri-negeri Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu. Sekiranya terdapat raja yang tidak dapat hadir dalam mesyuarat Majlis  Raja-Raja Melayu, wakil dari Majlis Diraja Negeri yang terdiri daripada pewaris takhta atau individu yang diberi kuasa oleh raja untuk hadir sebagai wakil perlu hadir dalam persidangan yang ditetapkan. Semasa berangkat ke mesyuarat, Raja-Raja Melayu perlu diiringi oleh penasihat baginda yang berbangsa Melayu. Mesyuarat pertama pasca-WWII ini diadakan pada 18 Februari 1948 dan lebih istimewa apabila Raja George VI mengirim ucapan tahniah terhadap majlis berkenaan. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh DYMM Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Johor) dan dihadiri Pesuruhjaya Tinggi British Sir Edward Gent.

Keutamaan Raja-Raja Melayu dalam Majlis Raja-Raja Melayu berdasarkan tarikh mereka menaiki takhta kerajaan negeri masing-masing kecuali bagi Negeri Sembilan di mana ia mengikut tarikh Yang di-Pertuan Besar dilantik. Persidangan Majlis Raja-Raja Negeri Melayu perlu disertai dengan Mohor Besar Raja-Raja untuk memeterai keputusan persidangan. Terdapat dua jenis Mohor Besar Raja-Raja Melayu iaitu mohor dalam tulisan jawi dan mohor dalam bahawa Inggeris. Cap mohor Raja-Raja Melayu perlu disimpan oleh pegawai Melayu yang dikenali sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu dan cap mohor dalam bahasa Inggeris perlu disimpan oleh pegawai British yang dilantik Raja-Raja Melayu dengan persetujuan Pesuruhjaya Tinggi British.

Majlis Raja-Raja Melayu perlu mengadakan mesyuarat bersama Pesuruhjaya Tinggi British sekurang-kurangnya tiga kali setahun. Sekiranya Pesuruhjaya Tinggi British tidak dapat  hadir,  beliau  boleh mengarahkan mana-mana  pegawai  awam persekutuan atau mana-mana penasihat British untuk menggantikannya. Majlis Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa untuk  menyemak  pindaan ordinan  persekutuan dan mendapatkan draf gazet  kerajaan persekutuan sebelum dibawa ke Majlis Perundangan. Majlis Raja-Raja Melayu juga mempunyai kuasa membincangkan draf skim atau pindaan skim gaji bagi  pegawai  awam  persekutuan  dan  setiap draf perancangan serta pembentukan jabatan atau perkhidmatan kerajaan persekutuan. Sementara Pesuruhjaya Tinggi British pula bertanggungjawab menasihati Majlis Raja-Raja Melayu dalam hal ehwal dasar imigran kerajaan persekutuan.

Dari Februari 1948 hingga Ogos 1957, Majlis Raja-Raja Melayu bermesyuarat sebanyak 50 kali. Antara sumbangan mereka kepada hal ehwal kebajikan orang Melayu ialah Penubuhan Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Majlis Raja-raja (digagaskan pada Sidang Majlis Raja-Raja Melayu pada tahun 1949), mengehadkan kemasukan buruh dari China dan India serta menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi walaupun bukan sebagai bahasa kebangsaan. Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Melaka dan Pulau Pinang turut menjadi ahli Majlis Raja-Raja. Negeri Sabah, Sarawak dan Singapura (1963-1965) menyertai Majlis Raja-Raja selepas Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963. Persidangan Majlis Raja-Raja yang pertama diadakan pasca-kemerdekaan ialah pada 30 dan 31 Oktober 1957. Persidangan tersebut dipengerusikan oleh DYMM Raja Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Perlis). Selepas merdeka, Majlis Raja-Raja telah menjalankan peranannya dengan baik melalui sistem Raja Berperlembagaan. Melalui sistem ini, Raja-Raja Melayu menerusi Majlis Raja-Raja Melayu telah membantu pentadbiran Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Majlis Raja-Raja masih berpengaruh dan mempunyai keistimewaan tertentu dalam pentadbiran negara hari ini. Walaupun wujudnya  Dewan Rakyat dan Dewan  Negara yang berperanan  menggubal dan melaksanakan  undang-undang, wujud  beberapa peruntukan  dalam Perlembagaan yang memberi kuasa kepada majlis berkenaan. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja  hendaklah  ditubuhkan  mengikut  Jadual Kelima.  Kuasa Majlis Raja-Raja turut dinyatakan dalam Perkara 38 (2):

  1. Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Jadual Ketiga.
  2. Mempersetujui atau menolak apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh.
  3. Memperkenan atau tidak memperkenan apa-apa undang-undang dan membuat atau memberikan nasihat mengenai apa-apa perlantikan di bawah Perlembagaan di mana ia dikehendaki diperkenan pihak majlis atau dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan pihak majlis.
  4. Perlantikan anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182.
  5. Memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukuman, menggantung dan mengurangkan hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42.

Majlis Raja-Raja juga boleh bersidang untuk menimbang persoalan-persoalan mengenai dasar negara seperti perubahan dasar imigresen dan apa-apa perkara lain yang difikirkan patut. Majlis Raja-Raja Melayu juga berperanan penting melindungi kepentingan orang Melayu. Selain menjadi ketua agama Islam di setiap negeri, Majlis Raja-Raja juga perlu menjaga kepentingan dan hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang telah termaktub  dalam  Perlembagaan  Persekutuan. Peruntukan tentang hak istimewa orang Melayu dinyatakan dalam Perlembagaan iaitu Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan juga hak kaum yang lain-lain. Perkara 38 (5) juga menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah dirujuk dan dirunding terlebih dahulu  sebelum membuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153. Sementara Perkara 152 pula menyentuh soal kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Pindaan mengenai sempadan negeri turut melibatkan Majlis Raja-Raja kerana ini melibatkan kawasan negeri Raja-Raja Melayu. Undang-undang berkaitan dengan pindaan sempadan negeri digubal oleh Parlimen selain undang-undang yang digubal oleh perundangan negeri berkenaan. Namu begitu, undang-undang  ini  memerlukan  persetujuan  daripada  Majlis  Raja-Raja  terlebih  dahulu  kerana pindaan  sempadan  ini  melibatkan  kawasan  negeri  Raja-Raja  Melayu yang terkesan daripada perubahan ini.  Peruntukan undang-undang  ini dinyatakan  dalam  Perkara 2,  Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Peruntukan Perkara 2 telah  digunakan  sebanyak tiga kali dalam lipatan sejarah Malaysia iaitu penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1973, penyelesaian isu sempadan Kedah-Pulau Pinang dan dan penubuhan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 1984.

Selain  itu,  kepentingan Raja-Raja  Melayu  dan  Majlis  Raja-Raja turut  dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 38 (4)  dalam Perlembagaan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Perkara 63(5) juga menyatakan sebarang cadangan, usaha atau anjuran daripada Parlimen Malaysia untuk memansuhkan institusi raja adalah kesalahan yang bertentangan dengan perlembagaan negara. Jelasnya, sejak zaman Perang Dunia Pertama, institusi Raja-Raja Melayu masih kekal dan dipelihara dalam sistem pentabiran negara. Ini dapat dilihat semasa Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

SUMBER

1. Teh Leam Seng, Alan. (2018). New Straits Times. Conference of Rulers: How it all started. https://www.nst.com.my/lifestyle/sunday-vibes/2018/07/386063/conference-rulers-how-it-all-started

2. Akmal Azmi, Muhammad Aslah, Mokhtar, Mohd Shazwan dan Mansor, Suffian. (2019). Universiti Kebangsaan Malaysia. Sejarah Perkembangan Majlis Raja-Raja Melayu. https://www.researchgate.net/publication/330359860_Sejarah_Perkembangan_Majlis_Raja-Raja_Melayu

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.