Sejarah Mahkamah Syariah Di Malaysia

424

Mahkamah Syariah merupakan salah satu daripada tiga institusi yang terlibat dalam perundangan Islam di Malaysia di mana dua institusi lainnya adalah Majlis Agama Islam dan Mufti. Penubuhan Mahkamah Syariah di Malaysia adalah terkait secara tidak langsung dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu sehinggalah melalui beberapa fasa misalnya fasa penjajahan kolonial British, era selepas merdeka sampai kepada penubuhannya di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Pelbagai spekulasi serta teori kedatangan Islam di Tanah Melayu dengan teori kedatangannya daripada Cina, India dan Arab. Namun begitu, S.Q.Fatimi menyatakan bahawa agak sukar untuk menentukan dengan tepat kedatangan Islam di Tanah Melayu.[1] Tanah Melayu ketika itu telah melalui 3 fasa Islamisasi iaitu permulaan, penyesuaian dan kesinambungan.

Zaman kesinambungan tersebut merujuk kepada zaman Kesultanan Melayu Melaka di mana undang-undang Islam telah diangkat menjadi undang-undang negara bermula dengan usaha mengkanunkan undang-undang tersebut pada zaman Sultan Muhammad Shah (1422-1444) kemudian disempurnakan serta dilaksanakan pada zaman Sultan Muzaffar Shah (1445-1450)[2].

Menurut Dr. Ph.S. Ronkel yang telah menyelenggarakan Teks Hukum Kanun Melaka menyatakan bahawa undang-undang tersebut mempunyai 27 fasal berlainan pula dengan Undang-Undang Melaka dari Muzium British yang mengandungi 44 fasal. Setelah teks ini dikaji, beliau menyimpulkan bahawa Undang-Undang Kanun Melaka pada keseluruhannya adalah berdasarkan kepada Undang-Undang Islam. Namun begitu ia adalah menurut kepada Mazhab Syafie serta diselitkan juga unsur undang-undang adat Melayu.

Oleh kerana sistem perundangan Islam adalah berasaskan konsep keadilan yang bersumberkan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas yang menjadi asas penghakiman Mahkamah Syariah di mana perkara mal seperti perkahwinan, perceraian, pembahagian harta pesaka, harta sepencarian dan jenayah telah diadili dengan menggunakan pendekatan holistik berjaya menarik perhatian masyarakat Melayu kemudian membentuk satu tamadun serta kemakmuran masyarakat[3].

Undang-Undang Melaka tersebut meliputi bidang seperti jenayah, mu’amalah, keluarga, acara, keterangan dan undang-undang pentadbiran. Kemudiannya hukuman kesiksaan terhadap orang yang terbukti melakukan kesalahan dalam bentuk hudud, qisas, diat dan ta’zir.[4] Kemudiannya dirancakkan lagi dengan penubuhan undang-undang di negeri lain tamsilnya Undang-undang 99 Perak (1596), Undang-undang Kedah (837), Undang-undang Pahang (1572-1614) dan Undang-Undang Johor (1789).

Sudah tentulah segala macam Undang-Undang ini tidak dapat dilaksanakan tanpa wujudnya institusi kehakiman sewaktu zaman tersebut seperti Mahkamah Syariah. Jelasnya, proses penghakiman pada zaman sebelum penjajahan barat dilaksanakan di Mahkamah Syariah dengan hak mendengar kes-kes rayuan hanyalah kepada sultan negeri-negeri sahaja.

Zaman penjajahan di Tanah Melayu yang bermula dengan kedatangan Inggeris telah merubah landskap kehakiman Islam di negara ini. Kejayaan mereka menguasai negeri-negeri Melayu bukan sekadar mengeksploitasi kekayaan dan sumber alam sebaliknya membawa masuk sistem perundangan ala barat sehingga akhirnya menyisihkan peranan dan kuasa Mahkamah Syariah.

Meskipun British berjanji untuk tidak campur tangan dalam agama Islam dan adat istiadat Melayu namun hakikatnya mereka mencuri masuk secara tidak rasmi[5] sehingga berjaya mengecilkan peranan Mahkamah Syariah secara tidak langsung. Akibatnya  Undang-Undang Islam hanyalah terpakai dalam hal-hal nikah cerai, perwarisan, hal-hal berhubung kekeluargaan serta hanya beberapa aspek jenayah syariah sebaliknya sebahagian undang-undang yang dipakai di India  telah  diterima  pakai di Tanah Melayu.[6]

Pada zaman itu juga, hukum Islam dan Mahkamah Syariah telah di asingkan, dikurangkan peranannya dan dihadkan bidang kuasanya kepada perkara berbentuk peribadi sahaja. Hal ini kerana pihak Inggeris memfokuskan undang-undang dan prosedur Inggeris ke dalam pentadbiran keadilan menjadikan undang-undang sivil tempatan yang diadaptasi daripada undang-undang sivil Inggeris menguasai semua pentadbiran keadilan negeri. Seksyen 3 dan 5, Enakmen Undang-undang Sivil 1956 memberikan ruang kepada undang-undang Inggeris diterima secara meluas di negara ini[7].

Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Mahkamah Syariah masih lagi berada pada tahap kedudukannya yang sama seperti pada tahun 1948. Mahkamah Syariah telah diturunkan statusnya daripada peringkat kebangsaan kepada peringkat negeri selepas Court Ordinance 1948 dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Mahkamah Rendah 1948[8].

Secara keseluruhannya. Mahkamah Syariah di Malaysia terdiri dari Mahkamah Kadi Besar dan Mahkamah Kadi manakala Mahkamah Jawatankuasa Ulang Bicara mempunyai kuasa mendengar kes-kes rayuan sivil dan jenayah yang telah diputuskan oleh sama ada Mahkamah Kadi dan Mahkamah Kadi Besar.[9]

Raja-raja dan Sultan-sultan negeri masing-masing melantik Mahkamah Kadi Besar dan Mahkamah Kadi kecuali di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak di mana perlantikkannya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. Kedudukan Mahkamah Syariah masih statik seperti pada tahun 1948 dan dalam tempoh sama juga diletakkan di bawah satu organisasi bersama-sama Jabatan Mufti serta Jabatan Agama Islam. Lantas menimbulkan konflik dari sudut pentadbiran dan memberi impak kepada Mahkamah Syariah atas kewibawaannya.

Menjelang sekitar 1980-an barulah satu usaha dijalankan bagi memisahkan Mahkamah Syariah dari Majlis Agama Islam. Pelbagai cadangan-cadangan juga diajukan seperti status dan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk diperbaiki begitu juga dengan kedudukan hakim-hakim Mahkamah Syariah dengan cadangan untuk dipertingkatkan.[10] Maka dengan itu, pada awal tahun 90-an Mahkamah Syariah telah dikemaskini dengan langkah-langkah proaktif diambil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam untuk menyusun semula struktur Mahkamah Syariah. Penyusunanan semula struktur Mahkamah Syariah distrukturkan kepada three-tier hierarchy yang meliputi Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.[11]

Dengan struktur baharu tersebut, beberapa nama bagi jawatan turut diubahsuai. Mahkamah Syariah di semua negeri termasuk Wilayah Persekutan diketuai oleh Ketua Hakim Syar’ie di peringkat rayuan dan dibantu oleh hakim-hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah. Bagi perlantikan hakim-hakim pula seperti Mahkamah Rendah Syariah dibuat melalui proses biasa di bawah skim perkhidmatan awam di atas cawangan Ketua Hakim Syar’ie manakala bagi Hakim-hakim Mahkamah Tinggi pula dilantik oleh Sultan dan raja-raja negeri masing-masing atas nasihat Menteri selepas rundingan dibuat dengan Majlis Agama Islam. Seterusnya, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah pula terdiri daripada seorang pengerusi dan dua hakim lain yang tidak berjawatan hakiki di Mahkamah.[12]

Sehingga kini, bidang kuasa jenayah terikat dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984, yang menghadkan kuasa Mahkamah Syariah.  Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa   Jenayah)  (Pindaan)   1984   menghadkan bidang  kuasa  Mahkamah  Syariah  dalam  menjatuhkan  hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau sebat tidak lebih enam sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman itu.

Ini berpunca daripada Mahkamah Kadi seperti yang disebutkan sebelum ini di mana pada awalnya diberi kuasa terhad namun diperbaiki sedikit demi sedikit sehingga pada tahun 1965 sehinggalah pindaan terakhir pada tahun 1984 yang membawa kepada kuasa menjatuhkan hukuman tersebut.[13]

Akan tetapi satu kajian oleh Siti Zubaidah Ismail mendapati bahawa tren penghukuman di Mahkamah Syariah adalah lebih terpusat kepada pengenaan denda, manakala penjara dan sebatan jarang dijatuhkan.[14]

Secara umumnya, bidang kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia tidaklah berbeza jika hendak dibandingkan ketika zaman sebelum dan semasa kemerdekaan lagi. Walau bagaimanapun, Mahkamah Syariah telah mengalami satu proses perkembangan positif dan aktif di mana aspek status kakitangan, pentadbiran, penaikan taraf mahkamah serta infrastrukturnya melonjak dan dinaik taraf dari masa ke semasa. Perkembangan pantas ini dipacu Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang ditubuhkan dan Masyarakat Islam Malaysia khususnya sangat menghargai serta melihatnya sebagai suatu perkara yang positif.

RUJUKAN:

  1. Ramizah Wan Muhammad. “Sejarah Pentadbiran Kehakiman Islam di Malaysia:Suatu Sorotan,” dalam Kanun: Jurnal Undang-Undang Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Mac 2009.
  2. Ahmad Ibrahim & Mahmud Saedon Awang Othman. Ke arah Islamisasi undang-undang di Malaysia. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, 1988.
  3. Hussin Che Pa, Nasrul Hisyam Nor Muhammad & Suhaimi Mustar, “Bidang Kuasa Eksklusif Mahkamah Syariah Selepas Pindaan Perkara 121(1a) Perlembagaan Persekutuan: Satu Penilaian,” Jurnal Syariah dan Undang-Undang Malaysia 4, (2016).
  4. Abdul Munir Yaacob. “Perlaksanaan Perundangan Islam dI malaysIa: satu Penilaian”. Jurnal Fiqh 6, 2009.
  5. Mohamed Azam Mohamed Adil. “Bidang Kuasa & Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia Pasca Alaf 20: Ke Arah Mana?,” Jurnal Syariah 8, no.2, 2000.
  6. Siti Zubaidah Ismail. “Pemerkasaan Mahkamah Syariah dalam Pengurusan Kes Jenayah Syariah,” Jurnal Hukum 38, 2014.

NOTA KAKI:

[1] Ramizah Wan Muhammad, “Sejarah Pentadbiran Kehakiman Islam di Malaysia:Suatu Sorotan,” dalam Kanun: Jurnal Undang-Undang Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Mac 2009), 1.

[2] Ahmad Ibrahim dan Mahmud Saedon Awang Othman, Ke arah Islamisasi undang-undang di Malaysia (Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, 1988), 32.

[3] Hussin Che Pa, Nasrul Hisyam Nor Muhammad dan Suhaimi Mustar, “Bidang Kuasa Eksklusif Mahkamah Syariah Selepas Pindaan Perkara 121(1a) Perlembagaan Persekutuan: Satu Penilaian,” Jurnal Syariah dan Undang-Undang Malaysia 4, (2016), 2.

[4] Ahmad Ibrahim & Mahmud, Islamisasi Undang-Undang, 219.

[5] Ramizah, “Kehakiman Islam,” 4.

[6] Abdul Munir Yaacob, “Perlaksanaan Perundangan Islam dI malaysIa: satu PenIlaIan,” Jurnal Fiqh 6, (2009), 3.

[7] Husin, Nasrul & Suhaimi, “Mahkamah Syariah,” 3.

[8] Ramizah, “Kehakiman Islam,” 6-7.

[9] Mohamed Azam Mohamed Adil, “ Bidang Kuasa & Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia Pasca Alaf 20: Ke Arah Mana?,” Jurnal Syariah 8, no.2 (2000), 106.

[10] Ramizah, “Kehakiman Islam,” 8.

[11] Ibid.

[12] Ibid.

[13] Siti Zubaidah Ismail, “Pemerkasaan Mahkamah Syariah dalam Pengurusan Kes Jenayah Syariah,” Jurnal Hukum 38, Bhg. 1 (2014), 18.

[14] Ibid.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.