Anda mengenali lagu ini jika anda peminat
pasukan bolasepak yang baru sahaja menjuarai kejuaraan Eropah, iaitu pasukan
Liverpool FC. Pun begitu, lagu ini mempunyai sejarah yang panjang, terutamanya
dalam seni teater Broadway.
Lagu ini merupakan salah satu lagu dalam
teater Broadway yang berjudul Carousel, yang ditulis oleh Oscar Hammerstein II
dan Richard Rodgers, pada tahun 1945. Drama Carousel ini diadaptasi daripada
skrip teater Liliom, karya Ferenc Molnar, iaitu penggiat seni teater di
Austria-Hungary pada tahun 1909.
Drama ini mengisahkan Andreas Zavocky yang
dikenali sebagai Liliom (dalam Bahasa Hungary bermaksud budak jahat) yang
bercinta dengan penjaga karosel (kuda pusing dalam sarkis) bernama Julie
Zeller. Dalam drama yang berlatarbelakangkan Great Depression dan kesukaran
hidup, menceritakan bagaimana Liliom yang terlibat dengan kegiatan jenayah
untuk meneruskan hidup, dan mahu meninggalkan Julie, namun terpaksa bertahan
apabila mengetahui Julie mengandung.
Liliom kemudiannya mendapat idea untuk
meninggalkan kekasihnya, iaitu merompak dan menikam diri sendiri. Dan kemudian
Liliom melihat penderitaan Julie, dan rohnya terseksa melihat pengorbanan
kekasihnya membesarkan anaknya.
Persembahan teater ini mendapat tempat
ramai orang, terutamanya mereka yang bercinta atau berkahwin dengan tentera
yang kini sedang dalam perbatasan dalam Perang Dunia Kedua, dan lagu You’ll
Never Walk Alone menjadi popular di Amerika.
Kemudian pada tahun 1963, lagu ini
dinyanyikan semula oleh kumpulan popular dari Merseyside sebelum The Beatles
menempa nama, iaitu Gerry and The Pacemakers. Gerry and The Pacemakers,
merupakan kumpulan irama Merseybeat (yang sealiran dengan The Beatles sebelum
popular), menyanyikan lagu ini dan mendapat tempat di hati pengurus pasukan
Liverpool ketika itu, Bill Shankly.
Bill Shankly merasakan lagu itu mempunyai
semangat bersatu-padu dan menyatukan seluruh peminat bolasepak Liverpool,
memilih lagu tersebut sebagai lagu tema Liverpool dan lagu itu dimainkan di
Anfield kali pertama pada tahun 1963.
Penyanyi kumpulan tersebut Gerry Marsden
juga merupakan peminat pasukan Liverpool teruja dengan permintaan Bill Shankly,
dan ia dimainkan di Wembley pada tahun 1965 ketika Liverpool menewaskan Leeds
United 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA.
Semenjak itu, lagu You’ll Never Walk Alone
versi Gerry and The Pacemakers dimainkan di Anfield setiap kali bermulanya
perlawanan di situ.
Oleh kerana populariti pasukan Liverpool,
pasukan lain seperti Celtic juga menggunakan lagu tersebut dalam kejohanan Cup
Winners Cup pada tahun 1966, sebelum menjadi juara Eropah pada tahun 1967.
Lagu ini juga digunakan oleh Borussia
Dortmund di Jerman selepas tahun 1966, FC Twente, Feyenoord, dan SC Cambuur di
Belanda, sebelum St Pauli di Jerman juga menggunakan lagu ini pada 1970an.
Lagu ini juga digunakan oleh FSV Mainz 05, kelab di mana Jurgen Klopp, jurulatih Liverpool bermain dan pernah menjadi pengurus di situ (sekarang faham kenapa Klopp pilih Liverpool).
Selain itu, pasukan lain seperti FC Tokyo,
Bali United, PAOK di Greece dan banyak lagi pasukan bolasepak menggunakan lagu
ini sebagai anthem pasukan mereka.
Lagu ini juga pernah dicover oleh kumpulan
punk rock Britain, The Adicts, Johnny Cash, Elvis Presley, Perry Como, penyanyi
jazz dan soul terkemuka Ray Charles, Olivia Newton John, Pink Floyd (menerusi
lagu Fearless dalam album Meddle pada tahun 1971), The Lettermen dan Nina
Simone.
Lagu yang ditulis untuk pementasan teater
Broadway, yang melalui zaman perang dunia, hari ini menjadi popular dalam pop
culture terutamanya dalam bolasepak.




No comments yet