Dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, keadaan di kawasan Laut China Selatan (LCS) yang bersaiz 3.5 juta km² kembali tegang.

Menurut peta dunia yang difokuskan ke kawasan LCS, jelas kelihatan LCS di kongsi oleh negara Malaysia, Filipina, Vietnam, Brunei, Taiwan dan juga China. Hal ini bertentangan dengan tindakan provokasi China yang menuntut hampir 90% kawasan LCS.

Menurut undang-undang laut antarabangsa yang dikenali sebagai ‘United Nation Convention on the Law of the Sea’ (UNCLOS), setiap negara yang memiliki sempadan maritim diberikan hak ekslusif perairan atau ‘Exclusive Economic Zones (EEZs) berjarak 370km (200 batu nautika) dari pantai negara masing-masing.

Melalui perundangan ini, kesemua hasil mahsul bumi yang berada di sepanjang kawasan EEZ dimiliki oleh negara-negara berdaulat. Sebagai contoh, kawasan EEZ milik Malaysia di kawasan pantai timur Kelantan dan Terengganu serta kawasan perairan Sabah dan Sarawak memiliki hasil bumi berharga seperti minyak mentah, gas asli dan juga perikanan.

Menurut data dari Energy Information Agency (EIA) milik Amerika Syarikat, wilayah LCS memiliki kakayaan hasil bumi sebanyak 190 Trilion cubic feet Gas Asli dan 11 Bilion tong (barrel) minyak mentah termasuk kekayaan ‘Rare Earth Metal’ (REM), menempatkan ⅓ hidupan biodiversiti marin di dunia, dan juga mengandungi 10% sumber perikanan laut dunia.

Jika diimbau kembali sejarah berkaitan LCS, negara China telah pun membuat tuntutan ke atas 90% kawasan LCS sejak dari tahun 1947 lagi selepas berakhirnya P3rang Dunia Kedua (WW2). Kebanyakan pulau di LCS telah dikuasai oleh Jepun sejak era WW2.

Pada waktu itu, kerajaan China ditadbir oleh Parti Kuomintang. Tuntutan Kuomintang China ke atas wilayah LCS di kenali sebagai ’11-dash line’. Walaubagaimanapun, kerajaan China bertukar pimpinan kepada Parti Komunis setelah tamatnya p3rang saudara China pada tahun 1949.

Oleh hal yang demikian, kerajaan Komunis China telah mengubah tuntutan ’11-dash line’ kepada ‘9-dash line’ bagi menghormati komrad komunis mereka yang mentadbir kawasan utara Vietnam pada awal tahun 1952.

Menjelang tahun 1974, China mula bertindak agresif dengan menawan kepulauan Paracel setelah mereka bertempur dengan kerajaan Vietnam Selatan. Pertempuran tersebut dikenali sebagai ‘The Battle of the Paracel Island’.

China sekali lagi menimbulkan ketegangan di wilayah LCS dengan menggerakkan aset ketenteraan milik mereka ke kepulauan Spratly bagi menekan pihak Vietnam pada tahun 1988. Seterusnya pada tahun 1995, China melakukan pencerobohan ke wilayah EEZ milik Filipina iaitu kawasan Mischief Reef yang berada pada jarak 250km dari Kepulauan Palawan.

Memasuki tahun 2002, ASEAN dan China telah menandatangani deklarasi berkaitan wilayah LCS yang dikenali sebagai ‘Declaration on Conduct for the South China Sea’ (DOC) pada bulan November 2002. Deklarasi tersebut telah diutarakan sejak tahun 1992 lagi, direncanakan demi menjamin keamanan dan kestabilan di rantau asia tanpa melibatkan aktiviti ketenteraan.

Walaubagaimanapun, suasana di LCS kembali tegang pada tahun 2009 setelah tuntutan yang dibawa oleh Malaysia dan Vietnam ditentang China.

China membuat ‘counter attack’ dengan menghantar tuntutan balas kepada Setiausaha Agung PBB melalui peta berserta dengan ‘9-dash line’. Kebiadaban China yang jelas tidak menghormati UNCLOS telah mengundang kritikan di peringkat global.

Setelah itu, hubungan diplomatik antara Filipina dan China mula menegang kembali setelah China terus menerus menceroboh wilayah EEZ milik Filipina yang bermula pada tahun 2012. Pada awalnya, Tentera Laut Filipina berjaya mengesan pencerobohan 8 buah kapal nelayan China memasuki kawasan perairan Scarborough Shoal pada 8 April 2012.

Pencerobohan tersebut hampir menyebabkan pertempuran di antara Tentera Laut Filipina dan Pengawal Pantai China setelah China bertindak untuk menempatkan aset maritim mereka bagi mempertahankan aktiviti pencerobohan nelayan China.

Insiden terbabit dibawa ke Tribunal Antarabangsa, yang mana Filipina memulakan prosiding ke atas China di bawah Artikel 286 dan 287 yang termaktub di dalam perundangan laut antarabangsa (LOSC) pada Januari 2013.

Tribunal tersebut berakhir pada 12 Julai 2016 yang membawa kepada ketetapan ‘Permanent Court of Arbitration (PCA) yang mana keputusan Tribunal memihak kepada Filipina.

Sungguhpun begitu, China tetap angkuh dengan mengenepikan keputusan Tribunal tersebut. Kemudiannya, ASEAN dan China cuba untuk menstabilkan kembali hubungan diplomatik dengan mengadakan ‘Code of Conduct’ (COC) ke atas wilayah LCS pada penghujung tahun 2016. Ramai penganalisis melihat COC sebagai satu perjanjian yang tidak ‘competent’.

Pada bulan Julai 2019, Jabatan Audit Negara telah mengeluarkan laporan berkaitan pencerobohan Tentera Laut China dan Pengawal Pantai China ke atas wilayah EEZ milik Malaysia. Menurut laporan, pencerobohan tersebut berlaku sebanyak 89 kali di antara tahun 2016 hingga 2019.

Hal ini jelas memperlihatkan China sebagai negara kuasa besar sengaja ‘membuli’ negara-negara ASEAN seperti Malaysia, Filipina, Brunei dan Vietnam. Sebagai sebuah negara kecil, sudah tentu kita tidak mampu melawan pengaruh China secara bersendirian.
Maka, dalam keterpaksaan kita terpaksa minta ‘jasa baik’ Amerika Syarikat (AS) untuk mengimbangi pengaruh China di LCS.

Menurut laporan dari nippon.com, AS melalui Angkatan Laut telah menggerakkan dua buah kapal pengangkut pesawat (navy aircraft carrier) dan empat buah kapal p3rang (w4rship) menuju ke wilayah LCS pada 4 Julai 2020. Manakala, China melalui People Liberation Army Navy (PLAN) turut menggerakkan aset ketenteraan mereka.

Keberadaan aset ketenteraan AS di wilayah LCS mungkin mampu mengendurkan sedikit tekanan China ke atas negara-negara ASEAN, namun ketegangan hubungan diplomatik antara AS dan China pimpinan Donald Trump seakan mengundang bala bencana yang jauh lebih dahsyat.

Semua orang sedia maklum bahawa AS dan China memiliki kuasa ketenteraan yang terkuat di dunia, dan diburukkan lagi dengan pemilikan senjata nuklear. Kita tidak mahu jadi gelanggang pertempuran di antara dua hegemoni dunia, bak kata bekas Menteri Pertahanan Malaysia iaitu YB Mat Sabu yang berbunyi ‘when elephant fight, the grass will suffer’.

Diharapkan agar pucuk pimpinan negara mampu menangani isu ketegangan di Laut China Selatan dengan penuh bijaksana dan berhati-hati. Negara-negara ASEAN perlu bersatu dalam mempertahankan hak kedaulatan semua di LCS.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sekadar penulis amatur.

Comments are closed.