Bagi yang pernah menonton filem Pulang arahan Kabir Bhatia yang menampilkan Remy Ishak dan Puteri Aishah selaku teraju utamanya, pasti sedia maklum ia merupakan kisah seorang lelaki yang meninggalkan kehidupan lamanya untuk bekerja di atas kapal dagang dan mengembara ke seluruh dunia. Sementara si isteri menunggu dengan penuh setia selama 61 tahun. Sementara anda mengesat air mata menonton filem itu, Pulang juga sebenarnya membuka jendela terhadap pekerjaan yang dilakukan pelaut-pelaut Melayu bila berada di tanah orang pada akhir dekad 40-an dan 50-an.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, bagi sesetengah pelaut Melayu, satu-satunya peluang untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik ialah dengan menjadi kelasi dan menyertai kapal-kapal dagang yang datang dari pelbagai negara termasuk dari Britain. Ketika itu, Singapura merupakan hub perhubungan dan perdagangan serta merupakan tumpuan utama laluan perairan antarabangsa.

Dan Singapura juga merupakan markas utama wilayah Syarikat Perkapalan Stim Ocean yang terletak di Liverpool ketika itu. Berikutan upah mereka yang murah, mereka ini jadi buruan syarikat-syarikat perkapalan. Tetapi bagi penduduk yang lahir di Negeri-Negeri Selat di mana ketika itu masih di bawah jajahan British dan mudah menetap di sana, mereka ini diberi gaji lebih dalam bidang sama.

Dari tahun 1940-an hingga 1960-an, pelaut-pelaut Melayu ini kemudiannya menetap di pelabuhan-pelabuhan utama Britain dan Amerika Syarikat ketika itu seperti London, Cardiff dan New York. Sementara di Liverpool pula, pelaut-pelaut ini memilih menetap di kawasan dok selatan bandar pelabuhan itu, ada sesetengah daripada mereka berkahwin dengan penduduk tempatan dan membina keluarga.

Ada juga yang menjadikan rumah mereka sebagai tempat penginapan bagi pelaut-pelaut Melayu yang singgah di Liverpool. Suasana ini tidak asing bagi mereka kerana ramai yang bekerja di pelabuhan Liverpool ketika itu dan mereka sentiasa mencari rakan-rakan yang berasal dari rumpun Nusantara. Jika ada yang tersesat hingga ke Seamen’s Mission di Canning Place, mereka akan ditunjukkan jalan menuju ke kawasan petempatan Melayu Liverpool seperti Huskisson Street.

Salah seorang yang pernah mengalaminya ialah Mohamed Nor Hamid atau Mat Nor. Anak kelahiran Tanjung Keling, Melaka ini tiba di Liverpool pada tahun 1952 dengan kapal Cingalese Prince. Tidak lama selepas tiba, dia dapat mencari rumah bapa saudaranya iaitu Youp bin Baba (Ben Youp) dengan bantuan pelaut-pelaut Melayu lain.

Youp ketika itu sudah berkahwin dengan seorang wanita tempatan dan menetap di 144 Upper Huskisson Street. Tetapi bila Mat Nor tiba, bapa saudaranya tiada kerana sedang bekerja di atas kapal dan bilik tamu rumahnya didiami oleh pelaut Melayu yang singgah di Liverpool. Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana jiran bapa saudaranya iaitu Nemit bin Ayem bersedia menyediakan tempat penginapan untuknya.

Bila mengimbas tahun-tahun tersebut, Mat Nor berkata, “Kami terlupa tentang kehidupan di Singapura. Kebanyakan orang Melayu yang menetap di Liverpool kekal kerana kehidupannya senang di sini dan mudah untuk mendapat kerja. Anda boleh dapatkan kapal yang anda mahu bila-bila masa.

Mereka akan hantar telegram ke rumah untuk anda lihat kadangkala tiga hingga empat telegram dalam sehari.” Telegram sebegini menjemput pelaut-pelaut untuk datang bekerja di kapal dengan syarat lulus ujian kesihatan. Dan dengan tuntutan kerja sebagai pelaut yang tinggi ketika itu, ini turut menarik minat orang Melayu yang bukan berasal dari jajahan British untuk mencuba nasib.

Tetapi bila sudah berada di negeri orang, sudah pasti mereka ini mahu bercampur di satu tempat di mana mereka merasa selesa. Perkara itu tidak berlaku sehinggalah kemunculan Johan Awang, seorang bekas pelaut Melayu yang tiba di Liverpool dari New York selepas WWII.

Dia membuka sebuah kelab sosial bagi pelaut-pelaut Melayu berkumpul dan bersosial di St James Road yang dikenali sebagai The Malay Club. The Malay Club terletak di tingkat pertama sebuah rumah yang berhadapan dengan Kathedral Anglican Liverpool dan dibuka pada pertengahan tahun 1950-an. Kelab ini mempunyai katil-katil dua tingkat untuk pelaut Melayu tidur, bilik sembahyang di tingkat dua, ruang belakang yang besar dan bilik permainan termasuk permainan dart.

Bagi yang merindui masakan Melayu, masakan sebegini dianggap pelepas rindu kepada kampung halaman dan disediakan pada hari-hari bersifat keramaian seperti sambutan Aidilfitri dan Aidiladha. Pada hujung minggu, para pelaut turut membawa keluarga mereka berkunjung ke kelab bukan saja untuk bertemu tetapi juga merasa selesa dalam persekitaran mereka.

Pada tahun 1960-an, lokasi The Malay Club perlu diubah berikutan jalan-jalan dari arah barat daya kathedral sudah ditanda untuk tujuan pembangunan pasca-perang. Bagi memindahkan The Malay Club, sekumpulan pelaut Melayu mengumpul dana untuk membeli sebuah rumah di No. 7 Jermyn Street sebagai lokasi baru The Malay Club.

Lokasi ini tidak jauh dari Granby Street yang kini dikenali sebagai Liverpool No. 8. Rumah tersebut dibeli dengan harga 1,500 paun sterling dengan dua individu memegang peranan sebagai pemegang amanah hartanah iaitu Abdul Salem dan Bahazin bin Kassim. Bahazin merupakan presiden pertama kelab di lokasi baru ini dan turut memainkan peranan sebagai tukang masak.

Lokasi baru di Jermyn Street ini turut menempatkan semua kemudahan sedia ada di lokasi lama termasuk bilik sembahyang. Tetapi tidak seperti Johan, Bahazin tidaklah terlalu tegas dalam menentukan apa jenis aktiviti yang boleh dilakukan di kelab. Makanan turut dihidangkan semasa bulan Ramadan dan bila ditanya tentang itu, dia melihat itu antara Tuhan dengan pengunjung untuk mengambil makanan atau tidak.

Dengan Bahazin turut menginap di No. 5 Jermyn Street, ia menjadi tumpuan komuniti Melayu di situ bukan saja untuk berinteraksi tetapi menikmati makanan dari kampung halaman. Kelab ini turut mempunyai seekor burung kakak tua yang dipelihara dan diajar bercakap dalam Bahasa Melayu termasuk perkataan-perkataan kasar.

Tetapi menjelang tahun 70-an, Liverpool bukan lagi pelabuhan yang menjadi tumpuan kapal-kapal dagang. Berikutan sektor perindustrian berpindah ke sebelah utara berikutan kos buruh yang lebih murah, dekad ini juga turut menyaksikan kemerosotan Liverpool dan bilangan pelaut Melayu yang boleh mengekalkan bilangan komuniti Melayu di situ.

Tatkala semua ini berlaku, kemajuan pesat sedang berlaku di Malaysia di mana ratusan anak muda Melayu dihantar ke England untuk melanjutkan pelajaran. Bilangan mereka ini walaupun tidaklah seramai pelaut-pelaut Melayu dari dekad sebelumnya tetapi sudah cukup memberi nafas baru kepada The Malay Club.

Bagi bekas alumni Universiti Liverpool, Abdul Rahim Daud yang pernah menuntut di situ pada tahun 1970, kunjungan ke The Malay Club membantu mengurangkan rasa rindu teramat terhadap kampung halaman. Tetapi pada masa sama, wujud kekesalan dalam kalangan komuniti Melayu Liverpool kerana menyangka kehidupan metropolitan di Britain jauh lebih baik tetapi menyaksikan kemerosotan ekonomi Liverpool tatkala negara asal menikmati pembangunan pesat.

Dengan peluang kerja yang semakin berkurangan di dok dan ada antara mereka terpaksa bergantung kepada bayaran perkhidmatan keselamatan sosial. Ini saja sudah cukup sebagai tanda untuk anggota komuniti Melayu ini berhijrah ke tempat lain atau kembali ke kampung halaman. Bagi Mat Nor, selepas diberhentikan dari Gladstone Dock pada tahun 1979, dia menggunakan wang pampasan yang diterima untuk membawa pulang keluarganya ke Malaysia.

Menjelang akhir 1980-an, The Malay Club dikenali sebagai Persatuan Malaysia-Singapura sebelum sekali lagi ditukar kepada Persatuan Komuniti Malaysia Singapura Merseyside (MSA) pada tahun 1990-an dengan Mat Nor sebagai pengerusi. The Malay Club terus wujud sehinggalah ia ditutup pada tahun 2008, sekaligus menutup satu babak menarik membabitkan komuniti Melayu di Liverpool.

RUJUKAN:

1. Zaccheus, Melody. (2018). Stories ahoy: Seamen and a Malay club in Liverpool. Straits Times. https://www.straitstimes.com/singapore/stories-ahoy-seamen-and-a-malay-club-in-liverpool

2. Bunnell, Tim. (2018). Malay Seafarers in Liverpool. Biblioasia. National Library Board. http://www.nlb.gov.sg/biblioasia/2018/07/05/malay-seafarers-in-liverpool/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.