Sejarah Kewujudan Pembantu Perubatan Di Malaysia

469
views

Sempena Hari Pembantu Perubatan yang disambut pada 10 Mac setiap tahun, mari kita imbau sejarah kewujudan mereka dan apa fungsi mereka dalam masyarakat.

Hingga hari ini, saya yakin masih ramai yang terkeliru antara Doktor, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat. Saya juga tidak terkejut jika ada dari kalangan anda yang mengadu tidak diberikan MC setelah diperiksa di klinik. Ya, PPP boleh memeriksa, membuat diagnosis dan memberi ubat, tapi tidak boleh memberi MC. Kuasa memberi MC oleh PPP di Semenanjung dihadkan pada hingga tahun 2009. PPP perlu merujuk kepada doktor sekiranya anda memerlukan MC.

Saya sendiri pernah beberapa kali dimarahi pesakit yang berang tidak diberikan MC. Apabila saya jelaskan yang saya bukan doktor, dia mempertikai pula kenapa saya layak memeriksa dan membuat diagnosis kepadanya. Jika ada masa, saya akan terangkan. Jika jumlah pesakit yang menunggu di luar ramai, saya akan biarkan sahaja.

Mari kita lihat sejarah kewujudan PPP ini. Pada 1786, ia mula diperkenalkan di Pulau Pinang dan dikenali dengan nama Dresser. Dresser merujuk kepada tukang balut luka atau pencuci luka. Kemudian, pada 1823 ia sudah mula wujud di negeri-negeri selat. Hingga 1936, nama Dresser diubah kepada Pembantu Rumah Sakit.

Kewujudan Pembantu Rumah Sakit dalam tempoh masa ini amat membantu masyarakat terutamanya yang berada di kawasan pedalaman. Kekurangan doktor di Tanah Melayu pada ketika itu memaksa Pembantu Rumah Sakit menggantikan tugas-tugas doktor terutamanya merawat penyakit ringan, membuat prosedur pembedahan kecil dan lain-lain tugas di lapangan.

Mereka diberikan latihan dan kursus yang sama seperti doktor, tapi tempoh belajar dipendekkan dan difokuskan kepada beberapa subjek penting sahaja. Fokus kepada penyakit-penyakit yang sedang menular pada zaman itu. Khidmat mereka diperlukan segera, faktor kewangan dan masa yang terhad menyebabkan doktor tidak menjadi pilihan utama pada ketika itu.

Kemudian apabila Tanah Melayu merdeka, mereka sekali lagi ditukarkan nama dari Pembantu Rumah Sakit kepada Pembantu Hospital atau Hospital Assistant (HA). Kebanyakkan rakyat Malaysia yang berumur 50-an pada hari ini pasti cukup kenal dengan nama HA ini. Di klinik-klinik, mereka bertugas pelbagai bidang.

Mereka boleh memeriksa pesakit, membuat diagnosis, memberi ubat, membuat prosedur jahitan luka dan memasang simen. Jika ada kemalangan atau kes panggilan ambulan, mereka juga yang akan menerpa ke tempat kejadian. Membuat CPR dalam ambulan yang bergerak laju dan menstabilkan pesakit dalam keadaan sekeliling yang cukup mencabar.

Mujurlah jumlah kakitangan KKM kini sudah semakin bertambah. Jika anda bertanya pada staf-staf KKM yang senior, di klinik-klinik pada tahun 80an, peranan HA juga termasuk mengendalikan ubat, membuat pemeriksaan spesimen di makmal, menjaga kualiti air setempat dan lain-lain.

Pada 1986, nama Pembantu Hospital (HA) sekali lagi diubah kepada Pembantu Perubatan (MA) dan dinaiktaraf kepada Diploma. Akta Pembantu Perubatan jugak diperkenalkan bagi menjamin praktis MA dari sudut undang-undang.

Hari ini, ia dikenali dengan nama Penolong Pegawai Perubatan. Sebelum tahun 2009, semua PPP adalah lelaki. PPP wanita pertama yang melapor diri di kementerian adalah dari Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST) yang pernah menjadi kolej sains kesihatan terbesar di Pantai Timur satu ketika dahulu. Kemudian barulah kolej KKM mula mengambil pelatih wanita, hingga ke hari ini.

Di hospital anda akan temui mereka di Jabatan Kecemasan Dan Trauma, di klinik-klinik pakar seperti membuat Jabatan Kardologi, dewan bedah, bilik mayat dan paling popular, Jabatan Ortopedik. Anda tak jumpa PPP yang berkerja di dalam wad. Untuk kes-kes tertentu, mungkin ada namun sangat jarang.

Jika di klinik, anda akan temui mereka di Klinik 1 Malaysia dan klinik-klinik kesihatan. Hampir semua Klinik 1 Malaysia tidak mempunyai doktor. Cuma ada PPP yang akan anda temui.

PPP sangat sinonim dengan :

1 – Handsome
2 – Menjahit luka
3 – Memasang simen
4 – Berkhatan
5 – Membuat echo scan
– Jabatan Kardiologi
– Jabatan O&G
6 – Ambulance Call
7 – Post mortem mayat
8 – Offshore

Di Malaysia, jumlah PPP jauh lebih sikit berbanding doktor. Jika di USA, terdapat satu jawatan yang mirip dengan PPP di Malaysia. Di USA mereka digelar Physician Assistant (PA). Fungsi PPP di Malaysia adalah memberi perkhidmatan penjagaan kuratif, promotif, preventif dan rehabilitatif.

Ramai PPP yang sudah mula menyambung pelajaran ke dalam bidang lain. Ada juga yang menjadi doktor perubatan, pegawai sains, pensyarah kolej KKM dan lain-lain. Ada juga yang sudah bergelar doktor falsafah dan menyertai bidang pengurusan kesihatan.

Saya mendoakan agar semua PPP terus tabah, cemerlang dan konsisten memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk komuniti. Tidak dinafikan setiap masa ada sahaja masalah dan dugaan yang menimpa. Namun ingatlah, kita perlu ikhlaskan diri, terus komited berbakti kerana kita yang pilih jalan ini.