Sejarah Kesihatan Ibu Bersalin Di Malaysia

361

Dalam keadaan wujudnya segelintir masyarakat di Malaysia masa kini yang menolak untuk bersalin di hospital, mereka pasti terkejut mengetahui bahawa masyarakat di masa dahulu telah melakukan perubahan yang besar dalam pemikiran mereka yang akhirnya menyebabkan penurunan kadar kematian ibu dan bayi ketika bersalin secara drastiknya.

Keterbukaan masyarakat zaman dahulu yang sering dimomokkan dengan keadaan mereka yang suka pada perkara kurafat, pasti tidak dapat menghadam maklumat yang akan dibuka ini. Penurunan kematian ibu dan anak ini menunjukkan usaha sama di antara pihak kerajaan, pihak perubatan dan juga rakyat jelata yang begitu erat dan mapan demi kebaikan yang lebih menyeluruh berbanding bertegang urat menegakkan benang yang basah.

Terdapat dua langkah besar yang Malaysia telah lakukan sebagai sebuah negara. Pertama, Malaysia telah menyertai pelan Safe Motherhood Initiative (SMI) yang telah dilancarkan ketika berlangsungnya Safe Motherhood Conference di Nairobi, Kenya.

Namun begitu, walaupun inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan kematian ibu bersalin, Malaysia mendapati inisiatif ini tidak berjaya mengurangkan kadar kematian ibu bersalin. Lalu pada tahun 1991, Malaysia telah memperkenalkan Confidential Enquiry into Maternal Death (CEMD) yang merupakan langkah penting buat kesihatan ibu dan anak di Malaysia.

Penurunan kematian ibu dan anak ketika bersalin di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama ialah pada tahun 1933 hingga 1957. Fasa kedua pula pada tahun 1958 hingga 1975. Fasa ketiga pula ialah dari tahun 1978 hingga sekarang.

Fasa Pertama : Fasa Kolonial

Fasa ini berlangsung ketika penjajahan kuasa Inggeris di Malaya. Saat ini, kematian ibu bersalin masih tinggi dan merupakan masalah utama kesihatan ketika itu. Namun begitu, iltizam dan pertanggungjawaban yang tinggi pada pihak kerajaan dan orang awam telah membawa kepada penubuhan Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak dan tertegaknya Ordinan Bidan pada tahun 1954.

Keutuhan iltizam pihak-pihak di atas menyaksikan, sehingga tahun 1957, terbinanya 66 buah hospital di mana terdiri daripada 10 buah hospital besar dan 56 buah hospital daerah walaupun belum wujud lagi Jagaan Kesihatan Primer (Primary Health Care).

Fasa Kedua : Awal Kemerdekaan hingga 1975

Perangkaan dan perancangan yang dilakukan oleh Malaysia telah menyaksikan penurunan drastik kematian ibu bersalin sebanyak 78% dan penurunan ini sangat memberansangkan buat negara dunia ketiga. Penurunan ini disebabkan kerajaan telah memperkenalkan program Kesihatan Ibu dan Anak di setiap pusat kesihatan dan klinik bidan di mana semua ini telah dikumpulkan kepada tiga kumpulan iaitu pusat kesihatan primer, hospital daerah tanpa khidmat pakar sebagai pusat kesihatan sekunder, dan hospital awam dan hospital universiti yang dilengkapi khidmat pakar sebagai pusat kesihatan tertier.

Penumpuan pihak kerajaan di dalam pembangunan infrastruktur di kawasan pedalaman telah dipertingkatkan. Ini disebabkan ketika itu, sebanyak 75% daripada jumlah penduduk berada di pedalaman adalah mereka bertaraf miskin luar bandar. Tujuan penaiktarafan ini adalah bagi menggalakkan perkhidmatan kesihatan yang optimal.

Contoh perkhidmatan luar bandar yang diperkenalkan adalah perkhidmatan doktor udara di Sabah dan Sarawak manakala Skuad Terbang Obstetrik (OFS) di Semenanjung Malaysia. OFS turut juga dijalankan di bandar di mana ia diperkenalkan di Seremban bagi memenuhi keperluan pemindahan kes-kes swasta ke hospital kerajaan.

OFS terdiri daripada seorang pakar obstetrik, pakar bius, bidan, dan pegawai perubatan yang lain. Tujuan OFS ini adalah untuk merawat ibu-ibu yang mengalami komplikasi besar seperti tumpah darah (post-partum haemorrhage atau pelahiran tersekat (obstructed labour).

Fasa Ketiga : 1976 hingga kini

Fasa ini menunjukkan penglibatan yang lebih agresif oleh pihak kerajaan dan kementerian kesihatan. Ini termasuklah pelancaran CEMD yang amat penting dalam menstruktur kaedah-kaedah menangani kesihatan ibu dan anak ini. Pertamanya Sistem Pendekatan Risiko Tinggi ketika penjagaan antenatal telah diperkenalkan. Sistem ini telah menyebabkan penurunan tambahan sebanyak 50% kadar kematian ibu bersalin.

Kedua, pihak kesihatan telah memperkenalkan sistem kod warna yang akan menentukan kandungan yang mempunyai risiko yang lebih tinggi daripada kebiasaan. Warna yang digunakan adalah warna merah, kuning, hijau dan putih. Bagi warna merah, ia menandakan keadaan yang mengugat nyawa dan pesakit memerlukan rujukan segera ke hospital berdekatan dan kemasukan itu tidak boleh dihalang.

Kuning pula menandakan pesakit yang memerlukan pemantauan antenatal oleh seorang doktor. Pesakit kod hijau memerlukan pemantauan oleh ketua jururawat manakala pesakit kod putih akan dijaga oleh jururawat desa atau bidan.

Selain itu kerajaan telah memperkukuhkan sistem rujukan di mana ibu yang berisiko tinggi akan terus dirujuk ke penjagaan peringkat tinggi. Malah kerajaan turut menyediakan kad penilaian ibu mengandung di rumah yang dimulakan pada era 80-an. Kad ini akan menjadi satu-satunya dokumen yang merekod kesihatan ibu mengandung dan kad ini akan disimpan oleh pesakit bagi memudahkan pengenalan jika kecemasan berlaku.

Pada era 90-an, kerajaan telah menyediakan pusat kelahiran di bandar dan luar bandar di mana pusat-pusat bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di pusat kelahiran utama di bandar manakala di luar bandar, ia bertujuan melayani ibu mengandung yang berisiko rendah dan bagi mereka yang tidak menginginkan sebarang intervensi serta ingin berada di persekitaran yang selesa. Pusat kelahiran luar bandar ini diuruskan oleh pegawai perubatan. Sehingga 2010, sebanyak 2833 klinik kesihatan dan 165 klinik bergerak serta 131 skuad terbang.

Langkah terakhir yang dilakukan oleh kerajaan pada fasa ketiga ini telah menunjukkan kematangan dan kewibawaan bagi kedua-dua pihak iaitu baik pihak kerajaan mahupun orang awam. Kerajaan telah memperkenalkan jawatan rasmi bidan kampung (Traditional Birth Attendant atau TBA) bagi mengatasi masalah ini dengan tuntas. Malah bidan kampung yang mengikuti cara tradisional ini telah melihat cara baru ini membawa manfaat kepada ibu-ibu mengandung.

Oleh itu mereka telah bekerjasama dengan kerajaan yang akan memberikan mereka latihan sepatutnya. Bidan kampung ini juga telah dibekalkan peralatan bersalin. Namun begitu mereka dibenarkan menguruskan kelahiran dengan syarat mereka akan berdaftar dan melaporkan sebarang kelahiran kepada jururawat terdekat. Pendekatan ini berjalan selama sepuluh tahun sebelum diberhentikan secara berperingkat. Ini kerana dalam masa tersebut, latihan obstetrik ke atas pegawai kesihatan telah meningkat. Selain itu, masalah kewangan turut menyebabkan langkah TBA diberhentikan berperingkat.

Seterusnya?

Langkah-langkah yang dilakukan di atas, walaupun tidak sempurna, namun sudah menunjukkan iltizam dan dedikasi kerajaan Malaysia di dalam menurunkan kadar kematian ibu bersalin ke tahap negara dunia pertama. Walau bagaimanapun, langkah kerajaan ini tentu tidak berjaya sepenuhnya jika ianya tidak disambut oleh rakyat jelata.

Ekoran itu, tindak-tanduk segelintir masyarakat masa kini yang mensabitkan kementerian kesihatan dan pegawai-pegawai sebagai tidak bertauliah dan mempunyai niat buruk haruslah dibendung. Masyarakat awam haruslah dididik untuk mengenali yang mana intan, yang mana kaca.

Malah jika gerakan ini dibiarkan berleluasa, kejayaan yang telah dirangkul oleh Malaysia selama beberapa dekad ini sudah pasti akan mengundur ke belakang. Sia-sia usaha, duit dan keringat yang telah dicurahkan oleh kerajaan, pegawai-pegawai kesihatan malah bidan-bidan tradisional selama ini. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.