Sejarah Kedatangan Etnik Cina Ke Tanah Melayu

5,974

“Nanyang” atau “Laut Selatan” merupakan destinasi impian rakyat China dalam kurun ke-19 yang menggambarkan rantau tersebut merupakan sebuah tempat yang makmur dan kaya. Harapan yang tersemai dalam sanubari mereka menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk pergi ke “Nanyang” atau “Laut Selatan” tanpa mengetahuai ranjau yang bakal dihadapi oleh mereka. Mereka hanya memikirkan di situ ada peluang untuk mereka mengubah kehidupan. Mereka hanya mengharapkan di situ ada ruang untuk mereka keluar daripada kesempitan dan kesengsaraan hidup.

Secara kontrak, mereka dibawa ke destinasi impian dalam sebuah kapal yang memuatkan kira-kira dua juta orang Cina. Perjalanan mereka ke “Nanyang” atau “Laut Selatan” bukan satu perjalanan yang mudah. Mereka perlu berhadapan dengan ombak yang besar. Tidak ada jaminan keselamatan. Mereka harus memastikan keselamatan diri sendiri. Keadaan ini bertambah teruk kerana keadaan kapal yang sangat tidak menyelesakan.

Ruang untuk meletakkan mereka adalah sempit dan kotor. Bukan itu sahaja, rawatan untuk mereka yang sakit tidak disediakan. Mereka didera, dipukul, dan tidak diberikan makanan atau minuman. Dalam tempoh tersebut, sesiapa yang jatuh sakit dan mati, mayatnya akan dicampak ke dalam laut.

Selepas beberapa bulan mengharungi lautan, mereka yang ‘berjaya hidup” sedar bahawa destinasi impian mereka masih terlalu jauh. Apabila kapal berlabuh di sebuah tempat yang tidak diketahui oleh mereka di “Nanyang”, (Sebenarnya di Singapura), mereka perlu dikuarantin sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan. Selepas melepasi pemeriksaan kesihatan, barulah mereka diberikan permit untuk tinggal di situ.

Takdir dan kehidupan mereka di “Nanyang” terletak di tangan Tuhan. Mereka bekerja di lombong bijih timah, ladang lada hitam, dan ladang getah. Ternyata kehidupan mereka sesudah tiba di tanah “Nanyang” bukanlah mudah seperti yang diharapkan oleh mereka. Indah khabar dari rupa.

Namun begitu, mereka tidak mempunyai pilihan selain daripada meneruskan kehidupan dan bekerja sebagai buruh. Kehidupan mereka di tanah impian mereka ini dikawal ketat. Selama bekerja, mereka juga terancam oleh haiwan liar seperti harimau dan haiwan berbisa seperti ular. Semua perkara ini tidak pernah terbayang dan terfikir semasa mereka di kampung.

Mereka juga tidak pernah menyangka bahawa kehidupan mereka umpama keluar dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya. Mereka meninggalkan tanah asal mereka kerana ingin lari daripada kesengsaraan angkara kezaliman Kerajaan Manchu. Keadaan politik di China juga bergolak kerana rakyat China sering mengadakan pemberontakan untuk menggulingkan Kerajaan Manchu.

Hal ini demikian kerana pada tahun 1664, Dinasti Manchu telah menakluki negara China dan mengamalkan dasar diskriminasi terhadap penduduk tempatan di China. Justeru, rakyat memberontak. Pemberontakan yang terkenal adalah pada tahun 1850 hingga 1864 iaitu Pemberontakan Taiping. Pemberontakan ini diketuai oleh Hung Hsiu-Chuan tetapi pemberontakan tersebut gagal menggulingkan kerajaan Manchu.

Ekoran daripada itu, kerajaan China telah bertindak kejam dan tegas untuk menghilangkan perasaan tidak puas hati rakyat China. Hal ini menyebabkan ramai orang China melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman Kerajaan Manchu.

Oleh itu, mereka dengan rela hati datang ke “Nanyang” atau “Laut Selatan” kerana kerajaan British menjanjikan peluang pekerjaan kepada mereka. Keazaman mereka untuk mencari rezeki di “Nanyang”  itulah yang membawa mereka ke Tanah Melayu yang merupakan salah satu lubuk rezeki di rantau Asia Tenggara atau Laut Selatan.

Mereka dibawa masuk ke Tanah Melayu dengan kaedah tertentu. Salah satu daripadanya ialah Sistem Tiket Kredit. Ramai dikalangan imigran Cina telah datang ke Tanah Melayu melalui sistem tiket Kredit. Imigran Cina yang ingin datang ke Tanah Melayu akan dikumpulkan oleh Kheh-thau (Ketua), orang yang bertanggunjawab mengumpulkan masyarakat tempatan di China sebelum di bawa ke Pelabuhan. 

Kheh-thau ini akan dibayar sejumlah wang bagi setiap imigran China yang dibawa oleh mereka. Imigran yang datang ini dipanggil Sin Kheh dan diletakkan dibawah pengawasan nahkoda kapal atau agensi buruh yang biasanya telah menerima bayaran daripada bakal majikan imigran berkenaan.

Imigran yang datang dengan cara ini terikat dengan perjanjian untuk bekerja bagi satu tempoh masa sehinggalah hutang tambang mereka dijelaskan. Selepas itu mereka bebas berkhidmat dengan sesiapa sahaja yang mereka suka. Mereka akan dibekalkan dengan tiket yang menunjukkan pelabuhan yang mereka akan tuju serta keterangan sama ada mereka bebas atau berhutang. 

Mereka akan dibawa oleh orang tengah atau pemborong buruh dengan bayaran tertentu kepada pihak majikan. Kerajaan British di Tanah Melayu telah mewujudkan jawatan pegawai pelindung buruh dari China pada bulan Mac 1872. Ia adalah bertujuan untuk mengawasi kemasukan buruh dan imigran dari China. Beberapa undang-undang telah dilaksanakan bagi membaiki sistem pengambilan buruh.

Mereka yang bekerja di bawah ini meneruskan kehidupan dengan mempertaruhkan jasad dan tenaga mereka untuk wang. Ada antara mereka yang bekerja dengan gigih untuk menebus diri mereka iaitu memerdekakan diri mereka.

Namun begitu, terdapat juga dalam kalangan mereka yang tewas dengan kesusahan yang tidak berkesudahan. Golongan ini telah mencari hiburan seperti dadah, pelacur dan berjudi untuk menghilangkan tekanan yang dialami. Mereka dibayar upah hari. Hasil titik peluh mereka habis begitu sahaja.

Bagi mereka yang berjaya menebus kebebasan diri, telah memulakan kehidupan baharu mereka. Mereka telah memilih untuk berniaga. Bermula dari berniaga secara kecil-kecilan, mereka berjaya membina empayar perniagaan. Mereka inilah yang telah memulakan babak baharu orang Cina di Nanyang. Golongan yang berjaya inilah yang telah menerajui ekonomi orang Cina di Nanyang khasnya di Tanah Melayu.

Kepayahan menempuh onak dan duri dari Tanah Besar China ke Tanah Melayu itu tidak dikesali oleh mereka yang berjaya di sini. Malah kesengsaraan itulah yang dijadikan penyuntik semangat kepada anak, cucu dan generasi seterusnya untuk terus memelihara maruah bangsa mereka.

Kesengsaraan itulah juga yang dijadikan penguat semangat dari satu generasi ke satu generasi agar meneruskan kejayaan yang terbina daripada titik peluh nenek moyang mereka. Kalau kita telusuri secara halus akan ranjau perjalanan mereka yang terdahulu, maka kita akan memahami sebab masyarakat Cina di negara kita merupakan masyarakat yang sangat berjaya.

RUJUKAN:

Jayzlee Liew, Kemasukan Buruh Asing ke Malaysia, 2017, UMS

Khoo Kay Kim, Latar Belakang Sejarah Masharakat India dan China di Tanah Melayu, 1971/72, JEBAT, UM

Muzium Orang Cina Malaysia, Seri Kembangan, Selangor

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.