Sejarah Jalur Gemilang Kebanggaanku!

293

Negara adalah merupakan suatu daerah atau wilayah yang ada di permukaan bumi di mana terdapat pemerintah yang mengatur ekonomi, politik, sosial dan budaya, pertahanan keamanan dan lain-lain lagi. Manakala, dalam sesebuah negara tersebut terdapat unsur-unsur negara seperti rakyat, wilayah, pemerintah yang berdaulat serta pengakuan dari negara lain.

Sesebuah negara secara umumnya mempunyai sempadan yang diiktiraf antarabangsa, mempunyai sistem pemerintahan yang baik, serta mempunyai penduduk yang tetap. Namun begitu, ciri-ciri sebuah negara berdaulat ialah negara tersebut merdeka dan bebas dari penjajahan, berkuasa sendiri serta mampu untuk memilih pemimpin dari kalangan rakyat, mempunyai pemimpin yang berwibawa serta sebuah negara tersebut mestilah mempunyai identiti yang tersendiri seperti bendera, bahasa dan lain-lain lagi.

Oleh itu, identiti yang paling jelas melambangkan negara Malaysia ialah bendera. Bendera adalah simbol yang mewakili negara, negeri, orang serta organisasi. ‘Bandeira’ merupakan perkataan Portugis yang membawa kepada kewujudan perkataan ‘bendera’. Ianya adalah bagi menggambarkan sepotong kain bercorak dan ianya bertujuan sebagai simbol sesebuah negara atau suatu entiti.

Bendera merupakan lambang kedaulatan sesebuah negara dan ianya juga merupakan lambang maruah serta jati tiri warganya. Maka, jelas bahawa  bendera kita yang dikenali sebagai Jalur Gemilang iaitu bendera rasmi negara Malaysia merupakan suatu identiti kedaulatan negara. Pada 31 Ogos 1957, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dan dikibarkan secara rasmi di Padang Kelab Selangor tatkala berlakunya pengisytiharan serta laungan kemerdekaan dilaksanakan. Ketika itu juga, berkumandang beiringan bersama kibaran bendera negara ialah Lagu Negaraku.

Kemudian, bendera Malaysia dikibarkan bersempena dengan pengisytiharan Hari Malaysia pada 16 September 1963. Dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura di dalam Malaysia, bendera Malaysia mempunyai 14 jalur, walaupun pada tahun 1965, Singapura tidak lagi bersama Malaysia ketika itu, ianya tidak mengubah jumlah 14 jalur bendera tersebut. Hal ini kerana 14 jalur tersebut mewakili 13 buah negeri serta Kerajaan Persekutuan. Bendera Malaysia secara rasminya diumumkan dengan nama Jalur Gemilang ialah pada 31 Ogos 1997 oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Merdeka.

Terciptanya Bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah apabila ia diilhamkan melalui sebuah pertandingan yang dianjurkan untuk mereka cipta bendera di peringkat kebangsaan pada bulan Mei 1948. Dalam pertandingan tersebut, terdapat seramai 373 karyawan yang mengambil bahagian dan setelah melalui pelbagai proses pemilihan dan pertimbangan, hanya tiga reka bentuk sahaja yang berjaya ke peringkat akhir pada 15 November 1949.

Setelah dipilih pada 22 dan 23 Februari 1950 , akhirnya reka bentuk yang dicipta oleh seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor iaitu Encik Mohamed bin Hamzah telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja sebagai bendera rasmi negara. Akan tetapi, reka bentuk yang direka tersebut telah dibuat beberapa pindaan pada warna bulan sabit dan bintang di mana pada asalnya kedua-duanya berwarna putih diganti dengan warna kuning bagi melambangkan warna diraja.

Setelah dipilih bendera negara, maka pada 26 Mei 1950, majlis pengibaran bendera telah dilaksanakan dan dihadiri oleh Sultan Selangor dan Menteri Besar bagi Negeri Perak, Terengganu, Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan. Bendera tersebut dikibarkan buat pertama kalinya di hadapan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur dan dinaikkan oleh Sir Henry Gurney yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.

Umum mengetahui, Jalur Gemilang mempunyai 14 jalur merah dan putih dan mempunyai makna yang tersendiri. Jalur yang terdapat pada bendera Malaysia tersebut membawa maksud satu haluan yabg lurus, hala tuju serta arah yang sama yang diikuti oleh rakyat negara ini dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara. Manakala, Gemilang pula membawa erti cahaya yang terang benderang dan cemerlang. Selain itu, ia turut melambangkan kecemerlangan negara serta rakyat Malaysia yang gigih serta bertungkus-lumus bersatu padu dalam menaikkan imej negara di dalam dan di luar negara.

Setiap lambang dan warna yang tertera pada bendera Malaysia mempunyai maksud yang tertentu. Warna biru tua ialah melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum, bersatu padu dan berusaha dalam memajukan pembangunan ekonomi berasaskan sains serta teknologi moden. Anak bulan serta bintang pecah 14 yang berwarna kuning pula bermaksud kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.

Manakala anak bulan tersebut merujuk kepada agama Islam sebagai agama rasmi kerajaan Persekutuan dan bintang pecah 14 menunjukkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan. Warna merah pada jalurnya pula melambangkan keberanian dan bersedia dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan kehadapan. Warna putih pula merujuk kepada makna kesucian, keikhlasan dan kesungguhan bagi mempertingkatkan ketahanan rakyat yang beradab dan berkeperibadian Malaysia.

Sehubungan dengan itu, maka jelaslah bahawa setiap lambang dan warna pada bendera tersebut membawa erti yang tersendiri. Oleh itu, sudah pastilah bendera Jalur Gemilang merupakan suatu yang sangat penting dan tidak boleh dipersendakan begitu sahaja. Disebabkan bendera negara merupakan identiti kedaultan negara serta lambang jati diri rakyat, maka kebanyakan negara menetapkan kod etika dan undang-undang bagi penggunaan bendera kebangsaan.

Hal ini bagi memberi penghormatan kepada simbol rasmi negara di samping menjaga kedaulatan identiti negara. Maka, Malaysia tidak terlepas daripada tidak menetapkan akta bagi melindungi Jalur Gemilang agar penggunaannya dihormati dengan sewajarnya.  Antara akta tersebut ialah Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 , dan mana-mana individu yang menghina atau melakukan provokasi melampau terhadap Jalur Gemilang yang bertujuan mencemar nama baik atau menghasut boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang Kanun Keseksaan Akta Hasutan 1948. Undang-undang yang dikuatkusakan tersebut jelas bertujuan untuk melindungi Jalur Gemilang daripada dipersendakan dan tidak dihormati.

Bersempena dengan bulan Kemerdekaan, seluruh rakyat Malaysia diajak untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai satu cara bagi meraikan kemerdekaan negara. Ia juga bertujuan untuk menzahirkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia, serta sebagai tanda cinta dan kasih terhadap tanah air. Oleh itu, kita perlulah mematuhi etika penggunaan Jalur Gemilang yang telah ditetapkan.

Antaranya seperti bendera perlulah dipasang secara melintang dan tidak boleh dipasang secara menegak sekiranya berkedudukan statik atau tidak berkibar. Walaupun begitu, dibolehkan memasang secara menegak sekiranya bendera disambung dalam kuantiti yang banyak (flagline), mengibarkan bendera yang telah uzur seperti telah pudar warna dan koyak merupakan suatu kesalahan dan terdapat pelbagai lagi etika penggunaan yang ditetapkan. Oleh itu, bagi menunjukkan rasa hormat dan cinta kepada simbol yang paling penting untuk negara kita yang tercinta.

Kesimpulannya, bendera adalah lambang kedaulatan bagi sesebuah negara dan ianya berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan maruah, bangsa, agama dan ibu pertiwi. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlulah memelihara Jalur Gemilang daripada dipersendakan dan dipermainkan oleh pihak yang tidak sewajarnya.

Hal ini untuk melindungi identiti serta kedaulatan negara yang tercinta. Selain itu, janganlah kita hanya bersemangat untuk mengibarkan bendera ketika sambutan Hari Kemerdekaan dan membiarkannya begitu saja sehingga sambutan pada tahun berikutnya pula.

Kita perlulah memeliharanya dengan baik meskipun bukan pada bulan kemerdekaan. Oleh itu, kita sewajarnya berbangga dengan bendera kebangsaan pada setiap masa bukan sahaja semasa bulan Kemerdekaan. Akhir kata, sayangilah Jalur Gemilang Malaysia!

RUJUKAN:

  1. Marzudi Md.Yunus. (2016). Bendera Lambang Kedaulatan, Jati Diri. Kuala Lumpur. Dicapai 21 Ogos 2019, https://www.utusan.com.my/rencana/utama/bendera-lambang-kedaulatan-jati-diri-1.393052
  2. “Bendera Kita Jalur Gemilang”, dicapai pada 21 Julai 2019, https://www.penerangan.gov.my/dmdocuments/bendera_kita_jalur_gemilang_2017/mobile/index.html#p=7.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.